Beberapa bulan yang lalu...
Adriana sedang berehat di dalam bilik memikirkan beberapa persoalan yang enggan dijawab ayahnya.
Perang dingin malam ini pun disebabkan persoalan tidak terjawab itu.
Semuanya kerana surat misteri yang dijumpai dalam longgokan surat Antoninus tempoh hari. Surat itu menyatakan kebohongan peristiwa serangan pemberontak enam belas tahun lalu.
Tak! Tak!
Adriana terkejut. Siapa pula yang membaling batu di tingkapnya?
Sebaik saja jendela dikuak, sepucuk surat melayang ke dalam biliknya. "Pembunuhan kejam pasangan pemberontak dan bayi yang hilang."
Surat itu seakan berita yang menjawab persoalan di benaknya. Laju dia melihat keluar tingkap. Kaki berlari ke luar mengikuti kelibat seseorang berdekatan rumahnya.
"Tunggu!"
Kelibat bertelingkup itu berpaling. Wajahnya samar-samar. "Adriana.", suaranya serak basah.
Adriana melangkah setapak ke belakang. "Macam mana kau tahu nama aku? Kau siapa?"
"Adriana... hm. Sayang seribu kali sayang...", dia berkata sayu.
Adriana masih kaku di pasaknya. Hati seakan berbisik, bahawa orang ini ada perkaitan dengannya.
"Ketika seorang tentera menerjah masuk rumah kita, kami menentangnya habis-habisan. Malangnya, tentera lain masuk dan menyerang. Kau masih terlalu kecil... Luciana."
Adriana bingung.
Orang bertelingkup itu tersenyum. "Patut saja kau tidak menyedari. Mana mungkin syaitan membuka topeng malaikatnya.", dia menampakkan wajah.
Kelu lidahnya melihat wajah berusia yang seakan rentung itu. Terdapat luka panjang di mata kanan. Rambut yang diikat tinggi menampakkan sebelah telinga yang sudah putus. Keadaannya terlalu ngeri... terlalu kasihan.
"Ayah kau bercadang memberi nama Luciana, mengharapkan sinar cahaya keluarga kita daripada terus dalam kegelapan. Malangnya, mereka menjadikan kau kegelapan itu.", dia melangkah pergi perlahan-lahan. Keterujaan untuk memberi tahu identitinya ditahan. Dia tidak boleh berlama. Keadaan sekarang masih bahaya.
"T-tunggu!", Adriana menahan sekali lagi. "Siapa kau?"
Dia mengetap bibir. Terketar bibirnya cuba menahan rasa teruja itu, tetapi akhirnya dia mengalah. Dinyatakan juga kebenaran yang amat dinanti, "Perempuan yang melahirkan kau, tetapi gagal menjaga dan melindungi kau daripada mereka." Kedengaran esakan halus dari bibirnya. "Maafkan ibu."
Adriana yang masih berbelah bahagi, berundur setapak. Mengelak daripada dipeluk perempuan tua itu.
Tersinggung, dia beredar masuk ke dalam hutan.
Kali ini, Adriana tidak menahan. Hanya beberapa titis air jernih jatuh ke pipinya. Fikirannya berkecamuk. Jika benar yang dikatakan perempuan tua itu...
Adriana berlari mengejar gerangan yang mengaku ibunya. Dia perlu tahu lebih dalam tentang peristiwa lalu. Dia perlu tahu apa yang sebenarnya terjadi.
Lariannya semakin kencang. Beberapa dedaun dan ranting halus menampar badan dan mukanya, namun tidak sekali dia berhenti mengaduh sakit. Larian diteruskan bagi mencari ibu kandungnya.
"Ahhk!"
Adriana berhenti. Jeritan seorang perempuan tidak jauh dari tempatnya! Dia segera menunduk apabila mendengar suara beberapa orang lelaki. Di sebalik semak samun, Adriana mengintai mereka.
"Tanam perempuan tua ini cepat!"
"D-dia masih hidup, tuan."
"Jadi? Kau mahu tunggu dia sembuh kemudian menentang kita?"
"T-tentulah tidak."
"Kalau nyawa yang menjadi masalah, nanti di dalam tanah akan mati juga."
Adriana mengetap bibir. "Tentera berhidung tinggi." bisiknya jijik.
Lelaki yang seperti tentera biasa masih takut-takut, tetapi lelaki yang mengarah dari tadi berdiri megah bak merak mula mengangkat pedang untuk membunuh.
Adriana melompat keluar dari persembunyian dan menolak merak egois itu. Mereka bergelut manakala tentera yang sedikit takut itu hanya melihat.
"Langkah mayat aku dulu!", tengkingannya mengejutkan mereka.
Pasti saja mereka kenal suara itu milik siapa. Pastilah suara seperti embun pagi itu kepunyaan anak Jeneral Antinous, anak saudara kesayangan Panglima Atasan Hadrianus, iaitu Adriana!
"C-cik Adriana!", tentera yang takut-takut itu bersuara terkejut.
Tentera bak merak egois itu pula tetap memerhati perempuan tua yang terbaring tadi.
Adriana cuba bertahan, namun badannya ditolak sebelum pedang dihunus laju.
Adriana tergamam apabila darah memancut keluar, membasahi bajunya.
"I-ibu?", bisiknya antara nafas. Hatinya seakan ikut berdarah.
Pedang tentera itu tepat menikam jantung yang sudah sedia lemah. Adriana bungkam di sisi ibu yang baru dikenalinya.
"Aku mendengar kau memanggilku dengan panggilan 'ibu', hilanglah sudah penyesalan ini." air matanya mengalir. "Jaga diri, Luciana."
Adriana menggoncang badan tua yang sudah kaku itu. "Tidak! Tidak...!"
Tiba-tiba lehernya terasa perih, dan dalam sekelip mata segala-galanya bertukar gelap.
****
"Dia baik-baik saja?" Antinous bertanya khawatir.
"Hanya pastikan alat ini dipasang dibiliknya." tentera berhidung tinggi tadi menyerahkan bungkusan kecil berisi daun yang mengkhayalkan. "Dia pasti menganggap semua itu mimpi."
Antinous akur dan berterima kasih dengan tenteranya itu.
Pintu rumah ditutup, dan dia pergi memeriksa Adriana kembali. Melihat wajah tenang anak angkatnya, dia mengeluh. "Belum masanya kamu tahu perkara ini lagi."
Keesokan harinya, Adriana bangun dari tidur dan badannya terasa sakit. Apabila memandang cermin, dilihat kepalanya yang berbalut dan tepi kepala berdenyut-denyut. Mindanya bercelaru, seperti ada sesuatu yang dilupainya. Apabila bertanya kepada ayahnya, Antinous hanya mengatakan dia bermimpi buruk.
"Mimpi buruk?"
Antinous mengiyakan. "Kamu meracau semalam. Bagaimana pagi ini? Terasa baik sedikit?"
"Hm." Adriana mengangguk perlahan.
Antinous senyum, cuba menutup pembohongannya. "Kamu meracau teruk sehingga berjalan dalam tidur. Kepala kamu tidak sengaja tercedera."
Alasan demi alasan diberikan, dan kerana alasan itu datang daripada ayahnya sendiri, Adriana menolak tepi syak wasangkanya.
Namun semakin hari, semakin dalam kekeliruan dan rasa tanda tanya.
Tak! Tak!
Adriana terkejut. Siapa pula yang membaling batu di tingkapnya?
Sebaik saja jendela dikuak, sepucuk surat melayang ke dalam biliknya. "Adriana."
Surat itu seakan mengetuk sesuatu di benaknya. Laju dia melihat keluar tingkap. Kaki berlari ke luar mengikuti kelibat seseorang berdekatan rumahnya.
"Tunggu!"
Kelibat bertelingkup itu berpaling. Wajahnya samar-samar. "Adriana.", suaranya serak basah.
Adriana melangkah setapak ke belakang. "Macam mana kau tahu nama aku? Kau siapa?"
Telingkupnya dibuka, menampakkan wajah seorang lelaki dengan rambut perang. "Akhirnya kita bertemu juga.", dia tersenyum.
****
Beberapa bulan kemudian...
Antinous memegang kedua bahu Adriana dengan kuat. Kata-katanya tegas diutarakan, "Ayah tidak pernah melakukan itu. Tidak pernah! Sesiapa yang mengkhabarkan ini kepada kamu sepertinya menyimpan hasrat buruk mengacau ketenteraman.", Antinous berkata sambil kepala diangguk sedikit.
Adriana mengeluh. Hatinya berdebar, dan fikirannya mula musykil dengan pengetahuan yang ditanam orang yang datang kepadanya tahun lalu. "Aku... masuk bilik dululah. Aku akan fikirkan."
"Pergilah." Antinous menepuk bahu puterinya dan memberinya ruang untuk balik ke bilik di tingkat atas.
Bila anaknya hilang dari penglihatan, Antinous terduduk lemah di atas kerusi. Dia mengeluh. Biarlah, sekurang-kurang dia sudah mengatakan yang sebenar.
Untuk bahagian nama Luciana dan Adriana, metafora "... tetapi mereka menjadikan kau kegelapan itu.", Luciana bermaksud cahaya, manakala Adriana bermaksud kegelapan.
Share this novel