Bab 3

Romance Completed 242876

LELAKI itu sedang fokus membaca resume yang Ain Azreen serahkan kepadanya tadi. Sesekali, dia melirik wajah wanita di depannya itu dengan lagak tenang.

"Kenapa awak nak kerja kat sini?" soal lelaki itu dengan riak wajah yang serius.

"Sebab saya perlukan kerja ni," jawab Ain Azreen dengan muka yakin lalu memandang sekilas ke arah plat segi tiga di atas meja yang tertera tulisan nama yang ditulis dengan tulisan warna emas.

Lelaki itu meletakkan kertas resume yang dipegangnya ke atas meja lalu dia bersandar pada kerusi empuknya dan berpeluk tubuh. Wajah wanita di depannya itu dipandang tanpa riak. "Ain Azreen Binti Sulaiman."

"Ya, saya, tuan," sahutnya.

"Awak masih kerja kat kelab malam tu ke?"

Ain Azreen mengetap gigi sambil melepaskan keluhan halus lalu mengangguk. "Masih, tuan."

"Bagi saya sebab kenapa awak nak kerja kat sini, sedangkan awak dah ada pekerjaan lain."

"Sebab gaji saya tak cukup. Saya perlukan duit belanja," jawabnya tanpa berselindung.

"Duit belanja? Dalam resume, status awak bujang. Jadi, awak tak ada suami dan tak ada anak. Hmm.. Awak ada adik-beradik?"

"Ayah saya kena serangan strok sejak tahun lepas, tuan. Bedridden. Jadi, banyak benda yang perlu dibeli. Susu, pampers dan ubat-ubatan. Saya ada seorang kakak, tapi dia pun lumpuh juga, cuma separuh badan. Saya perlukan duit lebih untuk cover belanja kat rumah."

"Jadi, siapa yang jaga ayah dengan kakak awak?"

"Mak saya. Kalau saya tak kerja, tak adalah duit nak beli segala keperluan kat rumah," jawab Ain Azreen dengan harapan agar adalah rasa empati dan simpati lelaki itu selepas mendengar ceritanya.

"Dulu, awak belajar kat mana? Dalam resume, tak ada pun awak letak taraf pendidikan. Pengalaman kerja awak ni... Hmm... banyak tempat juga awak kerja sebelum ni. So, rasanya, mungkin kat sini pun awak akan kerja sementara juga, kan?" Wajah Ain Azreen direnungnya dengan renungan serius.

Ain Azreen mengetap gigi. Aduh! Macam mana nak jawab ni? "Errr... tak, tuan. Saya nak kerja terus di sini. Kerja tetap. Saya asyik bertukar kerja sebab gaji di tempat kerja lama, kecil sangat," bohongnya.

Lelaki itu mengangguk perlahan menunjukkan dia puas hati dengan jawapan tadi. "Awak memang asal dan tinggal kat alamat dalam resume tu ke?" Soalan seterusnya diajukan.

"Err, ya, tuan."

Tiba-tiba, terlakar secalit senyuman pendek dan sinis di bibir lelaki itu. "Kalau ya pun nak berlakon tak kenal aku, tukarlah muka tu, buat surgery," gumamnya perlahan.

"Maaf, tak jelas. Apa dia, tuan?" soal Ain Azreen dengan muka polos.

Lelaki itu merenung sepasang mata cantik di depannya itu mencari sesuatu. Riak wajah polos itu membuatkan dahinya sedikit berkerut. "Awak tahu saya siapa?" soalnya selepas seketika.

Ain Azreen memandang semula plat nama tadi dengan pandangan sekilas, lalu mengangguk. "Saya tahu nama tuan je... Ermm... Syamel Zaqwan."

Lelaki itu mencerlung wajah Ain Azreen selepas mendengar namanya disebut. Dia tahu nama aku? Apa sebenarnya dalam fikiran dia ni? Kenapa dia berlagak macam tak pernah kenal aku? Dahinya dikerutkan.

"Err... Saya nampak nama tu. Tu nama tuan, kan? Maafkan saya kalau saya salah," ujar Ain Azreen sambil menjuihkan bibirnya ke arah plat nama di atas meja selepas melihat kerutan di dahi lelaki itu. Dia fikir, mungkin lelaki itu terkejut macam mana dia boleh tahu namanya.

"Oh, plat tu." Syamel Zaqwan berdeham beberapa kali. "Ya, itu nama saya." Tubuhnya disandarkan semula pada kerusi seperti tadi. Keningnya hampir bercantum kerana bingung dengan sikap dan tingkah laku wanita di depannya yang agak formal dan sopan, kerana, bukan itu yang sepatutnya.

Selepas wanita itu memperkenalkan namanya tadi, dia seratus peratus yakin yang dia memang tidak salah orang lagi. Sah! Itu memang dia!

Tempoh hari, ketika pertemuan pertama mereka di pinggir jalan pada hari kemalangan kecil itu berlaku, dia sebenarnya masih ragu-ragu walaupun suara dan rupa paras yang dilihatnya itu memang persis seperti seseorang yang dikenalinya, tetapi sekarang, dia amat yakin itu dia. Aku akan ikut dan layan rentak lakonan kau. Kita tengok sejauh mana kau boleh pergi dengan sandiwara kau ni, getus hati Syamel Zaqwan. Lantas, wajah Ain Azreen dipandang tenang.

"Awak diterima dan... awak boleh mula kerja esok," ujarnya lalu berdiri dan menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Ain Azreen bingkas berdiri kerana terkejut dan teruja. "Betul ke ni? Terima kasih, tuan. Terima kasih," ucap Ain Azreen sambil menunduk beberapa kali bersama dengan senyuman lebar yang tersungging di bibirnya. Tangannya disilangkan ke dada sebagai isyarat dia tidak sudi bersalaman.

Syamel Zaqwan mengetap gigi sambil memandang huluran tangannya yang sepi tidak bersambut. Perlahan-lahan dia menarik tangannya dan memasukkannya ke dalam poket seluar.

"Eh! Sekejapnya kau. Tak jadi interview ke?" soal Nadia sebaik sahaja Ain Azreen masuk ke dalam kereta.

"Jadi," jawab Ain Azreen dengan muka tanpa riak.

Nadia melepaskan keluhan kecil sambil memegang bahu Ain Azreen seperti dapat membaca riak wajah rakannya itu. "Tak apa. Cuba kat tempat lain pula."

"Tak perlu."

"Laaa... Kau janganlah putus asa. Cuba tempat lain pula lepas ni. Aku akan terus sokong kalau..."

"Sebenarnya... Aku dapat kerja ni." Belum sempat Nadia menghabiskan ayat, Ain Azreen sudah memintas percakapannya.

"Uih! Betul ke? Kau serius?" soal Nadia dengan muka tidak percaya.

Ain Azreen mengangguk laju bersama dengan sengihan lebar.

"Wah! Tahniah, tau! Aku tumpang happy." Tangan Ain Azreen digenggam dan ditepuk-tepuk perlahan.

"Tapi kan... Cuba teka siapa bos syarikat tu," soal Ain Azreen.

"Main teka-teki pula. Manalah aku tahu. Hah, siapa?"

"Bos syarikat tu, pemilik Mercedes yang langgar kereta kau hari tu," ujar Ain Azreen.

Nadia membulatkan mata. "Weh! Kau biar betul?"

"Betullah. Buat apa aku nak tipu?"

"Dia ada cakap pasal accident tu tak?" soal Nadia ingin tahu.

"Tak ada pun. Nama dia Syamel Zaqwan. Dia baru je buka bisnes kat Malaysia. Walaupun keluarga dia orang tempatan, diorang dah lama tinggal kat California tau. Bos aku kali ni, lain sikitlah."

"Kenapa dengan bos baru kau tu? Dia gay eh?" tukas Nadia lalu ketawa.

"Hisy, kau ni! Apa benda gay pula?"

"Dah kau cakap lain sikit tadi. Sebelum-sebelum ni kan, bos kau spesies gatal, kan? Jadi aku teka bos kau yang ni, gay lah," balas Nadia selamba.

"Takkanlah aku nak tanya dia ke gay ke tak. Kau ni! agak-agaklah. Hm, aku cakap dia lain, sebab dia tu kan, macam orang tak ada perasaan tau. Tak pandai senyum langsung. Cara dia tengok orang, macam nak telan je hidup-hidup. Aku harap, dia ni tak macam yang sebelum nilah."

"Yelah. Aku doakan semoga semua urusan kau dipermudahkan."

"Aamiin. Thanks," ucap Ain Azreen sambil tersenyum.

"Apa yang kau makan tu?" soal Azyan sambil memandang isi di dalam pinggan Ain Azreen.

Cepat-cepat Ain Azreen menelan makanan di dalam mulutnya yang penuh tadi. "Serunding kubis," jawabnya lalu menyuap suapan seterusnya ke dalam mulutnya. "Sedap! Korang try lah," pelawanya lalu menolak sebuah plastik berwarna perak ke depan Azyan dan Nadia.

"Macam pelik pula orang buat kubis jadi serunding, kan?" Nadia mengerutkan dahinya membaca label yang tertera pada plastik itu. "Serunding Kubis Sabah... N'hanim Enterprise..." Satu per satu tulisan dibaca. "Kau order ke?"

"Haah. Kat Shopee," jawab Ain Azreen lalu tersengih. "Aku nampak orang iklan kat FB dulu. Teringin pula nak cuba sebab macam pelik je kan kubis kena buat jadi serunding. Sedap pula. Order online je, senang. Jomlah, join aku makan. Makan dengan nasi kosong pun sedap."

"Ye ke? Nak try lah," ujar Nadia lalu dia terus menuju ke rak piring.

Hari ini merupakan hari pertamanya bekerja di tempat baru. Syarikat pengimport itu pun masih baru bertapak sebenarnya.

Memandangkan keretanya masih berada di bengkel, dia memilih untuk menaiki kenderaan awam sahaja menuju ke tempat kerja.

Sebaik sahaja dia masuk ke dalam bangunan, dia terpandang pintu lif yang hampir tertutup. Dengan pantas dia berlari dan menahan pintu.

"Eh, tuan. Errr, selamat pagi, tuan," ucap Ain Azreen sambil menundukkan kepala sebagai tanda hormat.

"Hm, pagi," balas Syamel Zaqwan dengan reaksi wajah yang dingin.

Ain Azreen berdiri di depan dua orang lelaki itu dengan perasaan kekok. Anak matanya tertumpu ke arah skrin digital lif. Masing-masing berdiam diri selama menunggu pintu lif terbuka.

Ting!

Cepat-cepat Ain Azreen melangkah keluar dari lif.

"Anne!"

Ain Azreen memberhentikan langkah dan melihat ke sekeliling. Dia panggil aku ke? Tubuhnya dipusing menghadap lelaki berwajah dingin itu. "Tuan panggil saya ke?" soalnya sambil menuding jari telunjuk ke wajahnya sendiri.

"Yes, you."

"Oh! Ermm... Tuan salah sebut nama saya. Nama saya Ain, tuan... bukan Anne," ujar Ain Azreen lalu tersenyum. "Kenapa tuan panggil saya?"

"Sebelum awak masuk ke bilik fail, tolong buatkan saya kopi susu, letak susu cair. Hantar ke pejabat saya," kata Syamel Zaqwan.

"Baik, tuan."

Selepas memberi arahan, dia terus berjalan melepasi Ain Azreen dengan pandangan yang lurus ke depan.

Tanpa membuang masa, Ain Azreen terus menuju ke bilik pantri selepas bertanya dengan salah seorang pekerja di situ di mana kedudukan bilik tersebut.

Syamel Zaqwan berdiri di tepi jendela pejabatnya menghadap pemandangan trafik yang tidak terlalu sibuk ketika ini. Dia masih tidak habis fikir lagi mengenai Ain Azreen. Jambang nipisnya diusap-usap sambil membayangkan wajah wanita itu.

"Kau larilah sejauh mana pun. Kalau takdir dah tertulis kau dekat dengan aku, kau takkan mampu lari. Aku takkan pernah lupa apa yang kau dah buat empat tahun lepas. Kau berlakon tak kenal aku, kan? Hmm... we will see. Aku akan layan permainan kau," gumam Syamel Zaqwan dengan suara yang ditekankan. Wajah tenangnya tadi, serta merta berubah menjadi tegang dan dingin.

Bunyi ketukan pada pintu membuatkan dia menoleh. "Masuk!" laungnya dari dalam.

Darwish, iaitu pembantu peribadinya segera masuk ke dalam membawa sebuah sambul besar berwarna coklat menghampiri majikannya. "Tuan Zaq... Saya dah dapat maklumat yang tuan minta." Sampul besar berwarna coklat itu kemudian dihulurkan kepada Syamel Zaqwan.

Syamel Zaqwan memandang wajah pembantunya itu dengan muka terkejut. "Cepatnya awak dapat maklumat," ujar Syamel Zaqwan bersama dengan kerutan di dahi, lantas, isi di dalam sampul dikeluarkan.

"Saya ramai kawan-kawan perisik kat sini, tuan. Jadi, senang saya boleh dapat maklumat," kata Darwish lalu tersenyum bangga.

Selepas membaca maklumat yang tertera di atas kertas, Syamel Zaqwan memasukkan semula beberapa keping kertas itu ke dalam sampul dan kembali pada posisinya di sebelah jendela tadi. "Awak boleh keluar sekarang," arahnya tanpa memandang Darwish.

"Patutlah kau tak ingat aku," desisnya sambil meramas-ramas dagunya. Banyak perkara yang sedang bermain di dalam fikirannya pada ketika ini. Namun, satu yang pasti, dia harus bertindak. Dia hendak membuat perhitungan dan menyelesaikan masalah yang tercetus di antara kedua-dua belah pihak.

Empat tahun lamanya dia menunggu untuk wanita itu tampil dan bertanggungjawab atas segala yang telah berlaku, tetapi hampa. Tiada khabar berita langsung. Kini, ketika dia sudah merancang dan berniat untuk melupakan segala-galanya dan cuba untuk memulakan hidup baru, wanita itu tiba-tiba pula muncul semula di depan matanya tanpa diduga.

"Now, it's my turn!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience