6 Kita Tak Berngam, Opah!

Family Series 57531

“Del tak nak!”

“Jangan jadi manusia tak beradab, Del! Opah tak pernah ajar kau melayan tetamu macam tu. Kau suruh tetamu kita tidur di ruang tamu? Adab mana, adab?”

“Tapi mengapa Del kena mengalah pada lelaki ni? Bilik Del milik peribadi Del, opah! Del takkan benarkan orang asing masuk apalagi tidur di bilik Del.”

“Bukan lama pun, nanti selepas bilik yang penuh dengan barang-barang kau tu dibersihkan, dia pindahlah. Kau juga yang penuhkan bilik-bilik tu dengan barang kau kan? Sementara tu, kau tidurlah dengan opah!”

“Tapi opah…”

“Dah, takde tapi-tapi! Keputusan opah muktamad!”

Berkaca mata Deila Araferro saat dilarikan dari wajah opah. Sakit benar hati dia! Opah ni dah kenapa? Apa yang lelaki asing tu dah buat hingga opah sanggup ketepikan cucu kesayangan dia ni dan sungguh-sungguh mahu menangkan lelaki itu?

Rhett Raffendy yang sedari tadi diam mendengar cuba sembunyikan senyum di wajah. Puas hati dia lihat wajah bengang tidak puas hati gadis itu. Belum cukup lagi tu, dia masih berdendam atas perbuatan gadis itu kepada dia.

“Dah, kemaskan barang-barang kau dan ikut Del. Dia akan tunjukkan bilik sementara kau sehingga bilik kosong dekat atas tu dibersihkan. Lepas tu kau boleh turun dan mandi. Bilik air terletak bersebelahan dapur. Di sebelah bilik air tu pula ialah tandas.”

Terbiut-biut bibir Deila kerana rasa geram pada opah. Kemain baik layanan opah kepada lelaki tu. Cucu sendiri dipinggirkan. Sungguh tak adil!

Bertambah terbakar sekeping hati bila lihat Rhett yang sudah selesai berkemas membawa kesemua begnya menghampiri. Bibir terbuka, mahu menghambur semua amarah yang tersimpan di hati tetapi bila dengar dehaman opah, niat terus terbantut. Tidak berani dia gerakkan biji mata untuk memandang opah kerana dia tahu jurus yang opah lancarkan melalui anak matanya pasti akan buat seluruh otot sendi dia lumpuh!

Deila memandang Rhett dengan tajam sebelum memusing badan. Tanpa sepatah kata, Deila melangkah laju menuju ke tangga. Pantas Rhett mengekori dengan mulut terkunci rapat. Tidak mahu cari pasal buat masa ini. Dia perlu ambil hati orang tua itu dulu untuk memastikan dia punya tempat berteduh yang selamat dan selesa.

“Jangan buat onar dan kenakan tetamu kita pula! Opah akan perhatikan kau, Deila!” Tu dia, belum sampai setengah anak tangga dipanjat, opah muncul di anak tangga paling bawah dan beri amaran keras. Siap memandang Deila dengan wajah tanpa kompromi.

Deila tersengih sumbang. Paksa diri untuk mengangguk sebelum meneruskan langkah. Tiada yang paling memahami anak dara seorang itu selain dari opah. Sebab itu dia siap-siap bagi warning kerana dapat dia baca niat jahat di sebalik wajah polos cucunya itu.

“Ini bilik saya!” Kasar nada suara saat Deila menolak daun pintu biliknya. Rhett melangkah masuk, mengekori di belakang Deila. Mata mengitari sekeliling.

Bilik itu taklah luas sangat, cukup selesa untuk seorang penghuni. Hanya perabot asas seperti sebuah katil queen, sebuah meja bersama kerusi kayu dan almari pakaian. Keadaan bilik sangat bersih walau pun ada beberapa helai pakaian di atas katil dan meja yang agak berselerak.

“Dengar sini baik-baik stranger!” Amboi, terjuih bibir Rhett dengar. Dijeling tajam gadis yang sudah memusing badan dan sedang memandang dia dengan tajam itu.

“Jangan sentuh apa-apa dalam bilik ini. Kau tidak dibenarkan tidur atas katil saya. Tempat kau di atas lantai, faham?” Rhett hanya diam. Tiada persetujuan mahu pun penolakan terbit dari mulut. Letih, badan melekit dan tak selesa. Paling penting, dia hampir pitam kerana kebuluran! Tenaga sudah tinggal secoet untuk membidas.

“Mandi dekat bawah terus pakai baju. Saya tak nak kau berbogel dalam bilik ni, faham tak? Seluar pendek, baju tanpa lengan apalagi tak pakai baju… itu semua pantang larang ketika berada dalam bilik ini! Kau faham ke tak?”

Rhett masih diam. Beg-begnya disusun di tepi dinding. Rhett duduk mencangkung dan mulai menyelongkar salah satu beg dia. Tidak lama kemudian, Rhett bingkas berdiri.

“Dah selesai? Saya nak mandi!” Terlopong saat Rhett melintas di depan Deila dan terus menonong keluar bilik. Tak guna! Pergi macam tu je? Batin merungut. Deila keluar bilik sambil hentak kaki dengan kasar.

Terpaksa dia tahan marah kerana tidak mahu opah lihat mereka bertengkar. Tak sanggup dia tadah telinga bila opah sudah start enjin bebelannya. Selepas turun ke tingkat bawah, Deila terus menapak ke dapur. Sudah dia duga opah pasti berada di situ dan kelihatan sedang sibuk memotong daging dan sayur untuk makan malam mereka.

“Opah, tak perlulah masak semua ni. Lauk tengah hari tadi masih banyak kan? Nasi pun masih banyak. Kita goreng je nasi dan panaskan lauk tu.” Deila menegur. Rasanya tak perlu dia dan opah susah payah sediakan menu special untuk lelaki asing tu. Kalau tak suka, boleh blah!

“Tetamu harus dilayan dengan baik. Apa salahnya kita masak elok sikit untuk anak muda tu kan? Kasihan dia, dahlah datang jauh dari bandar. Pasti tengah kelaparan budak tu.”

“Tapi opah…”

“Dah, kau pergi masak. Opah dah siap potong semua ni. Orang yang suka berkongsi rezeki, Allah akan balas berlipat kali ganda di akhirat nanti.” Deila kunci anak tekak, terbantut terus niat mahu membangkang.

Setelah siap memasak, Deila menyusun pinggan lauk dan pinggan yang siap diisi nasi putih di atas sebuah meja kayu empat segi bersaiz sederhana, boleh muat empat orang macam tula.

Selesai menyusun mangkuk berisi bubur durian yang sudah dipanaskan, Rhett Raffendy muncul di ruang makan. Hampir serentak Deila dan opah menoleh. Empat pasang mata mereka terus melekat pada lelaki itu. Dengan rambut masih basah, memakai baju T leher bulat warna putih polos ngam-ngam muat di tubuh menonjolkan otot padu dan seluar joggers, pesona Rhett begitu terserlah di bawah sinaran lampu kalimantang pendek.

“Wah… anak siapalah yang kacak macam pelakon Sepanyol ni? Opah suka!”

Ya, tak dapat disangkal kebenaran kata-kata opah. Tanpa sedar, Deila terangguk-angguk sambil mata tak melepaskan lelaki itu. Setiap langkah yang Rhett atur menuju ke arah mereka begitu sempurna di matanya, bagai seorang artis antarabangsa sedang melangkah ke tengah pentas untuk menerima anugerah.

Rhett cuba berlagak tenang sungguh pun dia sedar tentang renungan terpegun gadis itu kepada dia. Meja empat segi itu lebih menarik perhatian Rhett. Haruman yang dapat dia hidu dari tingkat satu itu benar-benar mencabar keimanan.

“Err…” Langkah mati di hadapan dua wanita yang masih terpegun memandangnya. Belakang tengkuk digosok dengan penuh rasa janggal. “selamat malam…”

“Dah solat?”

“Dah, opah.”

“Wah, opah suka! Dahlah segak, warak pulak tu.”

Terlepas deham kekok Rhett. Warak katanya? Baca doa makan pun tunggang langgang!

“Bukan warak opah, tu kewajipan.” Rhett cuba perbetulkan. Segan pula bila dikata warak.

“Dahlah opah, tak payah nak puji orang yang baca doa pun tunggang langgang. Jom kita makan. Nanti makanan sejuk dah tak sedap.”

Terbatuk halus Rhett dengar sindiran Deila. Tajam bebola mata memanah seraut wajah putih bersih itu.

“Hesy, tak elok kau cakap macam tu Del. Cubalah cakap elok-elok sikit. Tunjuk kelembutan sikit, barulah cepat kau bertemu jodoh. Ni, tetamu begini segak pun kau radak je dengan mulut takde insurans kau tu, siapalah yang nakkan kau?”

Deila tunduk, cuba sembunyikan wajah merah bak udang galah masak dari tatapan mengejek Rhett. Benci betul dia dengan lelaki itu. Sekarang ni dia rasakan di mata opah, semua yang buruk itu dia, semua yang indah itu lelaki di hadapan opah. Cis!

Tak mahu terusan dijadikan bahan oleh opah, Deila menarik kerusi dan menyuruh opah duduk.

“Jemput tetamu kita duduk, Del!” Perintah opah sambil menjegil mata. Marak mata Deila ketika menjeling Rhett. Asyik lelaki itu opah lebihkan!

“Duduklah!” Deila terpaksa menjemput penuh ketidakikhlasan bila opah memandang dia dengan biji mata hampir tersembul keluar.

“Duduklah… urm… siapa nama kau, anak muda?” Opah tanya sambil kerut dahi, cuba mengingat kembali nama lelaki kacak itu. Rhett menarik kerusi bertentangan dengan opah lalu melabuh punggung. Sempat dia jeling Deila yang memandang dia dengan mata masih marak membara.

“Rhett opah, nama saya Rhett Raffendy.”

“Ah, eya… Rhett, opah lupa hehe. Maklumlah opah dah tua. Mungkin tak lama lagi di dunia ni. Risau opah bila fikirkan cucu opah yang tinggal sebatang kara nanti. Dah cukup dah umur budak tu untuk kahwin. Badan dia ni memang subur, pasti lepas kahwin beran…”

“Opah!”

Ya Allah, rasa mahu hempas wajah di simen bila dengar bicara opah. Malu jangan cakap, sampai merah padam wajah Deila. Sampai hati opah mempromosi cucu sendiri depan lelaki asing! Nampak sungguh dia tak laku-laku di kampung, cis!

“Kita makan dulu, opah. Makanan dah sejuk.” Deila merendahkan suara bila opah memandang dia dengan mata melotot. Opah dah tua, dia kena mengalah. Lagi pun, dia tak nak sakitkan hati opah kerana opah satu-satunya manusia yang paling dia sayang.

“Yela… Rhett, baca doa makan dulu.” Opah dah macam diktator, suka suki memerintah. Aneh bin ajaib, Rhett dan Deila akur dengan arahan opah.

Cuma yang opah tak nampak, mereka siap berjeling-jeling. Deila lempar jelingan mengejek kerana dia tahu Rhett bukanlah lelaki warak. Dia pernah dengar lelaki itu baca doa tunggang langgang. Rhett menjeling kerana tahu gadis itu sedang menunggu untuk ketawakan dia. Geram!

Lancar mulut Rhett terkumat kamit baca doa tanpa sebarang masalah. Deila menjeling geram seusai mengaminkan doa. Tak percaya lelaki itu mampu menghabiskan bacaan doa makan tanpa sangkut. Sungguh-sungguh mahu tunjuk baik depan opah!

Rhett lebih dulu menarik mangkuk bubur durian kerana benda tu sedari awal kemunculannya benar-benar menganggu pancaindera! Hampir menitik-nitik air liur ke dagu.

“Woah! Sedapnya opah masak. Ada lagi tak? Semangkuk macam tak cukuplah opah.” Dengan tak tahu malu, Rhett sorong mangkuk yang telah kosong ke arah opah.

Marak bersinar mata opah memandang Rhett. Dengan bangga, opah melirik ke arah cucu kesayangannya.

“Sedap kan? Kau suka tak?”

“Saya suka sangat opah. Ini bubur tersedap yang pernah saya makan.” Makin bergemerlapan bebola mata opah dengar.

“Menurut pandangan opah… kau ni masih bujang kan? Belum berpunya ke dah ada yang punya?”

“Tak opah, saya masih single!” Rhett jawab tanpa fikir panjang. Bagi dia tak penting pun apa jawapan dia beri. Dia bukan mahu berlama-lama di situ. Lepas urusan dia selesai, tak mungkin dia mahu memijak kaki sekali lagi di perkampungan terpencil itu.

“Kalau macam tu, memang sesuai sangat kau kahwin dengan Del. Ini semua dia yang masak.”

“Opah!” Tanpa sengaja, Deila meninggikan suara. Dia sangat terkejut sekaligus rasa marah dengan cadangan mengarut opah.

“Kau marah opah ke, Del? Sampai hati kau. Opah cuma risaukan kau. Opah risau kerana opah sayangkan kau, Deila Araferro! Sampai hati kau teriak opah kan? Kalau macam ni baik opah lari je ke rumah Jiah!”

Ah sudah! Deila ketap bibir. Dahi digosok perlahan. Nila perangai opah. Pantang ditegur, mesti merajuk. Lepas tu acah-acah nak lari rumah, tapi larinya cuma ke rumah jiran sebelah. Nanti esok-esok bisinglah nenek Jiah jiran sebelah suruh bawa opah balik.

“Tak baik kau buat macam tu! Opah dah tua, tak bolehkah kau kompromi sikit?” Semakin membahang dada bila Rhett dengan berani menegur dia. Salah siapa opah bersikap macam tu? Sebelum ni aman damai je hidup dia dengan opah.

Rhett bingkas bangun tanpa menunggu balasan dari Deila. Dia mahu kejar opah yang sudah meluru ke arah pintu. Pujuk orang tua memang kepakaran Rhett. Nenda punya perangai lagi teruk dari opah jika dia buat perbandingan. Dia yakin dia mampu pujuk orang tua tu.

“Opah, tunggu!” Rhett mengejar laju. Langkah opah mati di ambang pintu.

“Cucu opah dah tak sayangkan opah! Biar opah pergi saja!”

“Tak opah, bukan macam tu.” Rhett menghampiri lalu memaut mesra bahu opah.

“Cucu opah tu baik, cuma perangainya kasar mengalahkan orang lelaki. Opah mesti dah masak dengan perangai dia berbanding saya kan?” Semua yang terbit dari bibir dia tiada keikhlasan sebenarnya, hanya semata mahu pujuk opah. Rhett main agak je mengata gadis tu depan opah berdasarkan apa yang dia lihat.

“Betul! Opah setuju, tu pasal sampai sekarang tiada lelaki sudi masuk meminang cucu opah.”

Deila tepuk dahi. Dia dengar semuanya. Jarak meja makan dengan pintu taklah jauh mana pun. Rumah mereka bukannya besar.

“Kita tak berngam soal ini, opah! Ada je lelaki datang luah perasaan cuma saya belum bersedia!” Deila sengaja kuatkan suara. Tercalar teruk ego dia di depan Rhett.

Rhett menjeling. Siapa tanya? Deila membeliakkan mata. Cari pasal ke?

“Sebab itu, walau pun dia dah tinggikan suara tadi, bukan bererti dia marahkan opah. Dah memang perangai dia kasar kan? Cuba opah fikir. Sebelum ni takkan tak pernah dia tinggikan suara pada opah? Pernah kan?” Rhett kembali memujuk.

“Pernahlah, banyak kali Del cakap jerit-jerit sampai sakit telinga opah ni. Dia ingat opah ni tuli ke?” Dah mula dah mengadu domba opah ni. Deila mencebik. Rasa menyampah semakin membuak kepada lelaki asing itu. Nampak jelas lelaki itu cuba mengambil hati opah. Mengapa? Deila mengerut dahi. Pasti ada niat jahat!

Deila membiarkan opah menghilang di sebalik pintu bersama Rhett. Kalau dia menyibuk sekarang, pasti dibaham opah. Biarlah orang tua tu bertenang dahulu. Deila bingkas dari kerusi dan mulai mengemas meja makan.

Selepas mengemas, Deila memulakan kerjanya. Menghasilkan produk viral di kampung, jejari Pepero! Sebelum ini dia bawa masuk Pepero dan laku keras. Cuma ada ibu bapa datang komplen yang harga makanan itu mahal. Deila mula jual sebatang-sebatang supaya harganya lebih murah dan semua dapat merasai keenakan jajan kegemaran dia itu.

Akhirnya dia dapat idea untuk menghasilkan produk yang hampir serupa tapi guna bahan yang lebih murah jadi harganya mampu milik. Batang jejari dia buat sendiri sehingga dia sanggup beli mesin penguli doh. Setakat ini dia sudah berjaya buat jejari tiga perisa iaitu coklat, strawberry dan vanilla. Jejari perisa coklat dia salut dengan kacang tanah cincang, strawberry disalut dengan gula-gula untuk hiasan kek dan untuk vanila pula biskut oreo hancur. Produk ciptaannya laku keras dan jadi viral sampai ke kampung-kampung berdekatan.

Setelah semua selesai dan dah dimasukkan ke dalam balang kedap udara, Deila bingkas angkat punggung dari kerusi. Esok dia akan sambung packing dalam plastik pembungkus yang dia tempah khas. Selalunya dia bawa ke kedai dan Amirul akan bantu dia.

Deila menapak ke bilik opah yang terletak tidak jauh dari bilik air. Bilik opah memang di tingkat bawah. Memang sengaja dia bina bilik opah berdekatan tandas untuk memudahkan pergerakan opah. Deila menolak daun pintu perlahan-lahan. Dia yakin opah sudah lama tertidur. Semasa dia sedang sibuk membakar jejari tadi, dia ada dengar Rhett memujuk opah masuk ke bilik dan berehat.

Seperti yang dia duga, opah sudah berdengkur di atas katil. Deila baring perlahan-lahan di sebelah opah. Baru mahu melelapkan mata, bunyi seperti benda terjatuh dari arah dapur sontak buat Deila bangun dan duduk di tilam.

Laju dia turun dari katil dan bergegas menuju ke dapur. Mustahil ada pencuri! Selama dia tinggal di kampung, tidak pernah ada laporan kecurian. Kampung mereka aman damai. Mungkin ada kucing tersesat masuk ke dalam rumah siang tadi.

Alangkah terkejutnya Deila saat bebola mata menangkap sesosok tubuh sedang duduk di salah satu kerusi bersebelahan meja makan. Laju dia hampiri suis lampu.

“Kau?!” Buntang mata Deila bila lihat Rhett sedang sibuk mengunyah sesuatu.

“Saya masih lapar.” Selamba Rhett jawab tanpa memandang Deila. Bebola mata Deila jatuh memandang benda yang dipegang oleh Rhett. Terbeliak mata bila lihat balang berisi jejari Pepero dia sudah terbuka penutupnya dan Rhett kepit di celah ketiaknya.

“Kau!!!” Bergema suara Deila memecah keheningan malam.

“Owh, biskut ni? Kau buat untuk sarapan besok kan? Apa salah saya makan deluan?”

Berpinar mata Deila ketika menatap Rhett.

Opah ni pun ekekeke

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience