KAMI bermalam di Mrs. Egg Guesthouse, Busan. Daripada semalam, aku tak
keluar daripada bilik setelah Iman bawa aku jalan-jalan di pasar
Jalgapchi. Iman juga tak memaksa. Pengembaraan kami terasa makin
sempit jalannya.
Lemah betul jiwa aku sebagai perempuan. Begitu mudah aku rasa nak
mungkir janji aku dengan mama dan papa. Berjanji untuk pulang,
sedangkan aku kian berat kaki nak melangkah.
Kata Iman sewaktu kami bersarapan pagi tadi, dia akan terbang ke Jejudo
sendiri jika aku buat keputusan untuk kembali. Dia akan mendaki
Hallasan (Gunung Halla) bersendirian. Dan sekarang, aku dengar ketukan
pada pintu. Aku tahu, Iman dah muncul memandangkan penerbangan kami
kurang tiga jam daripada sekarang. Sama dengan masa untuk aku terbang
balik ke Malaysia.
“Kejora , are you in there?” Suara dia kedengaran sayup-sayup di telinga
aku.
“Laisa Kejora , Assalamualaikum?” sapanya lagi.
Aku jawab salam dalam hati dan terus duduk memeluk lutut erat.
“Kejora , cepat sikit. We’re running out of time now. Flight kita tak
lama dah,” laung Iman lagi sambil terus mengetuk pintu.
“Kejora ?”
Aku bangkit dan membuka pintu. Dengan beg pakaian yang masih belum
dikemas dan diri sendiri masih tak sedia untuk ke mana-mana.
“Tak siap lagi?” tanya Iman menjenguk ke dalam bilik aku.
Bila aku geleng, Iman ketap bibir. Tak tahulah dia nak ketawa atau
sebaliknya bila jelas keputusannya yang aku ini memang tak nak balik.
“Awak tak nak balik?” tanya Iman.
Aku tunduk bermain dengan jari sendiri. Tak menjawab.
“Kalau bukan Malaysia, boleh kita ke Jeju?” Kening dia naik bersama
senyuman manis.
Tapi, aku masih diam. Iman mengeluh tipis. “Ingat, Kejora . Keputusan
awak pasti sentiasa terbaik untuk diri awak sendiri. Awak lebih tahu
apa yang awak nak untuk diri awak. Biarpun orang lain pilih, andai satu
hari awak terluka… awak sendiri juga yang akan tanggung,” ucap Iman dan
dia hilang menuruni anak tangga.
Aku terduduk di birai katil. Memerhati beg galas yang masih belum
kemas. Satu jam saja untuk aku buat keputusan. Suara mama dan papa
hadir terngiang-ngiang. Suara Aina juga. Kemudian, airmata mama
mengalir laju. Wajah papa murung tak terbendung. Riak Ayie mula
menunjukkan yang dia mula hilang hormat pada aku. Dan Aryana – adik
ipar aku. Nampak berkerut dahi saat kami bertentangan mata.
Tuhan… apa aku buat ni? Kenapa lemah sangat sedangkan mama dan papa
lepaskan aku pergi bila aku taburkan benih kekuatan untuk aku kembali
pada mereka dan menerima Zaza sepenuh hati? Kenapa aku mahu bunuh
kepercayaan mama dan papa pada aku?
Allah… aku raup wajah. Kemudian, berlari ke bilik air. Membasuh wajah
resah dengan air yang terlalu dingin. Hati aku terlalu kalut hingga aku
terlupa untuk memasang water heater. Setelah itu, aku terus capai
segala pakaian yang bergantung dan aku sumbat ke dalam beg galas.
Hanya setengah waktu yang aku ambil dan aku dah siap. Bilik aku kemas
ala kadar. Nampaknya, tak banyak kenangan manis antara aku dengan
Iman. Perjalanan kami masih jauh sebenarnya. Kami akan jelajah seluruh
Jejudo. Kami akan terbang semula ke Seoul dan akan balik melalui Gimhae
Airport. Dan, kisah antara aku dan Iman akan menjadi satu cerita yang
tiada bertajuk.
Aku tiba di bawah. Pekerja Mrs. Egg menyapa sopan. “Anegeseyo…”
(selamat jalan). Entah daripada mana dia yakin aku boleh faham cakap
dia, pun aku tak pasti. Gamaknya, rupa aku ada iras Korean ke?
Melainkan mata yang tercipta sedia sembab tanpa kelopak, itu saja salah
satunya. Yang lain, aku Melayu sejati.
Iman dekati aku. Dia tenung aku atas bawah dengan senyuman tipis.
Entah senyuman kecewa atau tak, aku tak tahu tapi keputusan aku saat ini
memang bulat. Lebih bulat daripada bulat. Lebih bulat daripada guli.
“Jom. Nanti lepas flight,” ajak dia dan baru nak melangkah, suara
seseorang menyapa aku. “Dea?” (Ya). Aku senyum pada jejaka muda di
depan aku.
“Yogi-o…” (Ini…) Dia hulurkan aku sekeping poskad dengan gambar Namsan
Park.
“Yigo… bueyo?” (Ini, apa ya?)
“Sommul. Aegeshi ka sommul.” (Hadiah. Hadiah untuk cik.)
“Choyo?” (Saya?) Terkejut bila dia katakan hadiah untuk aku. “Kendei…
dugumikka?” (Tapi, siapa bagi?)
Dia senyum. “Aegeshi ka namja chinggu,” jawabnya. (Teman lelaki cik.)
Makinlah berkerut kening aku. Tapi, setelah aku ucapkan terima kasih
dia berlalu pergi. Siapa yang bagi? Tak kanlah Iman. Saat-saat
genting macam ni, mana boleh dia bagi aku poskad. Lagipun, sejak bila
dia jadi teman lelaki aku?
“Kejora … are you coming?” Iman tiba-tiba muncul di depan pintu.
Menggamit aku agar pantas.
Laju kaki aku melangkah. Mengikut Iman ke sebuah bus-stand untuk ke
lapangan terbang. Kami menaiki bas dan kurang sejam, kami tiba di
airport. Aku dan Iman akan terbang bersama-sama.
Share this novel