Chapter 6

Thriller Completed 13723

Bab 6

Sambil bercakap itu, dia menekup mulutnya dengan tangan kanan seperti mahu memastikan tiada orang lain terdengar kata-katanya.
Zira, Emi dan Siti memandang Maria dengan wajah yang juga dipenuhi tanda persoalan. Sesungguhnya, mereka tidak tahu apa yang harus dikatakan saat itu.

*****

“Mau minum apa?”

“Bagi teh tarik satu.”

“Makan?”

“Roti kosong. Kuah kari, ya.”

Mak Cik Zaiton duduk di sebelah suaminya yang sedang leka menonton televisyen.
Mereka berdua adalah warga veteran di Apartment Orkid itu. Anak-anak semua sudah berkahwin. Kini tinggallah mereka suami isteri berdua sahaja di rumah.

“Bang, budak-budak tu kena kacau. Si Siti, si Maria dengan kawan-kawan dia.”

Pak Sudin meneguk air tehnya yang hampir kehabisan dan kemudian meletakkan semula gelas itu di hadapannya.

“Kena kacau? Eloklah tu. Cepat sikit kahwinnya budak-budak tu,” balas Pak Sudin acuh tidak acuh.

Matanya lekat di televisyen. Entah perlawanan bola antara pasukan mana, yang pasti, bila gol berjaya dijaringkan, akan adalah pelanggan di kedai mamak itu yang akan bersorak riang.

“Ish abang ni. Ada pulak kacau tu. Kalau kena kacau macam tu, buat apa Ton nak mengadu kat abang…”

“Habis tu kena kacau macam mana?” soal Pak Sudin lalu memandang sekilas kepada isterinya.

“Kena kacau dengan hantulah. Tu, rumah kosong kat tingkat atas tu. Dah berhantu agaknya,” mula Cik Zaiton.

Sementara menunggu roti canainya sampai, elok juga dia bercerita tentang kisah terkini di apartment itu kepada suaminya.

“Berhantu? Berhantu yang macam mana?” Pak Sudin merenungi tepat mata isterinya.

Cik Zaiton mencapai gelas berisi air teh tarik yang baru sampai. Dia meniup air teh itu beberapa kali sebelum meneguknya. Selepas beberapa teguk air teh masuk ke kerongkongnya, Cik Zaiton menarik nafas penuh kelegaan.

‘Memang sedap sungguh air teh tarik mamak ni,’ pujinya dalam hati.

“Ha, cepatlah cerita,” gesa Pak Sudin, kehairanan mendengar kenyataan isterinya tadi.

Selama dia tinggal di Apartment Orkid itu, tidak biasa pula dia terdengar cerita sebegitu. Tidak tahulah kalau penghuni-penghuni lain ada terdengar apa-apa. Tetapi memang tiada cerita pelik pernah sampai ke pendengaran Pak Sudin setakat ini. Cuma setakat terlihat kelibat, ada juga beberapa orang mengadu. Tetapi tidaklah teruk sampai kena kacau.

Selepas gelas teh tarik diletakkan semula di atas meja, Cik Zaiton mula membuka mulut. Satu per satu cerita yang didengarinya dari mulut keempat-empat gadis tadi, diceritakan semula kepada suaminya. Tidak ada langsung fakta yang tertinggal. Memang Cik Zaiton ialah seorang pencerita yang jujur.

Pak Sudin mendengar dengan penuh minat tanpa membuka mulut. Dia tidak mahu mengganggu kelancaran isterinya bercerita. Sesungguhnya perkara itu memang sangat baru di apartment itu. sekurang-kurangnya itulah pendapat Pak Sudin.

Cerita Cik Zaiton terhenti seketika apabila roti canai dan kuah karinya sampai. Pak Sudin menyuruhnya makan dahulu dan selepas itu, Cik Zaiton menyambung ceritanya semula.

*****

Cik Zaiton mengambil sehelai tisu berwarna merah jambu dari bekas tisu. Dia mengelap mulut dan tangannya. Kemudian tisu itu digumpal-gumpal hingga menjadi kecil lalu diletakkan di atas pinggan.

“Setahu abang, kalau ada gangguan jin, memang penghuni rumah akan terdengar bermacam-macam bunyi yang pelik,” ulas Pak Sudin setelah agak lama berdiam diri.

Perlawanan bola sepak yang sedang rancak di televisyen sudah tidak diendahkannya lagi. Kini, fikirannya berpusat kepada permasalahan yang baru didengarinya.

“Bunyi guli? Bunyi perabot ditolak-tolak, dianjak-anjak ke sana ke mari?”

“Ya.”

“Habis tu, nak buat macam mana? Kesian pulak Ton tengok budak-budak tu. Sorang-sorang mata macam nak menangis je tadi. Si Maria tu, mata dah merah dah. Kalau panjang lagi cerita, mau dia menangis agaknya.”

“Penakut sangat ke budak Maria tu?”

“Bukan dia seorang saja yang penakut. Kalau tiap-tiap malam terdengar bunyi pelik-pelik macam tu, awal malam, tengah malam, dinihari, Ton pun takut,” komen Cik Zaiton dengan mata yang sengaja dibuntangkan.

“Itulah yang salah tu. Asyik fikir takut je, jadilah takut.”

“Ish, kalau pasal hantu, sapa tak takuuut,” jawab Cik Zaiton tidak mahu kalah dengan menegaskan perkataan takut itu.

“Cuba jangan fikir hantu. Kalau perkataan hantu tu kita pusing-pusingkan, dah jadi perkataan tuhan. Ha, hantu lawannya Tuhan. Fikirkan Tuhan, fikirkan Allah. Insya-Allah, Allah akan jaga kita,” ujar Pak Sudin sambil meraba-raba duit di poket bajunya.

“Hmm… Yalah. Nanti Ton cakap dengan budak-budak tu,” janji Cik Zaiton biarpun tidak tahu bilakah lagi agaknya mereka akan bertembung.

“Pesan kat diorang, hendaklah kita menjaga perhubungan dengan Allah, insya-Allah, Allah akan menjaga kita,” tokok Pak Sudin.

“Insya-Allah. Nanti saya pesankan,” jawab Cik Zaiton.

…bersambung
Bab akan datang:
Adakah Cik Zaiton akan menasihati mereka seperti yang disuruh oleh Pak Sudin?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience