Butler Untuk Selamanya!

Romance Completed 117449

BAB 28

            MEMANG sangat menakutkan! Kenapa nasib aku dari dulu sampai sekarang ni sama sahaja. Aku terpaksa guna pintu belakang yang sentiasa tertutup. Memanjat tembok dan pagar lalu terjun sehingga kakiku terkehel! Memang betul-betul menyakitkan hati! Ini lebih baik dari aku berhadapan dengan mereka. Ah... apa sudah jadi dengan pelajar sekolah ini yang suatu masa dahulu kelihatan jauh lebih sopan santun?!

            Dengan kaki yang sakit aku terpaksa juga jalan menuju ke perhentian bas untuk ke stesyen kereta api. Malam ini aku mesti kena sampai juga di rumah jika tidak sudah pasti adik-adik serumahku itu akan risau. Perjalanan kali ini aku lebih banyak termenung. Sehingga aku tiba di rumah sudahpun agak lewat. Lin dan Julia berada di bilik masing-masing sedang mengulang kaji. Aku terus ke bilik dan merebahkan diri yang sangat lemah di atas katil. Mataku terus terpejam tanpa menukar pakaian mahupun mandi. Aku sudah tidak peduli lagi.

**********

            Hari ini aku keluar untuk mencari kerja kosong di sekitar pusat bandar. Aku mencari jika ada permis pernigaan yang mengadakan walk ini interview. Tetapi perut aku sangat lapar sehingga sudah berbunyi. Aku juga berjalan terjengket-jengket kerana sakit di pergelangan kaki akibat terkehel semalam. Macam mana ni, duit pun sudah habis. Kalau ada pun untuk bayar rumah sewa. Tiba-tiba semangatku semakin menurun. Menyesal pula tidak pinjam duit dari Abang Is! Aku dah hampir jadi mangsa kebuluran kerana tidak menjamah apa-apa sejak semalam. Jalan pun sudah terhuyung-hayang. Peluh sejuk mula terbit dan mataku semakin berbinar. Aku memegang di tiang di tepi jalan tempat melintas. Apabila lampu hijau untuk pejalan kaki menyala aku terus melangkah. Nafasku tercungap-cungap kerana menahan rasa sakit yang sukar aku gambarkan.

            Ponnnn!!!!!! Bunyi hon yang kuat membingit kerana lampu hijau sudah bertukar merah tetapi aku masih berada di tengah-tengah jalan. Kakiku tidak mampu melangkah lagi. Tolonglah... aku terasa badanku hampir jatuh tetapi badanku sempat dipaut. Mataku yang separuh terbuka dapat melihat wajah itu samar-samar.

**********

            “Dia tidak ada apa-apa. Bila dia sedar bagi dia minum susu dan bubur. Kemudian bagi dia makan ubat. Lepas tu dia perlu berehat dan keadaan dia akan beransur baik.” Kata-kata doktor peribadinya itu melegakan sedikit hatinya. Harry mengangguk faham dan menghantar lelaki itu keluar dari kondonya.

            Aku mendengar suara perbualan mereka sayup-sayup. Adakah aku sedang bermimpi? Aku melihat lelaki itu sebelum aku jatuh pengsan? Tetapi...! Mataku terbuka luas dan melihat sekeliling. Ahh! Aku kat mana ni?!

            “Kalau aku biarkan kau kat jalan tadi mungkin kau buka mata dalam keranda sekarang.”

            “Harry!!” Aku menjerit dengan sisa-sisa tenaga yang masih berbaki. Harry menyandar tubuhnya yang lampai itu di ambang pintu sambil tersenyum sinis melihatku.

            “Oh ya... kalau dah dalam keranda tak kan la dapat buka mata lagi kan?”

            Aku mengetab bibir menahan geram. Kalau bukan kerana badanku yang lemah ketika ini sudah pasti aku ingin pergi menyepak mulutnya itu.

            “Tak payah ucapkan terima kasih.” Harry mendekatiku.      

            Aku menarik selimut menutup tubuhku sehingga ke paras bahu, seolah-olah aku rasakan ia lebih selamat bagiku.

            “Doktor kata kau kena gastrik. Kenapa kau tak makan? Adakah sebab terlalu rindukan aku?” Harry ketawa sinis.

            Aku mencapai bantal kecil dan terus lempar tepat ke mukanya yang kacak itu!

            “Arghh!” Harry terkejut dan tidak sempat mengelak. “Hey!” Dia menjerit kepadaku dengan wajah yang merah.

            “Lapan tahun... kalau lapan tahun saya tak makan, mesti saya dah lama mati...” Aku menyelak selimut dan bergerak ke tepi untuk bangun. Hati aku terasa diseperti ditikam-tikam. Ingin sahaja aku menjerit memberitahunya bahawa aku sangat merinduinya!

            Harry terpana sehingga dia terdiam, matanya merenung tepat ke arahku. Aku mengambil beg yang berada di meja sisi katil dan menyangkut di bahu kanan.

            “Terima kasih... tapi saya juga nak minta maaf. Sebab dah dah menyusahkan awak.” aku melangkah perlahan menuju ke pintu. Dia berdiri di bucu katil tidak bergerak mungkin terlalu terkejut dengan sikap dinginku.

            Langkahku agak perlahan kerana kepalaku masih pening. Namun, aku gagahkan juga sedangkan hatiku sudah berkecamuk.

            “Sebelum pergi kau kena makan dulu. Aku dah siapkan bubur untuk kau.”

            “Saya tak lapar.” Aku tidak memusingkan badan dan terus melangkah keluar. Sedangkan aku tidak tahu di mana aku berada sekarang ini. Seperti sebuah kondo, tetapi bukankah Harry tinggal di hotel milik Ray?

            “Kalau kau jatuh pengsan lagi kat luar tu, aku tak akan peduli lagi.”

            Aku tersenyum sinis. “Memang, awak dah lama tak pedulikan saya...”

            Belum sempat aku menyambung kata-kataku Harry sudah menarik tanganku dengan kasar. Aku terpaksa mengikut langkahnya kerana pegangan tangannya begitu kejap. Aku meronta namun dia tetap tidak melepaskan.

            Harry menolak tubuhku sehingga aku terduduk di sofa. Di atas meja kopi ada semangkuk bubur dan segelas susu. Aku ingin bangun semula namun dia menekan bahuku sehingga aku terduduk semula. Wajahku masam mencuka melihat wajah serius lelaki yang lapan tahun kurindui ini! Argghh! Sangat menyakitkan hati! Kenapa aku menaruh hati kepada si bedebah ni?! Kenapa aku tidak boleh melupakannya?

            “Lapan tahun lalu...” Harry akhirnya tahu bermukadimah! Dia merenungku dalam-dalam. Aku menelan liur menahan getaran di dada.

            “Masa aku sakit, kau dah buatkan aku bubur dan jaga aku. Jadi, aku terpaksa buat benda yang sama supaya aku tak rasa berhutang budi lagi dengan kau.”

            “Tak perlu, saya tak ikhlas pun jaga awak dulu.” Balasku sengaja menyakitkan hatinya.

            “Kalau macam tu, anggaplah aku pun tak ikhlas. Tapi, aku tak suka ada hutang, tambahan lagi dengan orang macam kau.”    

            “Makan, atau aku akan paksa kau.” Gesanya lagi.

            Aku menahan rasa sakit hati sedalam-dalamnya. Aku memalingkan wajah dari melihatnya. Air mataku bergenang. Oh hati... sikit saja ni, kelak kau akan lebih parah. Bersabarlah. Entah kenapa bayangan lelaki itu berpelukan dengan Sallyna di bilik hotel tempoh hari bermain di fikiran aku.

            “Minum susu ni,” Harry menghulurkan aku segelas susu, belum sempat aku menyambut dia sudah menyuakan ke bibirku. Aku tersentak namun hanya menurut rentaknya. Mata aku tidak berganjak dari merenung wajahnya yang dekat denganku itu. Hampir sahaja air mata aku tumpah, tetapi aku berjaya menahan diri. Selepas aku minum susu dia menyuapkan aku bubur pula. Dengan hati-hati, dan kami hanya diam seribu bahasa. Aku seperti hilang dalam duniaku sendiri. Begitu juga dengan dia, fikirannya entah ke mana cuma tangannya sahaja tetap menyuapku sehingga habis. Ya, habis semangkuk! Bukan kerana aku terlalu lapar, tetapi aku sendiri tidak sedar...

            “Macam mana hidup kau lapan tahun ni? Soalnya perlahan sambil meletakkan mangkuk itu di meja. Matanya langsung tidak memandangku.

            “Baik. Sangat baik sampai saya dah lupa macam mana rupa awak.”

            Harry tersengih. “Lupakan macam mana rupa aku itu adalah perkara baik bagi kau? Nampaknya kau bersusah payah nak lupakan rupa aku. Kenapa kau tak guna lapan tahun ni untuk bina hidup baru ataupun berkahwin ke...”

            “Haha! Siapa kata saya dah bersusah payah, melupakan sikap buruk awak tu satu perkara mudah bagi saya. Semalam pun saya tak datang jumpa awak kan?”

            Harry tiba-tiba menolak aku sehingga tubuhku rapat dengan kepala sofa, kedua bahuku ditekannya. Wajahku begitu dekatnya. Tindakan drastiknya itu membuatkan tubuhku terkaku!

            “Apa awak buat ni!”

            Matanya yang koko cair itu merenung mataku dalam. Begitu dekat sehingga aku terpaksa mengawal nafasku. Menggigil tangaku dan jantungku sudah tidak mengepam darah seperti biasa.

            “Kalau betul kau dah lupakan aku... kenapa semalam kau ada di Adam Taylor High School?”

            Terbeliak mataku ketika mendengar kata-katanya itu. Aku menelan liur yang terasa sudah terlekat. “Macam mana...”

            “Jangan tanya soalan bodoh, jawab je apa aku tanya.” Harry semakin kuat menekan bahuku.

            “Saya pergi jumpa abang saya!” Adakah ini jawapan yang terbaik? Terserahlah...

            “Kau ada nampak apa-apa dalam bilik hotel?”

            “Hotel?” Aku berpura-pura tidak mengerti sedangkan jantungku sudah hampir luruh dengan soalan-soalan dari lelaki ini!

            “Apa yang kau nampak?!”

            “Saya... saya tak tahu, saya tak masuk pun. Saya dah bagi barang tu kat pembantu awak.” Aku cuba berlagak tenang walaupun ada getaran di bibirku.

            “Kau fikir pembantu aku tu... jujur sangat!”

            “Apa?! Tapi saya dah pesan...” aku menekup mulut kerana sudah terlepas cakap. Aduhhh!!

            “Nur Marhaya... tolong jangan berlagak lagi. Kau dah nampak kan...”

            “Jadi?” aku turut bertegas. “Jadi kalau saya nampak sekalipun... apa halnya kepada awak!”

            “Kenapa kau lari?”

            “Habis tu awak nak saya buat apa?!”

            “Kau sepatutnya masuk supaya dia faham, yang aku tunggu tu kau bukannya dia, lembap!”

            “Ap... apa...” Aku benar-benar tidak mengerti maksudnya.

            “Aku tak pernah lepaskan kau, kau tetap hamba aku...” senyuman Harry meleret sehingga ke telinga. Aku mengetap bibir geram.

            “Saya tak akan tunduk kat awak lagi!” Aku menolaknya sekuat hati. Harry bengun berdiri dan memeluk tubuhnya sambil tersengih.

            “Saya bukan hamba awak! Cukuplah lapan tahun lepas!” Aku bertegas.

            “Tak menarik la cerita kalau mudah macam ni kan...” ucap Harry sambil mencapai telefon bimbitnya. “Hanya dengan satu panggilan... biasiswa abang kau masa belajar dulu akan bertukar menjadi pinjaman, dan dia akan dibuang dari Adam Taylor High School! Itu bermakna tak ada mana-mana sekolah akan terima dia lagi. Sekarang... semuanya bergantung pada kau.”

            “Jangan libatkan abang saya!” Aku melulu ke arahnya untuk merampas telefon itu.

            “Sayangnya... itu memang cara aku.” Harry menahanku.

            Aku merengus geram. Tidak tertahan lagi dengan permainan lelaki ini.

            “Awak nak saya buat apa lagi?? Bukan ke awak dah janji lapan tahun lepas yang awak tak akan layan saya macam ni lagi!”

            “Itu cerita lapan tahun lepas, sekarang aku lebih kejam lagi.”

            “Keji!”

            “Selagi aku tak kata stop, permainan ni tak akan boleh berhenti. Faham?”

            “Untuk apa... untuk apa lagi semua ni?!”

            “Kau tak perlu tahu. Mulai hari ni... kau tak akan boleh lari dari aku. Kalau tidak, kau boleh tengok seluruh keluarga kau dapat susah. Termasuk kau...”

            “Sampai bila... sampai bila awak nak jadikan saya seperti hamba awak!” Bergetar badanku menahan rasa marah bercampur sedih. Alangkah sukarnya hidupku, aku membenci mansusia yang aku cintai!

            “Ayah kau adalah penjaga aku sejak kecil, kau pula kena menyambung tugasnya bila aku dah besar. Ingat... seumur hidup pun, aku tetap adalah tuan muda kau! Jadi, kau kena buat semua kerja yang aku suruh tidak kira masa dan tempat. Kalau aku perlukan kau, kau kena muncul di depan aku. Faham!”

            “Ayah saya dah tak bekerja lagi dengan keluarga tuan muda! Saya juga tak perlu berkhidmat untuk keluarga tuan muda lagi!” Aku sengaja menekan perkataan ‘tuan muda’ itu dengan keras.

            “Tetapi ayah kau hidup serta menyara adik-adik kau sekarang atas elaun yang diberi keluarga Taylor. Jadi... jangan berlagak sangat.” Harry tersengih sinis. “Seumur hidup pun, kau tak boleh lupa jasa keluarga aku.”

            Mataku membulat memandangnya dengan berkaca-kaca. Tanganku menggeletar kerana menahan rasa yang begitu menyakitkan. Lelaki ini, bukan manusia tetapi JIN!!!!!!

            “Aya... aku bukan jadikan kau hamba sahaya yang hanya diberi makan dan minum tanpa gaji. Aku akan bayar gaji kau dengan setimpal. Kerja kau cuma urusakn segala keperluan aku, jadi driver, maid, PA aku, setiausaha aku, dan macam-macam lagi. Ini kerana aku sudah memberi cuti panjang kepada pembantu aku sebelum ini.”

            Aku menggeleng kepala dengan sakit hati. “Kenapa saya pula kena ganti tempat dia buat semua kerja tu. Awak ingat saya ni robot?!”

            Gila ke apa? Semua kerja itu aku seorang yang kena buat?

            “Aku susah nak percaya kepada orang luar kan. Jadi, kaulah orang yang paling sesuai. Lagipun aku dengar kau penganggur terhormat sekarang.” Katanya lagi yang menambah geram di hati aku.

            “Awak ni memang tak ada hati perut!”

            “Oh ya, pasal cuti pulak. Kau memang tak ada cuti, sebab aku sekarang tengah bercuti, jadi aku perlukan khidmat kau setiap hari.” Harry tersenyum.

            Bernanah hati aku melihat senyumanya itu.

            “Kalau awak nak hidup senang-lenang baliklah ke Villa Taylor! Kat sana semua orang ada berkhidmat untuk awak!” 

            “Malangnya... aku nak menghabiskan masa cuti di sini.” Harry tersenyum menyakitkan hati lagi.

            “Baiklah!” Aku menjerit lantang dan menarik nafas dalam-dalam. “Kalau macam tu saya ada satu perkara sebelum setuju dengan awak.”

            “Apa dia?” Tanya Harry dengan kening terangkat.

            Buk!! Aku menumpuk mukanya dengan sekuat hati. Badan Harry terpusing dan terjatuh ke lantai kerana dia tidak menyangka aku akan menyerangnya.

            “Sekarang, saya bersedia jadi hamba awak!” Kataku dengan puas hati. Harry mengerang kesakitan tetapi aku tidak memperdulikannya. Aku terus melangkah menuju ke pintu rumahnya.

            Sepanjang perjalan di dalam bas yang aku naiki itu aku menangis sepuas hati. Mujurlah aku mengambil tempat paling belakang dan tidak ada orang yang berdekatan denganku. Aku menyeka air mata yang tidak mahu berhenti. Kenapa mesti aku berhadapan dengannya lagi, kenapa aku tidak dapat melarikan diri darinya? Aku bukan benci kepada Harry tetapi aku benci kepada diriku sendiri yang telah melabuhkan hati di tempat yang salah. Mulai hari ini aku perlu mengikis perasaan itu jauh-jauh. Aku tidak akan melupakan pesanan Abang Is suatu masa dahulu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience