Bab 3

Young Adult Completed 7336

Hari pertama di sekolah baru.

Mawar mengambil masa sejenak untuk muhasabah diri dan merenung secantas kehidupannya. Memandangkan sekarang baru awal bulan April, Mawar tidak risau tentang silibus pelajaran. Ia masih awal tahun.

Suasana sunyi di dalam kereta itu membuatkan Mawar mengimbau ke masa lalu dengan begitu jauh ke belakang. Lebih khususnya, dia teringat pertama kali dia berkenalan dengan Adibah dan rakan-rakan lamanya yang lain.

"Astaghfirullah. Teruknya perangai aku dengan diorang dulu, ya Allah..." bisiknya perlahan - khas untuk telinganya sendiri.

Mak Ngah dan ahli keluarga yang lain sudah tahu benar tentang kegiatan membulinya di sekolah. Cuma, apa yang mereka tidak tahu ialah seteruk mana pembulian yang dilakukan oleh Mawar dan rakan-rakannya.

Biarlah ia kekal rahsia.

Dia pun tidak ingin mengingatinya lagi.

"Dah sampai!" Ceria suara Suhana memecahkan lamunan anak saudaranya itu. Dia tersenyum melihat gelagat Mawar yang terjengul-jengul ke luar tingkap mengintai suasana sekolah barunya itu.

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN KOSAS

Nama sekolah itu dibaca perlahan. "Luas betul sekolah ni, Mak Ngah!" ujar Mawar kemudian dalam kekaguman. Suhana sekadar tersenyum sumbing sebelum mengetuk lembut belakang bahu Mawar dengan jari telunjuknya.

Apabila Mawar memandang ke arahnya, senyuman mereka bertaut. "Elok-elok belajar dekat sekolah nanti tau. Jangan bergaduh dengan orang, ya? Jaga akhlak, jaga adab. Nanti habis sekolah, Mak Ngah terus gerak dari taska datang jemput kamu, okey?" pesan Suhana tulus.

Mawar mengangguk berat.

Pesanan itu disematkan ke dalam hatinya.

Dia lalu menyalam tangan ibu saudaranya itu dan melangkah keluar dari perut kereta. Sebelum dia melangkah masuk ke dalam kawasan sekolah, dia berdiri sejenak di situ memerhati kereta itu meluncur pergi.

Setelah hilang kereta Suhana daripada jendela pandangan Mawar, dia berpusing ke belakang. Memandangkan semalam dia datang mendaftar bersama Mak Ngah, dia sudah mengetahui sedikit selok-belok sekolah itu.

Tanpa perlu dia bertanya kepada sesiapa, dia laju melangkah ke arah kelasnya yang terletak di bangunan paling hujung ke kanan - blok A.

Hatinya berdebar laju.

Semalam Mawar sudah memasang azam. Dia hendak menjadi Mawar yang baru - yang menjaga agama dan berakhlak mulia. Bukan lagi pembuli seperti dulu.

Insya-Allah! Mawar akan istiqamah!

***

Tidak tergambar betapa tingginya kesyukuran yang memanjat di dalam dada Mawar saat ini. Betapa gembira dan bahagia dia rasakan kerana hari pertamanya di sekolah baru ini berjalan lancar.

Buku teks semua dah selesai ambil. Buku latihan yang masih ada stok dah dia beli. Baju sukan dah dapat. Cikgu semua okey. Kawan-kawan sekelas yang baik. Makanan dekat kantin pun harga berpatutan semua.

"Alhamdulillah! Terima kasih, ya Allah!" Mawar berbisik perlahan namun jelas ia teruja.

Dia duduk di atas bangku berteduhkan pokok rendang berdekatan pagar sekolah itu dengan beberapa buah buku teks yang diikat dengan tali rafia terletak elok di atas ribanya.

Sedang Mawar duduk sambil tersenyum - menahan teruja hendak bercerita tentang hari pertamanya yang lancar kepada Mak Ngah nanti - sekumpulan pelajar perempuan datang mendekatinya dari tepi.

Mawar perasan yang mereka sedang menuju ke arahnya, namun dia memilih untuk mengabaikan sahaja kehadiran mereka.

'Mungkin diorang nak duduk dekat bangku sebelah sana,' getus hati Mawar. Dia cuba untuk meredakan gundah yang datang tiba-tiba entah kenapa.

Harapan Mawar hancur.

Dia kini dikelilingi oleh empat orang pelajar perempuan yang tidak dia kenali siapa mereka. Hanya saja, pelajar yang kelihatannya seperti ketua kumpulan kecil itu, wajahnya seperti pernah dilihat oleh Mawar.

"Kau ni Mawar, kan? Budak SMKTG dulu. Betul tak?" soal si ketua kumpulan sinis. Mawar senyap tidak menjawab. Dia sekadar memandang kosong gadis di hadapannya itu. Dia enggan mencari musuh di sekolah ini, pada tahun ini.

"Bisu ke, bongok?" soal seorang gadis yang lain bernada kasar.

Perlahan nafas yang berat terhambur.

"Haah. Betul," jawab Mawar ringkas beberapa saat kemudian.

"Ingat, ya! Aku akan pastikan hidup kau dekat sini sengsara! Kau jangan mimpi nak bersenang-senang dekat sekolah ni! Faham tak, betina?" soal si ketua tegas lalu kepala Mawar dia tunjal.

Dia diam seribu bahasa selepas empat sekawan itu berlalu pergi. Hilang sudah bahagia yang dia rasakan tadi. Hilang sudah keterujaannya hendak bercerita kepada Mak Ngah nanti.

Apa yang tersisa kini hanyalah rasa benci!

Bertambah benci kerana tadi dia rasa terlalu lemah hendak mempertahankan diri!

Teirma kasih sebab baca sampai hujung ni. Nantikan kemas kini bab seterusnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience