BAB 3

Fantasy Completed 10501

Ariana melepaskan keluhan perlahan. Rambutnya yang semakin panjang itu disisir dengan jari sebelum diikat satu. Matanya kembali merenung syiling. Kejadian dia dibuli sepuluh tahun yang lalu masih segar diingatan. Dia dibuli hanya kerana dia menceritakan kelebihannya yang bisa melihat melangkaui hijab. Ariana melepaskan keluhan panjang. Meski dia sudah menjejak menara gading, mentaliti rakan-rakannya masih seperti budak sekolah rendah. Dia masih lagi disisih kerana sikapnya yang sesekali terlihat pelik.

Cermin bulat kecil yang diletakkan di atas meja di capai. Dia menilik wajahnya dicermin itu sambil menyapu krim malam. Pergerakan tangannya terhenti saat matanya menangkap kelibat sesuatu berdiri membelakanginya di cermin itu. Baju putih labuh itu di cemari darah. Rambut benda itu mengurai hingga ke punggung. Mata Ariana beralih pula ke tangan kotor benda itu yang dihiasi kuku yang cukup tajam dan berwarna hitam

Ariana meletakkan cermin itu dengan kasar di atas meja. Dia berpaling sambil membuat wajah tidak puas hatinya. Waktu itu juga pintu biliknya terbuka. Terjengul wajah rakan sebiliknya Fariha. Ariana berpaling semula. Tidak jadi dia hendak mengherdik benda itu. Dia yakin Fariha tidak dapat melihat benda itu. Dia tidak mahu Fariha berasa takut. Lagipun Fariha satu-satunya rakan yang tidak pernah cuba menjauhkan diri darinya hanya kerana sikapnya yang terkadang bisa menaikkan bulu roma orang di sekelilingnya.

Ariana hanya memerhati gerak laku Fariha yang meletakkan bungkusan di tangan ke atas meja belajar bersebelahan dia tanpa berminat untuk menegur. Ariana menyambung kerjanya menyapu krim malam di mukanya yang tergendala tadi.

“Ari…” Suara Fariha membuat Ariana berpaling. Dia memandang tanpa perasaan. Fariha hanya tersenyum. Dia sudah biasa melihat sikap dingin Ariana, tapi dia tahu hati gadis itu baik.Fariha mendekat lalu menghulurkan sekeping kertas padanya. Ariana menyambut. Lama matanya tertumpu pada kertas hebahan itu. Program ‘Jungle Tracking’….

“Apa-apa ajelah.” Ujar Ariana sambil mencampak kertas itu ke atas meja Fariha semula. Dia bangkit lalu merebahkan diri di atas katil empuk itu. Seketika kemudian dia berbisik perlahan agar tidak didengari Fariha. “Kau pergi! Tak payah nak tercongok dekat sini. Aku tak takut.” Bayang yang baru tadi bertinggung di hujung katilnya hilang begitu sahaja. Ariana terus melelapkan matanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience