BAB 9

Romance Series 8815

SUDAH sebulan Misya bekerja di WorldSight. Seperti biasa, tiada perkembangan dalam hidupnya. Pergi kerja, selesaikan kerja, balik rumah dan sudah.
Kerja-kerja yang dilakukan pun dah semakin mudah kerana dia tahu aliran tugas di WorldSight, bukan seperti ketika dia baru masuk bekerja.
Kak Nour pernah tanya, dah berminggu kerja dengan Tuan Jo, apa perasaan Misya?
Misya tidak memberikan jawapan jujur. Hanya menyatakan bahawa dia semakin selesa. Hakikatnya, barulah dia faham kenapa Naemah pernah mengatakan Tuan Jo itu garang.
Pada Misya, Jawdan sangat untouchable. Lelaki itu jarang-jarang beremosi kecuali jika kerja yang dilakukan terdapat kesilapan. Maksudnya, Jawdan jarang berbual dan bergurau senda. Lelaki itu lebih senang hidup di dunia sendiri. Sibuk dengan kerja-kerja editing yang tak pernah kunjung tamat.
Saat Misya masuk ke bilik Jawdan, lelaki itu sentiasa dalam posisi yang sama. Duduk di atas kerusi empuk, sedang membaca manuskrip di komputer meja. Sesekali Jawdan akan menanggalkan cermin mata dan memandang ke arahnya tanpa riak. Mata lelaki itu kelihatan tajam setiap masa. Mungkin kerana kerja-kerjanya memerlukan ketajaman minda, jadi Jawdan sentiasa dalam ‘mood’ yang sama. Agak sukar untuk melihat Jawdan tidak menunjukkan ekspresi berat.
Misya mengetuk pintu bilik pejabat Ketua Editor itu. Sekali lagi, dia terpaksa masuk ke bilik pejabat Jawdan apabila dipanggil melalui pesanan ringkas WhatsApp. Sepatah saja ayat Jawdan berikan kepadanya. Sepatah kata yang mendebarkan hati tanpa pernah gagal.
In.
Misya berdoa agar kesilapannya kali ini adalah kesilapan minor. Bimbang dia gagal menyelesaikan masalah sehingga membawa kemarahan Jawdan Raffiq.
“Siapa yang berikan you file ‘Mr Serious’? File dah diedit. Tapi layouting not so perfect. PDP tak ada. Nama editor, proof reader, semua silap. Setahu I, Luna tu English editor. Tertulis pada manuskrip, Luna sebagai proof reader. You tak semak sebelum beri pada I ke? Sepatutnya file bila dah beri pada I, tiada kesalahan major dan minor.” Rendah saja nada Jawdan berbicara. Mata lelaki itu masih menampan pada skrin komputer dengan air muka yang keruh.
“Maaf, tuan. I akan double check dengan layouter.”
Kali ini Jawdan melemparkan pandangannya ke wajah Misya. Tajam.
Wajah Misya yang sedikit serius itu membuat Jawdan tenang buat seketika. Dia teringatkan PA yang sebelum ini. Apabila dimarahi, mulalah tersengih dan memberikan alasan yang bukan-bukan.
Helah bela diri.
Jawdan cukup masak dengan sikap lepas tangan staf nya. Sebab itu juga Jawdan akan bertambah geram dan mengkritik walaupun dia sedar yang dia bakal membuat staf berkecil hati padanya. Tapi tak sangka pula sampai PA yang dulu meletak jawatan. Dengan alasan Jawdan tidak menghormatinya sebagai seorang staf yang lebih senior.
Huh.
Tak sudah-sudah menyalahkan keadaan dan orang lain.
Tapi Misya pula berbeza. Gadis itu sedar dengan kesilapan dan terus mengakui. Sikap itu yang Jawdan nak dalam setiap staf yang ada. Tidak perlu menyalahkan orang lain atau menjual nama sesiapa untuk menutupi segala kesilapan. Staf perlu bersedia untuk menggalas tanggungjawabnya.
“Panggil layouter datang ke sini. Sekarang.”
Misya jadi gelisah. Sudahlah bahagian layouter itu budak baru sepertinya juga. Sama-sama mendaftar dengannya sebulan yang lepas!
“Baik, kejap lagi I panggilkan mereka. Ada apa-apa lagi ke yang tuan nak?” soal Misya.
Jawdan tidak membalas. Dia bersandar pada kerusi dan masih merenung ke arah Misya.
“Kalau tak ada apa-apa, I keluar dulu.” Misya menunduk kecil tanda hormat.
Misya keluar dari bilik Jawdan tergesa-gesa. Bimbang bakal dimarahi kerana melambat-lambatkan diri.
Bukan dia tidak perasan kening Jawdan hampir bercantum, dahi Jawdan berkerut-kerut seperti menghadapi masalah dunia.
Misya terus ke mejanya dan mencari nombor telefon bahagian layouter pada buku nota. Mujurlah Misya pernah minta dari HR senarai nombor telefon jabatan-jabatan lain selain daripada jabatan editorial.
Dapat saja nombor telefon layouter, dia terus membuat panggilan.
“Helo, Misya ni bercakap. PA Tuan Jo.”
“Oh! Misya... Ada problem ke?”
“Layouter ‘Mr Serious’ ada kat sana tak?”
“Zaid? Ada. Kejap eh.”
Dari hujung talian, Misya mendengar nama Zaid diseru.
“Helo, Misya. Aku ni. Kenapa?”
Misya mengangkat keningnya. Sejak bila dia dan Zaid akrab sampai beraku-engkau? Misya menggaru kening yang tidak gatal. Janggal pula rasanya ada orang berlagak akrab sedangkan mereka tidak pernah bertegur sapa.
“Awak datang ke jabatan editorial dapat tak? Tuan Jo nak jumpa. Ada kesilapan kat layout ‘Mr Serious’.”
“Oh, yang FarehanX tulis tu ke?”
Misya terkedu buat seketika. Sengaja Zaid soal benda yang dah terang bersuluh. Pelik betul lelaki bernama Zaid itu. “Ye, FarehanX tulis.”
“Kejap lagi aku naik atas. Sekarang ni ada kerja sikit...”
“As soon as possible.” Misya menekankan suara.
“Yelah... Yelah. Sebelum balik nanti aku naik atas.”
Misya bengang. Boleh pula Zaid kata sebelum balik baru naik atas? Zaid tak pernah dengar gosip tentang Tuan Jo ke sebelum ni?
“Tuan Jo kata, right now.”
“Bossy betul boss kau tu. Berlagak macam dia boss aku.”
“In fact, kalau bos awak yang dapat arahan daripada Tuan Jo, dia akan terus naik ke atas, without making any excuses. Thank you.” Misya letakkan telefon dengan agak kasar. Sengaja dia buat begitu agar Zaid cakna dan terus naik ke atas. Dibuatnya Zaid tidak naik, sedangkan manuskrip ‘Mr Serious’ itu perlu diselesaikan dalam tempoh masa terdekat, mengamuklah Jawdan nanti! Bila Tuan Jo mengamuk, satu pejabat ini bakal dilanda garuda. Masing-masing tayang muka sedih. Masing-masing kena stay up atau paling teruk pun OT. Sementara Jawdan masih boleh dirunding, lebih baik Zaid selesaikan dengan kadar segera.

SEMUA YANG ada dalam jabatan editing menegakkan kepala saat mendengar suara keras Jawdan dari bilik pejabatnya.
Misya terpinga-pinga buat seketika. Spontan, Misya memandang ke arah Kak Nour dan yang lain-lain.
Tadi masa Zaid datang, lelaki itu nampak berlagak betul. Siap tanya kat Misya kenapa masalah di muka surat hak cipta itu menjadi masalah layouter. Sepatutnya editor kena edit sebelum beri pada dia untuk layouting.
Misya beritahu, editing akan edit content. Dan editing akan hantar manuskrip yang telah diedit. Muka surat hak cipta dan muka surat judul promosi serta iklan berbayar adalah disusun oleh bahagian layouter. Berkeras juga Zaid nak menegakkan hak cipta bukan bidang kuasanya. Naik pening Misya dengan sikap Zaid. Akhirnya Misya minta Zaid masuk sendiri bilik Jawdan untuk berbincang.
“Budak Zaid tu baru masuk kerja, kan? Gaya dia macam bukan baru masuk bekerja.” Kak Nour mengeluh.
“Itulah orang kata, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu mengemboo. Ni masuk ladang rimau dia menyalak, apa pasal? Suka hati dia aje tukar-tukar bidang tugas ikut kepala dia. Dah lama layouter pegang hak cipta, tiba-tiba nak bagi kat kita.” Riah menambah.
Misya serba salah. Ikutkan hati dia mahu masuk ke dalam pejabat itu. Tapi bimbang kehadirannya menjadi isu lain pula.
“Zaid tu acts like he knows everything. Tengok dari cara dia bercakap dengan Misya tadi, memang ego betul...” ucap Luna.
Telefon pintar Misya berbunyi.
Apabila dilihatnya nama Jawdan tertera pada skrin, cepat-cepat Misya mengangkat panggilan.
“Panggil ketua layouter datang sekarang.” Suara itu berbaur nada tegas.
“Baik, tuan.”
Talian dimatikan oleh Jawdan. Misya tertelan air liur.
“You okay tak ni Misya? Pucat semacam aje?” Kak Nour mengerutkan kening.
“Kalau bukan silap you, you tenang aje. Don’t worry, okay?” Riah memujuk.
Misya tersenyum kepada mereka sambil mengangguk kecil. “I okay,” balas Misya pendek.
Kelam kabut dia mencari nombor telefon di dalam buku catatannya.
“Tuan Jo minta apa tu?” soal Kak Nour.
“Ketua team layout.”
“Oh, Kak Nisha. Akak ada nombor handphone dia. Nak ke?” Kak Nour bertanya.
Nombor peribadi lagi baik. Cepat-cepat Misya bergerak menuju ke kubikel Kak Nour.
“Nak, kak.”
?

(BOLEH DAPATKAN VERSI CETAK DI INSTAGRAM @rinsyachasiani / shopee 'rinsya chasiani publication' ATAU whatsApp )

ig @rinsyachasiani

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience