Bab 33

Short Story Series 55082

Rina turun ke bawah selepas selesai menunaikan solat zohor. Dia mendukung Qalifh bersamanya mahu membantu Mak Sofi menyediakan makan tengahari bersama. Hari ini Tan Sri Mansur dan Aqil tidak akan balik ke rumah untuk makan bersama kerana kedua-duanya mahu melawat tapak projek baru mereka. Mata Rina sempat melilau mencari kelibat Haikal di tingkat bawah. Dia berharap agar lelaki itu tiada di tingkat bawah atau tidak berada di rumah. Dia tidak selesa tinggal sebumbung dengan lelaki itu kerana dia merasakan tidak selamat jika tiba-tiba Haikal mengetahui identitinya yang sebenar.

Belum sempat Rina masuk ke dapur tiba-tiba Qalifh ditarik dari dukungannya. Hampir terjerit Rina dibuatnya kerana disangkakan ada orang jahat yang masuk ke rumah mereka kerana tidak pernah ada seorangpun yang melakukan hal seperti itu kepada dirinya.

“Qalifh main bersama uncle ya?” Haikal menimang Qalifh yang tersenyum masih malu-malu terhadap dirinya.

“Qalifh, mari bersama ummi saja.” Rina menghulurkan tangannya kepada Qalifh dan anak kecil itu mahu menyambutnya sebelum Haikal menjauhkan mereka berdua dengan berundur ke belakang beberapa langkah.

“Kenapa abang tak boleh bermain dengan anak buah abang pula?” Haikal bertanya dengan nada yang kedengaran sedang menahan kemarahan.

“Saya cuma tidak mahu dia menganggu awak buat kerja.” Rina memberikan alasan kepada Haikal yang sedang mencebik mendengar jawapannya yang tidak bersungguh-sungguh. Dia bukannya sibuk mana pun seperti yang didakwa oleh perempuan itu.

“Mana ada dia ganggu abang buat kerja. Kamu saja yang sebenarnya tidak suka jika Qalifh dekat dengan abang. Kenapa? Sebab kamu merancang mahu menjauhkan Qalifh dengan keluarga Aqil kan?” Kalau kamu dan Aqil ada masalah jangan bawa-bawa Qalifh bersama. Kalau kamu mahu berpisah dengan Aqil sekalipun jangan jauhkan Qalifh daripada kami.” Haikal berseloroh dengan andaiannya. Dia semakin yakin dengan tekaannya itu apabila melihat cara adik iparnya itu melayaninya dengan dingin.

“Apa yang awak merepek ni? Satu pun daripada ayat awak tidak ada yang betul. Saya tidak akan menjauhkan Qalifh dengan keluarganya. Jika saya mempunyai masalah dengan suami saya sekalipun saya tidak akan melibatkan Qalifh bersama.” Rina berani membalas kata-kata Haikal yang tidak masuk akal. Haikal memang sudah jauh terkeliru. Lelaki itu menganggap Aqil adalah suaminya padahal suaminya yang sebenar ada di hadapannya ketika ini.

“Habis Aqil tidur di mana semalam? Abang tak nampak pun dia di dalam bilik kamu.” Haikal bertanya masih tidak mahu mempercayai kata-kata Rina yang dianggap Shofwah itu.

“Aqil tidur di dalam bilik…nanti dulu. Awak mengintip bilik saya ke semalam?” Rina memandang Haikal dengan pandangan marah disebalik purdah hitamnya. Jadi semalam dia tidak tersalah dengar apabila mendengar tapak kaki daripada luar biliknya. Haikal secara tak sengaja sudah mengaku bahawa dia mengintip kamar tidurnya.

Haikal mati kata-kata. Sudah tertangkap pula!

“Bukan, abang tak bermaksud mahu mengintip kamu berdua. Semalam abang dengar suara kamu mengaji jadi abang hanya mahu melihat tapi sewaktu abang mahu masuk abang tidak nampak Aqil jadi abang tidak jadi masuk dan mencari Aqil di bawah tapi dia tiada.” Haikal mengaku kesalahannya kerana mengintip bilik Shofwah dan Aqil.

“Jangan pernah masuk ke dalam bilik saya lagi tanpa keizinan. Saya tahu ini rumah awak tapi bilik itu sudah diberikan papa kepada saya jadi ruang itu adalah milik saya buat sementara waktu. Saya akan berikannya semula kepada awak satu hari nanti. Saya dan Aqil tiada masalah apa-apa dan hubungan kami baik-baik saja.” Rina memberi amaran tetapi dengan suara yang perlahan sebelum dia meninggalkan lelaki itu dan Qalifh berlalu ke dapur mencari Mak Sofi.

Rina masuk ke dalam dapur dengan jalan yang laju sebelum dia jatuh terduduk. Tangan kanannya sempat berpaut pada kabinet dapur dan tangan kirinya diletakkan didadanya menahan sakitnya debarannya yang dirasakan tadi sewaktu berbual dengan Haikal. Dia tidak sekuat yang dikira. Bercakap dengan lelaki itu walaupun tidak sampai sepuluh minit sudah membuatkan dirinya lemah. Air matanya yang hampir gugur itu ditahan dan bibirnya diketap agar tidak kedengaran esakannya.

Tiba-tiba ada seseorang menyentuh belakangnya dan itu adalah Mak Sofi. Mak Sofi mengusap belakang Rina dengan lembut. Dia mendengar perbualan diantara Rina dan Haikal sebentar tadi. Dia tahu Rina berada di dalam ketakutan saat itu. Wanita muda itu takut jika Haikal mengetahui identiti dirinya yang sebenar.

“Apa yang harus Rina lakukan Mak Sofi. Rina tidak kuat untuk teruskan penipuan ini. Rina rasa berdosa dan Rina rasa bersalah kepada dia. Dia masih suami Rina yang sah. Dia mempunyai hak ke atas Rina dan Qalifh. Jika lelaki itu mengetahui diri Rina yang sebenarnya apakah lelaki akan bertindak kejam seperti dahulu?” Rina bertanya kepada Mak Sofi dengan keadaan gelisah.

“Sayang anak Mak Sofi, kamu tidak menipu sesiapa pun. Bukan kamu yang menipu tetapi Haikal sendiri yang membuat kesimpulan sendiri bahawa kamu Shofwah. Kamu hangan risau, InsyaAllah Haikal pasti berubah. Rina kena berikan dia peluang untuk menjadi suami kamu dan ayah Qalifh.” Mak Sofi membangunkan Rina dan didudukkan wanita muda itu ke atas kerusi yang berdekatan.

“Tidak Mak Sofi, saya tidak berencana untuk menghabiskan seluruh hidup saya dengan lelaki itu. Saya akan pergi daripada sini satu hari nanti.” Rina menolak cadangan Mak Sofi yang dia yakin pasti daripada Tan Sri Mansur kerana dia tahu Mak Sofi juga tidak bersetuju untuk dia dan Haikal meneruskan perkahwinan yang tidak dilihat masa depannya itu.

“Rina mahu ke mana? Bukan ke Rina kata Rina sudah tiada sesiapa di dunia ini selain daripada kami. Jangan tinggalkan kami kerana rasa takut kamu kepada Haikal. Allah akan melindungi kamu dan Qalifh, percaya itu. Selagi kamu disini bersama kami Haikal tidak akan berani mencelakakan kamu.” Mak Sofi mula risau melihat tekad Rina yang mahu meninggalkan rumah Tan Sri Mansur satu hari nanti.
Rina diam tidak menjawab kata-kata Mak Sofi. Benar kata Mak Sofi dia harus ke mana. Rumahnya di kampung sudah lama tidak ditempati dan dia tidak tahu rumah itu masih boleh dihuni atau tidak selepas kejadian pengusiran itu. Dia juga tidak bekerja untuk menyara kehidupannya dan Qalifh yang masih kecil. Ya Allah, permudahkan urusan duniaku. Rina berdoa di dalam hatinya dan berselawat untuk menenangkan hatinya kembali.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience