Bab 5

Young Adult Completed 7336

Waktu rehat di sekolah ini sama sahaja dengan sekolah lamanya dulu. Tidaklah selama mana - hanya 20 minit bertempoh - sebelum sesi kelas bersambung semula nanti.

Perlahan Mawar mengucapkan tahmid setelah habis menjamah semangkuk bihun sup kosong itu. Dia lalu mengangkat mangkuk plastik berwarna biru itu ke singki dan meletakkannya di dalam besen pinggan mangkuk kotor di sebelah.

Setakat pagi ini, Mawar masih belum mengalami sebarang kejadian berbentuk buli lagi daripada empat sekawan yang masih belum diketahui namanya itu.

Mungkin masih terlalu awal untuk menarik nafas lega.

Namun, tetap jua Mawar hendak lega.

Apabila dia sampai ke kelas dan masuk melalui pintu depan, keningnya tertaut melihat mejanya dikerumuni oleh beberapa orang rakan sekelas.

Dihambat perasaan ingin tahu, Mawar mempercepatkan langkah. Apabila dia sudah berada berhampiran meja itu, para pelajar di situ menyedari kehadirannya lalu membuka ruang untuk membolehkan Mawar melihat sendiri apa yang dilihat oleh mereka.

Matanya terbuntang.

Tertera perkataan BETINA JALANG di atas meja itu, dan kelihatannya ia telah ditulis dengan menggunakan pen penanda kekal berdakwat hitam.

Bibirnya menggeletar menahan marah, lalu tangannya pula mengepal membentuk sebuah penumbuk. Dia tidak perlu berfikir panjang dan memerah otak untuk mencari tahu siapa dalang di sebalik perbuatan terkutuk itu.

"Tadi aku nampak geng si Suhaila yang tulis ni atas meja kau," ujar seorang pelajar lelaki yang berdiri tidak jauh di sebelah kanan Mawar. Tertera pada tanda namanya Ahmad Firdaus.

'Oh, itu nama dia! Suhaila ...' getus hati Mawar.

"Terima kasih," balas Mawar perlahan. Ahmad Firdaus kemudian beredar dari situ. Sempat Mawar menjeling sesaat dan memerhati jejaka itu kembali ke tempat duduknya.

Rakan-rakan sekelasnya yang masih mengintai-intai tidak Mawar endahkan. Sejak dulu, dia sudah biasa menjadi tumpuan orang. Waima berbeza jenis perhatian yang diterimanya dulu.

Dia tahu dia tidak akan dapat menghilangkan kesan conteng itu dalam masa yang singkat. Tambahan, guru mata pelajaran selepas ini pasti akan masuk ke kelas seperti biasa, menepati masa.

Kelakuannya diperhati dengan penuh rasa menarik oleh rakan-rakan sekelas yang sudah sedikit menjauh dari tempat mereka berdiri tadi. Mawar membuka zip begnya, lalu dia mencapai sekeping buku latihan kosong.

Dia seterusnya mencapai pula bekas pensel dan mengambil pita pelekat di dalam. Beberapa helai kertas dicabut daripada buku latihan kosong itu dan dia menampalnya pada permukaan meja.

"Okeylah ni untuk cover dulu sampai habis kelas hari ni. Nanti aku bersihkan..." gumam Mawar perlahan kepada dirinya sendiri.

"Assalamualaikum, kelas..." kedengaran suara cikgu Haizi.

***

Berkat ihsan tukang pembersih sekolah itu, Mawar dapat menggunakan sabun dan berus untuk mencuci kesan contengan pen penanda kekal di atas mejanya tadi.

"Rajin betina jalang ni bersihkan meja dia, kan? Siap bersabun lagi." Gelak tawa mengilai mengiringi ayat penuh sindiran itu. Kelihatan Suhaila dan tiga orang kawannya berkumpul di tepi pintu belakang kelas Mawar, berdekatan mejanya.

Berdesing telinga Mawar, namun dia memilih untuk buat tidak tahu sahaja. Telinganya dipekakkan dan dia tekal melakukan kerja pembersihan yang sudah hampir siap itu.

"Eh, betina! Kau pekak ke?" soal ketua empat sekawan itu.

Bahunya dipaut ketat oleh si ratu lebah yang merenung tajam. Bagaikan mahu menlan Mawar yang berdiri di depannya.

Mawar yang mula rimas dengan situasi itu akhirnya dapat menyimpulkan, ini pastinya Suhaila yang dimaksudkan oleh Ahmad Firdaus tadi.

"Kau Suhaila, kan?" soal Mawar tenang.

Dia kini berhenti menyental.

Mejanya pun telah cukup bersih.

"Pandai juga kau cari tahu nama aku apa, ya? Kau ni taklah sebodoh khinzir rupanya. Kita upgrade sikitlah." Suhaila berhenti sejenak sebelum menyambung semula, "... anjing! Memang sesuai dengan kau!"

Tangannya kini tidak lagi memaut bahu Mawar, malahan menekan perutnya sendiri menahan rasa lucu yang timbul disebabkan lawak yang dituturkannya tadi. Berderai ketawa empat sekawan itu.

Serentak itu, Mawar sudah berwara-wara hendak berlalu pergi dari situ untuk memulangkan sabun dan berus yang digunakannya tadi.

Langkahnya bagaimanapun dihentikan oleh ahli-ahli lain kumpulan kecil itu. Bahu kirinya digenggam kuat sekali lagi dari belakang oleh tidak lain tidak bukan - Suhaila.

"Siapa cakap kau boleh blah macam tu je?" soal Suhaila penuh berang.

Harap korang suka cerita ni. Terima kasih luangkan masa membaca cerita saya. Jemput komen.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience