34

Romance Completed 132664

Badrul cuba menarik Hana menjauhi Hazim. Geram melihat Hana menyebelahi suaminya. Lupakah gadis itu akan apa yang pernah Hazim lakukan padanya?

"Adik, masuk!"

"Tak nak! Angah, lepaslah!" Hana meronta mahu melepaskan diri namun tidak berdaya.

"Hana, masuk angah cakap!!" Badrul terus menarik Hana dari mendakap Hazim.

"Ati..." perlahan-lahan pegangan Hazim terhadap Hana longgar kerana dia tidak larat sekiranya dipukul lagi.

"Jah! Bawak Hana masuk dalam." arah Halim pula.

"Pak cik!! Tolong pak cik! Bagi saya jumpa Hana kejap..." Hazim mendekati Halim sekali lagi, meminta belas kasihan.

"Lepas! Aku tak kenal kau! Jangan dekat dengan anak aku!"

"Kau berambus dari sini! Atau kau nak aku panggil polis?!" ugut Badrul.

"Tolong.. aku nak jumpa Hana..Aku nak cakap dengan dia..." Hazim sedaya upaya menahan pedih yang tersekat di kerongkong.

"Aku tak izinkan kau jumpa dia. Kau blah dari sini! Jangan bagi aku pecahkan muka kau pulak!"

Ikutkan hati, sudah lama dia mahu menyerang Hazim. Namun tidak sangka hari ini Hazim berani ke mari menyerah diri.

"Abang....!"

"Abang... baliklah dulu, nanti kita jumpa ya bang!" sayup-sayup kedengaran rintihan suara Hana sebelum dia dibawa masuk ke dalam rumah oleh Azizah.

"Ati..." bergetar suara Hazim memanggil Hana yang menjauh, akhirnya dia menangis lemah.

"Mama, bagi Hana jumpa suami Hana kejap maaaa..." Hana masih belum putus asa merayu setelah dibawa ke dalam rumah.

Langkahnya dikeraskan agar Azizah mengerti.

"Jangan! Nanti ayah kamu marah... makin teruk dia pukul budak tu nanti!" suara Azizah sedikit meninggi.

Bukan niatnya ingin memisahkan Hana dan suami, namun dia tidak sanggup jika keadaan menjadi lebih teruk.

Di halaman rumah, situasi masing tegang. Hazim bangun dengan susah payah, darah di hujung bibir dikesat dengan belakang tangan.

"Balik!" jerkah Halim.

Badrul yang kini di samping Halim mengusap dada ayahnya. Bimbang jika orang tua itu lelah akibat marah-marah. "Sabar, ayah.."

Hazim hanya menunduk pasrah. "Maafkan saya, pak cik..."

"Tunggu apa lagi? Balik la!" usir Badrul.

Hazim mengangguk perlahan, akur dengan penolakan seluruh keluarga itu terhadapnya.

Walaupun hatinya begitu inginkan Hana, tetap sahaja dia perlu menjaga hati dan perasaan ahli keluarga Hana. Mereka jelas masih marah dengan apa yang telah terjadi.

"Abang!" tiba-tiba jeritan Azizah kedengaran nyaring dari dalam rumah.

Sekejap sahaja kelibat Azizah kelihatan berlari kecil, "Abang!! Hana, bang! Hana pengsan!"

"Ya Allah, angah!" Halim bergegas masuk ke dalam.

Hazim juga cemas mendengar nama Hana disebut, namun Badrul terlebih dahulu memberi amaran.

"Kau jangan masuk campur!"

Badrul sudah meluru ke dalam untuk melihat keadaan Hana. Hazim mundar-mandir sendiri, tidak tahu arah tuju.

Seketika kemudian, Badrul keluar sambil mencempung tubuh Hana yang tidak sedarkan diri. Hazim sudah hilang akal, lalu dia juga berlari mendapatkan Badrul.

"Hana!!" makin kuat debaran di hati Hazim melihat ada darah di hidung isterinya yang sedang kaku.

"Jangan dekat dengan anak aku! Pergi kau dari sini! " Halim mengusir Hazim yang mendekat lalu pantas dia membuka pintu kereta Proton Perdana miliknya.

"Mari mama ribakan Hana!" Azizah pula masuk ke pintu sebelah lagi bahagian penumpang.

"Masuk kereta cepat, angah. Biar ayah drive."

Hazim melihat dari jauh jasad Hana dibawa pergi. Tiada seorang pun yang mahu memberitahunya tentang apa yang terjadi kepada Hana.

Sakit apa isterinya sampai kurus kering begitu? Tanpa berfikir panjang, Hazim masuk ke keretanya untuk mengekori mereka sekeluarga.

'Lindungi isteri aku, Ya Allah.'

.
.

Setibanya di hospital, Hazim masih tidak dibenarkan melihat Hana yang masih dirawat. Lalu Hazim membawa diri ke bahagian kecemasan bagi merawat luka yang dialami.

Ammar bergegas ke hospital setelah mendapat panggilan dari Badrul. Hana berada dalam keadaan yang stabil walaupun masih belum sedar.

Badrul dan Ammar sama-sama menunggu di luar bilik wad sementara Azizah dan Halim berbincang dengan doktor yang merawat Hana.

"Kenapa boleh jadi macam tu Bad? Tiba-tiba je dia pengsan?" tanya Ammar musykil.

Badrul menarik nafas dalam sebelum berkata-kata. Menggeleng sebentar kepalanya mengenangkan peristiwa tadi.

"Suami dia datang." jawab Badrul sepatah.

"Suami Hana?" Badrul angguk.

"Setelah berbulan-bulan. Hari ni baru dia tunjuk muka. Tu yang aku nak marah sangat. Teruk aku bantai dia tadi." Badrul menyandar puas sambil berpeluk tubuh.

Ammar sekadar angguk faham. Patutlah wajah seisi keluarga itu mendung sahaja dari tadi, rupanya ada sesuatu yang berlaku.

"Mungkin Hana terkejut lagi—"

"Hana boleh pulak sebelahkan laki dia tu. Aku tak tahu apa dia dah buat sampai adik aku meraung tak dapat jumpa dia..." soal Badrul tidak puas hati.

Hebat sangatkah Hazim sampai Hana bermati-matian tidak mahu berpisah dengan dia? Jampi apa yang Hazim pakai sehingga Hana lupa akan kesengsaraan dia selama ini?

"Ammar, aku nak tengok Hana kejap."

Baru sahaja Ammar ingin bertanyakan sesuatu, Badrul meminta diri sambil mendengus halus.

Mata Badrul menjeling tajam seseorang sebelum dia beredar dari situ. Derap kaki seseorang menyedarkan Ammar, lalu dia berpaling ke kiri.

Seorang lelaki tinggi berkemeja kelabu mendekatinya dengan pandangan pelik.

Hazim terpandang seseorang yang amat dia kenali sedang bercakap dengan Badrul. Tidak silap, lelaki inilah yang dilihat bersama Hana tempoh hari.

Hazim mengambil tempat di sebelah lelaki itu sebelum berdehem kecil. Tangan dihulur sekadar mahu menyapa. Teringin untuk mengenali siapa gerangan yang seakan rapat benar dengan Hana itu.

"Hazim."

"Ammar." Ammar menyambut tangan Hazim dengan riak ragu-ragu.

Fikirnya lelaki ini pasti orang yang dimaksudkan oleh Badrul tadi. Memandangkan terdapat kesan lebam di tepi bibirnya, dan kesan darah di baju.

Teruk juga nampaknya Hazim dipukul. Barangkali inilah dia...

"Suami Hana..." Hazim mengaku sebelum ditanya.

Riak Ammar sedikit berubah. Hazim tidak hairan, langsung tidak terkesan dengan pandangan serong Ammar terhadapnya.

"Kenapa baru sekarang kau datang jumpa Hana?" Ammar yang tidak tahu apa-apa mula membuka mulut.

Hazim juga tertanyakan diri sendiri soalan yang sama. Mengapa baru kini dia mencari Hana? Kerana terdesak?

"Dia masih isteri aku.... Aku rasa bersalah... Rasa berdosa.." hanya itu yang mampu diungkapkan sebagai jawapan. Hazim keliru dengan diri sendiri.

"Hana... sakit apa?" tanya Hazim.

"Kau tak tahu?" Ammar tayang muka tidak percaya.

Biar betul suami sendiri tidak tahu akan kondisi sebenar Hana?

Hazim menggeleng, pandangan dijatuhkan ke lantai. Tidak sanggup kelihatan bodoh di hadapan Ammar.

"Leukemia."

Hazim kembali memandang Ammar.

"Terkejut?" tanya Ammar.

"Aku tak pernah tahu.... " Bagaikan ada batu besar yang menghempap belakang Hazim. Begitu terpukul dengan apa yang didengari.

"Masa dia dah tak lama, Hazim. Doktor cakap, bila-bila masa je—" Ammar menelan liur dengan payah, tidak jadi meneruskan katanya.

Hazim cepat-cepat menyapu air mata yang baru ingin jatuh. Bibir seakan terkunci. Patutlah ayah Hana berang benar.

"Dia terlalu sayangkan kau.." Ammar kini sedar mengapa Hana tidak membalas cintanya.

"M—maksud kau?"

"Aku kawan dengan Hana sejak dari sekolah. Aku pernah bagitahu dia .... yang aku sukakan dia. Tapi dia tolak."

"Katanya sebab dia dah ada suami ... "

Kali ini Hazim tidak mampu menahan sebak. Dibiarkan air mata bercucuran. Ammar turut merasai kesedihan Hazim. Sungguh berat ujian ke atas Hana.

"Aku dah redha. Tapi aku janji akan tetap jaga dia. Family is the best medicine now, itu apa yang doktor cakap."

Hazim masih merangkak-rangkak cuba untuk menerima kenyataan. Lalu dengan kekesalan yang berpanjangan, Hazim membuka cerita kepada Ammar.

Walaupun emosi Ammar kadang kala terganggu dengan cerita Hazim, dia tetap setia mendengar. Sakit hati dengan pengakuan Hazim, malah dia juga hairan mengapa Hana masih boleh memaafkan lelaki ini.

"Masa dah tak banyak kalau kau nak tebus kesalahan kau. Dia perlukan kau. Walaupun aku tahu dia kuat, mungkin dia akan lebih semangat kalau kau ada kat sisi dia." nasihat Ammar tenang.

"Thanks Ammar.... Sebab tengok-tengokkan Hana masa aku takda."

"Bincanglah elok-elok dengan ayah Hana. Badrul tu... dia memang garang sikit. Itu sebab dia terlalu sayangkan adik dia. Dia orang pertama yang tahu pasal penyakit Hana."

Hazim sudah ambil maklum, Badrul sememangnya sedikit tegas. Begitu juga dengan bapa mertuanya.

"Aku minta diri sekejap." pinta Ammar.

Hazim angguk sebelum dia juga angkat punggung dari situ. Hajatnya mahu ke bilik Hana ditempatkan. Benar-benar mahu melihat keadaan Hana.

Sampai di hadapan wad, Hazim serba salah untuk terus masuk. Tercegat dia di hadapan pintu bilik sambil berfikir-fikir.

Bunyi pintu yang terkuak mengejutkan dia. Mata Badrul membulat apabila bertembung dengan Hazim.

"Kau buat apa kat sini?" suara Badrul masih dingin.

"Aku nak tengok Hana, Bad. Please... kejap je aku janji!" Hazim mula merayu.

"Tak boleh! Aku tak nak tengok muka kat kat sini. Kau blah sekarang!" Badrul menunjal bahu Hazim dari situ.

"Bad, tolong. Aku nak tahu keadaan dia. Bagilah aku masuk kejap..."

"Kau sapa nak ambik tahu keadaan dia? Kau tak pernah kisah pasal dia kan sebelum ni?" Badrul mengasak Hazim dengan pertanyaan yang membuatnya rasa bersalah yang amat.

"Dia sakit ke apa ke, ada kau peduli? Sekarang nak risau la konon! Eh kau tak payah pura-pura lah Hazim!" Badrul menunding jari ke arah Hazim.

Benar apa yang dikatakan Badrul. Selama ini mana pernah dia ambil berat?

Hazim tidak mampu membalas serangan verbal dari Badrul. Peluang digunakan untuk menyelinap masuk ke dalam wad, tetapi Badrul lebih laju darinya.

"Kau ni tak faham bahasa ke!!" suara Badrul meninggi tetapi masih terkawal.

Hazim angkat kedua tangan tanda menyerah. "Okay. Sorry."

"Blah la aku cakap!" Badrul mendorong kuat Hazim.

Pandangan kasihan yang diberikan Hazim langsung tidak menggugat hati Badrul. Puas hati dia setelah menghambur marah yang selama ini tersimpan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience