BB - BAB 7

Drama Completed 309185

QAIREENA melangkah dengan laju menuju ke lift, dia mula risau apabila memikirkan pemilik kereta yang dilanggarnya tadi.  Pasti lelaki itu semakin marah kerana sudahlah keretanya dilanggar, kemudian Qaireena meminta pula lelaki itu menunggunya di kawasan parkir dalam keadaan hujan.

Pintu lift terbuka sebaik sahaja Qaireena sampai dihadapan lift tersebut.  Namun langkahnya terhenti ketika mahu melangkah masuk ke dalam perut lift.  Sepasang mata dengan wajah yang serius sedang memandang tepat ke wajahnya sambil melangkah keluar dari dalam lift itu.

Qaireena menundukkan wajahnya.  Takut mahu bertentangan mata dengan lelaki tersebut.  Dia masih kaku berdiri di hadapan lift itu. 

"Kerja awak dah selesai?".  Soal lelaki tersebut. 

Kecut perut Qaireena mendengar suara lelaki itu walaupun tidak kedengaran seperti suara orang yang sedang marah.

"Dah Encik".  Jawab Qaireena sambil perlahan mengangkat wajahnya untuk memandang lelaki yang sedang berdiri dihadapannya itu.

"Maaf sebab buat Encik menunggu, saya kena hantar pesanan tu dengan segera, kalau tak nanti mesti penilaian yang diberikan oleh pelanggan kepada saya buruk.  Saya kena jaga prestasi kerja saya".  Jelas Qaireena tanpa dipinta, namun dia tidak berani untuk bertentang mata dengan lelaki tersebut.

"Ikut ke pejabat saya sekarang, saya tak nak berbincang didalam hujan dekat bawah tu".  Kata lelaki itu sambil terus melangkah ke arah belakang Qaireena.

Qaireena menuruti langkah lelaki tersebut dengan debaran di dada.  Sampai sahaja di dalam pejabat lelaki itu, Qaireena hanya diam dan tertunduk menekur lantai sambil menanti kata-kata yang bakal keluar dari mulut pemilik kereta yang dilanggarnya itu.

"Awak tak nampak ke kereta saya yang dah masuk parking tadi sampai awak boleh langgar macam tu je?".  Soal lelaki tersebut sambil memandang tepat ke wajah Qaireena.

"Maafkan saya Encik, saya nak cepat tadi, tak sangka pula yang saya boleh terlajak masa nak berhentikan skuter saya dekat sebelah kereta Encik tu.  Tapi Encik jangan risau, saya akan bayar ganti rugi pintu kereta Encik yang saya langgar tadi".  Jawab Qaireena.  Dia cuba memberanikan dirinya untuk memandang lelaki di hadapannya itu.

"Walaupun kos untuk baiki pintu kereta saya tu mahal?".  Tanya lelaki itu lagi.

"Mahal tak mahal, saya kena juga bayar sebab saya yang salah.  Melainkan Encik baik hati nak maafkan saya tanpa perlu minta saya bayar ganti rugi". Jawab Qaireena dengan berani sambil menyembunyikan senyumannya.  Entah dari mana dia mendapat keberanian untuk menuturkan kata-kata itu.  Lelaki tersebut memandang tepat ke wajahnya dengan riak wajah yang masih serius.

"Saya gurau je Encik".  Kata Qaireena sambil tersengih apabila dia melihat wajah serius lelaki tersebut.

Seketika kedengaran suara pintu di ketuk dari arah luar.  Lelaki itu bersuara untuk membenarkan orang yang mengetuk pintu pejabatnya itu masuk ke dalam.

"Sibuk ke? Kau buat pesanan makanan je? Bukan ke pagi tadi kau kata ada lunch meeting dengan pelabur baru?".  Soal Tuan Yazid.

"Dah, aku baru je balik.  Budak ni langgar kereta aku dekat parking tadi, tulah tengah berbincang pasal ganti rugi".  Jawab lelaki tersebut.  Qaireena hanya diam dan mendengar setiap butir bicara dua lelaki itu.

"Teruk ke kereta kau?". Tanya Tuan Yazid pada sahabatnya itu.

"Pintu belakang je calar sedikit".  Jawab lelaki itu dengan senyuman.  Dia kemudian menoleh ke arah Qaireena.

'Eh pandai juga orang tua ni senyum.  Dari tadi tunjuk muka ketat je dengan aku.  Sajalah tu nak takutkan aku, mentang-mentanglah aku ni perempuan'.  Bebel Qaireena di dalam hati sambil melirik ke arah lelaki tersebut.

"Awak boleh balik dulu, nanti bila kereta saya dah siap repair saya akan bagi bil tu pada awak.  Saya tetap akan minta ganti rugi memandangkan awak bukan skandal saya atau pun anak saya".  Kata lelaki itu selamba.

'Alamak kena setepek. Padan muka kau Reen'. Katanya lagi di dalam hati.

"Baik Encik".  Jawab Qaireena.  Namun masih tetap tidak berganjak dari situ.

"Apa lagi yang awak tunggu? Awak boleh pergi sekarang".  Ujar lelaki itu lagi sambil memandang Qaireena.

"Encik tak nak ambil nombor telefon saya? Macam mana Encik nak berikan bil tu pada saya nanti?".  Soal Qaireena.  Dia turut memandang wajah lelaki itu.

"Tak perlu, awak datang semula ke sini selepas seminggu".  Jawab lelaki itu.

"Baiklah Encik, saya pergi dulu ya, maafkan saya sekali lagi".  Kata Qaireena.  Dia kemudian melangkah keluar dari pejabat lelaki itu.

Sampai sahaja di kawasan parkir, sekali lagi dia membelek kereta yang dilanggarnya tadi.  Hatinya sedikit lega apabila melihat pintu kereta yang dilanggarnya itu tidak terlalu teruk. Kemudian dia membelek pula skuternya yang turut tercalar. 

"Nasib kaulah Reen, baru semalam dapat gaji, hari ni kau langgar kereta orang pula".  Bebelnya sendiri sambil menyarungkan helmet ke kepalanya dan naik ke atas skuter.

~~~

Tuan Taufiq tersenyum setelah melihat kelibat Qaireena hilang disebalik pintu pejabatnya itu.

"Kau betul-betul ke nak minta budak tu bayar ganti rugi kereta kau?  Setahu aku kau ni jenis yang tak berkira sangat.  Sebelum ni pun pernah juga budak motor terlanggar kereta kau tapi kau langsung tak minta bayar ganti rugi pun".  Kata Tuan Yazid sambil melabuhkan punggungnya di sofa yang terdapat dalam pejabat itu.

"Aku saja je nak kenakan budak perempuan tu Zid".  Jawab Tuan Taufiq sambil tertawa kecil.

"Kau ni Fiq, kesian aku tengok budak perempuan tu tadi.  Aku rasa umur budak tu macam lebih kurang sebaya anak aku je Fiq".  Kata Tuan Yazid lagi dengan senyuman dibibir.

"Mula-mula memang aku kesian dekat dia Zid masa aku tegok dia beria belek pintu kereta aku selepas dia langgar tu.  Tapi, kau nak tahu tak apa dia buat bila aku dah turun dari kereta nak bercakap dengan dia?".  Senyuman dibibirnya semakin melebar.

"Apa dia buat?".  Soal Tuan Yazid ingin tahu.

"Dia boleh dengan selamba suruh aku tunggu dia dalam hujan tu sebab dia nak hantar pesanan pelanggan dia dulu naik ke tingkat atas.  Nasib baiklah masa tu hujan dah reda".  Terang Tuan Taufiq dengan tawa kecil.  Tuan Yazid yang mendengar turut tertawa.

"Itu namanya dia betul-betul bertanggungjawab dengan kerja dia Fiq.  Habis tu kau tunggu juga ke dalam hujan tu?".  Ujar Tuan Yazid setelah tawanya reda.

"Memang taklah.  Aku memang niat nak biarkan dan lupakan je pasal hal tu, so aku naiklah ke atas.  Tapi tak sangka pula bila aku dah sampai atas, masa aku nak keluar dari lift tu dia pun sampai dekat depan lift, rupanya dia hantar pesanan dekat tingkat ni juga.  Bila aku nampak muka dia yang macam takut-takut masa nampak aku, timbul niat dihati aku nak kenakan dia".  Jelas Tuan Taufiq lagi diiringi tawa kecil.

"Dari zaman muda-muda dulu sampailah sekarang ni kau masih nakal nak kenakan orang lagi ya.  Kesian budak tu Fiq".  Kata Tuan Yazid.

"Aku suka tengok muka dia yang comel tu takut-takut nak pandang aku Zid".  Ujarnya lagi bersama sisa tawanya.

"Nampak gayanya macam kau dah terpikat je dengan budak tu". Tuan Yazid memandang wajah sahabatnya itu bersama senyuman yang mengusik.

"Tak adalah, dia tu budak lagi aku ni pula dah tua.  Kalau pun aku ni betul-betul terpikat dengan dia, belum tentu dia nak dengan aku ni Zid". Kata Tuan Taufiq lagi.

"Usia 37 tahun belum masuk kategori tua lagilah Fiq, silap-silap kalau kau kahwin boleh dapat anak lagi dua tiga orang".  Tutur Tuan Yazid bersama tawa kecil.  Tuan Taufiq yang mendengar kata-kata sahabatnya turut tertawa.

"Itu aku tak nafikan, tapi yang pasti aku dah serik nak berkahwin lagi Zid.  Bukan sedikit wanita yang mendekati aku, tapi semuanya hanya memandang harta yang aku miliki, bukannya betul-betul ikhlas nakkan aku, lebih-lebih lagi wanita yang lebih muda dari aku".  Luah Tuan Taufiq.

"Tapi kau tak rasa sunyi ke tinggal bersendirian dengan hanya di temani oleh Pak Abu dan Mak Leha?  Aku rasa dah sampai masanya kau cari teman hidup baru yang dapat menjaga kau dan sekaligus dapat mengisi kesunyian kau Fiq".  Kata Tuan Yazid.

"Sunyi tu memang sunyi Zid, lebih-lebih lagi bila Fazil dah jarang datang lawat aku semenjak dia dah masuk universiti.  Tapi pintu hati aku masih belum terbuka lagi Zid".  Senyuman tawar terukir dibibirnya saat mengenangkan kehidupanya yang sunyi tanpa teman itu.

"Eh, dah lah, makin jauh pula melencong topik cerita kita.  Jomlah kita teruskan perbincangan kita pasal pelabur baru tu".  Sambung Tuan Taufiq sambil tangannya mencapai fail yang berada di atas meja. 

Tuan Yazid tertawa kecil.  Bukannya dia tidak tahu yang sahabatnya itu sengaja mahu mengelak jika bercerita tentang hidupnya.  Namun dia akur demi menghormati keputusan lelaki itu.

~~~

Qaireena melirik jam di pergelangan tangannya.  Waktu zohor hampir di penghujung, cepat-cepatnya dia mencari surau yang terdekat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah.

Usai menunaikan solat zohor, dia terus menuju ke gerai dimana ramai penghantar makanan sepertinya berehat sambil menunggu pesanan seterusnya daripada pelanggan.  Qaireena duduk di meja yang berada di sudut gerai itu.  Perutnya mula berbunyi minta di isi.  Teh O ais yang dipesannya sebentar tadi di sedut untuk membasahkan tekaknya sebelum menyuap nasi ke dalam mulut.

"Boleh aku join kau sekali?". Soal satu suara.  Perlahan Qaireena mengangkat wajah untuk melihat siapa gerangan yang menegurnya itu.

"Oh kau Qila, duduklah".  Jawab Qaireena dengan senyuman.

"Kau dah habis shift ke ni?".  Tanya Aqilah setelah dia melabuhkan punggungnya dihadapan Qaireena.

"Belum lagi, aku baru dapat berehat, sekejap lagi aku sambung shift.  Kau tak makan?".  Soal Qaireena pada Aqilah.

"Aku dah makan tadi, saja singgah nak basahkan tekak yang dah kering kontang ni.  Tak sangka pula terjumpa kau lagi dekat sini".  Jawab Aqilah.

"Kau pun belum habis shift juga ke?".  Tanya Qaireena sambil meneruskan suapannya.

"Belum.  Shift aku sampai pukul 10 malam". Jawab Aqilah.  Sirap laici yang dipesannya tadi disedut laju untuk menghilangkan dahaganya.

"Selalunya kalau kau ambil shift sampai lewat malam, berapa bayaran yang kau boleh dapat?".  Soal Qaireena lagi.

"Paling banyak aku pernah dapat pun seribu ringgit seminggu.  Tapi tak selalu lah, kau pun tahukan setiap bayaran yang kita dapat untuk satu penghantaran tu tak tetap.  Kenapa kau tanya?".  Wajah Qaireena dipandangnya.

"Aku pun tengah berfikir nak ambil shift sampai pukul 10 malam kalau bayarannya mahal.  Tadi aku terlanggar kereta orang, so aku kena kumpul duit untuk bayar ganti rugi pada orang tu".  Kata Qaireena.

"Kereta apa yang kau langgar dan macam mana kau boleh terlanggar kereta tu?". Soal Aqilah.

"Kereta BMW.  Aku terlanggar masa aku tergesa-gesa nak parking.  Masa tu pula hujan, mungkin jalan pun licin".  Jawab Qaireena.  Pinggan yang sudah kosong ditolak ke tepi dan gelas yang berada di depannya dirapatkan sedikit ke arahnya.

"Wow, kereta mahal pula tu.  Teruk ke kereta tu kau langgar?".  Tanya Aqilah lagi.

"Taklah teruk sangat, pintu belakang dia je calar sedikit.  Tapi kau tahulahkan bila dah kereta mahal tu, kos baikinya pun akan mahal juga walaupun kerosakannya tak teruk".  Aqilah terangguk-angguk mendengar kata-kata Qaireena.

"Orang tu marah kau ke?". 

"Tak jugalah, cuma muka dia yang serius tu buat aku kecut perut.  Dia minta aku datang semula selepas seminggu, nanti dia serahkan bil baiki kereta tu".  Jawab Qaireena.

"Harap taklah mahal sangat.  Lepas ni kau hati-hatilah bila bawa skuter tu, lebih-lebih lagi dalam keadaan hujan.  Nasib baik orang tu tak marah dan pukul kau.  Dah banyak kes budak penghantar makanan yang kena belasah disebabkan mereka terlanggar kereta orang tau, tak kiralah mereka yang salah ataupun tak". Cerita Aqilah.

"Betul ke?".  Soal Qaireena.  Timbul rasa takut dalam hatinya, lebih-lebih lagi memikirkan yang dia seorang perempuan.

"Betul Reen, aku tak tipu. Aku dah lama buat kerja ni, macam-macam cerita aku dah dengar, tak termasuk lagi yang aku nampak depan mata aku sendiri.  So, lepas ni kau hati-hatilah ya".  Pesan Aqilah.

"Baiklah".  Jawab Qaireena dengan senyuman. 

"Eh, Qila aku pergi dululah ya, nak sambung shift aku.  Next time kita borak lagi".  Kata Qaireena sambil bangun dari kerusi.  Aqilah angguk sambil mengukir senyuman.

Jam hampir menunjukkan pukul 8.30 malam, Qaireena baru sahaja selesai membuat penghantaran pesanan yang terakhir untuk shift pada hari itu.  Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.  Dia tersenyum saat melihat nama Qaisara tertera di skrin telefonnya itu.  Pasti adiknya itu mahu bertanya dimana keberadaannya dan bila dia akan pulang. 

"Hello Sara".  Ucap Qaireena sebaik sahaja telefon dilekapkan ditelinganya.

"Kak Reen, tolong balik sekarang, Sara takut".  Kata Qaisara dihujung talian bersama tangisan yang berlagu.

"Sara, kenapa ni? Kenapa Sara menangis?".  Soal Qaireena cemas apabila mendengar tangisan adik kesayangannya itu.

Happy Reading korang.. Sorry lambat update :-)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience