QAIREENA tersenyum hambar saat mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Nasrul. Taufiq memandang ke arah Qaireena, begitu juga dengan Nasrul dan Adira, masing-masing menanti jawapan yang bakal keluar dari mulut wanita itu.
"Masa arwah ibu hidup, ibu sentiasa nasihatkan kami dua beradik supaya tak menyimpan dendam pada sesiapa pun. Sentiasa menghormati dan tak menyakiti hati sesiapa dengan sengaja. Ibu selalu kata, biar orang sakiti kita, tapi jangan sesekali kita menyakiti orang. Didikan ibu dan ayah sangat sempurna pada kami. Disebabkan itulah, apa sahaja yang Mak Ngah dan Pak Ngah buat pada kami sekeluarga ibu tak pernah berdendam, tetap je ibu berbuat pada mereka sebab ibu sentiasa mahu memberikan contoh yang terbaik kepada kami dua beradik". Kata Qaireena. Dia kemudian menarik nafas dalam sebelum menoleh ke arah Nasrul.
"Nas, Reen dah pun maafkan Nas. Memang tak mudah sebenarnya untuk Reen memujuk hati Reen sendiri, sebab setiap kata-kata penghinaan tu masih segar dalam ingatan Reen. Tapi Reen sedar yang Reen tak layak untuk menghukum, kerana setiap manusia tak pernah lepas dari melakukan kesilapan. Kecewa, ya memang kecewa sebab Nas orang yang paling rapat dengan Reen, tak ada satu pun kisah hidup Reen yang tak dikongsikan pada Nas. Mungkin itu adalah kesilapan Reen sendiri kerana terlalu meletakkan sepenuh kepercayaan pada Nas dan dalam masa yang sama seolah-olah Reen telah memberikan harapan pada Nas. Reen harap Nas juga dapat memaafkan kesilapan Reen selama kita menjadi sahabat dulu". Ujar Qaireena. Pandangannya melekat pada wajah Nasrul.
"Reen tak pernah pun buat silap pada Nas, hanya Nas yang berlaku kejam pada Reen. Nas harap Reen tak benci pada Nas dan kita masih boleh berkawan macam dulu lagi". Dia memandang Qaireena dengan penuh pengharapan.
"Kita masih kawan, tapi untuk rapat seperti dulu adalah mustahil Nas. Bukan membenci, tetapi lebih kepada menjaga hati dan perasaan Reen sendiri". Kata Qaireena. Hatinya sudah cukup kecewa dengan Nasrul, disebabkan itulah dia tidak mahu lagi memberi ruang untuk hatinya terus dikecewakan dan maruahnya dipijak seolah tidak mempunyai harga.
Jelas terpampang kekecewaan di wajah Nasrul saat mendengar kata-kata yang keluar dari mulut wanita yang dicintainya itu. Namun dia harus akur, kerana sedar segalanya berlaku disebabkan sikapnya sendiri yang bertindak menghukum wanita itu tanpa mendengar penjelasan terlebih dahulu.
~~~
Taufiq memandang Qaireena yang duduk tidak jauh darinya. Wanita itu hanya diam sahaja selepas Nasrul dan Adira meminta diri untuk pulang. Sewaktu mereka makan tengah hari sebentar tadi juga, Qaireena hanya diam tanpa berkata apa-apa.
"Reen, boleh saya tanya sesuatu?". Soal Taufiq memecah kesunyian dalam bilik itu. Qaisara sudah pun tidur semula selepas sahaja dia diberikan ubat. Qaireena menoleh ke arah Taufiq.
"Tanya je". Jawab Qaireena sambil mengukir senyuman kepada Taufiq.
"Awak sayangkan Nas?". Wajah Qaireena dipandangannya, menanti jawapan yang bakal keluar dari mulut wanita itu.
"Sayang. Sayang sebagai kawan. Kenapa Abang tanya macam tu?". Soal Qaireena pula.
"Saja nakkan kepastian, kalau awak betul-betul sayang dan cintakan Nas, saya akan lepaskan awak pada dia. Saya tak nak tengok awak macam ni, memendam perasaan dan menyiksa hati awak sendiri". Ujar Taufiq. Hatinya tidak tenang apabila melihat wajah Qaireena yang muram itu. Dia sangat merindui senyuman wanita itu.
"Apa tujuan Abang kahwin dengan Reen? Sebab simpati dengan nasib Reen ke?". Soal Qaireena tanpa menjawab pertanyaan lelaki itu. Taufiq mati akal, saat mendengar pertanyaan Qaireena itu. Lama dia terdiam kerana dia sendiri tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan kepada wanita itu.
"Sebab awak perlu jelaskan hutang sebanyak lapan puluh ribu yang saya gunakan untuk menebus awak daripada along tu". Jawab Taufiq tanpa memandang Qaireena. Qaireena tersenyum sinis apabila mendengar jawapan daripada lelaki itu.
"Bukan sebab lain?". Tanya Qaireena lagi dengan matanya yang masih melekat ke wajah Taufiq.
"Kalau tak ada sebab lain, kenapa Abang menolak masa Reen dah menyerah diri malam tu? Bukankah sepatutnya kita harus berada dalam win win situation? Reen memenuhi nafsu Abang manakala hutang Reen pula akan langsai serta merta. Tapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Abang menjadi tempat kami dua beradik bergantung dan dalam masa yang sama Abang menjadi pelindung kami tanpa meminta apa-apa balasan pun". Sambung Qaireena lagi.
Terkedu Taufiq seketika apabila mendengar kata-kata Qaireena. Sungguh, wanita ini terlalu bijak berkata-kata sehinggakan dia terperangkap dengan kata-kata yang dilemparkan oleh Qaireena.
"Kenapa Abang diam? Abang tak ada jawapan ke atau Abang tak nak beritahu perkara sebenar pada Reen?". Soal Qaireena apabila dilihatnya Taufiq masih diam tanpa menjawab pertanyaannya.
"Kadang-kadang tak semua persoalan memerlukan jawapan yang tepat Qaireena Azalea". Taufiq bersuara sambil memandang wajah wanita itu. Qaireena tersenyum apabila mendengar jawapan selamat yang diberikan oleh Taufiq.
"Jadi, jangan tanya apa perasaan Reen pada Nasrul lagi". Qaireena bingkas bangun dari kerusinya dan keluar dari bilik Qaisara untuk menuju ke surau bagi menunaikan solat zohor. Taufiq hanya memandang susuk tubuh itu berlalu sehingga hilang dari pandangannya.
"Mengaku jelah kalau Abang Taufiq memang sayangkan Kak Reen". Kata Qaisara yang sudah pun tersedar dari tidurnya. Senyuman diukir sambil memandang ke arah Taufiq. Mendengarkan itu, Taufiq juga turut tersenyum.
"Sejak bila Sara bangun ni?". Ujar Taufiq. Dia kemudian berdiri dan melabuhkan punggungnya di kerusi yang berada di tepi katil Qaisara.
"Masa Kak Reen membebel panjang lebar tadi. Sorry sebab curi dengar perbualan Abang dan Kak Reen. Tapi itu bukan salah Sara tau, siapa suruh korang berbual dekat dalam bilik Sara". Jawab Qaisara sambil tersengih. Taufiq tersenyum sambil menggeleng-gelangkan kepalanya.
"Abang Taufiq, boleh tak janji satu benda dengan Sara?". Sesekali kata-katanya tersekat apabila dia mula terbatuk-batuk.
"Abang sebenarnya takut nak berjanji, risau nanti Abang tak mampu nak tunaikan janji tu. Tapi, apa benda yang Sara nak Abang janji tu, boleh Abang tahu dahulu?". Tanya Taufiq sambil memandang wajah pucat adik iparnya itu.
"Sara nak Abang Taufiq berjanji dengan Sara yang Abang Taufiq akan jaga Kak Reen dengan baik dan takkan tinggalkan dia. Kak Reen dah tak ada sesiapa lagi kalau satu hari nanti Allah takdirkan Sara pergi meninggalkan dunia ni". Kata Qaisara pada Taufiq. Airmatanya mula mengalir membasahi pipi.
"Sara, janganlah cakap macam tu. In Shaa Allah Sara akan sembuh selepas je pemindahan tulang sum sum tu berjaya". Ujar Taufiq. Rasa sebak di dadanya cuba di tahan. Entah mengapa perasaan itu sama seperti ketika kedua orang tuanya mahu meninggal dunia.
"Ajal dan maut tu kan rahsia Allah, Sara sendiri tak tahu sampai bila Sara boleh bertahan dengan keadaan Sara sekarang ni. Boleh tak Abang Taufiq berjanji dengan Sara? Kami dah tak ada sesiapa lagi dekat dunia, adik-beradik arwah ayah pun langsung tak ada yang peduli pada kami". Tutur Qaisara. Airmata yang mengalir di pipinya semakin deras.
"Abang Taufiq sayangkan Kak Reen kan?". Tambah Qaisara lagi. Perlahan Taufiq menganggukkan kepalanya. Walau sedaya upaya dia cuba menahan airmata lelakinya daripada jatuh, namun akhirnya dia gagal. Airmata itu tetap mengalir di pipinya saat mendengar kata-kata adik iparnya itu. Qaisara senyum apabila melihat anggukan Taufiq.
"Sara tahu Abang Taufiq memang sayangkan Kak Reen, sebab cara Abang Taufiq pandang Kak Reen pun sama macam pandangan arwah ayah pada arwah ibu dulu. Jadi, tolong janji dengan Sara ya?". Kata Sara dengan senyuman.
"Abang janji Sara". Jawab Taufiq. Airmata yang mengalir di pipinya dikesat dengan tapak tangan.
"Terima kasih Abang Taufiq". Ucap Qaisara bersama senyuman yang masih menghiasi wajahnya yang pucat itu.
"Sama-sama Sara". Balas Taufiq dengan senyuman.
"Sara dah bangun?". Soal Qaireena apabila dia menolak pintu dari arah luar dan melihat Qaisara sedang duduk bersandar sambil berbual dengan Taufiq. Qaisara senyum dan menganggukkan kepalanya.
"Kak Reen, tadi kan masa Sara tidur, Sara mimpi ibu datang jumpa Sara. Ibu ajak Sara pergi ke satu taman yang cantik sangat, mula-mula ibu tak bagi Sara pulang, tapi Sara kata tak boleh sebab kesian Kak Reen tengah tunggu Sara pulang, barulah ibu lepaskan pegangan tangan Sara. Ibu kata nanti ibu datang bersama ayah pula untuk jemput Sara". Cerita Qaisara pada Qaireena.
Tersentak Qaireena saat mendengar mimpi yang diceritakan oleh adiknya itu. Sungguh dia takut bila mendengar tentang mimpi itu, jantungnya mula berdebar namun sedaya upaya dia mengawal reaksinya. Taufiq pula mengalihkan pandangan kepadanya dan mata mereka bersatu seolah-olah apa yang bermain di fikiran mereka ketika itu adalah perkara yang sama, tetapi berulang kali Qaireena menidakkan suara hatinya itu.
"Bertuah Sara dapat jumpa ibu dalam mimpi, mesti wajah ibu berseri-seri kan?". Kata Qaireena dengan senyuman. Taufiq dapat melihat mata Qaireena yang mula merah kerana menahan airmatanya daripada mengalir.
"Ya Kak Reen, wajah ibu bercahaya je". Jawab Qaisara lagi.
"Kak Reen harap malam ni giliran Kak Reen pula yang dapat mimpi berjumpa dengan ibu, Kak Reen rindu sangat pada ibu". Bibirnya tersenyum namun berkali-kali matanya dikelipkan untuk menahan takungan air pada matanya itu jatuh membasahi pipi. Taufiq yang melihat, terus bangun dari kerusinya.
"Reen, saya ke surau dulu". Kata Taufiq. Dia kemudian terus berlalu setelah melihat anggukan Qaireena. Sungguh dia tidak sanggup untuk berada dalam situasi itu.
"Kak Reen, esok boleh tak minta Mak Leha buatkan kuih pelita untuk Sara? Dah lama Sara teringin nak makan kuih tu. Masa Mak Leha temankan Sara tempoh hari, Sara ada tanya Mak Leha pasal kuih tu, Mak Leha kata dia pandai buat". Qaireena mengukir senyuman ketika mendengar permintaan adiknya itu.
"In shaa Allah, nanti Kak Reen minta Mak Leha buatkan ya". Jawab Qaireena.
••••••••••
Awal pagi itu, Taufiq tiba di hospital bersama Mak Leha. Ketika mereka melangkah masuk ke dalam bilik Qaisara, kelihatan doktor Luqman bersama seorang jururawat sedang membuat pemeriksaan terhadap Qaisara.
Taufiq memandang ke arah Qaireena, dilihatnya mata wanita itu bengkak. Pasti semalaman Qaireena menangis memikirkan tentang Qaisara.
"Macam mana keadaaan Sara?". Soal Taufiq pada Qaireena ketika dia sudah pun berdiri di sebelah wanita itu.
"Dari semalam Sara asyik muntah je sampai tak ada tenaga langsung". Jawab Qaireena sambil memandang Taufiq.
"In Shaa Allah semuanya dalam keadaan okay. Awak janganlah risau sangat ya". Kata Taufiq. Bahu Qaireena disentuhnya dan diusap perlahan.
Pandangan Qaireena beralih ke bahunya yang disentuh oleh Taufiq itu, dia kemudian menganggukkan kepalanya.
"Saya nak masuk pejabat dulu, kalau ada apa-apa awak terus call saya. Mak Leha akan temankan awak dekat sini". Ujar Taufiq lagi.
"Baiklah". Jawab Qaireena sambil memerhatikan susuk tubuh lelaki itu menghilang disebalik pintu.
Wajah pucat Qaisara tersenyum ceria apabila melihat Mak Leha datang melawatnya dan membawa kuih pelita yang dimintanya semalam.
"Terima kasih Mak Leha. Boleh tak Mak Leha datang dekat sikit, Sara nak peluk Mak Leha". Ucapnya dengan senyuman sambil mendepakan tangannya. Mak Leha bangun dari kerusi dan menghampiri Qaisara.
"Sayanggg Mak Leha". Kata Qaisara sambil memeluk wanita itu. Mak Leha turut membalas pelukan Qaisara bersama senyuman. Pipi Qaisara juga di kucup kiri dan kanan.
"Mak Leha pun sayangkan Sara". Ujar Mak Leha dengan senyuman.
"Sedap tak kuih tu?". Soal Mak Leha pada Qaisara.
"Sedap, rasanya sama macam yang arwah ibu buat". Jawab Qaisara dengan senyuman sambil mulutnya mengunyah kuih tersebut.
Qaireena tersenyum melihat Qaisara yang begitu berselera menikmati kuih pelita itu. Dari semalam Qaisara tidak mahu makan atas alasan tidak mempunyai selera, namun pagi ini hatinya lega apabila melihat adiknya itu menikmati sarapan pagi dengan penuh berselera.
"Esok, Sara nak makan kuih apa pula? Nanti Mak Leha buatkan". Tanya Mak Leha pada Qaisara.
"Tak apa Mak Leha, Sara cuma teringin nak makan kuih ni je". Jawab Qaisara dengan senyuman.
Qaireena hanya memerhatikan sahaja Qaisara berbual-bual bersama Mak Leha. Dia gembira apabila melihat Qaisara ceria pagi itu.
'Ya Allah, tolong berikan kesembuhan pada Qaisara. Sungguh aku tidak kuat untuk menghadapi kehilangannya. Cukuplah dengan pemergian Ayah dan kemudian ibu pula menyusul. Aku benar-benar takut untuk menghadapi kehilangan sekali lagi'. Bicara Qaireena di dalam hati. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata, hanya perkara itu sahaja yang bermain difikirannya. Tanpa sedar airmatanya mengalir ke pipi. Mujurlah Mak Leha dan Qaisara tidak perasan kerana terlalu asyik berbual.
Happy Reading korang:-)
Share this novel
npe sdih sngt nie waaaaaa