“Saya tak tahu apa-apa tentang kereta. Ini adalah kali pertama saya mahu belajar memandu,” jawab aku dengan jujur.
“Takkanlah awak tak tahu apa-apa? Awak tahu tak benda yang awak tekan tadi itu namanya ialah stereng?” Duga Encik Nazhan.
Aku mula mengerutkan kening. Hisyy, itu budak kecil pun tahu! Encik Nazhan ini sengaja mahu mengenakan akukah?
“Awak kata, awak tak tahu apa-apa. Janganlah marah dengan soalan saya tu,” ujar Encik Nazhan sambil tersengih, dia bijak membaca riak wajahku.
Pantas sahaja aku membuang kerutan di keningku. “Tak adalah, saya tak marah,” balas aku dengan diakhiri senyuman yang sengaja dibuat-buat.
“Okey. Sama ada awak sudah tahu ataupun belum, saya mahu memperkenalkan komponen-komponen asas yang wajib diketahui oleh semua pemandu.” suara Encik Azhan. Aku sekadar mengangguk.
Setelah dia memberitahuku di manakah letaknya kedudukan gear satu hingga gear undur pada kotak gear, mengenal pasti yang mana satukah pedal clutch, pedal break, dan pedal minyak di dalam kereta ini, dia menyuruh aku menghidupkan enjin. Dengan perasaan takut dan gemuruh yang kuat, aku memusingkan kuncinya sedikit demi sedikit. Akhirnya enjin kereta telah berjaya aku hidupkan. Fuhh! Lega! Tersenyum panjang aku dibuatnya.
Encik Nazhan mengajar aku bagaimana pula mahu menyalakan isyarat ke kanan dan ke kiri serta bagaimana hendak menghidupkan pengelap cermin kereta hadapan dan belakang.
“Cuba tekan pedal minyak tu,” arah Encik Nazhan.
Hahh!! Tak mahulah! Aku takut untuk menekan pedal minyak itu. Aku bimbang jika kereta ini akan terus meluncur laju tanpa sempat aku mengawalnya. Mati kataklah jawabnya aku nanti.
“Tekan saja pedal minyak tu. Nak takut apa? Jangan risau, kereta ini takkan melompatlah!” tegas Encik Nazhan, seperti dia faham sahaja dengan kebimbangan dan ketakutan yang sedang aku alami pada saat ini.
Share this novel