enam puluh satu

Romance Series 207093

"Mak! Adik nak pergi mancing dengan abang, boleh? Boleh la.." pujuk Aril pada si ibu yang sedang memasak.

"Aduh.. adik ni mengacau la." halau Pn Wani halus.

"Adik! Kawan-kawan aku dah sampai! Kau nak ikut tak?" suara Azim agak kuat dari luar memanggil si adik.

"Mak..." meleret panggilannya pada si ibu, memujuk. Kain baju wanita itu ditarik-tariknya perlahan.

"Ye ye.. pergi lah. Cakap dengan abang jangan balik lambat sangat." Pn Wani memberikan juga kebenaran.

Senyuman lebar mula menghiasi wajah tembam Aril. "Okay mak! Adik pergi dulu!" kelam-kabut dia memakai selipar di muka pintu dapur sebelum berlari ke luar.

Kelibat abang dicarinya. Azim masih lagi menunggu dirinya bersama beberapa orang rakan sekolahnya.

"Abang, mak kasi adik ikut." budak 5 tahun itu berlari anak ke arah abangnya di pangkin.

"Okay!. Jom pergi.." Azim, Aril dan tiga orang rakan sekolah Azim pun pergi ke sungai kecil tidak jauh dari situ.

Sungai itu tidaklah dalam, tidaklah besar. Hanya punya sebuah jambatan besi untuk sebuah kereta saja yang menghubungkan kedua belah sisi.

"Dik, kau jangan main jauh-jauh. Dekat jambatan je. Hilang aku tak tahu.." Azim bersuara sedikit kuat.

Sesekali si adik diperhatinya sambil memancing dengan kedua kaki dibiar tergantung keluar dari palang besi jambatan bersama rakan-rakannya.

Aril hanya berkeliaran sekitar situ saja. Sedang dia berjalan-jalan di tepi sungai membelakangi Azim dan rakan-rakan, matanya tertancap pada sesuatu pada permukaan air yang dilitupi tumbuhan teratai.

'Apa tu?' dengan langkah berhati-hati, sikap ingin tahunya membuak, semakin merapati.

Disebabkan agak jauh daripada kedudukannya, benda itu tidak boleh dia lihat. Sekeliling diperhati, satu ranting kayu diambil dan dikaih-kaihnya tumbuhan teratai yang banyak itu.

Perkara pertama yang dilihatnya adalah bahagian tangan yang pucat mengembung, terapung di atas air dilitupi tumbuhan liar.

Terkejutnya si adik, dia mula menangis ketakutan dan mengesot laju dari tebing sungai. Spontan kaki dilarikan ke arah si abang dan rakan-rakan.

"Abang! Abang!" dengan deraian air mata, si abang dipanggilnya. Selipar sudah entah ke mana perginya. Wajah itu dibasahi air mata yang galak menangis.

"Ish! Kau nak apa?! Bising la orang nak mancing. Kan aku kata jangan men jauh-jauh? Degilla kau ni." marah Azim tanpa bertanya terlebih dahulu.

Terhinjut-hinjut bahu Aril akibat menangis teruk. Kedua tangan naik menggosok matanya sambil berterusan menangis tanpa tanda mahu berhenti.

Semakin kuat pula tangisannya.

Sebuah motosikal warga kampung berhenti di hadapan mereka. Abang Kamal.

"Asal nangis ni? Gaduh ke?" soalnya tegas. Tak suka jika adik kecil itu dibuli pula.

"Tak la bang.. mane ade gaduh. Adik ni ha, kacau orang nak mancing.." ngadu Azim pula.

Aril sudah tergeleng-geleng menidakkan dengan tangisan yang cuba ditahan. Abang Kamal yang masih di atas motor itu cuba digapai tangannya.

"Ab-abang.. ad.. ade.. orang mati." beritahu Aril sukar.

"Ha?! Orang mati? Dekat mana?" soal Kamal kalut. Sekeliling diperhati sekilas sebelum membuang pandangan semula pada Aril di kakinya.

"Sane.." jari tembam itu menunjukkan ke bawah. Kamal terus mematikan motosikalnya sebelum tangannya ditarik Aril ke kawasan tadi.

"Tu bang.. tu." tunjuknya lagi.

Terbuntang mata Kamal apabila melihat ke arah yang ditunjukkan Aril. Ranting yang sama digunakan Aril tadi dikaih lagi tumbuhan air dan lumut yang menutupi sebahagian besar tubuh itu.

Beristigfar perlahan dia melihatkan kondisi tubuh mayat wanita itu. Pucat dengan warna lebam di seluruh tubuh, kembung berair dan mula membusuk.

Sebaik saja timbunan dialihkan, bauan tak menyenangkan mula tersebar. Busuk!

Tangan naik menekup hidung sambil Phone di dalam kocek pantas diambil sebelum dihubunginya pihak berkuasa.

Wajah si wanita tidak dia lihat kerana tubuh berbogel itu menelentang terapung. Adik-adik kecil tadi yang mula mengkerumuni tempatnya berdiri, turut mahu melihat dihalaunya menjauh.

Tidak sampai setengah jam, pihak polis tiba dan mula mengalihkan tubuh. Keterangan diambil juga. Tubuh itu dimasukkan ke dalam beg mayat sebelum di bawa ke hospital untuk ujian forensik.

Tiada kad pengenalan diri dan wajah membengkak mengembung dek terlalu lama mati di dalam air menyebabkan identiti mayat sukar dikenalpasti.

Punca kematian telah ditemukan. Tubuhnya punya kecederaan dalaman akibat seks melampau dan penderaan manakala punca utama kematian adalah tikaman pada bahagian perut oleh objek tajam berkali-kali.

Mayat telah disahkan mati dalam masa kurang seminggu. Pewaris dikehendaki untuk mengecam mangsa dan berurusan dengan pihak polis.

~~~~~~~~~~~~~

Setelah menyelesaikan urusan jenazah, orang ramai mula beransur-ansur pulang. Mama dan papa serta adik-beradik terdekat yang lain mula menyiram pusara si arwah sebelum berangkat pulang.

Tetapi bukan untuk seorang, Shira. Wanita itu masih lagi duduk berteleku di tepi kubur si adik, tak henti berasa bersalah dengan kejadian yang menimpa adik kesayangannya itu.

Jika bukan disebabkan dia, Shura tak akan memilih jalan begini, Shura tak akan terlibat dengan pembunuhan kejam begini.

Hanya air mata saja yang mengalir dari tadi. Semasa menerima panggilan bagi pengesahan mayat di sebuah hospital, Shira amat berdoa semoga itu bukan adiknya.

Shura memang selayaknya dihukum untuk kesalahan yang dibuat terhadap Shira tetapi bukan begini caranya. Bukan begini! Mati dengan kejam dan mengaibkan sebegitu.

Tetapi ketentuan Ilahi tiada yang mampu mengubah. Shira reda dengan segalanya.

"Yang.." bahu si isteri dicuit sedikit Khalish dari belakang.

Tersentak Shira dari lamunan panjangnya. Air mata yang bersisa disekanya lagi dengan sapu tangan yang setia menemani dari tadi.

Air hidung ditariknya daripada meleleh dengan wajah memerah. Comot teruk.

Khalish kembali duduk bersama Shira di sebelah pusara. Bahu wanita itu diusapnya lembut, menyalurkan sedikit kekuatan.

Semua orang sudah berangkat pulang tetapi tidak isterinya. Khalish tahu wanita itu sangat terkesan dengan kehilangan Shura kerana kes tersebut punya kaitan dengan dirinya.

Dengan kondisi lemah Shira yang baru sahaja mengandungkan zuriatnya kurang sebulan, sudah beberapa kali dalam sehari itu Shira memuntahkan isi perutnya keluar. Walhal air masak sekalipun. Teruk.

Kesihatan Shira perlu diutamakan. Tidak boleh dibiarkan saja wanita itu terlalu berduka hingga memudaratkan diri dan kandunganya.

"Balik jom? Hmm?" ajaknya lembut. Wajah Shira dipandang sekilas. Mata itu suram saja sambil menatap pusara.

Keluhan berat dilepaskan Khalish. Dia tahu keadaan amat mengejutkan tetapi apa boleh buat? Segalanya sudah berlaku.

"Sayang-"

"Sekejap je lagi.. Shira nak tunggu sekejap je lagi." ujar si isteri perlahan.

Sebelah lagi tangan Khalish digenggamnya tanpa memandang wajah itu.

"Abang pernah dengar tak tentang seksaan kubur?" pertanyaan Shira mengalihkan perhatian Khalish kepadanya.

"Setiap tapak kaki insan yang pulang, jenazah akan menangis. Meminta mereka untuk tunggu.." air mata mula bertakung kembali.

"Akan dia dengarkan bunyian rantai diseret oleh dua orang malaikat ke arahnya.. hanya menunggu waktu untuk disoal." serak suara itu bertutur.

Khalish tidak langsung mencelah mahupun membalas, hanya memberi ruang kepada si isteri.

"Shira nak tunggu sini sekejap.." kedua pasang mata itu mula bertatapan. Kekura si isteri dielusnya lembut.

"Jadi malaikat akan soal Shura dengan baik kan sebab Shira ade dekat sini?" air matanya sudah tidak dapat dibendung lagi. Membanjiri, tanpa henti.

"Ye sayang.. ye.. tapi kita kene pulang jugak. Hmm?" pujuk Khalish.

"Kita doakan dia dulu ye?" menerima anggukan dari Shira, Khalish mula menadah tangan, mengirimkan sebuah doa untuk arwah.

Setelah mengaminkan doa, si isteri dibantunya untuk bangun sebelum melipat tikar yang digunakan sebagai alas tadi.

Shira mengusap lembut batu nisan bertatah nama adiknya itu. Leka.

'Shura.. adik kesayangan Kak Long. Aku pulang dulu ye? Nanti jika ade kesempatan aku akan datang lagi.'

'Kau akan sentiasa ada dalam doaku.. maafkan segala kesalahan aku Shura. Sebab kau, aku tak akan pernah benci.'

'Aku tahu kau menyesal dengan perbuatan kau, aku maafkan. Sekalipun kau tak pernah mengucapkan kata maaf, aku.. '

'..masih akan maafkan kau adik..'

'Kau tahu.. aku dah mengandung. Kau ingat tak dulu kau selalu mengusik aku untuk berkahwin dulu dan berikan kau anak buah? Kau suka?' esakan Shira cuba ditahan.

Mata dipejam rapat, cuba menahan diri daripada perasaannya yang melampau.

"Sayang?" panggilan Khalish membuatkan Shira berpaling.

Si suami tak berekspresi itu sudah menarik lengannya agar mengikuti langkah. Mengajak pulang.

Kepala dianggukkan tanda memahami. Sekali lagi dia menoleh buat kali terakhir pada pusara si adik.

'Aku pulang dulu adik.. Assalamualaikum.'

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience