Usai mereka bersarapan bersama, Adi Ashraf menyambung kerjanya. Sesekali dia mengerling ke arah isterinya yang sedang duduk di sofa didalam pejabatnya. Jam tangannya dikerling seketika.
Pelik apabila isterinya itu masih tidak meminta diri untuk keluar pergi ke kerja. Dia sendiri sedia maklum bahawa bapa mertuanya iaitu Encik Johan memiliki syarikat yang besar dan berprestasi tinggi. Namun takkanlah isterinya mengambil kesempatan atas peluang tersebut untuk masuk kerja sesuka hati.
"Riana, kau tak ada kerja ke?" soal Adi Ashraf akhirnya. Dia melirik ke arah isterinya mahukan jawapan. Ariana Atilia hanya beriak bersahaja.
"Ash, kau cuba nak halau ke apa hah?" bidas Ariana Atilia. Kalau tak suka dia ada dekat situ, janganlah tunjuk sangat. Terasa tau tak! Wajahnya dimasamkan.
Adi Ashraf mengeluh. Lain yang dicakap, lain yang difahamnya. Tangannya meraup muka.
Dia mencuba sekali lagi.
"Aku tak cakap nak halau kau. Aku cuma nak tahu kenapa kau tak pergi kerja lagi ni? Dah pukul berapa dah. Aku tahulah kau anak boss. Tapi kerja tetap kerja, Riana. Tak kesian ke dekat abah?" jelas Adi Ashraf. Sempat juga dia menitipkan pesanan kepada isterinya.
Ariana Atilia mula faham apa yang cuba disampaikan oleh lelaki itu. Mungkin lelaki itu tersalah faham dengan keadaannya sekarang. Dia menongkat dagu sambil memandang ke arah suaminya.
"Siapa kata aku kata aku tak kesian dekat abah? Abah yang suruh aku rehat. Kerja dekat rumah apa semua. Padahal aku tahu abah penat." luah Ariana Atilia sambil bermain dengan pen yang berada diatas meja Adi Ashraf.
Adi Ashraf hanya diam apabila mendengar luahan isterinya. Dia memberikan isyarat untuk Ariana Atilia meneruskan kata-katanya. Gadis itu akur dengan segera. Nafas panjang ditarik.
"Abah tak nak aku kerja dekat syarikat dia. Tapi disebabkan aku satu-satunya pewaris, aku tak ada pilihan lain. Jadi, abah suruh aku kerja dari rumah. Sebab dia tak nak hilang aku." ucap Ariana Atilia perlahan. Seakan tak mahu Adi Ashraf mendengar kata-katanya.
Namun, malang sekali kata-kata itu jelas didengari oleh Adi Ashraf. Lelaki itu tahu ada sesuatu yang disorokkan daripada pengetahuan dia selama ini.
"Apa maksud kau pasal abah takut hilang kau, Riana?" soal Adi Ashraf cuba mengorek rahsia daripada isterinya. Dia mendekatkan wajah ke arah gadis itu.
Ariana Atilia berkira-kira mahu menerangkan perkara sebenar. Pandangan Adi Ashraf yang penuh berharap membuatkan dia semakin berbelah bahagi. Tubuhnya disandarkan ke kerusi yang didudukinya.
"Kau ingat tak masa aku kena serang dengan seorang lelaki ni dekat mall hari tu?" soal Ariana Atilia secara tiba-tiba. Adi Ashraf mengangguk kecil.
Semakin tertanya-tanya apabila isu itu dibangkitkan. Ariana Atilia memejamkan mata buat seketika. Keluhan berat dilepaskan.
"Itu bukan pertama kali aku kena serang. Itu sebenarnya kali kedua. Perkara ni pernah jadi jugak sebelum aku kahwin dengan kau, tapi cuma sekali. Abah dapat tahu masa kejadian tu jadi dia terus risau.
Aku sendiri pun tak sangka perkara ni jadi balik. Kalau abah dapat tahu, dia mesti lagi risaukan aku. Jadi aku nak tolong kau rahsiakan daripada sesiapa terutamanya abah. Boleh?" pinta Ariana Atilia. Dia betul-betul tak mahu perkara tersebut sampai ke dalam pengetahuan Encik Johan.
Adi Ashraf mula rasa sangsi. Tetapi dianggukkan juga tanda mengiyakan.
Ariana Atilia menghela nafas lega. Akhirnya, dapat juga dia berterus-terang dengan suaminya.
"Kenapa kau tak bagitahu aku awal-awal? Kenapa rahsiakan benda ni dari aku, Riana?" soal Adi Ashraf lembut. Tak berniat mahu memarahi isterinya atau apa kerana hanya rasa ingin tahu mula menjalar dalam dirinya.
"Aku ingat kau tak kisah pasal aku. Kau sendiri yang cakap kau tak nak tahu apa-apa pasal hidup aku sebelum ni kan?" balas Ariana Atilia cuba mengingatkan suaminya tentang kata-kata yang diucapkan oleh lelaki itu sebelum perkahwinan mereka berdua.
Secara tidak langsung, kata-kata yang pernah Adi Ashraf ungkapkan kepada Ariana Atilia pada suatu ketika dulu diimbas semula.
"Aku juga takkan ambil tahu pasal kau faham tak? Jadi, kenapa nak buang masa kau dengan orang yang tak pernah kisah tentang diri kau macam aku."
Kata-kata itu bagai terkena tepat pada batang hidung Adi Ashraf sendiri. Dia memandang ke arah isterinya sekilas. Ariana Atilia membalas dengan mengangkat bahu tanda dia hanya menyatakan perkara sebenar.
"Aku... Aku tahu aku cakap macam tu sebelum ni." ucap Adi Ashraf serba salah. Ariana Atilia hanya diam menunggu kata-kata suaminya yang seterusnya.
"Tapi sekarang aku dah ubah fikiran. Aku nak... tahu pasal kau. Kalau kau tak nak, aku faham." ucap Adi Ashraf sambil menggaru belakang kepalanya yang tidak gatal. Matanya melilau ke sekeliling pejabat tak mahu bertentang mata dengan Ariana Atilia pada ketika ini.
Ariana Atilia mengukir senyuman apabila mendengar kata-kata yang diucapkan oleh suaminya. Tak lama kemudian, dia tersengih kerang.
"Siapa kata aku tak nak? Aku nak. Tapi aku pun nak ambik tahu pasal kau jugak kalau macam tu." balas Ariana Atilia selamba.
Adi Ashraf segera memandang ke arah isterinya. Tak sangka jawapan itu yang diberikan kepada dirinya setelah segala kata-kata yang pernah diungkapkan sebelum ini. Dia kehilangan kata-kata.
"Kau... tak marah aku? Tak rasa macam menyesal sebab kahwin dengan aku?" soal Adi Ashraf tanda tak percaya. Ariana Atilia mengeleng laju.
"Tak. Aku tak menyesal. Marah? Ada la kadang-kadang bila kau buat perangai tak semengah kau tu. Tapi aku tahu sebenarnya kau baik. Kalau tak, sekarang kita takkan kahwin kan?" balas Ariana Atilia bersahaja.
Sekali lagi, Adi Ashraf kehilangan kata-kata. Dia membetulkan seketika tali lehernya yang secara tiba-tiba terasa ketat. Dia berdehem sedikit.
"Kenapa tu? Tercekik?" usik Ariana Atilia berpeluk tubuh. Suka melihat lelaki itu terdiam. Selalunya dirinya yang berada didalam keadaan sebegitu. Kini apabila tiba giliran suaminya pula, Ariana Atilia menggunakan peluang ini sebaiknya.
"Diamlah. Pergi sana. Kacau orang kerja je tahu." halau Adi Ashraf tak puas hati. Suka lah tu kan. Senyuman mengejek daripada isterinya dijeling. Agaknya inilah perasaan isterinya selama ini.
Ouch, sakit.
"Eleh, cekik betul-betul kang baru tahu." balas Ariana Atilia. Tangan diacah mahu memegang batang leher suaminya. Adi Ashraf menampar lembut tangan isterinya.
"Don't you dare. Aku bagitahu abah nanti. Nak? Biar kau kena kurung dekat rumah terus." ugut Adi Ashraf. Ariana Atilia menutup mulut kerana terkejut dengan ugutan suaminya. Dasar!
"Kau jahat. Huh. Malas layan." balas Ariana Atilia. Matanya dipincingkan ke arah Adi Ashraf. Tangannya mengepal penumbuk cuba menahan geram. Adi Ashraf tersenyum sinis.
"Nope, baru tadi kau kata aku baik." serang Adi Ashraf menggunakan kata-kata isterinya sebentar tadi. Ariana Atilia berpura-pura tak dengar.
"Diam." balas Ariana Atilia senada. Adi Ashraf ketawa. Wajah isterinya yang masam mencuka dipandang. Tak lama kemudian, senyuman lebar terukir dibibirnya.
??????
Kelihatan Haris Irfan sedang sibuk menaip sesuatu di komputernya. Perbuatan lelaki itu terhenti seketika apabila teringat perbualannya bersama Adi Ashraf tempoh hari.
Sejak itu, dia tidak lagi mencuba menghubungi Ariana Atilia. Bukan kerana dia takut dengan amaran yang diberikan oleh Adi Ashraf. Tetapi, kerana dia tak mahu keadaan antara mereka semakin buruk.
Dia sendiri tak mahu mengambil risiko apabila lelaki itu mengugut dirinya untuk tidak membenarkan dia berjumpa dengan Ariana Atilia lagi. Tindakan lelaki itu benar-benar membuatkan Haris Irfan tak senang hati.
Persahabatan yang telah terjalin antara mereka berdua setelah sekian lama kini bagai tergugat dengan kehadiran Adi Ashraf sebagai suami kepada Ariana Atilia. Dia sendiri sudah bertegas dalam menasihati gadis itu agar tidak mengahwini Adi Ashraf setelah apa yang terjadi. Namun rakan baiknya itu tetap berkeras.
Pandangan matanya jatuh pada wallpaper yang telah ditetapkan pada skrin telefon pintarnya. Gambar dia bersama Ariana Atilia yang sedang bergelak tawa pada zaman mereka seuniversiti dahulu. Kenangan manis mereka bersama terlayar di fikiran.
Dia tahu dia tak boleh lagi melepak dengan gadis itu setelah gadis itu telah berkahwin. Kerana itu jugalah dia terasa seperti rakan baiknya itu dirampas oleh Adi Ashraf.
Kenyataan bahawa Ariana Atilia sendiri yang mahu berkahwin dengan Adi Ashraf membuatkan dia sakit hati. Sakit hati apabila sahabatnya itu sendiri yang memilih jalan sebegitu yang akhirnya akan berakhir dengan buruk.
Dia percayakan Ariana Atilia. Namun dia tak mampu untuk menaruh kepercayaan kepada Adi Ashraf. Oleh sebab itu juga, dia perlu menghalang Adi Ashraf daripada menyakiti Ariana Atilia kelak.
Kerana dia percaya bahawa mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Itulah yang akan dilakukan oleh Haris Irfan. Selagi Ariana Atilia tidak tersakiti.
??????
"Eh kakak ipar! Buat apa dekat sini? Abang paksa eh?" tegur Akid Ahnaf yang sesuka hati menerjah masuk ke dalam bilik pejabat milik Adi Ashraf.
Ingatkan nak jumpa abang dia tadi. Tak sangka jumpa Ariana Atilia pulak. Matanya diliarkan cuba mencari kelibat abang sulungnya yang satu tu. Yelah itu jelah abang dia pun.
Namun tiada langsung tanda-tanda keberadaan abangnya disitu. Jangan dikatakan batang hidung, bayang pun dia tak nampak. Pandangannya dialihkan kepada Ariana Atilia mahukan jawapan.
Takkan main sorok-sorok kot. Akid Ahnaf mula berloyar buruk. Ariana Atilia mengeleng kepala kerana penat melayan kerenah adik iparnya.
"Akak tak kerja hari ni. Ash tak ada. Pergi mesyuarat kalau tak silap. Kau tak payah la nak ber 'akak' dengan aku, Akid. " jawab Ariana Atilia ringkas.
Soalan daripada lelaki itu turut dijawab pada masa yang sama. Sempat juga ditegur nama panggilan yang digunakan oleh adik iparnya itu. Ingat dia tua sangat ke? Heh.
Akid Ahnaf mengangguk tanda faham. Dia tersengih kerang. Tiba-tiba, dia terfikir idea bernas.
"Oh kalau macam tu, kau nak join tak aku dengan Izz lunch hari ni? Selalunya kita orang berdua ajak abang. Tapi dah dia sibuk. Kau nak tak?" pelawa Akid Ahnaf. Itulah tujuan dia ke situ sebenarnya.
Ariana Atilia mengangguk laju. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal apabila dipelawa oleh adik iparnya. Mana taknya, boleh pulak suami dia tak bagi dia makan. Suami tak berhati perut!
"Eh, kejap. Aku kena bagitahu Ash dulu. Nanti dia bising." celah Ariana Atilia kelam kabut. Dia mengambil sekeping nota kecil untuk ditinggalkan nota buat suaminya. Sebaik selesai, dia tersenyum kepuasan.
"Ok, jom!"
??????
"Ha sampai pun kau, abang kau mana? Eh, Riana?" soal Izz Faris pelik. Sejak dari tadi dia menunggu ketibaan dua adik beradik itu. Tetapi Ariana Atilia pula yang bersama dengan Akid Ahnaf.
Ariana Atilia menunduk malu. Dia menendang kaki Akid Ahnaf tanda memberi isyarat untuk lelaki itu menerangkan bagi dirinya. Akid Ahnaf yang baru sedar menepuk dahi.
