Bab 3

Romance Series 72307

CENDOL yang dibelinya tadi dituangkan ke dalam mangkuk. Pergerakan tangan Rhea terhenti bila dia nampak figura Hayyan datang ke dapur.

“Abang, Rhea ada belikan cendol untuk abang. Dulu abang suka sangat makan...”

“Kenapa halau mak saya?” Hayyan memintas bicara Rhea.

Rhea terdiam sesaat. Nafas ditarik dalam-dalam. Sedaya-upaya dia cuba menahan dirinya daripada terus bersabar.

“Rhea tak halau mak. Rhea cuma minta Trisha balik. Rhea tak...”

“Sama je macam awak halau mak saya balik. Menantu jenis apa awak ni? Patutlah mak saya tak suka awak. Dengan orang tua pun awak nak kurang ajar?”

Rhea terkedu. Kepala digeleng perlahan. Mana Hayyan tahu yang Jauriah tidak suka padanya? Ah, sudah tentu ibu mentuanya itu yang memberitahu pada Hayyan sendiri. Entah apalah yang wanita itu katakan pada Hayyan tentangnya.

“Abang... Rhea tak ada niat pun nak kurang ajar dengan mak. Rhea hormat mak macam mak kandung Rhea sendiri.”

“Rumah ni rumah saya. Saya boleh bawa sesiapa sahaja tetamu datang ke rumah saya dan awak tak ada hak untuk halau tetamu saya.”

Rhea tunduk. Tangannya dikepal. Ya ALLAH... Berilah aku kesabaran.

“Abang suami Rhea. Rhea tak suka bila ada perempuan lain jumpa dengan abang. Lagi-lagi perempuan tu bekas kekasih abang,” ujar Rhea tegas. Dia mahu Hayyan mengerti yang dia benar-benar tidak suka Hayyan berjumpa dengan Trisha lagi.

Hujung bibir Hayyan ternaik sedikit. “Awak takut? Awak rasa tercabar?”

“Sebagai seorang isteri, Rhea berhak untuk rasa cemburu.”

Hayyan meraup perlahan wajahnya. “Tapi saya tak ingat awak Rhea! Saya tak ingat apa-apa tentang kita. Satu memori pun tak ada dalam kepala saya tentang awak. Cuba awak beritahu saya, macam mana saya nak teruskan hidup dengan orang asing?”

Zap! Hati Rhea bagai direntap mendengar ujaran Hayyan. Pedih.

“Rhea percaya suatu hari nanti abang akan ingat pada Rhea. Abang akan ingat pada anak kita. Dan kita akan jadi keluarga yang bahagia macam...”

“Macam mana kalau sampai bila-bila pun saya tak ingat awak?” Pintas Hayyan tanpa sempat Rhea menoktahkan bicaranya.

Rhea terdiam lagi. Wajah Hayyan dipandang sayu.

“Rhea akan usaha sampai abang ingat semula,” balasnya. Kali ini suaranya sudah mengendur. Sebak mencengkam dada.

“Saya dah penat!” Hayyan terus angkat kaki berlalu meninggalkan Rhea sendirian di situ.

Bendungan air mata Rhea pecah. Dia sudah tidak mampu menahannya lagi. Teresak-esak dia melepaskan tangisan sambil menekup wajah dengan kedua belah tapak tangannya.

Adakah Hayyan mahu mengalah? Jika lelaki itu mengalah untuk cuba mengingatinya dan Armel, bagaimana hubungan mereka selepas ini?

Rhea tak sanggup kehilangan Hayyan. Cukuplah tiga tahun dia menderita tanpa Hayyan disisi.

“Ibu?”

Rhea tersentak. Cepat-cepat dia palingkan wajah ke belakang. Pipi yang basah segera dikesat dengan belakang tapak tangan. Dia tidak mahu Armel melihatnya menangis.

“Armel.” Rhea tayang senyum pada anaknya itu.

“Ibu menangis ke?” soal Armel polos.

Rhea menggeleng perlahan. Bibir digigit kuat. Bimbang tangisannya terhambur lagi di hadapan Armel. Dia tidak mahu mengganggu emosi Armel.

“Mata ibu pedih. Masuk habuk.” Rhea terus menarik Armel ke dalam pelukannya. Air matanya mengalir bisu.

Belakang tubuh Armel diusap lembut. Armel lah satu-satunya kekuatan yang dia ada sekarang ini.

“Kesian ibu.” Sayu suara Armel kedengaran. Tangan kecil itu menepuk-nepuk perlahan bahu Rhea.

Rhea ketawa kecil. “Ibu sayang Armel.”

“Armel sayang ibu juga.”

Rhea memejamkan matanya perlahan. Dia harus kuat. Kuat demi Armel dan Hayyan. Dalam keadaan sekarang, dia perlu terus bersabar dengan Hayyan. Rhea percaya, tiba waktunya nanti semuanya akan kembali seperti dahulu.

“MAK...” Rhea terus mendapatkan Jauriah. Tangan tua wanita itu disalam hormat walaupun acuh tak acuh saja wanita itu menyambut huluran tangannya.

“Kau pergi mana?” soal Jauriah.

“Rhea baru beli daripada beli barang dapur,” balas Rhea. Dijeling sekilas ke arah Trisha yang duduk rapat di sebelah suaminya itu.

Wanita itu bersahaja saja. Seperti tidak nampak langsung kehadirannya di situ. Trisha seolah tenggelam dalam dunianya bersama dengan Hayyan.

“Abang tak beritahu Rhea pun ada tetamu nak datang?”

Hayyan terus panggung kepala memandang isterinya itu.

“Hei Rhea, aku ni mak dia tau. Bukan tetamu!” sembur Jauriah geram.

Trisha ketap bibir. Bukannya dia tak faham Rhea menyindirnya. Sengaja buat-buat tak faham. Dasar muka tembok!

“Rhea tak maksudkan mak. Rhea bukan apa, Rhea tak suka orang luar senang-senang je masuk dalam rumah Rhea. Takut nanti dihalaunya tuan rumah, buat rumah kita macam rumah dia pula,” ujar Rhea dalam senyuman. Senyuman yang penuh makna!

Wajah Trisha terasa membahang. Dia terus capai tas tangannya dan bangun daripada sofa. “Hayyan, I balik dulu. Nampaknya ada yang tak senang dengan kehadiran I kat sini. Mungkin nanti kita boleh jumpa dekat luar.” Ayat terakhirnya sengaja ingin menyakitkan hati Rhea.

Melihat Trisha bangun, Jauriah turut sama bangun. Tajam matanya merenung menantunya itu. Ikutkan mahu saja ditampar mulut Rhea. Biadab!

“Mak balik dulu Hayyan.” Jauriah terus berlalu keluar meninggalkan rumah mereka.

Rhea menarik nafas dalam-dalam. Bukan mudah untuknya bersabar dalam situasi begini. Mujurlah dia pulang lebih awal. Kalau tidak, semakin berseronoklah Trisha dapat berjumpa dengan suaminya.

Tanpa sepatah kata, Rhea terus angkat kaki menuju ke dapur. Meninggalkan Hayyan sendirian di ruang tamu.

PAGI itu selepas menyiapkan tempahan kek, Rhea bersiap-siap untuk membawa Hayyan ke hospital. Rutin biasa Rhea sejak lima bulan lalu.

Sebelum ke hospital, Rhea menghantar Armel ke rumah jirannya. Mempunyai jiran yang baik juga salah satu nikmat yang Rhea sangat syukuri. Jirannya itu senang hati mahu menjaga Armel sementara Rhea membawa Hayyan ke hospital.

“Abang marahkan Rhea ke?” soal Rhea yang sedang memandu itu. Sedari tadi Hayyan hanya diam. Silap! Sejak kejadian semalam.

Selepas kejadian semalam, Hayyan langsung tidak bercakap dengannya lagi.

“Abang...” panggil Rhea lagi bila Hayyan masih diam.

“Hmm.” Akhirnya Hayyan bersuara.

Hujung bibir Rhea ternaik sedikit. “Rhea minta maaf tentang hal semalam tu. Rhea tak ada niat nak kurang ajar dengan sesiapa.”

“Fokus drive.” Itu saja balasan Hayyan sebelum dia kembali diam seperti tadi.

Hati Rhea sedikit lega. Tak mengapa. Selepas ini, tahulah dia bagaimana mahu memujuk lelaki itu.

SEMENTARA menunggu Hayyan menjalani rawatan fisioterapi, Rhea ambil kesempatan untuk berjumpa dengan doktor yang merawat Hayyan.

“Doktor, suami saya tak akan ingat saya lagi ke?” soal Rhea sayu.

Doktor Amera menghela nafas perlahan. Dia simpati melihat Rhea. Wanita di hadapannya ini... Terlalu kuat. Kalau dia yang berada di tempat Rhea pun belum tentu dia boleh sekuat wanita itu.

“Puan Rhea, kes yang melibatkan kecederaan otak tak sama seperti kes luka atau patah tulang. Brains a much less predictable. Kita tak tahu bila pesakit akan mula ingat kembali memori yang lepas.”

Lemah tubuh Rhea mendengar jawapan doktor wanita itu. “Jadi apa yang perlu saya buat?”

“Puan Rhea, saya percaya usaha tidak akan mengkhianati hasil. Kalau puan terus berusaha untuk pulihkan kembali ingatan suami puan, Insya-ALLAH suatu hari nanti suami puan akan ingat semula.”

“Terima kasih doktor,” ucap Rhea.

“Suami puan mesti bangga dapat isteri yang hebat macam puan.”

Rhea hanya tersenyum nipis. Dia bertahan sehingga ke hari ini kerana keluarga kecilnya.

RHEA dan Hayyan berjalan beriringan menuju ke kawasan parking kereta.

“Doktor cakap kaki abang dah makin kuat. Lepas ni abang dah boleh jalan tanpa tongkat,” ujar Rhea senang.

“Kenapa? Awak dah penat jaga saya?”

Soalan Hayyan buatkan langkah kaki Rhea terhenti.

“Rhea tak pernah rasa penat jaga abang selama ni. Rhea ikhlas jaga abang. Rhea cuma nak abang cepat sembuh.”

Hayyan terdiam. Dia hilang bicara. Terus dia larikan wajah bila Rhea merenung dalam matanya.

“Hayyan!”

Serentak dengan itu Hayyan dan Rhea memandang ke arah pemilik suara itu.

“Trisha...” Bibir Hayyan melengkung senyum saat wajah wanita itu menyapa ruang mata.

“Hayyan, jom balik rumak mak. Dah lama Hayyan tak balik rumah mak.” Jauriah yang datang bersama Trisha tadi turut menghampiri mereka berdua.

“Maaf mak, Rhea nak kena siapkan tempahan kek. Petang nanti customer nak pick up,” balas Rhea.

Jauriah mencebikkan bibirnya. “Ada ke aku paksa kau balik rumah aku? Aku ajak anak aku. Bukan kau.”

Trisha ketap bibir menahan tawanya. Lagi-lagi bila tengok riak wajah Rhea terus berubah lepas dengar jawapan ibu mentuanya.

“Rhea, awak baliklah rumah dulu. Saya nak balik rumah mak. Nanti saya minta Trisha hantar saya balik,” putus Hayyan.

Dua wanita itu tersenyum lebar mendengar jawapan Hayyan.

“Tapi abang...” Berat hati Rhea nak lepaskan Hayyan pulang ke rumah keluarganya sendiri. Lagi-lagi bila ada Trisha.

“Jom.” Tanpa menghiraukan Rhea lagi, Hayyan terus berlalu bersama Trisha dan Jauriah.

Rhea hanya mampu memandang belakang tubuh suaminya yang dibawa pergi dua wanita itu. Hatinya sakit. Rasa macam ada besi tajam yang mencucuk-cucuk hatinya ketika ini. Dan... Dia tak mampu nak buat apa-apa.

Share this novel

Siti Rohani Idris
2023-10-30 05:04:32 

kesian awak rhea


NovelPlus Premium

The best ads free experience