Kisah 5 : Hantu Kum Kum

Horror & Thriller Series 7260

KISAH ini bukan daripada pengalaman aku, tetapi daripada pengalaman mama aku yang tercinta. Semuanya berlaku dalam satu malam. Waktu itu mama berumur dalam 20-an dan menetap di kampung yang terletak di tengah-tengah antara Sabak Bernam dan Kampung Gajah, Perak.

Apa yang diceritakan mama, malam itu kakak iparnya, Wati, sakit tenat. Sakit kena buatan orang. Wati meracau-racau bercakap di dalam Bahasa Thailand. Tak pernah dia belajar bercakap Bahasa Thailand.
Pada malam itu cuma ada 4 orang di dalam rumah.

Mama, Wati, suami Wati, dan seorang bomoh. Yang peliknya, bomoh itu tiba-tiba muncul, entah dari mana, ketuk pintu dan cakap yang dia boleh ubatkan Wati. Boleh pula bomoh itu muncul waktu betul-betul Wati mula meracau.

Disebabkan mama dan suami Wati terdesak pada waktu itu, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain membenarkan bomoh itu berubat.

Rupa-rupanya bomoh itu datang bersebab. Katanya 3, 4 hari yang lepas dia asyik bermimpi benda yang sama. Ada seseorang yang datang di dalam mimpi dan menyuruh dia menarik balik benda yang dihantar ke Wati. Bomoh itu sebenarnya punca Wati meracau.

Kata mama, bomoh itu menghantar 2 ekor pocong dan seekor jembalang dari Thailand. Patutlah Wati fasih bercakap Bahasa Thailand dengan tiba-tiba. Bomoh itu menyesal dan ingin menarik balik benda ghaib yang dihantarnya.

Keadaan mula tenang apabila bomoh itu menarik balik benda belaannya. Wati mulai pulih. Dah selesai semua perkara, mama bangun ke bilik air untuk mengambil wuduk. Mama kata, waktu bomoh itu berjalan keluar ke arah pintu, tiba-tiba tingkap yang betul-betul berhadapan dengan tempat mereka duduk terbuka luas!

Tingkap rumah lama di negeri Perak, boleh bayangkan? Seperti tingkap rumah kampung dalam filem Jangan Pandang Belakang. Nak dijadikan cerita pula, tingkap itu tak ada besinya. Kiranya orang boleh masuk keluar mengikuti tingkap tersebut.

Mama yang tengah berdiri waktu itu tetiba terasa angin kuat menyapa. Semua terdiam. Bomoh tadi yang dalam perjalanan keluar pun berhenti.

Dengan tiba-tiba bomoh itu bertanya kepada mama kalau-kalau dia pernah terdengar cerita tentang hantu kum kum. Anda mesti tahu cerita ni, kan? Siap difilemkan lagi. Tapi masa tahun 90-an, mana ada lagi filem itu.

Mama aku mengangguk je bila bomoh itu bertanya. Satu ayat yang mama tak boleh lupa sampai sekarang. Bomoh tu cakap,

"Dia ada tu berdiri betul-betul di luar tingkap."

Apa lagi, semua terkedu di situ juga. Wati tak sedarkan diri lagi. Mama rasa hendak pitam. Suami Wati pula duduk terdiam tunduk ke bawah. Bomoh itu berkata lagi,

"Jangan risau, dia tak boleh masuk kalau tak dijemput. Tutup je tingkap tu."

Waktu inilah mama rasa hendak lari tak cukup tanah. Mama yang paling dekat dengan tingkap itu. Tapi mama tak nampak apa-apa! Gelap-gelita saja di luar. Walau bagaimanapun, mama kuatkan diri juga untuk menutup tingkap tersebut.

Waktu mama tarik daun pintu dari luar, dia terdengar seperti bunyi seorang perempuan sedang menangis. Makin lama makin jauh bunyinya. Semua terdiam sehingga bunyi itu betul-betul hilang di telan malam.

Selepas daripada kejadian itu, tiada lagi bunyi yang menyeramkan itu. Sehingga sekarang mama masih tertanya-tanya tentang kesahihan cerita hantu kum kum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience