Malam itu Surina masuk awal ke kamar tidurnya. Penat benar dia hari ini. Sesekali terasa sakit yang mencucuk-cucuk di bahagian pinggang dan belakangnya. Anak di dalam kandungan pula amat lasak asyik menendang-nendang dinding perutnya membuatkan Surina sesekali mengaduh. Tiba-tiba urat kakinya terasa kejang aduhhh, kerap benar dia diserang ular-ular. Jangan terkena masa bersalin nanti, sudah.
Mana nak tanggung sakit bersalin, mana nak tanggung kejang dek ular-ular. Begitulah perempuan. Bukan mudah menjadi perempuan kan?
Perempuan yang Allah swt cipta dari tulang rusuk lelaki. Tulang rusuk yang bengkok itu memang mudah patah jika berkasar dengannya. Namun Surina selalu berdoa, moga bengkok tulang rusuknya itu ada manfaatnya. Dia mahu menjadi tulang belakang suaminya. Membantu dan berkongsi apa sahaja dengan suaminya ketika susah dan senang.
Lamunan Surina terhenti. Pintu bilik terkuak. Khairul rupanya.
“Cepat awak nak tidur?” Khairul menyapa isterinya.
“Saya penat sikit hari ni, bang”.
“Aaahh, awak tu memang. Penat! Penat! Penat! Orang lain pun mengandung juga”.
Terhiris hati Surina mendengar kata-kata Khairul. Kenapalah Khairul tidak pernah hendak memahami keadaannya yang tengah sarat itu. Kalaulah Surina dapat merasakan jari jemari kasar K Khairul itu mengurut betisnya yang kejang ini mungkin cepat sembuhnya. Namun apalah daya. Dia terpaksa menanggung keperitan itu sendirian sedangkan anak yang dikandung ini anak mereka bersama. Kenapa mesti Surina yang menanggungnya seorang? Kenapa tidak Khairul juga? Mana sumpah janji 17 tahun yang lepas janji hendak susah dan senang bersama?
“Eh, abang nak ke mana pula tu”, tanya Surina bila dilihatnya Khairul bersiap-siap seperti mahu keluar.
“Aku nak keluar. Bosan kat rumah ni”, suara Khairul macam membentak. Sekelip mata, Khairul hilang dari pandangannya. Mudahnya jadi lelaki. Terasa bosan di rumah, boleh keluar bertemu kawan-kawan melepaskan rasa tertekan. Tetapi orang perempuan? Surina malas hendak memikirkan hal suaminya itu. Perlahan-lahan dia meluruskan tubuhnya mukanya berkerut sikit menahan tendangan nakal anak di dalam perutnya itu.
Share this novel