Semalaman Fiona tak habis fikir mengenai rakannya yang tiba-tiba sahaja makan makanan manis. Dia masih ingat lagi sewaktu di zaman kuliah dulu,
"Alah Fea, makan la sikit. Rugi kalau kau tak rasa tau" Della menghulurkan sepotong kek coklat kepada Fea.
Tangan Fea pantas menolaknya sambil kepalanya menggeleng pantas.
Fiona mengeluh.
"Penat kau je Della. Baik kau bagi aku je" Fiona merampasnya dari tangan Della.
"Baru sekarang aku faham kenapa kau tak pernah celebrate birthday kau.." omel Fiona sambil mencubit secebis kek lalu menyuapnya perlahan.
Fea tersengih.
**
"Ah.." kopi yang dibuat April tak mampu ditandingi sesiapa. Itu pandangan Boe terhadap teman rapatnya.
"Jangan pulang dulu. Pakcik ada siapkan roti soda. Nanti pakcik hidangkan." Tahan Ash kepada rakan anak saudaranya. Ash berlalu ke dapur dengan gembira.
Boe, April dan Ed memandang sesama sendiri.
"Hai korang.." sapa Fiona yang baru sampai.
"Mangsa seterusnya sudah sampai" gumam Boe.
Ash datang dengan sepiring roti soda lalu diletakkan di hadapan mereka berempat.
Sekali lagi Boe, April, Ed dan juga Fiona yang baru datang berpandangan.
"Pakcik Ash, terima kasih. Buat susah-susah saja. Saya sudah makan tadi dengan kawan." dalih Fiona pantas.
"Saya pun dah kenyang. Cukup sekadar kopi yang April hidangkan ni" Kini giliran Ed pula memberi alasan.
Boe dan April terkedu.
Apa pula alasan mereka kali ini?
Mereka sering kali dipanggil oleh Pakcik Ash iaitu bapa saudara April ke rumah. Alasan awalnya cuma mahu bincangkan hal penting mengenai green gardennya. Tapi, sebenarnya mereka sering saja disuruh mencuba masakannya yang selalu saja buat tekak mereka terasa seperti berada di neraka.
"Tak apalah pakcik, kami sebenarnya ada hal. Dah janji nak keluar sama-sama" kini giliran Boe memberi alasan.
Ash duduk di samping Boe di atas sofa. Matanya menatap mengharap.
Yang lain ikut berpandangan.
Boe yang terpaksa, lantas menghulurkan tangan mencapai roti soda yang berada di atas meja dihadapannya.
"April, kamu tak makan? Ambik, ambik" Ash menghulurkan piring berisi roti soda kearah April, Fiona dan Ed.
Nak tak nak, mereka terpaksa juga mengambilnya.
Seorang demi seorang cuba memasukkan roti soda perlahan ke dalam mulut.
Tapi disaat gigitan pertama masuk ke dalam mulut, dunia terasa seakan terhenti.
Ash memandang seorang demi seorang.
"Sedapkan" Ash tersenyum gembira.
Mereka berempat cuba menelannya sehingga habis sepotong.
Fiona tersenyum sumbing.
"Lidah saya seperti sedang berenang-renang dalam lautan garam" ujarnya dengan sengihan paksa.
Yang lain hanya diam. Mereka tahu, hanya Fiona sahaja yang berani bersuara.
Sebaik sahaja keluar,
"Lepas ni, kalau kau ajak aku ke rumah pakcik Ash, aku taknak datang. Cukuplah setakat kita berjumpa di Green Garden" marah Boe kepada April.
"Korang jangan macam ni. Pakcik aku tu baru putus dengan kekasih dia. Mungkin dia stress dan sedikit sebanyak menjejaskan masakan dia" pujuk April.
"Masa pakcik Ash sedang kemaruk cinta dengan Cik Vee dulu pun sama jugak. Masakan dia tak pernah ada perubahan. Mungkin sebab itu jugalah Cik Vee tinggalkan pakcik Ash" gerutu Fiona.
"Ish! kau ni" marah Ed.
Fiona mengemam bibir sesal dengan ketelanjurannya.
