BAB 7

Family Completed 10579

Dengan berhati-hati aku memusingkan nombor pada seterika. Maklumlah bukan seterika sendiri. Pinjam seterika rumah Fasha. Seperti bermimpi, aku kini sudah berada di dalam rumah Fasha. Aku menyeterika baju yang mahu aku pakai esok, sementara Fasha pula pergi membersihkan diri di dalam bilik air.

“Dilah,” terguran halus dari muka pintu mengejutkan aku yang sedang khusyuk menyeterika baju. Pantas aku menoleh. Ohh…… Mak Cik Fatimah. Ibu Fasha. Aku tersenyum sambil menyaksikan Mak Cik Fatimah melabuhkan punggung di atas katil empuk Fasha.

“Dilah, mak cik nak tanya sikit ni,” Mak Cik Fatimah memulakan bicaranya.

“Nak tanya apa mak cik?” soal aku kembali. Masaklah aku kali ini. Terpaksalah aku berbohong lagi nampaknya. Tak apa… ini kali terakhir.

“Betul ke Fasha tidur rumah Dilah semalam?”

bumm!!! Inilah soalan yang palig aku takuti. Akhirnya soalan itu menjelma jua di hadapanku. Aku tersenyum lagi. Semua ini lakonan belaka.

“Erm… betul. Buat assignment. Ni pun tak siap lagi,” aku cuba menjawab setenang yang mungkin.

Gelora di hati ini Tuhan sahaja yang tahu. Maafkan aku Mak Cik Fatimah. Kalau kau mungkir janji siap kau Fasha.

“Mak cik ni bukan apa. Fasha ni suka menipu. Mak cik ni selalu ditipunya. Kata pergi kelas…. bila Ikram cari rupanya dia ada kat tempat lain,” luah Mak Cik Fatimah. Sedih wajahnya dapat aku tangkap. Kasihan….

“Ya kah…” tidak aku sangka Fasha sanggup bersikap sedemikian rupa. Rupa-rupanya Fasha banyak membuat sesuatu tanpa pengetahuan aku juga.

“Sekarang ni dia nak minta putus tunang dengan Ikram pula. Dulu masa dia nak bertunang dengan Ikram tu mak cik tak bagi. Tapi dia nak juga. Dia kata tak ada orang lain dah selain Ikram. Dia tu muda lagi masa tu. Baru masuk universiti. Degil dia ni melampau-lampau. Terpaksa mak cik setuju juga dia nak bertunang. Sekarang ni nak putus pulak. Ayah dia ni lagi pening kepala. Macam nak pecah kepala mak cik ni fikir pasal Fasha. Entah kenapa tiba-tiba nak putus tunang. Kesian mak cik tengok Ikram,” melopong mulutku mendengar luahan hati Mak Cik Fatimah.

Biar betul budak Fasha ni? Dia nak putus tunang? Tak pernah pula dia cerita kat aku selama ni…. tindakan Fasha selalu sahaja di luar dugaan orang lain.

“Ni lah nak tanya Dilah ni. Dilah tau ke apa-apa cerita pasal Fasha? Yang mak cik tak tau. Dia ada lelaki lain ke? Fasha ni susah nak berterus terang dengan mak cik. Kerja dia kalau kat rumah ni duduk berkurung dalam bilik ni. Entah apa yang dibuatnya. Kunci pintu pula tu,” soalan cepu emas sekali lagi dilemparkan kepadaku.

Sesak nafas ini mahu menjawabnya. Kalau Mak Cik Fatimah tahu pasal Hairi, mahu mampus Fasha nanti. Dengan aku-aku sekali pun kena. Tak pasal-pasal aku dapat title tak pandai jaga kawan lagi.

“Erm.. setahu saya, tak ada apa-apa pula mak cik. Tapi tak tahulah kalau dia tak bagi tahu saya,” dalihku.

Sesungguhnya aku amat tahu mengapa Fasha meminta perpisahan itu. Kerana dia kini mencintai Hairi. Hairi yang aku sendiri tidak kenal. Hanya Fasha yang tahu.

“Sejak akhir-akhir ini, Fasha selalu buat hal. Masa Fasha tak balik rumah, nak mengamuk ayah dia dibuatnya. Nasib baik dia tidur rumah Dilah. Dapat juga ayah dia terima alasan itu. Ini kali terakhir dia maafkan Fasha. Sebab dah banyak kali sangat dia buat perangai. Dulu….dia pernah lari dari rumah. Entah jantan mana dia ikut. Risau betul mak cik. Takut dia buat lagi,” Mak Cik Fatimah mengeluarkan segala yang terbuku di dalam hatinya.

Huh!! Dasyatnya Fasha. Pernah lari dari rumah? Ternyata aku belum mengenali Fasha yang sebenar.

“Ha… rasanya Fasha dah nak keluar dari bilik air tu. Nanti kalau Fasha ada beritahu Dilah apa-apa, cakaplah kat mak cik ya? Dilah tolonglah nasihatkan Fasha…. mak cik dengan pak cik ni dah tak tau nak nasihat macam mana lagi kat dia. Mak cik tengok Dilah ni baik orangnya. Bersopan. Bukan macam kawan-kawan dia yang lain. Selalu juga dia bawak kawan balik rumah. Macam-macam perangai dan fesyen mak cik tengok. Oh ya, jangan cakap kat Fasha yang mak cik tanya Dilah ni ya?” pinta Mak Cik Fatimah seakan merayu memohon jasa baikku. Sempat juga dia meluahkan perasaan kecewa di hujung ucapannya.

Siapa pula kawan-kawan lain yang dimaksudkan oleh Mak Cik Fatimah? Fasha…. Fasha…. Minta maaf mak cik, Dilah pun bukan baik sangat. Dilah pun dah menipu mak cik juga……. ahh… aku tak sanggup menanggung penipuan ini lagi. Ingat janji kau Fasha. Aku berkorban demi untuk kau sekarang ini. Kau sedap bersenang lenang, aku pula yang menanggung akibat perbuatan kau.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience