Bab 25

Romance Series 106380

TUAN Mansur menganjurkan satu mesyuarat ahli lembaga pengarah untuk mengumumkan kepulangan Zaitun dalam syarikat mereka. Namun kerana sudah lama tidak berkerja, Zaitun lebih memilih untuk menjadi pemerhati dan penasihat.

Walaupun keputusan itu terasa berat untuk Tuan Mansur terima, namun dia akur dengan alasan yang diberikan oleh Zaitun dan sebagai langkah permulaan, Juwita akan diberi tunjuk ajar tentang selok belok perniagaan.

Bagi Tuan Mansur, mendidik Juwita bukanlah sesuatu yang sukar apatah lagi Juwita sejenis yang cepat tangkap apa yang telah diajar. Malah dia juga sejenis yang suka bertanya.

"Man ingat nak buat majlis makan malam. Nak umumkan akak sebagai pemegang saham utama." Tuan Mansur menyatakan hasratnya ketika mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam pejabatnya.

Tuan Mansur sedikit kagum melihat Zaitun. Walaupun sudah menginjak usia 50-an, Zaitun tetap menjaga penampilannya. Meskipun dengan hijab yang menutupi mahkotanya, dia tetap anggun seperti arwah bonda mereka.

"Akak tak ada masalah. Tapi akak kena bincang juga dengan Juwita." Tuan Mansur kerut dahi. Tertanya-tanya mengapa Zaitun perlu berbincang dengan Juwita.

"Kenapa?" soal Zaitun. Dia dapat mengesan sesuatu melalui mimik wajah Tuan Mansur.

"Bukan ke akak boleh buat keputusan sendiri? Ju sepatutnya ikut jelah keputusan akak." Tuan Mansur menyuarakan apa yang terbuku di hatinya. Zaitun tersenyum.

"Kalau Man nak tahu, Ju tulang belakang kami sejak Abang Sazali pergi. Dia pikul tanggungjawb menyara keluarga walaupun pada waktu itu dia masih lagi belajar. Akak tahu, Ju akan ikut apa akak cakap.  Dia anak yang baik. Dia takkan membantah. Tapi akak tak nak abaikan dia. Dia juga berhak untuk tahu semua ni. Akak tak nak dia terkejut. Itu saja." Tuan Mansur mengangguk faham dengan penerangan Zaitun.

"Akak... kalau akak tak kisah, boleh Man tahu apa punca Abang Sazali meninggal?" Zaitun terdiam mendengar soalan Tuan Mansur. Agak sukar untuk dia menyingkap kenangan yang meragut nyawa suaminya itu. Apatah lagi ianya akan menimbulkan perasaan bersalah Juwita akan peristiwa itu.

"Dia mati terbunuh." Cukup ringkas kenyataan Zaitun. Namun ianya cukup merentap hati dan jantung Tuan Mansur.

"Lima tahun yang lalu, Juwita pulang ke sini dalam keadaan tergesa-gesa. Kami memang tak tahu rancangannya untuk pulang ke rumah. Study week selama dua minggu masa tu. Memang Ju tak pernah balik. Kebiasaannya dia kan habiskan masa mengulangkaji." Zaitun mula bercerita.

Pada malam itu, Juwita tiba di Melaka Sentral hampir lewat malam. Namun nasib tak menyebelahi dia apabila bas yang menuju ke taman perumahannya telah terlepas. Teksi juga tidak kelihatan pada ketika itu. Jadi Juwita mengambil keputusan untuk menghubungi Zaitun.

"Ju..." Sayup kedengaran suara Zaitun.

"Ibu dah tidur ke?" soal Juwita serba salah. Bibir bawahnya digigit.

"Belum lagi Ju. Ibu baru habis mengaji. Kenapa ni? Tak pernah call ibu malam-malam macam ni." Entah mengapa Zaitun berasa tidak sedap hati.

"Baba dah tidur?" Sekali lagi perasaan serba salah menghambat Juwita.

"Belum. Ada sekali dengan ibu ni. Ju ni kenapa? Jangan buat ibu risau boleh?" Zaitun bertegas. Gusar hatinya ketika itu.

"Ibu, boleh minta tolong baba ambil Ju dekat Melaka Sentral?" Buntang mata Zaitun mendengar permintaan Juwita.

"Ju dekat Melaka Sentral? Tengah-tengah malam macam ni?" Zaitun mengurut dadanya. Dia segera bangkit. Sazali juga berubah riak.

"Ju dah tertinggal bas ni ibu. Teksi pun tak ada." Suara Juwita kedengaran sayu.

"Ju jangan pergi mana-mana. Kejap lagi baba sampai." Telefon dipegangan Zaitun ditarik oleh Sazali. Zaitun hanya memerhati apabila Sazali menghulurkan semula telefon bimbit kepadanya namun sayang, panggilan telah dimatikan.

Sazali bersiap ala kadar. Sweater turut disarung ke tubuhnya. Dia sempat mengucup dahi dan memeluk erat Zaitun sebelum melangkang keluar.

"Sayang jaga diri baik-baik. Solat jangan tinggal ye. Pesan dekat anak- anak sama ye." Sazali ketawa lucu melihat wajah cemberut Zaitun.

"Abang ni, ada jekan nak kenakan Tun. Balik cepat. Jangan singgah mamak pula dengan Ju. Bukan boleh percaya abang ni. Nanti tau-tau nak subuh baru balik." Sazali mengusap lembut pipi Zaitun.

Perjalanan dari rumah mereka menuju ke Melaka Sentral mengambil masa setengah jam. Juwita tidak kelihatan. Sazali mula tak sedap hati. Telefon bimbit dikeluar dari poket seluar. Tiada pula terlepas panggilan dari Juwita mahupun menerima pesanan Whatsapp. Sazali segera menghubungi Juwita. Tiga kali panggilannya gagal. Kali keempat kedengaran suara Juwita menjerit minta tolong sebelum talian terputus. Sazali yang berasa cemas segera, memakir keretanya di tepi jalan.

Sepantas kilas dia meloloskan diri dari perut kereta. Pintu kereta dikunci, lalu dia mengatur langkah dikawasan sekitar untuk menjejak Juwita. Lima minit pencariannya seakan sia-sia. Dalam hati tidak putus berdoa agar Allah SWt pertemukan dia dan anaknya dalam keadaan selamat.

"Lepaslah! Tolong!" Kedengaran suara Juwita meminta tolong di satu sudut yang tersorok dari pandangan orang ramai. Sazali mengatur langkah. Kawasan itu sedikit gelap. Buntang matanya melihat keadaannya Juwita yang separuh bogel.

Ayah mana yang tidak marah. Ayah mana yang tidak merasa sakit melihat anaknya diperlakukan begitu rupa. Demi menyelamatkan maruah anaknya, Sazali bertindak memukul kepala si pelaku. Si pelaku jatuh tersungkur akibat dari pukulan itu.

Melihat si pelaku rebah, Sazali segera menanggalkan sweater yang dipakainya lalu menutup tubuh Juwita yang terdedah. Namun saat Sazali cuba untuk membantu Juwita bangun, Sazali telah pula menerima hentakan dikepala dan tersungkur.

Berlaku pergelutan antara mereka dan secara tiba-tiba Sazali rebah. Perutnya berdarah. Panik dengan apa yang berlaku, si pelaku segera melarikan diri. Juwita yang masih dalam keadaan terkejut hanya mampu meraung memeluk Sazali.

"Ju, ingat pesan baba ye. Jaga diri. Jaga keluarga kita. Ju kena kuat. Jangan sesekali lemah." Itulah kata-kata terakhir Sazali sebelum menghembuskan nafasnya ditempat kejadian.

Dengan tenaga yang masih berbisa, Juwita segera menghubungi pihak polis untuk memaklumkan kejadian itu.

"Sejak peristiwa tu, Juwita banyak berubah. Dia bukan lagi Juwita yang ceria. Namun, pesanan arwah dia tak pernah lupa. Sebulan dia ambil masa untuk pulihkan trauma dia sendiri. Sebulan Man. Bukan satu masa yang singkat bagi akak. Juwita bagai mayat hidup. Melihat pembunuhan yang berlaku di depan matanya." Zaitun terdiam seketika. Air mata yang mengalir diseka.

"Ju jadi macam sekarang disebabkan peristiwa itu. Sejak tu, dia tak bergaul dengan orang. Hanya orang-orang tertentu yang rapat dengan dia. Dia hidup dengan dunia dia. Tapi akak perasan sejak dua tahun lepas, keadaan Ju makin jadi teruk. Akak tak tahu kenapa sedangkan sebelum tu, dia semakin pulih dan mampu bergaul dengan orang sekeliling." Tuan Mansur tersandar lemah.

Betapa hebatnya ujian yang diturunkan buat Zaitun sekeluarga. Malah dia sendiri tidak menyangka ada sejarah hitam yang menyelubungi hidup Juwita. Memang dia perasan dari mula Juwita bekerja di situ, Juwita sangat dingin dengan rakan sekerja. Bahkan mereka hanya bercakap mengenai kerja. Tidak lebih dan tidak kurang.

Bukan setakat itu saja. Apa jua majlis yang dianjurkan oleh syarikat, tidak ada satu pun yang dihadiri oleh Juwita. Kini dia mengerti kenapa dan mengapa Zaitun perlu berbincang dengan Juwita.

"Akak harap sangat kisah ni menjadi rahsia kita. Jangan sesekali Man ungkit depan Juwita. Akak tak nak Juwita sedih." Tuan Mansur mengangguk mengerti.

"Akak balik dulu. Dah janji dengan Bihah nak teman dia pergi shopping." Zaitun ketawa. Cuba menutup kesedihannya.

"Akak kalau melayan Bihah tu, makin menjadi-jadilah hobi shopping dia tu." Tuan Mansur turut sama ketawa. Dia senang melihat kemesraan yang terjalin antara Zaitun dan isterinya.

"Okeylah. Akak minta diri dulu. Nanti dah bincang dengan Ju, akak bagitahu Man." Zaitun segera berlalu meninggalkan Tuan Mansur sendirian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience