Rate

VILLA PUSAKA

Horror & Thriller Completed 941

VILLA PUSAKA

Kedua beradik itu melangkah perlahan masuk ke dalam sebuah villa. Villa besar yang sudah lama ditinggalkan oleh arwah datuk dan neneknya. Mereka tidak menyangka, villa itu diwariskan kepada mereka berdua.

“Hurmm.. macam rumah berhantu je” Ika bersuara. Sesekali dia terbersin kerana alah pada habuk.

Mereka berdua meletakkan bag pakaian lalu berjalan meneroka ruang villa itu. Sana sini kelihatan berhabuk dan bersawang. Lantai juga begitu.

“Euuwww.. aku tak naklah duduk dekat sini. Baik aku ikut mama je ke Perlis” kata Ika lagi.

“Mama ke sana berkerja. Bukan bercuti. Nak harapkan papa? Mana nak ingat kita lagi dah sejak dia kahwin muda.”

“Alah, Cik June tu baik orangnya. Kau tu yang negatif sangat. Suka fikir yang bukan-bukan” bidas Ika sambil menjeling ke arah kakaknya, Salmi.

“Terpulang pada kau. Aku malas nak layan.” ujar Salmi sambil berlalu pergi menuju ke tingkat atas.

“Kau nak ke mana?” tanya Ika, matanya melilau memandang sekeliling.

Salmi meneruskan langkah memanjat anak tangga kayu satu persatu. Villa ini terlalu besar untuk mereka berdua tinggal, namun itu tidak menjadi masalah buatnya. Lebih baik dan lebih sunyi, itu yang dia suka.

Tiba di sebuah bilik, Ika pantas membuka pintu. Matanya membulat kerana keadaan bilik itu terlalu cantik. Katil saiz king dan warna bilik yang di cat dengan warna pink lembut. Tambahan pula langsir yang tergantung juga dari warna yang senada.

Ika berjalan pula menuju ke sebuah pintu yang tertutup. Tombolnya di pulas laju, sekali lagi, Ika terkejut.

“Ada bathtuplah.. hah kak, aku pilih bilik ni tau. Kau cari bilik lain ya” kata Ika sambil merebahkan tubuhnya di atas katil tanpa menghiraukan habuk-habuk yang berterbangan.

“Bersihkan dulu. Baru boleh baring. Nanti menyusahkan aku pula kalau kulit badan kau tu dah gatal dan tumbuh ruam.” kata Salmi memberi peringatan tegas.

Ika hanya mencebik. Memekakkan telinga tidak mahu mendengar leteran Salmi.

Salmi berjalan lagi di ruang atas sehinggalah kakinya berhenti di hadapan sebuah bilik yang pintunya tertutup. Segera pintu itu dibuka dan terpampang jelas keadaan bilik utama villa itu. Sebuah katil bersaiz king berukir. Dinding bilik yang dihias dengan wallpaper berwarna hijau emerald. Meja solek yang cantik dan telah memikat hati Salmi. Di sebelah kirinya pula terdapat balkoni yang di tutupi langsir dari warna senada. Salmi terasa nyaman dan damai sekali bila berada di dalam bilik itu.

Siang itu, kedua beradik ini segera mengemas dan menyusun atur semula perabot-perabot di situ. Adakala si adik merajuk apabila cadangannya di tolak mentah-mentah oleh si kakak dan seperti biasa Salmi bersikap dingin dengannya.

Malam itu, mereka memasak ala kadar sahaja memandangkan mereka sudah keletihan kerana mengemas seharian. Apabila masing-masing sudah kenyang, mereka berdua terus masuk ke dalam bilik untuk merehatkan badan.
Tiba-tiba..

“Bammm!! Pranggg!”

Salmi membuka mata. Kedengaran bunyi hempasan pintu utama tingkat bawah. Bukan itu sahaja, bunyi lagaan periuk belanga juga menjengah pendengarannya.

“Siapa pula yang ada dekat bawah tu?” soal Salmi dalam hati. Dia bingkas berdiri lalu melangkah keluar dari bilik.

“Kak, kau dengar tak?’ soal Ika pula, berkerut wajahnya sambil memandang wajah Salmi yang kelihatan tenang.

“Hurmm” balas Salmi pendek tanpa memandang wajah Ika yang berada di hadapannya.

“Kau dengar ke tak apa yang aku tanya ni?”

“Shhh.. diam boleh tak? Aku nak turun ke bawahlah ni nak tengok. Kau kalau nak ikut, ikut. Tak nak ikut, kau duduk dalam bilik diam-diam”

“Itu pun nak marah” balas Ika tidak puas hati.

Mereka berdua berhati-hati menapak satu persatu menuruni tangga. Salmi memanjangkan leher menjengah ke segenap ruang. Lilin yang tergantung di dinding tangga, Salmi capai untuk menerangkan keadaan yang agak gelap.

“Pranggggg!”

Salmi dan Ika terkejut. Bunyi hempasan kaca itu begitu hampir dengan mereka.

“Dapur” kata Salmi perlahan.

Maka dengan segera mereka berdua berjalan menuju ke arah dapur. Namun, tiada apa-apa yang terjatuh atau pecah di lantai. Salmi bertambah pelik. Begitu juga dengan Ika.

“Aku takutlah kak. Aku tidur dengan kau malam ni, boleh?” pinta gadis itu. Lengan kakaknya di genggam erat.
“Yelah..” pendek jawapan Salmi. kemudian, mereka berdua terus berlari memanjat anak tangga menuju ke bilik tidur.

“Rumah ni berhantulah kak. aku takut” luah Ika sambil menutup seluruh tubuhnya dengan selimut.

“Jangan mengarut boleh tak? Ini rumah datuk dan nenek kita. Di wariskan kepada kita. Kita kena jaga villa ni sebaik-baiknya” ujar Salmi.

“Wariskan villa berhantu? Macam tu? Esok aku nak balik. Kalau kau nak tinggal dekat sini. Kau tinggallah” kata Ika tegas.

“Kau nak balik dengan apa? Teksi? Bas? Kau lupa kereta kita rosak dekat jalan sana. Lupa? Ini kawasan kampung. Villa ni pula jauh dari simpang. Penduduk kampung ni pun mahu tak mahu je nak bertegur sapa dengan kita. Buat kita macam tak wujud. Kalau jadi apa-apa dengan kau? Siapa nak tolong?” panjang lebar leteran si kakak. Ika yang mendengar terusik juga hatinya dengan bebelan Salmi.

“Betul juga, tapi aku takutlah nak duduk sini”

“Sudahlah. Tidur lagi baik dari layan kau” kata Salmi sambil menarik selimutnya menutupi tubuhnya. Tidak lama kemudian, mereka berdua akhirnya terlena.

***

“Yah suka dengan pilihan abang. Yah pun teringin nak ada rumah sendiri. Dah lama Yah impikan. Lagipun berapa lama lagi kita nak kena tinggal di rumah mak abang ni. Yah tak selesalah bang. Tapi mak abang tak izinkan kita berpindah keluar dari rumah ni” luah Hasriyah kepada suaminya, Megat.

Megat yang masih menghadap skrin komputer terus berpaling tubuh memandang wajah isterinya.

“Syukur Yah suka. Abang ingat Yah tak suka pilihan abang. Pasal mak tu, janganlah Yah risaukan. Tahulah apa yang abang nak buat. Abang cuma minta Yah bersabar sedikit sahaja lagi” lembut kata-kata Megat untuk memujuk dan menenangkan jiwa si isteri yang gundah.

“Bila kita nak pergi ke rumah tu lagi bang. Yah nak kemas-kemas apa yang patut” soal Hasriyah.

“Tunggu abang cutilah. Minggu depan boleh?”

Hasriyah mengangguk setuju, lebar senyumannya saat ini. Dia terus merebahkan tubuhnya di atas katil sambil membayangkan dirinya berada di dalam rumah itu. Rumah impiannya.

“Tadi, abang dengan Ayah Mat dah pergi ke rumah tu. Tengok-tengok apa yang perlu di betulkan. Banyak juga yang rosak. Lantai pun ada yang dah terkopak. Mungkin ambil masa sedikit masa untuk siap” kata Megat tiba-tiba.
“Ye ke? Kalau macam tu, lambat lagilah kita nak pindah ya bang?” soal Hasriyah ingin tahu.

“Ye sayang.. “ balas Megat sambil tersenyum.

Riak wajah Hasriyah berubah kecewa. Nampaknya dia perlu bertahan untuk beberapa minggu lagi berada di rumah mertuanya. Menahan hati dan perasaan dengan sikap ibu mertuanya yang gemar membanding-bandingkan dirinya dengan menantu-menantu yang lain. Menahan telinga dengan kata-kata sindiran pedas yang dihamburkan kepadanya setiap hari. Dia cuba untuk bersabar namun dia sedar, sabarnya juga ada had dan limitnya. Lama kelamaan, akhirnya Hasriyah terlena tanpa menunggu Megat yang masih sibuk dengan kerja-kerja pejabatnya.

***

Pagi-pagi lagi, Salmi sudah mengajak Ika pergi berbelanja di kedai Letchumi. Tidak banyak barang yang dijual di kedai itu. Hanya ada barang-barang asas sahaja. Itu pun sudah cukup untuk mereka berdua masak sebagai makanan tengahari mereka.

Di dalam kedai, ada beberapa orang wanita separuh baya sedang ralit memilih sayur-sayuran dan ikan. Salmi datang menghampiri mereka, cuba untuk beramah mesra. Namun, mereka langsung tidak mahu melayan Salmi dan Ika, seolah-olah menganggap mereka tidak wujud di situ. Namun, Salmi cuba bersikap tenang, lalu dia terus mengambil seikat sayur bayam dan kangkung dan di masukkan ke dalam plastik. Kemudian, Salmi mengambil beberapa ekor ikan selar dan kembong sebagai pilihan menu mereka untuk tengahari itu.

“Puan, tolong kira” pinta Salmi sopan. Namun, pemilik kedai langsung tidak mahu melayan permintaan Salmi yang berada di hadapannya.

“Sombong betullah minaci ni. Tu makcik-makcik tu pun sama. Buat kita macam tak wujud pula” Ika mula naik angin.

Salmi hanya mendiamkan diri.

Kemudian, Ika menarik tangan Salmi keluar dari kedai runcit itu sambil membawa belanja yang mereka pilih, not rm10 diletakkan sahaja di atas kaunter kedai itu sebagai bayaran kepada barang yang mereka ambil.

“Patutlah pelanggan tak ada. Macam ni rupanya layanan yang dia bagi” marah Ika. Kakinya dihayun dengan laju meninggalkan Salmi yang ketinggalan di belakang.

“Cepatlah berjalan tu. Lambat sangatlah kau ni. Aku dah lapar” Jerit Ika dengan lantang.

***

Di kedai runcit Letchumi..

“Kau tahu tak, ada orang baru pindah ke rumah besar tu.” ujar Makcik Betty. Sambil-sambil itu dia membelek-belek bawang yang berada di dalam bakul.

“Mana kau tahu?” soal Cik Jah pula.

“Aku tahulah. Katanya dua orang yang duduk dekat situ. Tapi aku tak tahu siapa.” kata Makcik Betty lagi.

“Lahh, maknanya kau masih tak pasti lagilah ni. Sudahlah.. aku tak ada kena mengena pun dengan rumah besar tu. Buat apa aku nak sibuk. Siapa pun yang pindah ke situ, kita sambut sahajalah kedatangan dia. Layan dia macam orang kampung sendiri” kata Cik Jah. Ayam yang sudah diambil, di letakkankan atas penimbang lalu di bungkus dan seterusnya membuat pembayaran. Cik Jah terus berlalu pergi meninggalkan Makcik Betty yang terkulat-kulat di dalam kedai.

“Sampai hati betul Jah ni tau. Aku baru nak bercerita dia dah pergi”

“Aiyo aunty! Awak mau beli bawang ka, mau membawang? Ini kedai runcit tau. Bukan kedai mamak. Awak mau membawang awak pergi kedai mamak. Awak mau beli bawang, hah itu bawang dalam bakul sana.” sindir Letchumi. Matanya yang bulat menjeling tajam ke arah wanita yang sudah muncung mulutnya.

“Yalah,, yalah,,kau ni tak sporting langsung” marah Makcik Betty apabila dia disindir begitu.

Letchumi hanya tersengih-sengih dari dalam kaunternya sambil mengira duit hasil jualannya hari itu.

***

Sudah seminggu berlalu Salmi dan Ika tinggal di villa itu. Namun, kehidupan mereka tidak aman seperti yang mereka sangka. Setiap hari ada sahaja gangguan yang menimpa mereka. Bukan hanya di malam hari. Di siang hari juga begitu. Ika sudah mula rimas kerana ketenteraman yang dia mahukan di ganggu dengan bermacam-macam bunyi-bunyian.

“Aku tak tahan lagilah kak. Jomlah kita balik.” ajak Ika. Tubuh Salmi di goyang-goyangkan.

“Aku pun tak rasa selesa nak tinggal dekat sini. Tapi amanah tetap amanah. Villa ni dah jadi hak kita. Kita perlu jaga.”

“Kau ni tak habis-habis dengan amanah.”

“Ika, kau tak tahu apa yang jadi pada hidup mama. Hidup kita. Kau tahu tak, mama rahsiakan sesuatu dari kita berdua selama ni. Aku.. “ kata-kata Salmi terhenti di situ. Tidak sanggup untuk dia berterus terang dengan adiknya itu.

“Rahsia apa? Kau jangan cuba nak sorokkan dari aku, Salmi. Aku tak suka. Kau pun tahu kan?’

“Mama kena pecat dan sekarang ni mama ke Perlis kerana dia sudah berkerja di syarikat lain. Itu pun ada sebab lain kenapa mama nak kita duduk di sini. Mama tak nak kita dikejar along” kata Salmi. Nada suaranya mulai mengendur tidak seperti tadi yang penuh emosi.

“Along? Maksud kau ceti haram? Berapa banyak mama pinjam?”

“Bukan mama yang pinjam, tapi papa” jawab Salmi perlahan.

“Apa?’

“Sebab itu, aku cukup emosi bila kau sebut pasal papa. Kata papa baik, kata papa bertimbang rasa. Aku kenal papa lebih baik dari kau, Ika. Cuma aku tutup mulut sebab aku tak mahu kau tahu. Papa pinjam duit along rm500 ribu. Aku tak tahu tujuannya untuk apa. Yang pasti, dia letak nama mama sebagai penjamin tanpa pengetahuan mama. Sekarang ni kita bertiga hidup dalam buruan. Mujur, datuk dan nenek wariskan villa ni kepada kita. Sekurang-kurangnya kita ada tempat berteduh”

Terdengar keluhan berat dari Ika. Gadis itu teresak-esak menahan tangis. Selama ini, dia menyangka lelaki itulah papa yang terbaik. Bangga kerana punyai papa yang sporting. Apa sahaja yang dia mahukan, papalah yang sanggup tunaikan. Mahu mengharap kepada mamanya, memang tidaklah. Itu sebab, kenapa dia lebih rapat dengan papanya.

Kini semuanya sudah jelas. Patutlah, kedua orang tuanya berpisah. Dulu dia tidak dapat memahami apa yang berlaku dihadapan mata. Seringkali, dia mengintai apabila terdengar mama dan papanya bertengkar setiap kali mereka berjumpa. dan Ika menuding jari semua punca yang berlaku kepada mamanya.

“Sudahlah Ika, sekarang ni kau dah tahu perkara yang sebenar. Sekarang ni, aku nak kau bersabar dan bertahan. Kita tinggal disini sebab ini sahaja yang kita ada.” pujuk Salmi.

Kemudian, Ika terus mendakap tubuh Salmi erat-erat.

“Maafkan aku kak. Maafkan aku” ucapnya dalam esakkan.

***

Hasriyah berada di dapur menyiapkan sarapan untuk dirinya dan juga suami tersayang. Hari ini dia memasakkan nasi lemak ayam rendang seperti mana permintaan Megat. Alhamdulillah, Megat bertuah kerana memiliki seorang wanita yang cantik dan juga pandai memasak.

Sementara menunggu suaminya bersiap, Hasriyah menghidangkan makanan di atas meja. Menyusun pinggan dan membancuh air kopi panas untuk minuman mereka pagi itu.

“Prangggg!”

Hasriyah terkejut. Bunyi kaca berderai membuatkan Hasriyah berlari pantas ke ruang dapur.

Tiga biji cawan berderai di atas lantai. Hasriyah mengucap panjang. Baru sahaja dia mahu mengutip kaca-kaca itu, Megat pantas menghalang.

“Biar abang yang buat. Yah tunggu abang dekat meja ya.” suruh Megat.

Hasriyah menurut. Di dalam fikirannya, bermacam-macam andaian yang menerpa. Gelas itu terletak jauh di atas meja. Bagaimana ianya boleh terjatuh.

“Sudahlah.. jangan difikirkan sangat hal cawan tu. Nanti kita beli yang baru” pujuk Megat. Lelaki itu tidak mahu isterinya susah hati dan berfikir yang tidak-tidak. Mereka berdua baru sahaja berpindah ke situ. Hari itu adalah hari keempat mereka tinggal di dalam rumah itu.

“Yah rasa macam ada sesuatu dalam rumah ni bang” luah Hasriyah. Nasi lemak yang berada di dalam pinggan hanya dikuis-kuisdengan jari.

Megat hanya diam sambil menyuap nasi dalam mulutnya. Perlahan-lahan nasi itu dikunyah lalu terus ditelan. Dia faham maksud isterinya. Bukan Hasriyah sahaja yang pernah diganggu. Malah dirinya juga. Baru sebentar tadi dia terlihat kelibat seseorang lalu di hadapan biliknya dengan pantas. Dari ekor matanya, dia pasti kelibat itu seorang wanita. Berambut hitam beralun dan memakai baju tidur labuh berwarna putih. Namun, Megat tidak dapat dapat melihat wajahnya dengan lebih jelas.

“Abang, kenapa termenung tu? Nasi lemah Yah tak sedap ke?” tanya Hasriyah.

“Eh taklah Yah. Sedap ni. Nampak tak abang makan bertambah.” jawab Megat cuba mengambil hati isterinya. Bukan nasi lemak itu masalahnya, tetapi sesuatu yang lain yang bakal mereka berdua hadapi.

“Yah, abang nak ke rumah Pakcik Hamid ni. Nak minta dia jemput orang-orang kampung datang ke rumah kita esok malam. Jadikan kita nak buat majlis kesyukuran dengan majlis tahlil arwah ayah?”

“Jadi bang.”

“Yah tak nak ikut?”

“Takpelah, Yah tunggu di rumah sahaja. Tadi Cik Man ada telefon nak datang. Yah tunggu merekalah ni” jawab Hasriyah pula.

“Kalau macam tu, baiklah. Abang pergi dulu. Yah jaga diri baik-baik ya” sempat Megat menitip pesanan buat isteri tersayang.

Megat menghidupkan kereta. Kemudian tanpa sengaja dia memandang ke atas di ruang balkoni bilik tidurnya. Di sebalik langsir, kelibat wanita sedang berdiri dan kemudiannya menghilang.

“Aku tersilap pandang ni. Entah-entah mainan perasaan aku je kut” ujarnya dalam hati.

Kemudian, kereta meluncur laju meninggalkan perkarangan halaman rumah. Hasriyah yang berada di muka pintu melambai-lambai suaminya sehingga lelaki itu hilang dari pandangan.

Ketika Hasriyah masuk ke dalam rumah semula. Suasana seram mula menyerang. Bulu romanya tiba-tiba sahaja tegak mencanak. Keadaan menjadi dingin tiba-tiba. Hasriyah mengusap lengan dan juga batang lehernya. Mulutnya pula pantas membaca kalimat-kalimat suci yang dia ingat. Namun, keseraman itu tidak juga berkurang.

“Abang, cepatlah balik” kata Hasriyah perlahan.

***

Malam itu, Ika dan Salmi duduk berehat di ruang tamu. Suasana menjadi dingin malam itu kerana aircond yang terpasang. Tiba-tiba, Ika merasa tubuhnya sedikit membahang. Peluh mula mengalir dari liang-liang romanya.

“Kak, aircond tu rosak ke? Apasal panas sangat ni?” rungutnya.

“Eh, mana ada rosak. Elok je tu. Mungkin nak hujan kut” jawab Salmi pula sambil menonton rancangan yang dia suka.

“Yelah agaknya. Kak, aku dah banyak kali call mama, tapi tak dapat”

“Samalah, aku pun ada call mama tadi. Tapi tak dapat. Mungkin mama sibuk.”

Ketika kedua beradik ini sedang berborak, Ika tiba-tiba sahaja menjerit dengan lantang sambil menutup telinganya.

“Ika.. Ika.. kenapa ni? Ika?” Salmi menjadi kalut. Keadaan Ika membuatkan dirinya risau. Ika berguling-guling di atas lantai sambil meracau yang bukan-bukan.

“Sakit kak.. telinga aku sakit” beritahu Ika dalam racaunya. Ika tidak dapat menahan bunyi dengung yang kuat di dalam telinganya. Sejak akhir-akhir ini, telinganya sering mendengar dengungan seperti dengungan lebah. Mula-mula bunyinya perlahan dan semakin lama, bunyi itu semakin kuat dan menyakitkan telinganya. Apa yang lebih aneh, dia akan jadi begitu apabila malam menjelang.

Tubuh Ika di papah naik ke atas. Namun, kakinya tiba-tiba sahaja berat untuk melangkah. Dan tubuhnya juga seakan-akan melemah. Sakit di setiap sendi mula terasa.

“Apa yang dah berlaku ni?” soal Salmi di dalam hati. Wajahnya mengerut kerana sakit pada tubuhnya kian memburuk.

***

Di perlis, Puan Zura terduduk. Seluruh tubuhnya lemah. Dia termenung seketika. Tidak lama kemudian, air matanya gugur.

“Kamu pulanglah dulu. Saya akan beri kamu cuti sehingga semua masalah kamu selesai. Ini hal keluarga. Mereka lebih penting” kata Tuan Azam. Lelaki itu adalah majikannya. Bersimpati dengan nasib pekerjanya yang baru sahaja kehilangan dua anak gadisnya akibat kemalangan jalan raya ketika mereka berdua dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Terima kasih Tuan, saya pulang dulu. Saya minta maaf” pinta Puan Zura dengan sopan. Air matanya yang mengalir semakin lebat.

Ketika dia berada dalam perjalanan menuju ke hospital, Puan Zura cuba menghubungi bekas suaminya. Namun, panggilannya tidak dijawab. Mahu sahaja Puan Zura menjerit sekuat hati namun, dia bukanlah jenis manusia yang begitu. Dia masih bertuhan, dan seharusnya hanya pada tuhan untuk dia meminta ketenangan hati bukannya bertindak sebagai manusia yang hilang kewarasannya. Cepat-cepat Puan Zura mengucap dan beristighfar.

Setibanya di hospital, Puan Zura berlari pantas mencari bilik mayat di mana kedua jasad anak perenpuannya di simpan.

Beberapa peti yang berada di hadapan mata Puan Zura langsung tidak menakutkan wanita itu, apa yang lebih penting adalah anak-anaknya. Dia mahu melihat wajah anak-anaknya buat kali terakhir.

Sebuah pintu di buka dan sebuah lagi pintu juga dibuka, kedua jasad kaku yang beku di tarik keluar dan kain putih yang menutup wajah keduanya diselak.

“Ini anak-anak Puan ke?” soal seorang pegawai yang menjaga bilik mayat itu.

“Ya.. ini anak-anak saya” jawab Puan Zura tergagap-gagap.

Wajah pucat anak-anaknya di usap, dikucup lalu didakap silih berganti. Dilihat tubuh badan dan wajah mereka penuh dengan luka yang agak teruk. Tapi bukan alasan untuk Puan Zura tidak memeluk mereka.

“Puan mahu pihak hospital uruskan segalanya?”

Puan Zura hanya mengangguk lesu. Dia tiada saudara mara. Dia sebenarnya adalah anak angkat kepada Puan Normah dan juga Encik Kamaluddin. Namun, nasibnya malang kerana mereka berdua telah pun meninggal dunia lalu mewariskan villa itu kepada kedua anaknya.

Kini, apa yang dia tahu, Villa itu sudah dijual kepada pemilik baru oleh adik arwah ayahnya, Encik Mahmud. Lelaki itu sememangnya tidak pernah menyukai Puan Zura. Apalagi, bila dia mendapat tahu villa itu diwariskan kepada kedua cucu perempuannya. Geran yang ada pada lelaki itu sebenarnya di curi ketika kedua pemiliknya sudah tiada.

“Ayah, Ibu.. Zura dah hilang semuanya. Zura hilang ayah, hilang ibu, Zura hilang anak-anak juga” luah Zura dalam tangisannya.

***

Sebulan sudah berlalu, Megat dan isterinya Hasriyah hidup dengan tenang di rumah besar itu. Tiada lagi kedengaran hilai tawa, tiada lagi kedengaran suara tangisan, tiada lagi kedengaran derapan kaki di anak tangga, tiada lagi kedengaran air dibuka, tiada lagi kedengaran bunyi lagaan di dapur dan tiada lagi kelihatan kelibat wanita yang lalu lalang.

Majlis kesyukuran dan tahlil yang di buat oleh Megat dan Isterinya sebenarnya adalah bertujuan untuk menghalau atau menghapus sesuatu yang selama ini berada di dalam rumah mereka. Semuanya ini adalah dari bantuan ketua kampung dan juga orang-orang kampung yang turut sama hadir untuk memeriahkan majlis.

Ketika Megat bertemu dengan Ketua Kampung secara tidak sengaja di kedai makan milik penduduk kampung di situ, mereka berbual panjang, dari topik politik sehinggalah beralih kepada isu villa yang baru sahaja dibeli oleh Megat dan isterinya.

“Rumah itu sudah lama kosong. Sudah lama ditinggalkan sejak pemiliknya meninggal dunia. Dengar cerita, villa itu di wariskan kepada anak perempuan tunggal, Zura namanya. Tapi, sayang.. adik kepada pemilik villa itu telah menjual villa itu kepada kamu”

Megat hanya mendiamkan diri. Mendengar dengan teliti apa yang di katakan oleh ketua kampung itu.

“Tidak mustahillah jika ada yang menempati villa itu setelah sekian lama tidak berpenghuni”

“Jika begitu Tok, saya minta bantuan Tok dan orang-orang kampung untuk bantu saya halau benda tu Tok. Kasihan isteri saya asyik kena kacau dengan benda tu. Saya juga pernah ternampak kelibat seorang gadis lalu lalang di luar bilik. Kadang-kadang di dalam bilik pun ada. Jika saya nampak kelibat itu di tingkat atas, isteri saya pula di ganggu di tingkat bawah. Terutama sekali di ruang dapur dan juga diruang tamu. Televisyen kadangkala terbuka dan tertutup sendiri. Kadangkala bertukar siaran tiba-tiba. Minta tolong Tok, bantulah saya” rayu Megat sungguh-sungguh. Mengharap agar semua masalah yang di hadapi diselesaikan dengan baik.

“Abang..”

Lamunan Megat terhenti. Dia menoleh memandang wajah si isteri sambil tersenyum.

“Apa yang abang menungkan tu? Sampai Yah datang pun abang tak sedar”

“Tak ada apalah, sayang. Dah siap?” soal Megat.

“Dah bang”

“Barang-barang dah di bawa? Jangan ada yang lupa” pesan Megat untuk mengingatkan isterinya itu.

“Dah bang. Lori yang bawa barang-barang kita dah pergi dulu. Tinggal kita sahaja.”

“Kalau macam tu, mari kita pergi” tangan Hasriyah di genggam lalu di tarik perlahan menuju ke pintu utama.

Setibanya di pintu utama, Hasriyah berpaling, memandang ke segenap ruang rumah itu untuk kali terakhir. Dia redha dengan keputusan suaminya untuk berpindah ke rumah yang lain, rumah yang lebih baik dan selamat untuk diduduki oleh mereka berdua.

“Bukan hak kita, Yah. Villa ini hak orang lain. Kita kena redha dan terima semua ketentuanNYA”

“Yah faham maksud abang”

Megat membuat keputusan untuk menghubungi pemilik sebenar villa itu. Dan akhirnya mendapat kata putus untuk menyerahkan kembali villa itu kepada Puan Zura. Duit hasil pembelian villa itu, sudah di bayar semula kepada Megat atas bantuan Tuan Azam, majikan Puan Zura. Dan semuanya sudah di selesaikan dengan cara baik dan berjalan dengan lancar. Akhirnya, geran villa itu berada di dalam genggaman pewaris sebenar dan Puan Zura dapat menarik nafas lega.

***

Puan Zura berjalan menyusuri ruang tamu dalam villa itu. Memori ketika dia masih kecil terimbas kembali. Dia begitu bahagia apabila dia di ambil sebagai anak angkat kepada pasangan suami isteri itu memandangkan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Sehinggalah, suatu hari, mereka meninggal dunia dan mewariskan harta serta villa itu kepadanya dan juga bakal cucu mereka jika Puan Zura berkahwin kelak.

Tanpa sedar, air matanya bergenang. Mengalir laju membasahi wajahnya yang mulus. Perlahan air matanya diseka. Tiba-tiba..

“Mama..mama..”

Puan Zura tergamam.. perlahan dia bingkas bangun mencari arah dari mana suara itu datang. Dan matanya terbuntang.. dua gadis dengan wajah pucat lesi sedang menyeringai memandangnya..

“Mama…..”

TAMAT

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience