Pukul 7.30 pagi aku dah ada kat sini dan sekarang dah pukul 8.00 pagi. Sekejap lagi pasti Adinda akan lalu di sini. Aku yakin.
Orang yang lalu lalang mula memandangku dengan pandangan pelik. Mana taknya, pagi-pagi buta aku dah mengusung gitar ke kampus. Ah, ada apahal? Aku kan sempoi!
Tiba-tiba telefon bimbitku bergetar dari dalam poket seluarku. Aku keluarkan telefon itu. Ada satu mesej dari Odie.
‘She’s on the way, kau dah boleh start menyanyi.’
Aku dah mula berdebar. Irama jantung dah berlagu yang entah apa-apa. Habislah! Habislah!
Dalam debaran yang menggila itu, jemariku tetap mula memetik gitar. Akan ku khabarkan padanya... tentang perasaanku.
Aku takkan lelah menunggu
Hingga waktu ajal menjemputku
Takkan pernah sesalku untuk menunggumu
Aku harus tetap menunggu
Hingga nanti aku berbaring
Sampai mati aku akan tetap menunggumu
Dari jauh, aku nampak si Adinda berjalan laju sambil membelek buku nota. Suaraku, kukuatkan lagi agar dia mendengar.
“Ini untuk awak Adinda!”
Dan langkahnya terhenti. Wajahnya dipaling kepadaku. Rahangnya sedikit jatuh. Terkejut mungkin. Aku lihat orang di sekeliling berbisik-bisik sambil memandang ke arahnya. I’m sorry, Adinda! Awak jadi perhatian hari ni! Dan bibirku terukir senyum.
Ingin ku gapai bulan dan ku petik bintang
Ingin ku bagikan semua hanya untukmu
Agar kau tahu besarnya cintaku kepada dirimu
Ku ingin kau tahu tentang perasaanku
Ku ingin kau tahu besar cinta padamu
Ingin ku berikan sisa waktuku
Dan sisa hidupku sampai mati
Baru aku nak mula verse yang kedua, Adinda panjat pentas dan tarik gitar yang ada di tanganku lalu dia hempas ke lantai pentas. Terkedu terus aku. Tangan dan kakiku terus terkunci dari bergerak. Kaku.
“Itu balasan untuk lelaki macam kau!” Ujar dia sebelum berlalu. Aku pandang gitar aku yang patah dua. Gitar aku. Gitar kesayangan aku! Dan aku terus terjelepuk jatuh.
Seminggu! Seminggu aku demam lepas gitarku menjadi arwah. Patah hatiku lebih teruk dari putus cinta. Aku tak bercakap dengan sesiapa. Nak bersuara pun aku tak mampu. Aku tak makan. Tak minum. Sungguh aku patah hati!
“Andika...”
Aku tak menyahut. Lenganku masih menutup dahi. Tiada niat nak bersuara.
“Sampai bila kau nak jadi mat patah hati ni?”
Masih senyap dengan teguran Ayie.
“Andika...”
“Aku... tak boleh terima bila dia patahkan gitar aku! Kalau dia nak reject aku, aku tak kisah. Tapi jangan sentuh gitar aku, bhai! Gitar first aku. Gitar yang aku beli guna duit belanja sekolah aku! Kenapa dia tak belasah je aku? Kenapa mesti gitar aku jadi mangsa?!” Aku bangun dari baringku.
Ayie terdiam terus saat aku membentak.
“Andika, istighfar banyak-banyak.”
“Odie, gitar tu... aku sayang kot. Gitar tu sama penting macam vespa aku. Hidup aku, kalau tak ada handphone, tak ada MP3 aku tak kisah wei. Tapi aku perlukan gitar tu. Aku perlukan vespa aku. Dua tu je. Aku tak minta lain, wei!”
“Benda dah jadi. Kau tak boleh jadi macam ni, wei. Kau kena bangkit. Balas dendam dekat si Adinda tu!”
Aku terdiam, balas dendam kat Adinda? Tak mungkin! “Aku bukan pendendam!”
“Kau still sukakan Adinda?”
Soalan Odie buat aku berfikir lama. Selepas seketika, baru aku menjawab.
“Tak!”
Aku melangkah ke dewan kuliah sambil menyumbatkan earphone ke dalam telinga. Lagu Bunk Anthem dendangan Bunkface berlagu. Selepas seminggu menyendiri, baru hari ini aku mampu melangkah kembali tapi langkahku masih sumbang. Di mindaku cuma ada rupa gitar aku yang sudah patah dua. Langkahku mati bila aku bertemu dua mata dengan dia. Dia, Adinda Amani. Dia pandang aku. Aku pandang dia. Tapi seketika cuma sebelum aku alih pandangan dan terus berlalu.
Share this novel