"Oh, lupa aku nak bagitahu kau Izz. Abang aku ada meeting. Aku memang nak ajak dah tadi tapi terjumpa pulak Riana. Kebetulan dia tak kerja, aku ajaklah dia. Kau okay kan?" jelas Akid Ahnaf yang sudah melabuhkan punggung di kerusi.
"Lah, aku okay. Duduklah Riana." balas Izz Faris sambil melemparkan senyuman. Ariana Atilia membalas kembali dengan senyuman.
Mereka bertiga mula memesan makanan dan minuman. Tak sabar mahu mengisi perut yang sejak dari tadi berbunyi. Sekali sekala Akid Ahnaf akan berloyar buruk hingga mampu membuatkan Izz Faris dan Ariana Atilia turut ketawa bersama.
"Riana, lupa pulak nak tanya. Macam mana kau dengan abang aku lepas kahwin ni? Semua okay? Ke bergaduh je kerjanya." soal Akid Ahnaf ingin tahu. Izz Faris mengangguk tanda bersetuju dengan soalan daripada lelaki itu.
"Okay. Bergaduh tu ada la jugak kadang. Macam la kau tak tahu perangai abang kau macam mana, Akid." balas Ariana Atilia selamba. Dijeling lelaki itu sekilas.
Akid Ahnaf dan Izz Faris berpandangan sebelum menghamburkan tawa. Ada benarnya kata-kata gadis itu. Tetapi perasaan ingin tahu lebih lanjut mengenai perkahwinan abangnya makin menjalar dalam diri Akid Ahnaf.
"Erm, Riana." panggil Akid Ahnaf. Ariana Atilia mengangkat muka. Izz Faris turut menoleh ke arah lelaki itu. Pelik apabila nada yang digunakan bertukar menjadi serius.
"Apa?"
"Abang ada cakap tak pasal Ma-"
Belum sempat lelaki itu menghabiskan kata-katanya, air minuman milik Ariana Atilia tertumpah kerana tolakan daripada seseorang. Izz Faris segera meminta maaf.
"Sorry, aku tak sengaja." ucap Izz Faris penuh serba salah kepada Ariana Atilia. Namun, jelingan tajam diberikan kepada Akid Ahnaf. Lelaki itu meneguk air liur.
"Eh tak apa. Aku pergi tandas kejap." balas Ariana Atilia. Tak adalah banyak sangat air yang tertumpah pada pakaiannya. Namun terasa melekit apabila terkena air manis sebegitu. Dia meminta diri untuk pergi ke tandas.
Sebaik memastikan Ariana Atilia tiada di situ, Izz Faris menyiku Akid Ahnaf. Matanya dijegilkan ke arah lelaki itu. Akid Ahnaf mempamerkan riak muka tak bersalah.
"Kau gila ke?" soal Izz Faris tanda tak percaya. Akid Ahnaf menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia menyalahkan mulutnya yang tak reti ditutup.
"Aku nak tahu itu je." balas Akid Ahnaf selamba. Izz Faris mengeleng kepala. Mulutnya tak berhenti berceramah agar lelaki itu lebih berhati-hati selepas ini. Namun, telefon pintar milik Akid Ahnaf mula berdering.
Izz Faris memberi isyarat untuk lelaki itu mengangkat sahaja panggilan tersebut. Risau sekiranya penting. Dia menunggu Akid Ahnaf untuk menyelesaikan urusannya. Tanda tidak mahu menganggu privasi lelaki itu.
"Siapa?" soal Izz Faris sebaik melihat Akid Ahnaf menamatkan panggilan. Akid Ahnaf menyimpan semula telefon pintarnya ke dalam poket seluar.
"Oh abang aku lah, Adi Ashraf. Dia tanya mana isteri dia. Dia suruh tengokkan Riana sementara dia meeting dengan siapa entah." balas Akid Ahnaf. Dia cuba mengingat semula nama yang disebut oleh abangnya sebentar tadi.
Sebaris nama yang meluncur keluar dari mulut Akid Ahnaf membuatkan Izz Faris dapat merasakan ada sesuatu yang buruk bakal berlaku antara pemilik nama tersebut dan Adi Ashraf.
"Haris Irfan."
Huwaaa! Sorry sgt sebab lambat update!??
Maaf juga kalau buat reader semua tertunggu-tunggu ??
Sekarang author update tak menentu tau sebab dah tak free macam dulu.????
But don't worry, author akan keep updating!??
Sampai complete aminnn??
Doakan author!
Stay tune!?
Share this novel