BAB 7

Fantasy Completed 10501

Seketika kemudian, semua rakan-rakan sekuliah Ariana termasuk pensyarah-pensyarahnya sudah duduk dalam bulatan mengelilingi Ariana dan Sherlis. Mata Sherlis meliar melihat satu persatu wajah takut itu. “Apa yang kau pandang? Tunaikan apa yang kau cakap tadi.” Arah Ariana tenang.

Sebaik habis bicara Ariana angin mula bertiup kencang seperti mahu ribut. Dedaun gugur ditampar angin kencang. Cuaca yang mendadak berubah membuat semua yang berada di situ jadi semakin cemas. Tapi, bagi Ariana dan abang Man perkara seperti ini sudah dijangka.

Dalam keributan itu, muncul satu makhluk yang sangat menyeramkan terapung di atas Sherlis yang masih bercangkung di situ. Dia menyeringai ke arah Ariana menampakkan barisan giginya yang tajam. Ada dua taring di bahagian rahang bawahnya. Matanya yang memerah seolah terjojol keluar melawan renungan tajam Ariana. Kepala dan tubuhnya ditutupi bulu hitam yang lebat.

Saat itu juga bau yang begitu memualkan menyucuk lubang hidung semua yang menyaksikan kewujudan makhluk ngeri itu. Ada antara rakannya yang rebah tidak sedarkan diri, ada yang termuntah malah ada yang sudah kaku tidak mampu bereaksi kerana ketakutan.

Waktu itu juga Ariana memberi isyarat kepada abang Man. Abang Man yang memahami, melaungkan azan sekuat mungkin supaya suaranya tidak tenggelam dibawa angin kencang. Arman yang pada mulanya terpinga-pinga turut melaungkan azan diikuti beberapa mahasiswa lain. Rakan-rakan perempuan Ariana pula mula menggagahkan diri berzikir pada Allah. Segala-galanya berjalan mengikut arahan Ariana.

Ternyata laungan azan dan alunan zikrullah itu menyeksa makhluk tersebut. Kedengaran raungan kesakitan yang cukup nyaring keluar dari mulut makhluk itu yang terbuka luas. Ariana tidak bertangguh lagi, dia tunduk lalu mengambil segenggam tanah yang masih basah disirami embun malam. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. “Auzubikalimatillahitammatiminsyarrimakhalak… Allahuakbar!”

Serentak itu, tangannya membaling kasar tanah di tangannya ke tubuh lembaga itu. Diiringi jeritan yang menggegar hutan itu, makhluk itu memudar dari pandangan. Angin yang bertiup kencang sebentar tadi semakin reda meninggalkan tiupan bayu malam yang lembut menampar pipi. Sherlis terkulai di atas tanah dengan nafas yang lemah.

Ariana melepaskan keluhan lega. Hatinya mensyukuri kejayaannya dalam pertempuran tadi dengan izin Allah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience