KISAH 11 - MAKMUM DARI ROHINGYA

Horror & Thriller Series 23829

Nama aku Aziz, aku merupakan salah seorang jururawat di sebuah hospital yang terletak di utara tanah air. Aku masih teringat lagi kejadian yang berlaku di sekitar tahun 2015 ketika aku sedang bekerja di wad pembedahan lelaki. Sewaktu itu, keadaan hospital sedikit sibuk kerana sewaktu itu, penemuan kubur yang mengebumikan mayat berbangsa Rohingya baru dijumpai di sekitar negeri tempat aku bekerja.

Kebanyakkan mayat, ada yang sudah mereput dan tinggal rangka dilonggokkan pula di sekitar jabatan forensik hospital tempat aku bekerja. Sudah tentu mayat-mayat tersebut diletakkan di dalam beg plastik bewarna hitam.

Aku masih teringat semasa itu, di mana salah seorang doktor yang bekerja di jabatan forensik sebagai pakar autopsi sememangnya kelihatan tak cukup tangan dalam membedah siasat dan mengenalpasti punca kematian kebanyakkan mayat yang dijumpai di situ.

Mereka bekerja mengejar masa, untuk mendapatkan punca kematian, dan mengelakkan daripada proses mayat yang mulai mereput dengan cepat kerana tempat sejuk beku sudahpun penuh.

Dikala itu, sesiapa yang melalui jabatan tersebut pasti berasa jelik dan nak muntah dengan bau-bauan mayat yang memenuhi ruang atmosfera di sana, termasuk aku. Kebetulan, pada satu malam, aku bekerja syif on-night di mana aku bekerja mulai jam 9.00 malam dan pulang ke rumah pada jam 7.00 pagi.

Aku perasan pula medical officer (MO) yang bekerja di wad pada malam itu, iaitu Dr Satesh. Dia memang terkenal dengan kejonahan dia.

Ala, kalau korang tak faham maksud jonah tu, senang cerita, dia macam ni, sesiapa staf yang jonah, kalau masa dia bekerja, pasti ada kematian la, pesakit tak stabil tiba-tiba dan lain-lain.

Ya, ya, aku tahu percaya perkara berkenaan memang tidak patut dan berdosa besar, seperti artikel yang doktor ni tulis pun (DrSharky), jadi sebelum ada yang nak sound, aku cakap awal-awal la, hahaha.

Baik, sambung cerita, memang keadaan wad amat sibuk malam itu. Pada lebih kurang jam 1.45 pagi, sememangnya kejonahan Dr Satesh terbukti. Seorang pesakit di katil 15 meninggal dunia walaupun kami semua bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa pesakit.

Setelah kesemua urusan kematian diuruskan, aku menolak jenazah ke jabatan forensik bersama seorang PPK bernama Shukri. Sampai sahaja di sana, setelah urusan penghantaran jenazah ke sana selesai, jam telah menunjukkan pukul 3.00 pagi.

Sewaktu itu, kawasan di jabatan forensik telahpun bersih dan tidak berbau mayat reput, dan mayat-mayat daripada Rohingya telah pun selesai diuruskan sejak 5 - 6 hari yang lalu. Tetapi tiba-tiba baru aku perasan, aku masih lagi belum menunaikan solat Isya’. Astaghfirullah hal azim, aku beristighfar di dalam hati. Aku terlalu sibuk menguruskan pesakit sejak aku menerima passover sehingga aku hampir terlupa menunaikan solat.

Aku berkata kepada PPK Shukri, dan dia hanya tersengih sahaja kerana dia macam nak memerli aku pula mencari alasan supaya dia perlu menolak katil kembali ke wad berseorangan.

Tapi dia tak boleh nak kata apa-apa kerana alasan aku nak menunaikan solat, takut dia rasa berdosa nanti. Lagipun, sebelum aku kembali ke wad, baik aku solat siap-siap. Aku tahu, masuk sahaja wad nanti, sudah tentu kerja tak akan berhabis.

Sebelum dia sempat berkata apa-apa, segera aku berkata dengan Shukri apabila melihat mukanya yang dah nak mulai berkata sesuatu untuk menyakat aku.

“Yelah, ang tunggu la aku solat sat. 5 minit ja (sahaja)” aku berkata kerana aku tahu, aku boleh selesai solat dalam masa 5 minit sahaja, dan boleh kembali ke wad bersama Shukri dan katil kosong daripada wad tadi.

“Banyak la ang. Dah dah, gi solat tu, aku tunggu”, katanya sambil melihat skrin telefon pintarnya.

Jadi, aku segera ke surau yang terletak kira-kira 10 meter sahaja daripada jabatan forensik.

Aku mengambil wudhu dan suasana di sana amat sunyi tetapi sejuk yang amat kerana pendingin hawa jenis centralized memang sejuk apabila waktu malam sehingga ke pagi. Aku menghamparkan sejadah, dan terus mengangkat takbir.

“Allaaaahuakbar…”, aku mulai membaca doa Iftitah. Baru sahaja aku nak memulakan untuk membaca surah Al-Fatihah, tiba-tiba aku terdengar

“Allahuakbar”, seorang lelaki berdasarkan suaranya mengangkat takbir dari sisi kananku.

Kepala aku yang sedikit tertunduk menampakkan aku 2 orang makmum yang baru sahaja memasuki saf. Aku pun terus membaca surah dengan sedikit kuat memandangkan kini, aku mengimamkan solat Isya’ ini untuk makmum yang baru masuk saf di belakangku.

“Siratallazina an`amta `alayhim ghayril-maghdhu bi `alayhim waladh-dhallin…Aaamiin”

Aku hampir terkejut apabila lafaz Amin tersebut disaut dengan kuat, seolah-olah ada ramai makmum dibelakangku.

Aku tidak fikir yang bukan-bukan kerana pada tanggapan aku, mungkin saudara-mara mahupun waris pesakit yang duduk jauh datang ke hospital menziarahi keluarga dan sahabat mereka. Sesuatu yang tidak pelik di hospital ini aku kira.

Aku meneruskan solat seperti biasa. Semasa aku rukuk, memang aku nampak kelibat kaki di belakangku. Ya, aku tahu, aku dah tak khusyuk dah masa tu. Tambahan pula, di saf di belakang lagi, aku terlihat pula sebaris lagi makmum memakai telekung.

Itu aku tidak kisah, namun, bau busuk yang tiba-tiba menerjah hidungku. Ibarat bau mayat bercampur dengan clorox dan kapur barus membuatkan aku hilang tumpuan.

Pandangan mata aku semakin meliar, melilau ke sana sini. Tiba-tiba pandangan mataku menangkap dengan jelas kaki salah seorang jemaah di belakangku ketika aku sujud pada rakaat kedua.

Memang bukan kaki manusia yang normal. Hitam, kulit mengelupas dan berulat menyebabkan aku menutup mata rapat-rapat. Entah ke mana tajwid dan bacaan dalam solat aku selepas itu, hanya tuhan yang tahu.

Aku berjaya mengawal perasaan setelah aku menguatkan semangat dan membaca kalimah-kalimah suci semasa solat. Aku memberi salam dan mengangkat tangan untuk berdoa.

Ya, aku mengaku, aku masih lagi tidak membuka mata kerana terlalu takut. Aku berdoa pun dengan perlahan, takut sangat terdengar jawapan “Amin!” entah dari siapa-siapa.

Selesai aku membaca doa, aku duduk terdiam. Lebih kepada terpaku sebenarnya, dan terlalu takut untuk menoleh ke belakang. Tiba-tiba bahu kanan aku dicuit. Aku melompat sambil mengeluarkan pembuka silat yang aku belajar daripada cerita lakonan Jackie Chan.

“Ang awat macam beruk ni, jom la balik wad. 10 minit aku tunggu ang, tau dak!?”, kata Shukri yang tersengih macam kerang busuk melihat aksi aku.

Aku mendiamkan diri sahaja, dan langsung tidak melayan lawak bodoh dia yang mengutuk aku atas persembahan gaya silat yang aku lakukan tadi. Bukan sebab tidak lawak, tetapi otak aku masih lagi tidak dapat menerima dan memproses apakah yang baru sahaja berlaku tadi.

Aku pun tidak berani membuka cerita kepada sesiapa pada malam itu, bukan apa, sebab esoknya aku masih lagi bekerja malam kedua. Cuma agak bersyukur bukan Dr Satesh yang bekerja keesokkan harinya.

PPK Shukri mula menyebarkan cerita tentang lawak jenakanya setelah kejadian tersebut berlaku. Hanya setelah aku menceritakan dia hal sebenar, barulah dia mendiamkan dirinya dan tidak membuat lawak tentang kehebatan aku dalam membuka langkah silat secara tidak sengaja itu.

Sebenarnya, memang banyak kejadian yang berlaku seumpama itu selepas daripada peristiwa yang menjadi kenangan ngeri untuk aku. Memang apabila jam 10 malam ke atas, sesiapa yang solat di sana, pasti akan didatangi makmum entah dari mana ini.

Memang ada yang mengesyaki mungkin roh arwah yang mati dibunuh dengan kejam, rata-ratanya warga Rohingya yang beragama Islam kini menjadi makmum di sana. Akan tetapi, jika mengikut Islam, apabila seseorang itu mati, akan terputus segala amalan dan perhubungannya dengan dunia ini.

Susah untuk aku mentafsirkannya. Kini aku sudah berubah, apabila alku kerja jam 9.00 malam, aku solat awal-awal waktu lagi di Surau berhampiran hospital sebelum ke tempat kerja. Juga, apabila solat, mata aku tidak lagi meliar ke sana sini. Mungkin ini pengajaran yang paling penting aku dapat selepas daripada kejadian itu.

Wallahualam

Cerita ini ditulis berdasarkan kisah yang benar berlaku. Nama dan lokasi kejadian telahpun diubah bagi menjaga privasi pencerita asal yang tidak mahu dikenali ramai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience