Masa kini...
BUM!
BUNYI pintu yang dihempas kuat langsung tidak mengejutkan Arin yang sememangnya sudah terjaga dari tidur sejak sejam yang lepas. Dirinya sudah terbiasa mendengar bunyi sebegitu. Buku yang dibaca sudah diletak tepi hujung katil. Arin capai earphone dan terus pakaikan ditelinganya. Alunan irama muzik piano terus berdendang ditelinganya. Jam loceng dipandang. Sudah pukul 1 pagi dan kali ini entah sampai pukul berapa pula rumahnya akan riuh di pagi buta.
Arin capai kembali buku yang diletak tadi. Arin sambung membacanya walau sudah banyak kali buku yang sama diulang baca tapi ini saja cara yang boleh buat dirinya hilang rasa bosan. Sekarang ni makin susah dia nak lelapkan matanya semula setelah terjaga. Sebab itulah Arin suka habiskan masa terbuangnya dengan membaca sampai berulangkali baca buku yang sama.
Kalau penulis buku ini ada buat sesi beramah mesra bersama pembaca, memang patut dia pergi bertemu dengan penulis itu. Memang dia akan minta penulis tu terbit buku setiap tahun. Walau baru dua tahun Arin membaca karya penulis itu tapi semua buku yang ditulis oleh penulis tersebut telah dijadikan koleksi dan bahan bacaan Arin.
Tak sedar sudah kali kedua Arin habiskan karya keempat Ilhan yang telah diterbit pada tahun lepas. Jam kini sudah pukul 3 pagi.
“Hei Ilhan ni…Cepatlah kau keluar buku tahun ni. Ada juga aku ulang baca kali ketiga pula,” rungut Arin.
Earphone di telinga dicabut. Arin cuba pasang telinga untuk mendengar jika ada bunyi-bunyi yang berkumandang di luar biliknya.
Sepi…
Nampaknya macam biasa.
Arin terus turun katil dan keluar dari biliknya.
Perlahan-lahan Arin memijak anak tangga hingga anak tangga terakhir. Arin dengar derapan kaki melangkah ke arah tangga. Cepat-cepat Arin buat gaya seperti mahu pergi ke dapur kerana arah itu yang paling dekat untuk dia menyorokkan diri dari ketahuan tapi…
“Arin…” Terhenti langkah kakinya apabila namanya dipanggil.
Arin pusingkan badan untuk melihat walau dia tahu gerangan suara siapakah yang memanggil namanya.
“Eh, mama… Tak tidur lagi,” Arin buat-buat terkejut.
“Arin belum tidur lagi ke sayang?” Puan Salina tidak menjawab pertanyaan Arin tapi menyoal Arin dengan riak muka yang risau.
“Eh… taklah mama. Arin baru terjaga ni sebab haus. Tu yang turun nak minum air ni.” Tipu Arin. Baru terjagalah sangat padahal dah dua jam mata dia segar bugar.
“Kan mama dah pesan isi air dalam botol. Letak dalam bilik. Kalau dahaga tak payah susah-susah nak turun,” balas Puan Salina sambil laju pergi ambil botol kosong. Isikan air untuk Arin.
Arin hanya melihat saja tingkah mamanya.
“Mama kenapa tak tidur lagi.” Sengaja Arin tanya walau Arin tahu mamanya juga akan beri jawapan yang sama macam dia. Jawapan palsu.
“Nah…ambil ni. Lain kali jangan lupa letak botol air dalam bilik.” Puan Salina menghulur botol air yang sudah terisi.
Oh tidak! Kali ini Puan Salina sudah tidak mencipta alasan untuk penipuannya. Mungkin sudah acap kali bagi alasan sampai Puan Salina sudah tidak tahu hendak memberi alasan apa lagi. Senang cerita bukannya mereka yang tinggal dalam rumah besar ini tidak tahu apa yang tengah berlaku dalam rumah ini tapi masing-masing cuba mendiamkan diri dari buat keadaan menjadi lebih keruh.
Arin… Puan Salina… Tahu masing-masing menipu untuk menjaga hati antara satu sama lain.
“Mama masuk bilik dulu. Arin pun jangan duduk lama sangat kat bawah ni. Nanti susah pula nak sambung tidur,” pesan Puan Salina sebelum meninggalkan Arin bersendirian di dapur. Mama cuba mengelak lagi. Bisik Arin dalam hati.
Arin kekal bersendirian di dapur. Malas dia nak masuk ke bilik dulu. Bukan dia boleh tidur pun. Lebih baik dia tunggu kepulangan seseorang pada waktu sebegini. Betul jangkaan Arin, tak sampai 5 minit terdengar bunyi enjin kereta di luar rumah.
Arin terus ke ruang tamu bila terdengar pintu rumah terbuka.
“Oh mak kau!” Terkejut Dina. Wajah Arin terpacul tatkala kakinya baru melangkah masuk ke dalam rumah.
Arin tayang muka tak bersalah.
“Arin ni dah kenapa? Terkejut akak tau. Buat takut orang je,” bebel Dina.
“Eleh balik sampai pukul 3 pagi tak takut pula. Arin lagi takut kalau Kak Dina terbawa balik apa...”
Dina laju tutup mulut Arin. “Mulut tu jaga sikit eh. Jangan nak meminta.” Geram pula Dina dengan Arin yang cuba menakutkan dirinya.
Dina terus merebahkan diri di sofa. Bukan terus masuk ke dalam biliknya.
“Pandai adjust timing,” perli Arin. Dina hanya tersengih.
“Sampai bila Kak Dina nak balik lewat macam ni?” tanya Arin bersama keluhan. Tak faham dengan gaya hidup kakaknya itu.
“Sampai bila Arin nak menyamar boleh tidur lena setiap malam?” tanya Dina semula.
“Hmmm…” Arin mengeluh. Kalaulah dia seperti dulu mungkin dia pun akan buat tak peduli seperti Dina.
“Baik akak pindah keluar je dari balik lewat macam ni. Tahu tak bahaya balik waktu-waktu macam ni seorang diri. Akak tu perempuan,” bebel Arin.
“So jomlah kita pindah,” ajak Dina teruja.
Bulat mata Arin. “Habis tu nak tinggalkan mama je. Biar mama hadap sorang diri?”
Lagi pun rumah ini kan sudah jadi milik mereka.
“Memang mama hadap sorang diri pun perangai Abang Iman laki bini tu. Bukan Arin boleh masuk campur pun.”
“Bukan Arin tak boleh masuk campur tapi…’’
“Samalah juga akak. Arin ingat akak takut nak masuk campur? Ikutkan hati akak memang dah lama kena laki bini tu tapi mama yang tak bagi. Mama lagi tak kisah kut akak balik lambat macam ni dari akak masuk campur hal anak kesayangan dia tu,” potong Dina. Air muka Dina menahan rasa geram.
Arin dengan Dina sama je. Masing-masing mengelak cara sendiri. Bukan mengelak bermakna mereka tidak mahu peduli tentang hal keluarga sendiri tapi itulah keadaan akan bertambah teruk kalau mereka masuk campur. Mereka tak nak buat Puan Salina bertambah risau tapi itulah cara mereka berbeza. Arin sanggup duduk dalam rumah dengan menyamar seperti tidak tahu apa yang terjadi manakala Dina sanggup balik lewat hanya kerana tidak mahu kesabarannya dicabar.
“Dahlah Arin, akak nak masuk bilik. Cakap pasal hal ni takkan habis.” Dina terus bangun meninggalkan Arin.
Arin bersandar lemah di bahu sofa. Kalaulah dia seperti dulu dah tentu dia juga akan buat benda yang sama seperti Dina atau lebih teruk langsung tak jejak rumah ini lagi. Atau Arin akan buat kerja gila kalau dia masuk campur hal alongnya. Apa yang berlaku pada dia dua tahun lepas memang ada hikmahnya tapi tetap ada dugaan. Apabila masalah keluarganya tak pernah habis. Hidup keluarganya masih porak-peranda seperti dulu.
“BERAPA jam kau tidur malam tadi?” Arin tersedar dari lamunanya. Sebenarnya Arin tengah tahan mengantuk.
“Pergilah tidur… tak payah nak tahan mata tu,” paksa Suria.
“Nantilah… Tak pun kejap lagi aku balik terus tidur je.”
“Kalaulah boleh tidur. Entah-entah kejap lagi kau balik nanti kena tengok sambungan adegan perang laki bini yang tak sampai ke sudah tu.”
Arin buat tak tahu saja. Malas dia nak mengiyakan kemungkinan apa yang Suria fikirkan itu.
“Beb, aku tak fahamlah. Asal mama kau biarkan je abang kau dengan bini dia buat macam tu. Sanggup eh mama kau hadap dorang bergaduh tak kira siang malam. Asal mama kau tak suruh abang kau ceraikan je bini dia yang sah dah main kayu dua tiga empat tu. Ini tak, abang kau suruh mama kau yang jadi tukang pujuk setiap kali bini dia buat hal. Kalau tak, abang kau mengamuk. Kau yang kat rumah tu jadi mangsa kena tahan telinga sampai kau nak tidur pun risau je kalau tiba-tiba abang kau datang rumah mengamuk.”
Arin hanya gelak saja lihat mulut Suria membebel macam bertih jagung.
“Eh, kau ni boleh gelak-gelak pula. Aku yang susah hati pasal kau tau.”
“Alalala so sweet…” Arin peluk bahu Suria. “Sorrylah buat kau risau pasal aku tapi macam aku cakap sebelum ni yang aku boleh bertahan lagi.”
“Kadang aku rasa lebih baik kau jadi macam dulu tau. Biarlah orang nampak kau macam tak peduli pasal orang lain asalkan kau boleh hidup bahagia.”
Bahagia ke dia dulu, Arin tertanya sendiri.
“Yang abang kau tu apa pasal susah nak lepaskan bini dia. Takkan nak jadi lelaki dayus. Yang bini dia tu pula suka ke bertambah dosa curang sana sini hanya sebab nak buat abang kau lepaskan dia.”
“Entahlah aku pun tak sempat nak interview tanya abang aku. Mungkin kalau aku yang dulu dah lama join masuk gelanggang sekali kut bergaduh,” Arin loyar buruk.
“Hmmm… Sorrylah… Aku bukan tak suka kau yang sekarang ni tapi aku rasa geram je.”
Arin tak terasa pun apa yang Suria cakap.
“Ni aku nak tanya betul ke kau nak resign. Sayang tau lepaskan syarikat yang sanggup tunggu kau,” tanya Suria.
Hampir setahun Arin bercuti tanpa gaji. Itupun kerana syarikatnya yang tidak mahu melepaskannya walau sudah pernah dia hantar surat perletakan jawatan. Kali ini Arin menghantar surat berhenti sekali lagi.
“Ya kali ni betul-betul aku akan resign. Lagipun dengan keadaan tidur aku yang tak normal ni kau rasa boleh ke aku bekerja macam biasa. Lebih baik aku resign je. Sayang tu memanglah tapi takkan aku nak menyusahkan company aku pula. Lebih baik cari pengganti aku je.”
“Habis tu kau nak buat apa? Kerja kat spa mama kau? Mana tahu setiap hari dapat free mengurut boleh buat kau lena tidur.”
“Kalau boleh, dah lama aku kerja kat situ tau.”
Suria ketawa kecil.
“Hmmm…Entahlah aku pun tak fikir lagi. Kena tengok akaun bank dulu kut boleh survive ke tak jadi penanam anggur secara rasmi.” Arin tersengih.
“Eleh akaun bank kau tu berkepuk tau,” usik Suria.
“Berkepuk pun bukan boleh duit tu beranak-pinak macam tu je dalam bank. Tak pun aku terus buat part time jelah kat kafe kau ni. Semua pelanggan kau suka aku tau.”
“Betullah tu. Yang paling suka pun dah sampai orangnya,” muncung Suria hala ke pintu kafe.
Arin pusing melihat. “Asal dia ada kat sini… Bukan dia…”
“Tulah abang kau asyik bergaduh je dengan bini dia sampai anak buah pun tak boleh bagi kau sorang. Kalau dapat sorang dah tentu dah sekolah budak tu so kau pun bolehlah tahu cuti sekolah bila. Tu tengok kalendar. Dah start cuti sekolah maknanya dah start musim bunga-bunga cinta dalam kafe aku ni.” Suria kenyit mata.
“Eh kau ni kan…” Tak jadi Arin nak bersuara lagi bila matanya dengan mata seorang lelaki yang baru muncul dalam kafe ini saling berpandangan.
Terima kasih terus baca novel baru AA.
Share this novel