"Mana Fea, tak ajak sekali ke?" Fiona menatap Ed dengan sorot mata redup.
"Kita dah keluar dari rumah pakcik Ash, baru kau nak tanya ke?" Sindir Fiona kepada sepupunya.
Ed menggaru kepala yang tidak gatal.
"Fea, siapa Fea?" Boe mencelah.
Fiona mengerucut bibirnya.
"Best friend aku sejak zaman kuliah" jelas Fiona.
Boe menganga.
"Kau taknak kenalkan dengan kami ke?" Boe beria bertanya.
"Dia sibuk. Dia datang sini pun atas urusan kerja. Bukan nak holiday" Fiona meninggikan suaranya kepada Boe.
Boe mencebir bibir.
April yang ada disebelah hanya diam sambil memandang Boe.
**
Fea duduk di atas batu sambil memandang jauh ke tengah laut. Dia baru sahaja lepas berborak dengan Rey mengenai Kana Hotel.
"Fea dah tengok keadaan hotel tu, papa." Fea rasa simpati melihat keadaan hotel, terlalu banyak benda yang harus dibaiki.
"Bagaimana? Kamu dah bincang dengan pemiliknya?" tanya Rey disebelah sana.
Fea mengeluh perlahan.
"Fea belum bincang lagi. Sebelum Fea bertindak, Fea harus kenal baik dengan mereka dulu. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak. Kalau mereka tahu yang Fea ni datang sebagai wakil pada Abang Drake, sudah tentu Fea akan terima nasib yang sama."
Fea terdiam seketika.
"Sekarang ni, pemilik hotel tu dah serahkan hak penjagaan kepada cucu lelakinya. Fea baru jumpa Atuk Eldon semalam. Pada pandangan Fea, mereka orang yang baik. Bagi Fea masa." pinta Fea.
Rey tidak memaksa. Drake saja mengambil masa selama 6 tahun untuk dapatkan projek ni. Mungkin anak gadisnya ini sedang mengatur strategi untuk ambil hati pemilik hotel. Dan mungkin dengan berkat kesabaran anak gadisnya ini, mereka dapat membeli hotel tersebut.
Rey percaya dengan kebolehan yang ada pada Fea.
"Baiklah. Ambillah seberapa banyak masa yang kamu mahu. Papa hanya berharap pada kamu"
Fea mendapat sedikit kekuatan saat kata-kata itu terbit dari mulut Rey.
Fea tersenyum. Hanya Rey yang percaya dengan kebolehannya tapi tidak Drake.
Fea bangun. Dia membuka kasut yang dipakai lalu dipegangnya. Kakinya yang putih bersih kini dipenuhi dengan pasir.
Dia berjalan di sepanjang pesisir pantai. Deruan angin yang agak kuat menampar lembut wajah dan tubuhnya sehingga menerbangkan rambutnya yang panjang.
"Fea!!!"
Fea yang terdengar sayup suara seseorang memanggilnya menoleh.
Dari jauh, dia melihat Fiona sedang melambai kearahnya.
Fea berjalan mendekati Fiona yang berdiri di atas rerumput. Disisinya ada Ed dan dua orang yang tidak dikenalinya.
Melihat penampilan, kecantikkan tubuh dan rupa paras Fea, membuat mulut Boe menganga.
"Betul ke ni kawan kau, Fi?" tanya Boe tidak percaya.
Fiona menoleh.
"Ya" balas Fiona bangga.
"Aku bangga sebab dia sanggup jadikan kau kawan" luah Boe.
"Bodoh la kau ni!" Fiona menumbuk kuat bahu Boe.
April yang berdiri tidak jauh menatap Fea yang berjalan kearah mereka dengan rasa iri.
Manakala Ed cuba berlagak tenang walaupun perasaannya terasa aneh saat matanya bertentangan dengan Fea.
"Hai" sapa Fea tersenyum ramah.
"Fea, kenalkan kawan-kawan aku. Boe, April dan.. kau dah kenalkan sepupu aku, Ed"
Fea berjabat salam dengan ketiga-tiga mereka.
"Hai semua. Gembira dapat kenal." luah Fea lembut. Matanya kemudian terhenti pada seorang gadis bertubuh kecil, berkulit putih bersih, berambut hitam separas bahu.
"April right? Banyak saya dengar cerita pasal awak dari Fi. Saya tak sangka, awak sangat cantik" puji Fea jujur.
Raut wajah April berubah.
Melihat cara pertuturan Fea, layanannya, membuat tanggapan dan rasa irinya tadi serta merta hilang. Dia salah kerana terlalu awal menilai keperibadian Fea.
April tersenyum lebar saat dipuji Fea.
Sementara Fea, senyumannya tidak pernahekang dari bibir.
"Kalau tak keberatan, mari saya belanja semua makan" pelawa Fea sambil tersenyum.
**
Harveys American Bar & Grill, Tankardstown.
"Korang oder je nak makan apa, saya bayar" beritahu Fea.
"Betul ke?" tanya Boe masih tidak percaya.
Fea tersenyum lantas mengangguk.
Pelbagai jenis makanan yang dipesan. Fea paling suka bila melihat orang-orang di sekelilingnya gembira, itu sudah cukup buat dirinya bahagia.
Dia tidak punya sesiapa. Setelah dia pergi menyambung pelajarannya, dia terpisah dengan dua orang rakan karibnya. Setelah itu, dia lebih suka bersendirian. Di Paris, dia lebih senang belajar bersendirian sampailah tamat belajar.
Dia sunyi. Punya abang saja, tapi dirinya tak pernah dianggap wujud dalam rumah besar itu.
Tapi, setelah dia menjejakkan kakinya di Negara Ireland, melihat Fiona punya teman rapat, tidak salah jikalau dia juga menganggap teman-teman Fiona seperti temannya juga. Dia suka membahagiakan orang sekelilingnya.
Walaupun dia datangnya dari keluarga yang mewah, tapi dia tidak pernah sombong.
"Terima kasih Fea sebab belanja kita orang" luah Ed terharu.
Fea tersenyum lebar.
"Ye Fea. Terima kasih sebab sudi belanja kita orang. Kenyang betul." ujar Boe sambil mengusap perutnya.
"Baguslah kalau semua dah kenyang. Senang hati saya. Lain kali, kalau ada masa, kita boleh berkumpul seperti ini lagi. Pasal makan jangan risau, saya belanja"
Mendengar ungkapan itu meniti dibibir Fea membuat keempat mereka senang.
"Beruntungnya kita. Kalau boleh, tinggal lebih lama disini ya, boleh belanja kami selalu." suara Boe tanpa segan.
"Kau ni" satu tamparan singgah di bahu Boe.
Fea terkekeh ketawa. Dia langsung tidak kisah dengan kata-kata Boe.
Kesemua mereka bersurai disitu. Fea membuntuti langkah Fiona menuju ke arah keretanya.
"Fea" Ed berhenti di sebelah kereta Fiona. Fea yang belum masuk, menoleh.
"Eh, Ed. Kenapa?" Fiona yang juga belum masuk ke dalam kereta, ikut tercegat di sebelah pintu dibahagian pemandu.
"Atuk kirim salam pada awak."
Senyuman Fea melebar.
Fiona yang mendengar, tercengang.
"Terima kasih. Sampaikan salam saya juga pada atuk" balas Fea.
"Nanti, nanti.. " Ed dan Fea menoleh memandang Fiona.
"Atuk? Bila kau jumpa Atuk?"
Fea tidak menjawab. Dia malah membalas soalan Fiona dengan senyuman.
"Atuk suruh saya bawa awak datang makan malam dirumah malam nanti" beritahu Ed.
Fiona mencebir bibir.
"Wow!" Fiona sendiri tidak percaya dengan apa yang baru saja didengarinya. Atuk Eldon mahu mengajak Fea makan malam? Memang sukar dipercayai.
Atuk Eldon memang susah untuk percaya dan rapat dengan seseorang apatah lagi dengan orang yang baru dikenalinya. Tapi, bila pula Fea bertemu dengan Atuk Eldon?
Pertanyaan itu mula muncul di fikiran Fiona.
Bersambung...
Adakah Fea akan beritahu hal yang sebenarnya kepada Fiona?
Share this novel