Bab 46: Masalah

Romance Series 20066

PELEKUH penghidup motosikal ditendang buat kesekian kalinya. Sampai nak tercabutlah rasanya Syafiq tendang benda alah tu tetapi enjin motosikalnya tetap tak kunjung hidup. Syafiq merengus geram.

Rasanya baru beberapa minggu lepas, dia dah bawa motosikalnya diservis kat bengkel kepunyaan Mail. Takkanlah sekejap aje motosikalnya dah buat hal. Nak kata Mail tipu, itu tak mungkin. Dia sudah kenal Mail lebih dari 10 tahun, dan servis yang keberikan Mail sentiasa memuaskan.

Mungkin, motosikal tu dah tua agaknya. Nak hidup enjin pun, semput-semput aje bunyinya. Dia suruh tukar motosikal barulah tu.

Alahai, dugaan betul. Waktu nak ambil isterinya pulang dari kerjalah motosikalnya nak buat hal.

Daripada dia biarkan isterinya itu menunggunya yang pasti takkan kunjung tiba, dia mesti telefon isterinya segera. Terpaksalah dia biarkan isterinya tu pulang sendiri hari ini.

"Sayang, abang mintak maaf sangat sebab buat sayang tertunggu. Abang nak bagitahu yang motor abang rosak. Abang tak boleh ambik sayang baliklah hari ni. Abang mintak maaf sangat." Syafiq mulakan ucapan apabila panggilannya diangkat.

"Ooo ... ye ke. Tak apalah. Kalau macam tu saya balik sendiri."

"Sayang tumpanglah kawan ke, naik Grab atau pun teksi ke. Janji balik. Kalau naik Grab tu, duit nanti abang bayar balik tau. Abang mintak maaf sangat." Kata maaf masih tak putus dari dilontarkan Syafiq.

"Ish, abang ni. Tak payahlah mintak maaf. Bukan salah abang pun. Tak apa, saya usaha cari jalan untuk balik, ye."

"Terima kasih, sayang. Apa-apa hal, call abang."

Syafiq matikan talian dan keluhan berat dilepaskan. Wajahnya diraup kasar lalu skrin telefon ditatap semula.

Nama Mail menjadi sasaran untuk dia buat panggilan seterusnya. Hanya kawannya itu sahaja yang mampu dia harapkan sekarang ini untuk selesaikan masalah yang dihadapi.

*****

Damia kerling jam di tangan. Sudah hampir 20 minit dia menunggu di pondok perhentian bas ni. Selalunya dia menunggu suaminya datang menjemput di situ dan suaminya tak pernah terlambat walaupun seminit pun untuk mengambilnya. Hari ini, lain pula jadinya.

Gegelung gelisah sudah melingkar dalam hati. Dia pandang kawasan di depannya. Jalan raya agak sibuk sebab waktu begini orang ramai sudah pulang dari bekerja.

Lepas itu dia alihkan pandangan ke arah bangunan syarikat VeoBay Group yang hanya terletak beberapa meter dari situ. Tadinya kawasan parkir di depan bangunan itu dipenuhi kereta, tapi sekarang sudah beransur lengang.

Orang lain yang menunggu di perhentian bas itu sudah beredar pergi apabila bas yang ditunggu mereka tiba. Maka tinggallah Damia berseorangan. Makin tak tentu arah Damia jadinya.

Suami aku ni lupa ambik aku ke? Dah nak dekat setengah jam dah ni. Soal Damia dalam hati.

Lebih baik dia dail suaminya sekarang. Mungkin betul suaminya terlupa. Maklumlah, suaminya tu kan, kadang terlalu busy sediakan satenya untuk dibawa meniaga kejap lagi.

Tapi baru aje Damia keluarkan telefonnya dari tas tangan, peranti itu berdering. Perkataan 'Husband' terpapar pada skrin. Automatik bibir Damia senyum segaris. Rupanya, suaminya tak lupa pun tentang dirinya. Macam tahu-tahu aje suaminya tu.

Panggilan dijawab. Suara suaminya di hujung talian didengar dengan penuh fokus. Dengar nada suaminya bercakap, seperti suaminya tu tergocoh-gocoh mengejar sesuatu. Tiada ketenangan yang tersurat dalam nada bicaranya.

Kepala Damia digelengkan dan perkataan tak mengapa dipaculkan. Lalu dia senyum sekadar memaniskan wajah. Biarpun begitu, riak kekecewaan tak mampu disembunyikan. Kalau Syafiq nampak wajah Damia sekarang ini, pasti lelaki itu ditindih dengan rasa bersalah yang menggunung.

Sebaik sahaja panggilan putus, keluhan dilepaskan. Kenapalah suaminya tu baru sekarang nak call, beritahu tentang motosikalnya rosak?

Kalau bagitahu lagi awal kan senang. Tak adalah dia menunggu seorang diri macam ni. Nasib baiklah kawasan sini ramai orang. Jadinya rasa sikit selamatlah.

Tapi dia kena juga dapatkan cara untuk pulang. Takkanlah dia nak tunggu kat pondok menunggu bas tu sampai malam? Dahlah lagi setengah jam mahu beralih ke pukul 7:00 malam.

Pin!

Terenjut sedikit bahu Damia apabila gegendang telinganya menangkap bunyi hon yang agak kuat tu. Siapa si bedebah yang main hon-hon ni, ha? Nasib baik aku tak ada penyakit jantung tau! Marah Damia dalam hati.

Tapi kemarahannya bagaikan lesap ditiup angin tatkala matanya tertancap tepat pada kereta berwarna merah yang betul-betul berhenti di bahu jalan. Tepat berada di depan matanya. Dan apabila tingkap kereta itu diturunkan, mata Damia menjegil luas.

Encik Zaffran!

Tanpa suara Damia sebut nama encik bosnya itu. Terperanjat dan tergamam. Tiba-tiba badan terasa kaku.

Terkejut bukan sebab apa, tapi sebab tak pernah pula dia lihat bosnya tu naik kereta baru. Selalunya Si Zaid tu naik aje kereta biru Audi R8 setiap kali mahu pergi keluar. Ni kereta apa pula?

"Damia, suami awak tak datang lagi ke?" Dari dalam kereta, Zaid tanyakan itu. Ray-ban hitam yang dipakai diturunkan sedikit.

"Haah. Motor dia rosak pulak. Saya pun baru aje nak order Grab."

"Lah ... tak payah order Grab bagai. Balik je dengan saya. Saya hantarkan," pelawa Zaid.

"Eh? Tak apa ke, encik?" Buat-buat tanya pula Si Damia ni padahal dalam hati, memang dia teringin pun nak menumpang bosnya tu. Dah bos pelawa kan, takkan nak tolak.

"No, it's okay. Come!"

Damia tanpa rasa kekoknya terus bangun dan berjalan masuk ke dalam kereta Zaid. Dia pun sudah terbiasa duduk di sebelah bosnya itu setiap kali dia ikut bosnya itu pergi ke mana-mana.

Usai memasang tali pinggang keledar, kereta yang dipandu Zaid terus meluncur membelah jalan raya yang agak sibuk itu.

Seperti biasa, Damia dengan tingkah perak dia tu melilau matanya mengimbas semua benda di dalam kereta Mercedez Benz itu. Maklumlah, kereta mahal. Bila lagi dia boleh naik kereta macam ni. Sementara dia jadi PA bos ni la yang boleh tunaikan keinginannya naik kereta sebegini.

Selalunya Audi, hari ni Mercedez. Dua kereta tapi seorang aje yang guna. Kereta mahal pula tu.

Tapi tak peliklah sebab dah nama pun Zaid Zaffran, pemilik VeoBay Group. Apa yang Damia tahu pasal bosnya tu, VeoBay Group milik Zaid juga mempunyai peneraju utama di Kuala Lumpur dan di Perlis ini hanyalah sekadar cawangan ataupun sesuatu yang boleh diistilahkan sebagai 'backup' untuk syarikatnya.

Dan mengikut apa yang Zaid pernah katakan kepadanya ketika dulu, insya-Allah satu hari nanti, kesemua yang berkaitan syarikat VeoBay Group akan digabungkan di bawah syarikat yang di sebelah KL. Itu bermakna, VeoBay Group yang didirikan di Perlis hanyalah sementara sebelum bertukar tangan dengan orang lain.

Pasti VeoBay Group di Kuala Lumpur tu lebih besar dan gah.

"Dah habis scan saya punya kereta?" Zaid masih fokus memandu tetapi sempat lagi dia memerli Damia.

Damia sengih. Tawa kecil dihamburkan sekadar mahu menghalau rasa janggal.

Daripada dia terus rasa janggal ni, baik dia bersembang sesuatu dengan bosnya tu. Bosnya tu kadang melayan juga kalau dia nak bersembang pun.

"Encik beli kereta baru, eh?"

"Tak adalah. Kereta lama ni. Driver saya baru bawak ni dari Kuala Lumpur sana tu. Daripada tinggalkan kereta ni tersadai kat sana, baik saya bawak kat sini aje, kan?"

Terangguk-angguk kepala Damia. Oh, hari ini Zaid balik kerja awal. Rupanya tengah settlekan hal berkaitan kereta ni.

"Damia."

"Ye?"

"Boleh tak kalau saya bawak awak keluar makan? Sebab dah nak dekat pukul 7:00 ni, so I think better kita dinner sama-sama. Saya belanja." Tanpa rasa ragu-ragu, Zaid mengajak Damia.

Aik? Tadi kata nak tumpangkan aje. Ni siap berajak makan segala pula. Damia sudah bergelut dengan perasaannya sama ada dia patut terima atau tolak sahaja pelawaan bosnya itu.

Tapi bosnya tu sanggup tumpangkan dia pulang ke rumah, jadi apa salahnya dia setuju sahaja dengan pelawaan Zaid tu, kan? Tak ada yang salah pun.

Makan malam sama-sama aje. Perut Damia sendiri pun, dah lain macam pula rasanya. Terasa kejung dan keras. Lapar sangatlah tu.

"Boleh je, encik. Kita nak makan kat mana?" tanya Damia.

"Soon you will know." Senyuman tersungging di ulas bibir Zaid.

Damia mengelewehkan bibirnya. Menyampah. Yang tu pun nak berahsia bagai. Lepas tu siap berEnglish-English lagi. Nasiblah kau tu bos. Kalau tak, memang ada yang kena sekeh karang. Bebel Damia dalam hati.

Tapi dalam hatinya tengah membebel tu, ingatannya kita tertumpu pula kepada Syafiq. Suaminya tu tengah buat apalah sekarang. Tengah bawa motor pergi repair ke? Mungkin iyalah tu.

Aku nak keluar makan dengan Encik Zaffran ni, jadi aku kena bagitahu dia ke? Dia suami aku.

Hmm ... rasanya tak payahlah. Lagipun aku dengan Encik Zaffran makan sekejap aje. Tak lama pun. Desis Damia dalam hati.

Tak ambil masa yang lama, 15 minit bertandang di dalam kereta milik Zaid, akhirnya mereka tiba di sebuah restoran yang agak meriah berdekatan sebuah hotel. Nampak seperti restoran mewah.

Memang mewah pun sebab tengok namanya pun dah tahu. Stari'One Cucina. Berbelit lidah betul nak sebut pun.

Layanan yang diberi pun, boleh tahan. Restoran lima bintang ke ni?

Itu baru layanan, belum lagi menu hidangan yang ditawarkan di restoran ini. Banyak makanan Itali. Damia pun, 10 minit jugalah dia ulang-alik tengok buku menu. Tak tahu nak pesan apa, last-last dia hanya pesan grilled lamb chops aje. Dikira makanan paling mewah dah tu bagi Damia.

"Lamb chop kat sini memang sedap tau. Pandai awak pilih." Sambil menunggu pesanan mereka tiba, Zaid isi masa dengan perbualan.

Damia hanya senyum. Sebenarnya dia main bedal aje pesan makanan tu. Maklumlah, lamb chop sajalah makanan Barat yang Damia pernah makan pun. Tak lupa juga, chicken chop pun.

Matanya lalu melilau pula di sekitar restoran itu. Sungguh mewah dan indah. Aroma lavender tak henti menusuk hidung, Bertemankan cahaya malap, irama muzik romantis juga sentiasa berentak yang mengasyikkan suasana.

"Saya baru tahu ada restoran macam ni kat sekitar ni. Bos mesti selalu kan datang sini?"

"Well ... restoran ni pun baru je bukak tahun lepas. Jadi saya pun dikira baru jugaklah dengan restoran ni walaupun ni bukan first time saya datang sini."

Damia hanya angguk.

"Lagi satu, janganlah panggil saya dengan perkataan 'bos' ataupun 'Encik Zaffran' atau 'encik' pun. Panggil je by my name, Zaffran. Kita sekarang ni kat luar tempat kerja, jadi tak payahlah nak formal sangat," sambung Zaid lagi.

"Err ... okey." Damia setujui juga sambil tersenyum.

Hidangan yang dipesan sudah pun tiba. Bau hidangan yang mengiurkan, membuatkan nafsu lapar makin meluap-luap.

Damia tengok lamb chop yang dipesannya tu, bukan calang-calang lamb chop. Lamb chop yang disiram dengan sos ammoglio, dihias dengan daun bawang dan disertakan sehiris buah lemon. Diperah lemon itu secukup rasa menyebatikan hidangan itu.

Lamb chop dipotong kecil. Suapan pertama berjaya dimasukkan ke dalam mulut. Dan ... wow! Rasanya amat memuaskan. Sampaikan bersuap-suaplah Damia mengunyah hidangan tu.

"Sedapnya lamb chop ni. Ni lamb chop paling sedap yang pernah saya makan seumur hidup saya," puji Damia yang nampak makin berselera. Jangkaannya tadi, mungkin lamb chop itu rasanya hanyalah biasa-biasa sahaja tapi tak terjangka pula yang rasanya amat luar biasa. Chef kiss!

"I have told you, right?"

Damia sengih. "Saya ni jarang makan lamb chop macam ni, tapi sekali je saya makan, memang tak boleh berhenti. Ye la, kat kampung saya tu, nak cari makanan Western susah sikit. Elok saya tengah craving Western food. Thank you encik sebab bawa saya datang sini."

"Not 'encik' again ..." tegur Zaid dengan meleretnya.

"Oops, sorry. Maksud saya, Zaffran." Aduh! Nak panggil bos sendiri guna nama, memang agak kekoklah jawabnya. Tak apalah, lama-lama nanti biasalah tu. Lagipun Damia panggil bosnya tu dengan panggilan tak formal, hanya selepas waktu bekerja aje.

Zaid terus tertawa sambil tergeleng-geleng kepalanya melihat wajah malu Damia tu. Rasa lucu pula tengok tingkah PAnya tu. Tiba-tiba hatinya rasa senang. Maklumlah, sebelum ni dia makan berseorangan saja. Kali ni, ada yang sudi teman pula.

Damia yang tak tahu apa-apa tertawa kecil sahaja. Err ... gelak kat akulah tu. Apa benda yang lawak sangat? Desis hati Damia.

Makanan setia disuapkan ke dalam mulut. Sempat juga matanya terarah kepada wajah bersih Zaid. Tiba-tiba nak tersenyum pula tengok wajah bosnya tu. Zaid tu tersenyum lebar sangat sampaikan timbullah lesung pipitnya tu. Baru tahu Damia yang bosnya tu ada lesung pipit.

Nak kata bosnya tu muka ketat atau malas senyum, tak juga. Senyum-senyum juga tapi tak adalah semanis begini. Seronok betul makan kat restoran mewah ni, ye? Damia tak henti-henti mengomel dalam hati.

"Damia, nak tahu satu benda tak?" kata Zaid tiba-tiba yang menghancurkan segala fikiran Damia tadi.

"Ha?"

"At first, saya ingat awak ni orang bandar tau. Ye la, nama awak pun kalau dengar sekali, macam orang bandar punya nama. Damia Qistina. I like your name," seloroh Zaid.

"Ish, mana ada. Saya ni orang kampung aje. Awak pun tahu kan asal-usul saya macam mana. Waktu interview tu, segala maklumat saya nyatakan tu semuanya betul tau. Saya memang duduk kat kampung dari saya kecik lagi." Damia telan liur. Bukan kerana dia tersilap kata, tapi rasa janggal pula panggil bosnya tu dengan panggilan 'awak'.

"Nama saya macam orang-orang bandar tu mungkin sebab mak saya yang demand sangat nak jadi orang kaya," sambung Damia lagi. Kali ni dia libatkan ibunya pula. Peduli apa dia. Memang dia mengumpat benda betul pun.

Mesti Mak Siti sekarang tengah tersedak-sedak sebab namanya tiba-tiba jadi bahan bicara orang.

Zaid terus perlahankan kunyahannya. Spageti aglio olio yang menjadi santapannya diletakkan di tepi. Napkin yang tersedia di atas meja itu diambil dan dikesat mulutnya dengan lembut.

Dia tatap diri Damia yang sedang khusyuk makan itu. Apabila Damia bercakap tentang ibunya tu, tiba-tiba minda Zaid merempuh suatu rasa yang penuh kemusykilan.

Damia tu macam tak suka aje dengan ibunya tu? Tengok muka masam Damia bila bercakap pun dah tahu.

"Biasalah tu. Siapa je tak nak kaya, kan? Nanti adalah tu rezeki awak dengan mak awak tu." Zaid cuba melemparkan pancingan. Harap sangatlah Damia termakan umpan.

"Merepeklah awak ni. Kami dah biasa hidup sederhana macam ni. Tapi mak saya tu, kemaruk sangat tau nak kaya."

Gotcha!

Damia dah termakan umpan pancingan Zaid. Jadinya betullah hubungan Damia dan ibunya tu agak renggang. Dan yang pastinya, Damia ni bukan jenis anak emak. Tapi sebab apa?

Sebab Damia hanya dapat kerja jadi PA saja ke? Tak mungkin. Kerja PA tu dikira okey dah apa. Ataupun, sebab Damia berkahwin dengan lelaki yang bukan menjadi pilihan?

Rasanya betullah tu! Ibu Damia tu nak jadi kaya, tapi macam mana dia boleh terima Syafiq sebagai menantu dia? Syafiq tu kerja biasa-biasa aje. Mesti Syafiq tu bukan menantu pilihan dia.

Otak geliga Zaid tak henti menyimbah persepsi-persepsi yang terlintas dalam fikiran. Tak apa, semua persoalan itu akan dia gali jawapannya dengan penuh halus dan mulus.

Bersambung...

Zaid dah mula dah tunjuk belang dia tu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience