Bab 1

Romance Series 33083

SELESAI menaip masuk semua maklumat ke dalam komputer. Camie tekan simbol disket di sudut kiri skrin komputer. Laptop miliknya masih dalam proses baik pulih, jadi Camie tiada pilihan selain menggunakan perkhidmatan komputer yang disediakan di perpustakaan. Alang-alang itu dia cari juga beberapa bahan rujukan yang dia pasti bakal menambahkan lagi nilai markah untuk final project nanti.

Tak lama. Hanya satu semester sahaja lagi dan semua ini nanti bakal menjadi kenangan yang mematangkan seorang Camelia. Pengalaman yang tiada taranya. Bukan mudah untuk berjaya, itulah pengajaran yang Camie belajar sepanjang lima tahun mengabdikan diri dalam menuntut ilmu di menara gading.

Kertas A4 yang bersepah dikutip satu per satu, dikumpulkan bersama dan dikepilkan sebelum dimasukkan ke dalam fail yang berkenaan. Setiap fail membawa maksud yang berbeza dilabel dengan jelas agar tidak bercampur aduk. Begitulah cara kerja seorang Camelia. Bersistematik.

“Camie, jom balik...” Satu suara yang tidak lagi asing menegur. Kak Hawa, senior yang menumpang rehat di rumah mereka kerana perjumpaan supervisor yang berlarutan sehingga ke lewat petang. Buku yang barusan sahaja dipegang terus ditarik keluar daripada susunan dan dipeluk erat. Sudah lama dia mencari buku yang laku bak goreng pisang panas ini. Bila sudah ketemu tak mungkin dia lepaskan.

“Saya baru jumpa buku ni kak. Tak apa, akak baliklah dulu... Saya balik sendiri aje sekejap nanti.”

“Betul ke ni? Kau balik sendiri nanti. Tak apa ke?” Kak Hawa pegang bahu Camie, menarik tubuh itu menghadapnya.

“Eh, tak apa, akak balik aje dulu. Nanti Abang Zek datang akak tak ada pula. Risau dia nanti...” pujuk Camie lembut. Bahu Kak Hawa ditepuk manja menegaskan keputusannya.

“Tak apa ke kau sorang ni?” Masih cuba memujuk.

“Alahai... bukan tak biasa, kak oi. Tak ada apalah. Akak baliklah. Orkid ada dekat rumah tu.” Camie tolak pula tubuh Kak Hawa.

“Jangan lambat sangat tau, dah nak malam dah. Langit pun gelap semacam aje tu...”

“Janji, sebelum senja saya balik...” Camie angkat sebelah tangan menabur janji.

Sebelum senja, itu janji Camie tadi tetapi sekarang. Bila ditilik jam besar di dinding. Menghampiri angka sembilan. Bila sudah mula menelaah Camie memang kerap lupa dunia. Mengenangkan hari yang semakin gelap. camie pantas berkemas. Segala yang penting di capai dan terus disumbat ke dalam beg galas laptop. Meskipun tiada laptop beg itu juga yang selesa dikelek ke hulu kehilir.

Pijak tangga terakhir bangunan perpustakaan universiti, Camie terus melepaskan keluh berat. Masin mulut Kak Hawa, benaran hujan. Selalunya penuh ruang legar perpustakaan itu dengan kelibat para pelajar dan para petugas. Tetapi saat ini, bayang pun tidak kelihatan.

Menghampiri perhentian bas, Camie labuhkan duduk. Di sebelah seorang lelaki berjaket hitam dengan kepala bertutup helmet, visor tidak dibuka makanya Camie gagal meneka tahap kekacakan si dia, tetapi jika diukur dengan jenis motor dan sosok tubuh si dia, pasti kacak. Sesuailah dengan postur tegap itu.

‘Dah kenapa aku sibuk fikir muka dia macam mana. Entah-entah orang jahat?’

Di saat Camie benar-benar memerlukan seorang peneman, mereka tiada pula. Gerun Camie seluk beg galas. Mencari telefon. Mungkin dengan mendengar lagu, rasa takut yang mula bertunas bisa di alihkan.

“Bagus! Bagus Camie!” Di waktu genting ini telefon pula kehabisan bateri. Klise. Tetapi itulah yang terpaksa Camie hadap. Ah, andai saja muncul hero penyelamat di saat dia benar-benar memerlukan bantuan. Bukankah bagus begitu. Tetapi pada siapa harus dia meletakkan harapan itu? Mustahil untuk lelaki itu muncul di saat ini.

“Nak power bank ke?” Suara menegur.

“Huh?” Camie pasti dia dengar suara tadi, dan di situ pula hanya ada dia dan si jejaka misteri. Maknanya... si dia yang bersuara?

‘Ummi... adik jatuh cinta! Suara pun sedap bukan main. Garau. Serak basah. Ah, pasti kacak! Confirm!’

“Nak tak?” Sebuah kotak hitam terhulur di depan mata. Diamati. Oh, power bank.

“Eh, tak apa... saya nak gerak dah ni. Rumah depan sana aje.” Tangan bersilang di dada membentuk tanda pangkah, gerun dengan keprihatinan yang cuba si dia tunjukkan.

“Student? Tapi hujan lagi. Tak apa ke?” ramah si jejaka bertanya.

“Tak apa. Sikit aje...” Camie tetap juga bangun. T-shirt di tarik ke bawah. Nafas diatur dalam usaha mengumpul semangat. Hujan yang semakin reda membulatkan tekad Camie.

“Demam nanti?” tegah si dia lagi. Seakan tidak rela melepaskan Camie pergi.

“Panadol ada.” Camie garu kepala. Bingung bagaimana pula dia boleh ramah berbalas bicara dengan lelaki misteri ini.

"Tunggu ajelah sekejap, nanti berhentilah hujan ni." cadang si dia.

"Tapi..."

"Tunggu ajelah situ. Bukan aku nak buat apa pun dekat kau. Tak berselera aku. Stok papan playwood macam kau ni bukan taste aku. Rata aje apa pun tak ada. Jangan risaulah. Tu... lelaki dekat luar sana tu yang kau perlu risaukan. Kotlah taste dia orang papan lapis macam kau..."

Melopong Camie di buatnya... Lasernya mulut si dia macam mereka dah kenal berpuluh tahun lamanya. Walhal baru beberapa minit tadi bersua. Muka pun tak tahu lagi bagaimana rupa selamba sahaja komen bentuk tubuh segala.

Mula tak selesa, Camie angkat juga tubuh.

SETIAP langkah kaki Camie ditemani oleh bunyi deruman enjin motosikal. Bukan lelaki yang sama di perhentian bas tadi, Camie yakin itu kerana bunyi deruman enjin jelas menunjukkan jenis motosikal yang sedang mengekorinya itu. Jika motosikal besar kepunyaan lelaki di perhentian bas tadi pasti bukan begitu bunyi deruman enjinnya.

“Hai, sorang aje ke? Hujan ni... jom, abang hantarkan?”

Camie geleng berkali-kali. Tiada suara yang mampu terzahir hanya sekadar gelengan sahaja. sungguh, dia takut saat ini.

“Tak takut ke? Mehlah abang teman...” Si dia berani pula mencuit Camie.

Beg galas terasa ditarik dari arah belakang. Reflek, Camie lajukan langkah. Saat ini keratan berita ragut dan rogol yang semakin berleluasa mula menghantui. Mengapa tadi tidak kau fikirkan semua kemungkinan itu Camelia!

“Hoi! Dah rasa cukup hebat sangat ke?” Suara garau itu kembali menjamah telinganya. Hero yang dia harapkan muncul juga akhirnya.

Tidak sempat Camie menoleh tubuhnya terlebih dahulu didorong ke belakang. Lengan dilelar kemas oleh tangan kekar si dia.

“Dah puas hidup? Yang kau kacau ni girlfriend aku. Baik kau blah sebelum helmet ni melekat dekat kepala kau.” jemari kasar itu mula naik, berkira-kira menarik keluar helmet di kepala.

Baru diugut dengan suara garau, throttle terus dipulas dan pergi meninggalkan hanya asap untuk Camie dan si jejaka perhentian bas.

‘Alah... kenapa cepat sangat mengalah mat rempit pun... Tak sempat abang budiman reveal muka.’

“Degil!” Camelia dimarahi, sekali pakej tunjuk telunjuk.

Camie tengadah. Perkataan itu langsung tidak dia jangkakan akan keluar dari bibir si jejaka. ‘Degil?’ Sungguh Camie tak mampu menghadam makna sebenar si jejaka. Adakah dia barusan sahaja dimarahi lelaki itu?

Hilang semua kata-kata pujian yang tadinya menggunung untuk si penyelamat.

'Ini bukan budiman, ini badiman! Huh!'

Ini barulah btl2 permulaan kisah Damien n Camie..pertemuan pertama mrk..jodoh dtg awl cuma lambat sikit nk bersatu =) happy reading semua..selamat menikmati cuti terakhir pd mrk yg bakal bekerja esk..pd yg masih ada sehari cuti..sepp sikit..hikhik

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience