24

Romance Series 93217

Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Kini Aayra sudah memasuki minggu kedua berpantang. Segala kelengkapan dan persiapan berpantangnya dijaga dengan baik dan rapi. Segala - galanya dilakukan oleh suaminya sendiri. Tidak sedikit pun dia kelihatan kekok menguruskan semua itu. Lagaknya tidak ubah seperti orang yang sudah punya pengalaman. Sesekali ada juga mama dan mummy datang membantu walau tanpa dipinta. Niat mereka hanya ingin memastikan Aayra sentiasa mendapat penjagaan yang terbaik sepanjang tempoh berpantangnya. Lebih membuatkan Aayra semakin terharu, saat dia mendapat tahu suaminya itu sanggup mengambil cuti yang panjang demi menjaganya di rumah. Walaupun sejak dari awal lagi Aayra memang sudah dikhabarkan akan hal itu, namun dia tidak menyangka Harraz benar - benar akan melakukannya. Kata Harraz, itu semua sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Lagi pula selama ini Puan Husna dan Datin Hana sudah banyak berkorban demi untuk membesarkan mereka. Jadi mengapa disaat - saat begini mereka perlu bersusah payah untuk menjaga cucu - cucu mereka pula? Sudah tiba masanya untuk Aayra dan Harraz belajar menjaga dan membesarkan anak - anak mereka sendiri. Jadi antara suka mahupun tidak, mereka berdua harus belajar dari sekarang. Walaupun begitu, Puan Husna dan Datin Hana tetap tidak pernah lokek dalam mencurahkan ilmu buat mereka. Kedua - dua wanita itu sering sahaja mengajar mereka bagaimana ingin menjadi ibu dan bapa yang terbaik di seawal usia begini. Banyak ilmu yang telah diberikan kepada mereka. Betapa Aayra sangat bersyukur kerana memiliki keluarga yang terbaik seperti itu.

Sejak hadirnya Nufael dan Nuffan ke dalam keluarga ini, keakraban antara kedua - dua buah keluarga itu memang tidak dapat disangkalkan lagi. Hampir setiap minggu rumah mereka pasti sahaja akan dikunjungi oleh keluarga masing - masing. Saat itu Nufael dan Nuffan pasti akan menjadi rebutan oleh kedua - dua datuk dan neneknya.

“Macam mana keadaan anak abah hari ni? Berseri - seri je abah tengok muka tu. Happy ya dah ada keluarga kecil sendiri?" Soal Encik Nadzmi sebaik melabuhkan punggung di sisi anak perempuannya.

Aayra menoleh ke arah Encik Nadzmi. Saat itu dia sedang menikmati minum petangnya di ruang meja makan rumahnya. Bibirnya mengukir senyuman. Perlahan - lahan Aayra menuang air panas ke dalam cawan lalu dihulurkan kepada Encik Nadzmi.

“Alhamdulillah, abah. Adik sihat macam ni lah. Adatlah orang dalam pantang. Mana boleh lasak - lasak sangat kan? Tapi kalau soal happy tu memang adik tak boleh nak sangkalkan. Adik happy sangat - sangat abah. Kadang - kadang tu rasa macam tak percaya pun ada. Yelah, dalam sekelip mata je adik dah jadi ibu kepada dua orang anak kembar. Rasa macam baru semalam je abah nikahkan adik dengan Harraz." Luah Aayra sedikit teruja.

Encik Nadzmi tertawa kecil. Namun jauh di sudut hatinya, dia berasa sedikit sebak. Sebak bukan kerana dia bersedih tetapi ianya lebih kepada gembira dan bersyukur. Dia tahu betapa Aayra sangat bahagia kini. Apatah lagi dengan kehadiran dua permata kecil yang sangat comel itu. Encik Nadzmi yakin, anak perempuannya itu sedang menikmati kebahagiaan rumahtangga yang sangat diimpi - impikan oleh setiap wanita di dunia ini. Malah dia sangat bersyukur kerana Aayra telah dipertemukan jodoh dengan lelaki sebaik Harraz. Dia dapat lihat bagaimana Harraz berjaya membahagiakan anaknya itu. Lihat sahaja kehidupan Aayra kini. Serba - serbi telah dimilikinya di dalam usia sebegini. Malah keluarga mertuanya juga terlalu menyayanginya. Layanan yang mereka berikan untuk Aayra sangat baik dan sempurna. Jadi sebagai seorang bapa, tiada apa lagi yang perlu dibimbangkannya. Doanya semoga kebahagiaan yang dimiliki Aayra itu akan tetus menjadi milik anaknya. Tanpa Encik Nadzmi sedari, air mata kejantanannya mengalir memabasahi pipi. Baginya air mata itu lebih kepada air mata kegembiraan seorang bapa melihat kebahagiaan anaknya. Aayra yang mula menyedari akan hal itu pantas menggengam kedua - dua tangan bapanya.

“Abah..." Panggil Aayra perlahan.

Encik Nadzmi kembali sedar dari lamunannya yang panjang. Dia pantas menyeka air matanya lalu bibirnya menguntum senyum ke arah Aayra. Dia turut membalas genggaman anaknya itu erat. Sebolahnya dia tidak mahu Aayra berfikiran yang bukan - bukan tentang air matanya sebentar tadi.

“Abah ok ke? Adik ada salah cakap ye? Adik minta maaf abah. Adik takde niat nak buat abah berkecil hati. Adik betul - betul minta maaf abah." Ucap Aayra sayu lalu dia menarik kedua - dua tangan Encik Nadzmi ke bibirnya. Tangan tua itu disalam bagi memohon ampun.

“Tak sayang. Tak. Adik tak buat apa - apa salah pun. Abah cuma terlalu gembira melihat kebahagiaan adik sekarang. Abah tahu ini yang adik impikan selama ni kan? Memiliki suami yang penyayang. Keluarga yang sempuna dan kebahagiaan yang berpanjangan. Betul tak?" Ujar Encik Nadzmi sekali gus menyangkal salah faham Aayra.

Aayra mengangguk perlahan. Entah mengapa, jiwanya juga terusik saat mengetahui bapanya turut tersentuh dengan kata - katanya itu sebentar tadi. Tidak semena - mena, air matanya turut sama mengalir. Sekali lagi kedua - dua tangan Encik Nadzmi dicium erat.

“Apa yang adik miliki sekarang ni semuanya dari berkat doa abah dan mama. Adik tahu selama ni abah dan mama tak pernah putus - putus berdoa untuk kebahagiaan adik dari dahulu sehinggalah ke hari ini. Tanpa doa abah dan mama, mana mungkin adik perolehi semua ni. Terima kasih abah. Terima kasih kerana tak pernah lelah mendoakan yang terbaik untuk adik. Adik nak abah tahu. Walau apa pun yang terjadi, abah tetap yang paling utama di hati adik. Tiada siapa pun yang boleh gantikan tempat abah di hati adik dan adik doakan semoga Allah sentiasa merahmati hidup abah buat selamanya. Adik sayang abah." Ucap Aayra sebak.

Ucapan ikhlas Aayra itu sekali lagi mengundang sebak di hati Encik Nadzmi. Sejujurnya dia sangat menghargai peluang sebegini kerana selama Aayra berkahwin, belum pernah dia diberi kesempatan untuk berbicara dari hati ke hati seperti ini. Jika dahulu, Aayra merupakan seorang anak yang sangat manja dengannya. Walaupun dia sering bertegas dengan anak perempuannya itu, namun itu semua langsung tidak menghalang Aayra untuk menjadi anak manjanya. Apa sahaja yang dilalui sepanjang hidupnya, semuanya diceritakan kepadanya. Adakala mereka berdua seperti kawan. Namun itu tidak beerti dia akan berdiam diri jika Aayra melakukan kesalahan. Hukuman tetap hukuman. Alhamdulillah, hasil dari didikan itulah yang membuatkan kedua - dua anaknya berjaya di dalam kehidupan mereka.

“Shhh... Jangan menangis dah. Orang berpantang mana elok menangis. Nanti lain pulak yang jadi. Abah tahu adik sayangkan abah dan abah pun sayangkan adik. Terima kasih kerana mendoakan yang terbaik untuk abah. Abah nak adik tahu dalam dunia ni tak selalunya kita akan bernasib baik. Tapi itu bukanlah penghalang untuk kita mengecapi kebahagiaan. Sentiasalah berdoa kepada Allah kerana sesungguhnya doa itu adalah perisai yang terbaik buat kita. In shaa Allah, selagi nyawa dikandung badan, abah pasti akan terus mendoakan yang terbaik untuk anak - anak abah. Itu janji abah." Ujar Encik Nadzmi tenang.

Aayra tersenyum. Air matanya pantas diseka. Dia tidak mahu tangisannya sebentar tadi disedari oleh sesiapa. Namun tanpa Aayra sedari, aksi dan perbualan mereka sebentar tadi itu telah pun disaksikan oleh Harraz dan Puan Husna secara diam - diam. Masing - masing turut sama berasa sebak melihat aksi dua beranak itu. Jauh disudut hati, Harraz dan Puan Husna turut sama mendoakan yang terbaik buat keluarga mereka. Semoga keluarga mereka itu sentiasa berada di dalam redha Allah dan kebahagiaan akan menjadi milik mereka berpanjangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience