Bab 41: Cari Kerja

Romance Series 20066

TAK boleh!

Damia urut pelipisnya. Apabila suara keras suaminya melontarkan perkataan itu terngiang-ngiang dalam kepala, automatik tangannya menutup telinga. Giginya diketap kuat. Dia geram!

Berkali-kali jugalah suaminya mengatakan tidak kepada hasratnya tu. Tak boleh dan tak diizinkan. Padahal nak cari kerja aje pun. Bukannya buat benda yang tak elok. Damia dah tak tentu arah.

Atas janjinya kelmarin, kerana suaminya berkeras tak membenarkan dia mencari kerja, Damia putuskan untuk menjalankan perang mogok 1.0 disertakan dengan projek merajuk buat pertama kalinya kepada suaminya. Setelah hampir dua bulan berkahwin!

Semalam, hampir seharian Damia tak bercakap dengan suaminya. Suaminya ajak makan, dia buat tak tahu saja.

Tidur sekatil pun, bukan main canggung rasanya. Si suami menoleh ke kiri, si isteri pula menoleh ke kanan. Masing-masing tak nak menghadap satu sama lain. Dah macam budak-budak pulak nak merajuk macam tu.

Disebabkan itulah Damia putuskan untuk berpindah. Pindah ke bilik sebelah saja, bukannya rumah. Bilik dalam homestay ni ada dua, jadi tak payah dah nak kongsi bilik dengan suaminya tu.

Rajuk masih bertahan dengan padu. Biar Syafiq tu tidur sorang-sorang! Bentak Damia dalam hati.

Dalam bergelut dengan perasaannya, pintu biliknya diketuk dan dikuak perlahan. Wajah Damia terus mencuka apabila dia lihat suaminya sedang menatang dulang yang berisi makanan di depan pintu.

Cakap pasal makanan, perut Damia terus berkeroncong bukan main. Iyalah, dari petang dia tak makan. Kalau dia pergi ke rumah ibunya tadi, bolehlah dia jamah sedikit apa yang ibunya masak. Tapi nak dijadikan cerita, hari ni jugalah hari Sabtu yang bermaksud suaminya sedang bercuti. Damia mengeluh.

Damia tak peduli tentang lapar! Mogok mesti diteruskan. Damia dalam keadaan duduk bersila di atas katil terus berbaring. Selimut ditarik kasar menutupi tubuh. Nak tunjuk proteslah tu.

"Sayang, makan ni. Abang ada beli nasi ayam. Sayang tak makan pun dari tadi. Tadi pun abang makan sorang je." Penuh berharap Syafiq untuk melihat isterinya melentur semula. Dia menempatkan duduknya betul-betul di birai katil, rapat dengan isterinya. 

Damia masih mengeras. Mata dipejam serapat-rapatnya. Biarkan saja suaminya tu bercakap seorang diri.

Syafiq kecilkan matanya. Jadi sekarang Damia tu sedang cabar dirinyalah, kan? Okey, Syafiq sahut cabaran tu.

Tak memberi peluang, Syafiq terus menarik tangan isterinya. Paksa juga isterinya bangun walaupun dia tahu, isterinya sedang marah. Nak berdegil sangat, ya?

"Abang! Apa ni? Saya nak tidurlah." Damia melenting. Matanya menikam tepat ke anak mata suaminya. Tetapi perlahan-lahan pandangan matanya dikawal tajamnya apabila tangan suaminya sudah sedia untuk menyuap nasi itu ke dalam mulut.

Sambil menyuakan sudu ke mulut isterinya, Syafiq bersuara, "Makan dulu. Lepas tu sayang nak tidur ke, nak sambung merajuk ke, ikut sukalah. Janji makan." 

Sempat lagi Syafiq menyindir biarpun rasa risau akan isterinya menambat hati.

Damia julingkan matanya ke atas. Haih, baru aje nak perkukuhkan dinding ego, tiba-tiba runtuh sedikit bentengnya.

Nak tak nak, mulutnya dibuka perlahan-lahan dan suapan pertama berjaya dikunyah. Eleh, mulut saja kata tak mahu tapi hati kata nak. Suami sendiri yang suap tu, bukan selalu.

Syafiq senyum nipis melihat isterinya rancak makan. Itulah, tadi melayan sangat ego tu, sekarang tahu pun lapar. Syafiq sindir dalam hati.

Sedar tak sedar, habis pun nasi ayam di dalam dulang tu. Dengan sup dalam mangkuk pun, dah licin dihirup Damia. Penangan suapan dari encik suami, makin bertambahlah selera makannya.

"Lepas makan, duduk dulu. Jangan baring terus," tegur Syafiq.

Macam tahu-tahu aje suaminya seorang ini. Baru saja nak baring semula untuk teruskan rajuknya, terpaksalah Damia batalkan niatnya itu. Baring selepas makan, nanti buncit pulak perut tu. Sudahlah dia tu melantak aje kerja. Entah nanti makin bertan-tan pulak berat badannya bertambah. 

Syafiq masih setia di sebelah isterinya. Dulang yang kosong itu diletak di atas meja bersebelahan katil dahulu. Sekarang ini, dia tatap wajah isterinya lama. Rasa rindu pula nak tatap macam ni padahal tak sampai sehari isterinya itu lancarkan perang dinginnya.

"Sayang marah abang lagi?" Sengaja Syafiq bertanya biarpun dia tahu akan jawapannya. 

Damia kerling wajah suaminya seketika selepas air teh susu di dalam cawan diteguk. Cawan itu diletak di atas meja sebelum keluhan panjang dilepaskan.

"Saya nak kerja, bang. Takkan tak boleh?" rayu Damia seikhlas hati. Rasanya dah cukup manjalah tu suaranya memohon begitu. 

Syafiq geleng. Tatapannya tepat menikam anak mata isterinya. "Tak boleh."

Damia tarik mukanya. Tangannya dah dikepal-kepal. Nak gila jadinya apabila jawapan yang sama masih diberi suaminya. Ingatkan suaminya dah tukar fikiran rupanya tak berubah langsung. Sakit hati!

Ego! Nak lawan ego sangat, kan? Syafiq 100 kali lebih ego dari dirinya. 

"Sayang kenapa tiba-tiba nak kerja ni? Bagi abang satu alasan yang terpaling, teramat dan tersangat kukuh kenapa sayang kena kerja. Bagitahu abang." Bergetar lontaran Syafiq di hujung ayatnya menahan rasa.

"Semalam saya dah bagitahu, yang saya nak tolong abang. Nak tolong ringankan beban abang. Tu je," balas Damia.

Mata Syafiq makin lurus memanah. Jawapan yang diberi isterinya itu tak dapat diterima. Jadi perbincangan tamat!

Tubuhnya baru sahaja berura-ura mahu bangun, tapi terhenti jua apabila Damia merangkul lengannya. Merangkul dengan penuh rayunya. Nak minta simpatilah tu.

Syafiq masih tayang muka ketat. Dalam marah pun, dia tak berganjak pula untuk duduk di sebelah isterinya. Mungkin mahu dengar penjelasan dan beri peluang kepada isterinya untuk bersuara.

"Abang jangan macam ni. Abang kenapa berkeras sangat tak nak bagi saya cari kerja? Saya akan cari kerja yang halal, untuk tampung kita. Lagipun saya bosanlah duduk rumah."

"Habis tu, kenapa tak nak kerja dengan abang? Tak pun dengan mak?" Mendatar suara Syafiq menghentam gegendang telinga.

"Mana boleh, bang. Saya nak kerja luar dari kampung ni dan kampung abang. Saya nak ..."

"Nak apa? Nak gaji besar? Apa yang abang bagi selama ni tak cukup?"

Damia terpempan. Memang itu yang ingin dia maksudkan tetapi rasa bersalah pula apabila suaminya umpama menahan sebak memangkas ayatnya itu. Sungguh, bukannya dia tak bersyukur sekarang ini. 

"Abang, tolong ..." Lengan suaminya dipaut penuh berharap. Nak nangis pula rasanya. Bergaduh fasal kerja dari kelmarin tak selesai-selesai. Suaminya ini pun, boleh tahan juga egonya.

Syafiq seperti biasa, masih dengan wajah bekunya. Giginya diketap kuat. Tengah geram sebab isterinya masih tak mahu mengalah padahal dah berbuih mulut dia putuskan untuk tak memberi keizinan.

"Sayang dah banyak tolong abang. Sayang bantu kuatkan semangat abang masa abang perlukan sokongan. Sayang jugak yang jaga kesihatan abang. Sayang sentiasa ada dengan abang susah senang. Tu bagi abang dah cukup dan sayang dah jalankan tanggungjawab sayang sebagai seorang isteri. Tak perlu nak kerja-kerja bagai. Pasal kewangan, biar abang yang settlekan. Abang masih bertanggungjawab dan masih mampu zahir batin." Syafiq bersuara penuh tegas. Tiada nada kelembutan yang selalu dia perdengarkan kepada isterinya. 

"Abang bukan nak mengongkong sayang tapi sebab abang cintakan sayang, abang buat macam ni. Kalaulah sayang dah kerja nanti, dan waktu tu sayang tengah mengandung, kita dah ada anak. Siapa nak jaga anak kita? Takkan nak suruh orang lain jaga. Nak suruh mak? Belum tentu lagi dia dapat terima cucu hasil dari perkahwinan kita," sambung Syafiq lagi dengan penuh lancar. 

Masih tak mahu kalah.

Damia rasa dia sudah hampir tewas. Jawablah apa pun, pasti suaminya mahu membangkang. Dari isu kerja, masuk ke isu mengandung dan anak pula. Haih! Pening kepala.

Tapi dia tetap tak berputus asa. Selagi otaknya tak putus mencurahkan bidasan, selagi itu dia akan membalas.

"Pasal mengandung, pasal anak semua tu lain ceritalah, bang. Lagipun kalau kita dah ada anak nanti, kalau mak tak nak jaga sekalipun, kita boleh upah pengasuh, kan?"

"Jadi apa gunanya kerja kalau duit habis kat pengasuh pulak? Abang tahu masih awal untuk kita cakap pasal hal ni tapi ini pasal perancangan. Pasal persediaan. Kita akan jadi mak ayah nanti, jadi kitalah yang kena jaga anak kita!"

Damia terus mati kata. Suara suaminya yang keras agak menyentaknya. Dia terkejut. Suaminya dah hilang sabar ... kerana dirinya?

Wajah suaminya yang membahang itu dipandang lama. Tiba-tiba mata terasa berkaca kerana bertakungan dengan air mata. Dia dah tak kuat sekarang ini. Bertengkar dengan suami gara-gara hal ini sahaja.

Air mata yang tak dapat dibendung jatuh mengalir. Tak tertahan lagi rasa sedihnya. Dia tahu suaminya sayangkan dirinya, tetapi kenapa suaminya berkeras?

"Sa ... sayang?" Syafiq mulai menggelabah apabila dia perasan bahu isterinya terenjut-enjut mengongoi. Sungguh, dia tak berniat pun mahu buat isterinya menangis.

"Ya Allah, sayang. Abang mintak maaf, sayang. Abang tak sengaja. Sumpah! Abang tak dapat kawal suara abang tadi. Abang tak berniat pun nak marah sayang." Terus Syafiq peluk isterinya seerat mungkin. Belakang isterinya diusap-usap. Rerambut pula dikucup lama.

"Saya nak kerja je, bang. Bukannya saya nak sambung belajar atau nak tinggalkan abang sorang-sorang. Lagipun saya nak sara mak jugak. Walaupun hubungan saya dengan mak tak berapa elok, tapi saya kena juga sara dia. Bagi duit kat dia. Banyak sebab kenapa saya nak kerja ni, bang." Dalam keadaan teresak-esak pun Damia masih mampu mengeluarkan suaranya.

"Lagipun saya nak cari kerja untuk waktu siang hari je sebab malam abang yang kerja. Jadi kalau kita dah ada anak pun, kalau tak nak upah pengasuh, boleh je kita selang-seli jaga dia, kan?" tangis Damia lagi dengan sebaknya. Sebaik menyeka air mata, dia terasa pelukan suaminya semakin erat pula.

Syafiq pejam matanya. Rasa bersalah sudah menghurung diri. Tak kuat dia lihat Damia menangis disebabkan dirinya. Terlalu berkeras sehingga membuatkan hati seorang isteri yang rapuh itu tercalar.

Pelukan dileraikan. Syafiq pegang kedua-dua belah bahu isterinya. Kini, mata mereka saling bertatapan.

Jari-jemari Syafiq menyeka pipi si isteri yang basah itu. Tak sedar, yang matanya sendiri juga sudah berkaca.

"Abang mintak maaf, sayang. Jujur abang tak sengaja tadi. Abang terlalu ikutkan perasaan. Abang selfish. Abang mengaku abang salah. Jangan nangis, sayang. Abang sayangkan sayang."

Damia angguk. Suaminya tak henti-henti memujuk, sedikit sebanyak dirinya sudah dapat bertenang berbanding tadi.

"Pasal kerja tu ..." Syafiq telan liur. Menggantung seketika bicaranya sebelum menyambung, "Abang izinkan."

Mata Damia membulat luas. Dia salah dengar ke apa yang suaminya cakap? Suaminya ... dah berubah fikiran?

"Be ... betul ke ni, bang?" Damia mahukan kepastian. 

Syafiq menguntum senyum lalu mengangguk perlahan. Wajah Damia pula terus bertukar ceria.

"Abang ... terima kasih banyak!" ucap Damia girang. Batang leher suaminya dirangkul dan pipi suaminya dicium sekilas. Nasib baiklah suaminya benarkan juga dia cari kerja. Kalau tak, buat penat aje menangis.

Syafiq turut merangkul pinggang isterinya. "Tapi ingat, abang nak sayang cari kerja yang halal. Bila dapat kerja nanti, jangan terlalu kerja kuat sangat. Lagi satu, bila dah kerja nanti, tanggungjawab jangan lupa. Abang tak nak, sayang berubah," pesan dititipkan sekadar syarat buat isterinya.

"Baik, bang. Saya janji saya takkan abaikan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri bila saya dapat kerja nanti. Saya sayang abang. Terima kasih sebab bagi peluang kat saya."

"Sama-sama, sayang. Bagi abang, apa yang terbaik buat sayang, itu yang terbaik buat abang. Maaf pasal hal tadi, abang terlalu ikut perasaan. Padahal sayang tak buat salah apa pun. Abang cuma risaukan sayang, tu je."

Tangan Damia naik melekap kedua belah pipi suaminya. "Saya faham, bang. Abang tak salah. Saya pun nak mintak maaf sebab degil tapi saya buat bukan sebab kebaikan sendiri, tapi untuk kebaikan kita. Abang jangan risau, bila saya dapat kerja nanti, saya akan jaga diri dan tak lupa tanggungjawab saya. Tolong doakan saya jugak abang." Terus tubuhnya memeluk Syafiq.

"Insya-Allah. Abang sentiasa doakan dan support sayang dari belakang."

Malam ini sahaja, dah macam-macam benda yang ditempuh mereka. Mujurlah selesai juga masalah yang menghambat mereka itu. 

*****

Jam hampir berdetik ke pukul 6:00 petang, jadi tugas angkat kain di ampaian patut dilaksanakan. Lagi 10 minit, Syafiq perlu bersiap-siap untuk pergi meniaga, tetapi kelibat Damia tak kunjung pulang pulak.

Dahlah motosikalnya si isteri itu yang guna. Dari pagi tadi pula tu. Bila teringat pasal Damia, rasa kesian pula Syafiq dengan nasib isterinya itu.

Sudah dua minggu Damia memohon untuk bekerja, di mana-mana syarikat, di mana-mana tempat, tetapi keputusannya tetap sama. Kena tolak.

Bukannya gagal, cuma tiada rezeki. Itu apa yang selalu Syafiq ucapkan jika isterinya berasa sedih.

Kena reject kerana tiada pengalaman, temu duga tak lepas, dan lebih teruk, boleh pula penemu duga itu beri harapan palsu dengan mengatakan, "Kami akan call cik esok."

Call esoklah sangat. Sekarang apa yang jadi? Satu panggilan pun tak ada sampai sudah dua minggulah Damia tu stres.

Sebab itu orang kata, cari kerja pada zaman ini susah. Kalau belajar tinggi-tinggi pun kadang bergelut juga mahu dapat kerja, inikan pula Damia yang hanya berbekalkan sijil STPM dan SPMnya itu. 

Tapi tak mengapa, rezeki Allah itu luas. Tahap pembelajaran bukan penentu segalanya. Kalau tak dapat kerja hari ini, mungkin esok ada sinarnya. Sentiasa Syafiq berdoa kepada isterinya agar segalanya dipermudahkan.

"Assalamualaikum, Syafiq." Satu suara garau memecah sunyi membuatkan tingkah Syafiq yang memasukkan pakaian ke dalam bakul terhenti seketika. Apabila Syafiq menoleh sahaja, salam dijawab dan senyuman diberi. Terlihat lelaki yang pernah Syafiq temui beberapa minggu lepas itu keluar dari perut keretanya.

"Encik Zaid? Lama saya tak nampak encik kat sini. Saya ingat encik dah keluar dah dari homestay sini," sapa Syafiq lalu dia dan lelaki itu terus berjabat tangan.

Lelaki itu pun mengulum senyum. "Memang sebelum ni saya ada keluar dari homestay ni, tapi baru kelmarin sewa balik. Dalam tiga hari je. Ada projek nak kena selesaikan berdekatan area kampung ni. Tu yang saya ulang-alik sewa kat homestay ni."

Syafiq terangguk-angguk disertakan bersama mulut berbentuk 'o' itu.

"Lagi satu, janganlah berencik-encik dengan saya ni. Kita pun lebih kurang sebaya je rasa, jadi tak ada masalahlah kalau nak panggil 'kau' atau guna nama sekalipun. Saya pun segan kalau orang lain panggil saya 'encik' kecualilah diorang tu staf saya," sambung lelaki itu lagi.

"Hmm ... baiklah, Zaid." Syafiq angguk sekali kepalanya. Dalam tak sedar, semua pakaian yang disidai di ampaian sudah dimasukkan ke dalam bakul. 

"Ha, kejap ya." Lelaki itu mengangkat tangannya ke udara. Dia lalu membuka but keretanya dan mengambil sesuatu di situ. 

Syafiq hanya tercegat sambil menunggu lelaki itu selesaikan kerjanya di but belakang. Tertunduk-tunduk lelaki itu mengambil sesuatu. Nampak macam penuh sangat barang di dalam but sampaikan nampak berkerut-kerutlah dahi dia.

Tak ambil masa yang lama, but kereta ditutup. Lelaki itu menghampiri Syafiq semula tapi bukan dengan tangan kosong. Sebuah hamper turut dibawa bersamanya. Hamper yang berisi buah-buahan dan makanan ringan dihulur.

"Nah, ambiklah hadiah ni. Tadi saya pergi event kat Kangar, staf sana bagi. Dua hamper pulak tu. Jadi ambiklah satu ni."

"Eh! Tak payahlah, Zaid. Tu hadiah Zaid tu. Lagipun seganlah saya nak terima," tolak Syafiq diselangi permintaan maaf. Mana tak segannya, mereka berdua baru je kenal.

Lelaki itu tetap tak berputus asa. "Ambiklah, jangan segan. Anggap je ni balasan atas apa yang Syafiq dah buat kat saya. Kalau bukan Syafiq yang bagitahu selok-belok sekitar kampung ni, mahu sesat saya waktu tu."

Jadi itulah sebab mereka berdua bertemu. Lelaki itu sekadar mahu bertanya jalan sahaja. Tak sangka pula dia boleh bertemu Syafiq yakni jirannya di jajaran homestay ini. Jadi Syafiqlah yang banyak membantu sewaktu dia buntu di sini.

Syafiq terpaksa jua menerima pemberian lelaki itu. Lihat wajah lelaki itu penuh berharap, tak sampai hati pula dia menolak pemberian itu buat kesekian kalinya. Ucapan terima kasih pun dia terbitkan di bibir.

Enjin motosikal yang penuh membingitkan menyapa telinga. Syafiq terus pancarkan senyum apabila dia lihat isterinya meletakkan motosikal di pekarangan rumah.

Tapi perlahan-lahan senyumannya luntur tatkala dia pandang wajah isterinya yang sudah masam. Riak sedih dan rasa penat digabungkan, jadilah wajah yang ditonjolkan Damia sekarang ini. Muram.

Ini mesti kes tak dapat kerja lagi. Tak perlu tanya, Syafiq dah tahu jawapannya. Setiap hari, boleh dikatakan Damia pulang dengan wajah sebegitu. 

"Sayang, okey tak ni? Monyok je muka." 

Damia bersalam dengan suaminya tetapi wajah suram masih terpapar. Dari pagi dia keluar, sampai ke petang dia pulang. Apa yang dia dapat? Satu pekerjaan pun tak ada.

"Macam biasalah, bang. Tetap tak dapat. Mintak kerja kat kantin sekolah pun diorang senang-senang je tolak. Kerja kilang pun sama. Kerja pejabat? Lagilah mustahil," rungut Damia dengan tak bermaya. 

"Takkanlah sayang dah nak putus asa?"

"Entahlah. Saya rasa penat sangat. Rasa macam tak berbaloi pulak apa yang saya buat semua ni. Tidur lambat semata-mata nak siapkan resume. Lepas tu abang pulak sanggup belikan baju baru untuk saya." Sedih, kecewa dan penat, apabila digabungkan, tak tertahan air mata untuk merembes keluar. Mutiara jernih itu mengalir dari pelupuk mata beriring dengan esakan kecil Damia.

Ini ke balasan kerana memaksa suaminya untuk terimanya mencari kerja? Jika itu balasannya, maka benarlah, restu seorang suami itu penting.

"Sayang, apa ni? Jangan la nangis." Syafiq terus memeluk si isteri yang sudah tersedu-sedan. "Sayang jangan putus asa lagi. Abang sentiasa ada dengan sayang. Sayang percayakan rezeki Allah, kan?"

Di dalam dakapan suaminya, Damia angguk kepalanya.

"Kalau percayakan rezeki Allah, abang nak sayang sabar sikit aje lagi. Rezeki Allah tu luas. Insya-Allah, nanti sayang dapatlah kerja tu. Pasal baju baru, pasal jadi interviewer olok-olok sayang tu, abang tak kisah pun. Abang lagi seronok tau dapat bantu sayang. Dahlah, jangan nangis."  Syafiq mengusap-usap belakang isterinya. Isterinya ini sensitif sungguh kebelakangan ini. Tapi Syafiq tak pernah pun mahu menghakimi isterinya itu kerana dia bukan berada di tempat isterinya. 

Damia menangis teresak-esak. Dah macam budak kecil hilang emak aje lagaknya. Nasib baiklah dia ada suami yang sedia memujuk. Kalau tak, mahu bergegar rumah ni dengar dia merengek saja.

Syafiq tersenyum janggal kepada lelaki tadi. Memang dia perasan pun yang sedari tadi, lelaki itu setia berdiri berdekatannya dan si isteri. Tapi nak buat macam mana? Isteri menangis, mestilah kena pujuk. Tak kisahlah kat depan mata orang sekalipun.

Yang Damia ni pun satu. Melayan sangat tangisannya itu sampai tak perasan ada seseorang sedang memerhati mereka tak jauh dari situ. Dia turun dari motosikal tadi, terus menonong aje mendapatkan suaminya sampaikan tak sedarlah ada orang lain berdekatan suaminya. Terpaksalah lelaki itu mengundur sedikit langkahnya untuk memberi ruang pasangan itu berdrama.

Kat halaman rumah jugalah nak berdrama air mata pun!

"Err ... sayang. Jangan nangis. Malu tau nangis depan rumah ni. Ada orang tengok." Sambil melirik-lirik lelaki itu, Syafiq bersuara semula.

Damia angkat wajahnya setelah agak lama dia menyembamkan wajahnya di dada bidang suaminya itu. Matanya tercari-cari kelibat 'orang' itu. Dan ya. Memang ada seseorang sedang menyaksikan adegan mereka pun. 

Alahai, rasa malu dah mencucuk-cucuk diri. Nak aje dia sorok mukanya di sebalik dada suaminya itu tapi apakan daya, mukanya yang dah sememeh itu lama diperhati lelaki yang tak dikenali itu. Mesti tengah mengejek dalam hatilah tu.

Damia rungkaikan pelukan. Pipi yang basah dilap dengan punggung tangan. Dia berdehem seketika acah-acah macam tak berlaku apa-apa. Padahal semua yang terjadi sudah terakam dalam otak lelaki itu.

Seperti faham akan pertanyaan yang tersirat di wajah terpinga-pinga isterinya, Syafiq menambah, "Dia jiran homestay kita. Kalau sayang nak tahu, dia ni la yang abang bersembang beberapa minggu lepas tu. Nama dia Zaid." Syafiq memperkenalkan lelaki itu. "Dan Zaid, ni pulak isteri saya, Damia." Giliran isterinya pula diperkenalkan.

Damia imbas lelaki itu dari atas sehingga ke bawah. Jadi dia ni la lelaki yang Damia curious sangat tu? Nak kata handsome, tak dinafikan. Orang kaya memang ada gaya. Walaupun hanya memakai baju kemeja-T hitam berlengan panjang, aura orang berada tu makin keluar. Rambut pun, bukan main warnanya. Warna perang semacam. Tapi Damia peduli apa, suaminya lebih handomelah!

Bukan nak membodek tapi itulah hakikat. Suaminya pun kemas dan segak juga orangnya. Kalau tidak, macam mana dia boleh jatuh hati dengan suaminya itu.

Dengan jambang yang nipis dibiarkan terhias di wajah, suaminya itu nampak lebih manly gitu. Terhias okey, sebab nampak sepadan je wajah suaminya berjambang nipis. Sesuai sangat dengan cita rasa Damia. Sempat Damia berdebat dengan otaknya.

Dah disebabkan suaminya memperkenalkan lelaki itu tanpa diminta, terpaksalah Damia maniskan wajah. Kalau tarik muka, nanti suaminya kata apa pulak. Jadi senyuman dilemparkan dan turut dia perkenalkan dirinya.

"Damia." Acuh tak acuh Damia bersuara.

"Saya Zaid Zaffran." Giliran Zaid pula memperkenalkan diri sambil menunduk. Takkan nak bersalam dengan Damia pula. Nanti tak pasal-pasal ada juga yang kena pelangkung dengan Syafiq.

Canggung. Sepi. Sunyi. Itulah suasana sebaik mereka memperkenalkan diri. Syafiq pun mati kutu dibuatnya.

"Umm ... abang. Saya masuk dulu. Nak mandi. Lepas mandi karang, baru hantar saya pergi rumah mak." Damia berpesan seraya dia melangkah masuk ke dalam rumah.

Syafiq angguk kepalanya. Sempat dia menyuruh Damia membawa masuk hamper yang diberi Zaid itu. Damia malas-malas pun, dibawa juga hamper itu masuk ke dalam tanpa banyak soal.

Zaid pula hanya menghantar pandangannya kepada Damia yang beransur pergi. Dia turut membalas senyuman Syafiq yang turut sama mahu beredar masuk.

Hatinya sudah bergelut dengan diri sendiri. Perlukah dia tolong isteri Syafiq itu? Dia sudah dengar semuanya dan dia tahu, Damia dalam kebuntuan sekarang ini.

Belum sempat Syafiq teruskan langkahnya, Zaid melaung, "Kejap, Syafiq! Saya ada benda nak tanya."

"Ya?" Syafiq menoleh.

"Isteri kau, nak cari kerja ke? Sorrylah, bukan saya nak masuk campur, tapi saya rasa saya boleh tolong dia dapatkan kerja."

Mulut Syafiq ternganga separa luas. "Be ... betul ke ni, Zaid?"

Zaid angguk dan senyuman diberinya.

Bersambung...

ZAID ZAFFRAN dah muncul ‾︿‾ Jgn kacau rumahtangga Damia n Syafiq sudahla

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience