Dia Yang Harus Kulepaskan!

Romance Completed 117449

BAB 43

            Aku dan Harry beriringan melangkah naik ke Deck 9, tempat open space yang mempunyai kolam renang, jakuzi, dan juga cafe untuk buffet. Makan malam sudah disediakan, dan orang ramai beratur untuk mengambil makanan yang disediakan secara buffet. Semuanya lazat-lazat belaka. Tetapi aku risau juga dengan status halal makanan di situ. Mujurlah Harry memberitahu bahawa makanan di situ halal memandangkan di masak oleh orang Melayu. 

            Aku mengambil nasi, berlauk ikan dan sotong sahaja. Kemudian aku mengambil puding dan kek yang kelihatan sangatlah sedap. Rambang mata juga aku tengok makanan di situ.

            “Boleh tahan kan kapal ni walaupun bukanlah yang paling mewah pernah aku naik.” Komen Harry.

            “Awak pernah naik kapal yang lebih mewah ke?” Soal aku berminat ingin tahu.

            “Dah lama... masa tu aku pergi dengan family. Jangan lupa ibu bapa aku mengusaha syarikat perkapalan.” Jawabnya.

            “Lepas ni awak akan ambil alih syarikat mereka kan?” Aku melanjutkan pertanyaan.

            Harry tidak jadi menyuap pencuci mulut yang berada di depannya. Dia terdiam sejenak.

            “Entahlah, aku tak nak fikir semua tu sekarang.”

            Aku terus mengunci mulut apabila Harry sudah berubah serius. Memang aku bertanya pada waktu yang tidak sesuai. Tiba-tiba aku baru teringat aku tertinggal telefon bimbit di dalam kabin.

            “Saya tertinggal telefon dalam bilik la. Nanti saya datang balik, ya.” Aku bergegas bangun berlari anak menuju ke lif di hujung deck.

            Aku kembali ke bilik, lalu membuka pintu menggunakan Access Key.  Aku mengambil telefon bimbit yang berada di atas katil. Macam manalah aku boleh tertinggal. Risau juga jika mendapat panggilan penting. Sudahlah aku berada di atas kapal yang sedang belayar di tengah lautan ini.

            Aku memasukkan telefon bimbit itu ke dalam poket seluar. Selepas membelek muka di cermin aku bersedia untuk keluar. Aku melangkah perlahan menuju ke lif yang tidak jauh dari bilik kabin aku.

            Aku menakan butang lif untuk naik ke atas. Pintu lif terbuka. Aku melangkah masuk tanpa melihat penumpang lain yang berada di dalam lif itu.

            “Aya!”

            Zupp! Aku terasa seperti ada kilat yang menyambar apabila terdengar seseorang yang memanggil nama aku. Aku cukup mengenali suara itu. Oh tidak! Aku menoleh perlahan ke arah kanan.

            Mata lelaki itu memandang aku dengan tepat. Dia juga sangat terkejut dengan pertemuan yang tidak dijangka ini.

            “Senior Ray...” Terasa lemah lutut aku ketika menyebut namanya. Penumpang lain yang berbangsa Cina dan India di dalam lif itu memandang kami silih berganti. Ini kerana wajah aku benar-benar cuak begitu juga Ray!

            Pintu lif terbuka apabila tiba di deck 7. Ray pantas menarik aku keluar. Aku mengikutinya keluar dari lif itu. Terasa peristiwa lapan tahun lalu kembali berulang apabila Ray pernah menarik aku keluar dari lif seperti ini ketika di Adam Taylor High School.

            Kami berdiri di hujung deck. Tiada siapa di situ memandang semua orang berkumpul di deck 9 untuk menjamu selera sambil menikmati pemandangan matahari yang hampir terbenam.

            “Macam mana Aya boleh datang sini?” Tanya Ray. Wajahnya serius.

            Aku membuang pandangan ke arah laut yang langitnya sudah bertukar oren. Aku tidak berani bertentang mata dengan Ray.

            “Saya datang dengan Harry...” Akhirnya aku terpaksa mengakui. Dalam keadaan seperti ini mana boleh aku mengelak lagi. Kapal ini bukanlah sebesar sebuah negara yang boleh melarikan diri daripada terserempak.

            Ray mengeluh berat. “Saya tak faham, Aya. Apa hubungan Aya dengan Harry sebenarnya? Janganlah menipu saya lagi...”

            Kata-kata Ray itu ibarat sebuah mata pedang yang menikam jantungku. Aku tidak berniat untuk menipu sesiapa. Jika aku menjelaskan perkara sebenar adakah lelaki ini akan percaya?

            “Saya tak berniat nak menipu, senior. Cuma saya tak boleh nak menjelaskan hal sebenar. Saya tak berani...” Luah aku dengan jujur.

            Ray menarik nafas dengan panjang. “Sebenarnya apa yang berlaku, Aya”

            Aku mengumpul kekuatan untuk menjelaskan hal itu kepada Ray.

            “Sebenarnya, saya bekerja dengan Harry. Sekarang Harry datang sini untuk bercuti, saya terpaksa ikut dia...”

            Ray mengeleng kepalanya lagi. Wajahnya merah padam menahan marah.

            “Harry paksa awak lagi, Aya?!” Suara Ray benar-benar keras kali ini.

            Aku menunduk rapat. Tida tahu apa jawapan yang sesuai.

            “Sallyna... dia cakap ada perempuan dalam rumah Harry. Itu adalah awak kan, Aya?”

            Aku mengangguk lemah. “Maafkan saya... sayalah punca Cik Sallyna cuba bunuh diri. Saya tahu semuanya salah saya!” Aku tidak dapat menahan lagi air mata. Akhirnya aku menangis juga.

            “Apa awak buat ni, Aya. Kenapa awak tak boleh nak lepaskan diri dari Harry?! Apa yang Harry dah buat kat awak!” Ray memegang bahu aku dengan kuat.

            Aku mengeleng lemah. “Harry tak pernah buat apa-apa...”

            “Jadi, semua ni atas kehendak Aya?” 

            Aku terdiam lagi. Aku tidak mahu dilihat aku terpaksa menjadi hamba kepada Harry. Aku tidak mahu sesiapa pun menyalahkan Harry. Biarlah aku yang menangungnya sendiri.

            “Awak memang ingin mendapatkan Harry ke Aya?” Suara Ray kali ini berubah perlahan. Nadanya penuh kekecewaan.

            “Tidak!” Aku menjawab dengan pantas. “Saya tidak mungkin akan bersama Harry. Semua ini hanya sementara. Harry akan pulang ke Jepun selepas bersara. Saya tak mungkin akan mengikutinya.”

            Dahi Ray berkerut. “Bersara?”

            “Ya, Harry akan bersara tidak lama lagi.” Jawabku dengan perlahan.

            Ray melepaskan bahu aku. Dia termenung sejenak.

            “Maafkan saya kalau dah memaksa Aya terangkan semua ini. Saya cuma risau jika Aya ditindas oleh Harry seperti lapan tahun lalu...”

            Aku mengerti maksud Ray. Aku juga melemparkan pandangan ke arah lautan yang terbentang luas.

**********

            Harry berjalan mengambil angin di sekitar Deck 9 yang kawasannya terbuka itu. Sesekali dia melihat jam tangan.

            “Lama betul dia pergi. Dah tersesat ke?” Harry menejenguk-jenguk di sekitar deck. Matanya terhenti di satu susuk tubuh yang sedang berdiri di tepi deck berhampiran dengan swimming pool. Harry mengerutkan dahinya untuk melihat dengan lebih jelas. Tidak salah lagi! Macam mana Sallyna boleh berada di sini?

            Wanita itu menoleh apabila terasa ada seseorang memerhatinya. Mata mereka pun bertentangan walau jarak agak jauh. Berubah air muka Sallyna ketika itu. Dia terpaku tanpa dapat bergerak. Adakah dia bermimpi melihat Harry di atas kapal persiaran mewah ini?

            “Hai...” Tegur Harry apabila dia yang terlebih dahulu menghampiri wanita itu.

            “Harry. How...?” Sallyna masih tidak percaya.

            “You apa khabar? Macam mana dengan kesihatan you sekarang.” Soal Harry dengan tenang.

            Sallyna melarikan pandangannya dari Harry. Tiba-tiba sakit pula hatinya apabila lelaki itu sengaja menunjukkan keprihatinan setelah meremukkan hatinya.

            “You lebih suka I mati kan? Supaya dah tak ada orang ganggu hidup you lagi...” Balas Sallyna dengan nada yang menyindir. Dalam masa yang sama hatinya sendiri bernanah.

            Harry mengeluh halus. “Jangan cakap macam tu, Sally. Tak ingat ke apa yang I beritahu you di hospital hari tu. I tak nak you jadi wanita yang lemah. I sangat menhargai you sebagai seorang kawan yang pernah menceriakan hidup I suatu masa dahulu. I tak nak kehilangan seorang sahabat seperti you. Jangan buat macam tu lagi. I nak you berjanji...”

            “Boleh tak you jangan nak sakitkan jiwa I lagi dengan ayat you tu! I tak nak you anggap I kawan you. I tahu you pernah ada perasaan kat I. Tapi, sekarang... apa yang telah buat hati you tertutup untuk I, Harry? Tell me!” Sallyna kembali meradang. Beberapa penumpang lain memerhati mereka yang seperti sedang bertekak. Harry menarik tangan Sallyna menjauhi kawasan itu. Mereka bergerak ke belakang di mana tempat yang lebih tersembunyi. 

            “Please, Sallyna. Jangan macam ni. I betul-betul tak nak lihat you jadi macam ni...” Luah Harry dengan sepenuh hatinya supaya dapat memujuk hati Sallyna. Dia bimbang keadaan Sallyna yang tidak terkawal itu. Harry sedar yang mereka sekarang berada di tenga-tengah lautan yang luas. Melihat kepada keadaan Sallyna, dia tidak mahu terjadi perkara yang tidak diingini.

            Sallyna terus menangis teresak-esak. Dia tidak dapat menahan perasaan kecewanya lagi di saat ini. Harry mengeluh halus sekali lagi. Perlahan-lahan dia menarik Sallyna dalam pelukannya. Sallyna terus memeluk Harry dengan erat, air matanya membasahi baju lelaki itu.

            “Keep Calm, Sally...” Harry terus memujuk walaupun dia memang tidak suka memujuk perempuan. Itu bukanlah caranya, tetapi dia perlu memujuk Sallyna. Walau apa pun yang berlaku, Harry tidak mahu lihat wanita itu melakukan perkara yang akan memudarakan dirinya lagi.

*********

            SAM berjalan mencari kawan-kawannya yang menghilangkan diri selepas makan malam di Deck 9. Dia cuba menghubungi Sallyna dan Ray tetapi ke duanya tidak menjawab panggilan. Sungguh aneh sekali. Ke mana mereka pergi. Sam sudah seperti ayam kehilangan anak.

            “Sam!” Panggil Ray dari belakang.

            Sam pantas menoleh melihat ke arah Ray. “Kau pergi mana? Merata aku mencari...” Tiba-tiba ayat Sam terhenti apabila matanya terpandang aku yang berdiri di sebelah Ray.

            “Ini... ini Aya kan?” Soal Sam sambil memerhati aku dengan lebih dekat.

            “Ya, lama tidak berjumpa Senior Sam. Apa khabar?” Aku bertanya khabar lelaki itu yang tidak pernah aku lupakan. Sam sangat nakal semasa di sekolah tinggi dahulu tetapi dia juga sangat menjaga aku seperti Ray. Menurut Ray, Sam yang memberi tiket kepadanya dan Sallyna sempena hadiah untuk pertunangan mereka. Tetapi Ray tidak mahu menaiki kapal ini berdua dengan Sallyna sahaja. Dia ingin Sam turut menyertai mereka. Maka, secara tidak sengaja sekarang ini seperti sudah terjadi reunion pula.

            “Well... saya sangat sihat Cik Aya. Tak sangka boleh jumpa kat sini. Aya datang dengan siapa?” Soal Sam pula.

            “Dengan... Harry.” Lambat-lambat aku menjawab. Ray hanya bertenang kali ini.

            “Ha... Harry.” Sam seperti tidak percaya, Matanya bulat memandang aku. “Er, tak sangka kau orang masih bersama.” Sambungnya.

            Aku terkedu seketika. Aku sudah hilang suara untuk menjawab soalan itu.

            “Take it easy, Sam. Kau tak tahu ke Aya ni saudara angkat Harry. Hubungan dia orang memang rapat.”

            Aku melepaskan nafas lega apabila Ray menjawab bagi pihak aku.

            “Oyake...” Sam  masih keliru. “Er... mana Harry?” Tanya Sam sambil kepalanya menoleh ke kiri dan kanan. Suasana yang agak sesak itu tidak mungkin dapat mencari dengan mudah. Para penumpang yang bukan Islam semuanya berkumpul di situ sambil menikmati keindahan waktu senja.

            “Mungkin dah masuk bilik untuk solat magrib.” Jawabku. Aku sudah dapat bertenang. Ray memang selalu saja menjadi pelindung aku.

            “Betul tu. Dah lewat ni. Jomlah kita masuk solat dulu.” Kata Ray sambil melihat jam tangannya.

            Kami semua pun melangkah meinggalkan Deck 9 yang sangat meriah itu. Pelbagai hiburan disediakan termasuklah persembahan dari penyanyi jemputan yang menggamatkan suasana. Jika iman tidak kuat, boleh lalai dengan semua ini.

***********

            AKU melipatkan sejadah dan telekung lalu meletakkanya di atas katil. Tangan aku memicit kaki yang terasa lenguh kerana jauh berjalan hari ini. Kapal ini boleh tahan besar walaupun tidaklah sebesar Titanic. Seketika aku mengeluh perlahan. Kenapa hidup aku ini terlalu banyak kebetulan. Kenapa boleh terserempak dengan Ray dan Sallyna di sini. Aku bukannya mahukan privasi bercuti bersama Harry, tetapi aku tidak cukup kuat menghadapi mereka terutamanya Sallyna.

            Aku tersentak apabila pintu bilik aku diketuk dari luar. Perlahan-lahan aku melangkah untuk membuka pintu. Sekali lagi aku tersentak apabila melihat Sallyna berdiri di depan pintu dengan segaris senyuman yang sukar aku tafsirkan.

            “Cik... Cik Sallyna. Silalah masuk...” Aku menjemputnya.

            Sallyna terus melangkah masuk tanpa sepatah kata. Dia berdiri di tengah-tengah kabin aku sambil memerhati sekeliling.

            “Executive Room...” Komennya. “Awak memang bertuah Aya...” 

            Aku menghampirinya dengan rasa gelisah. Luntur semangat aku ketika ini.

            “Ada apa Cik Sallyna nak cakap dengan saya?”

            Sallyna berdiri menghadap aku. “Ray dah jelaskan kat saya, macam mana awak boleh ada di sini bersama Harry.”

            Aku gugup. “Er... saya...”

            “Tak apa Aya. Saya tak marah kat awak...” Sallyna tersenyum. “Saya yakin Harry akan kembali ke pangkuan saya tak lama lagi...”

            Aku cuba untuk memberi senyuman yang terbaik. “Baguslah macam tu. Saya tumpang gembira...”

            “Saya harap awak faham Aya... jangan menambah beban Harry lagi. Saya bukan nak merendahkan awak, tetapi... awak memang tidak setaraf dengan Harry. Kalau awak teruskan perkara sia-sia ni...”

            “Saya faham, Cik Sallyna.” Entah dari mana datangnya kekuatan untuk aku memotong ayatnya.

            “Saya tak akan bersama dengan Harry. Jadi, Cik Sallyna janganlah risau lagi. Cik Sallyna boleh bergembira selepas ini, tolong jangan buat perkara bodoh lagi.”

            Sallyna tersentak mendengar kata-kata aku itu. Wajahnya turut berubah namun dia tetap mengukir senyuman yang sangatlah plastik. Aku menyindirnya walaupun dengan mempamerkan wajah yang lurus.

            “Saya rasa ini aje yang saya nak cakap. Jumpa di atas nanti, semua berkumpul di sana. Take care, Aya.” Sallyna menyentuh bahuku dengan senyuman seperti itu lagi sebelum berjalan keluar dari kabin aku.

            Aku terduduk di atas katil dengan lemah. Ke mana perginya semangat aku yang selama ini sangat kental? Aku terasa aku sudah terlalu letih dengan semua ini. Tolonglah...

            Ketika aku naik ke Deck 9 semua mereka sudah berkumpul di situ sambil menikmati panorama malam yang indah. Dari jauh Sam sudah melambai-lambai tangan memanggil aku untuk menyertai mereka.

            “Aya, macam mana boleh makin cantik ye sekarang. Berbeza masa sekolah dulu.” Sam tersengih-sengih sambil memuji aku.

            Muka aku berubah warna. Malu.

            “Aya memang comel dari dulu lagi kan?” Tiba-tiba Sallyna turut bersuara. Dia tersenyum ke arah aku.

            “Kau masih tak berubah ye, Sam. Dah jadi jejaka terhangat Malaya dah sekarang ni...” Ray menyampuk sambil ketawa.

            Harry duduk menyilang kaki tanpa sebarang riaksi. Fokusnya kepada Iphone di tangannya.

            “Mestilah. Tapi, hangat-hangat aku masih lagi tak laku-laku.” Sam menyambut gurauan Ray.

            Aku hanya tersenyum kecil. Sallyna kelihatan ceria. Entah kenapa dia berubah begitu drastik aku sendiri tidak mengerti.

            “Oh ya, lepas ni kita akan pergi ke Stardust Lounge di Deck 5. Ada persembahan tarian ballroom.” Ujar Sallyna.

            “Wah... tak sabarlah. Nak tengok tarian ballroom, mesti cantik-cantik kan penari dia!” Ujar Sam dengan nakal.

            “Kalau tak sabar sangat, jomlah kita pergi sekarang.” Balas Ray. Kemudian dia memandnag ke arah aku. “Jom, Aya.”

            “Er... saya nak ambil angin kat atas ni aje.” Aku malas mahu pergi melihat pertunjukan seperti itu. Seperti tidak kena dengan jiwa aku sahaja.

            “Okey, tak apa Aya. Harry boleh temankan Aya kat atas ni. Lagipun Harry memang langsung tak minat pertunjukan macam tu, kan?” Celah Sam sambil menepuk bahu Harry yang berada di sebelahnya.

            Harry mengangguk. “Okey, aku akan teman Aya kat atas ni je.”

            Sallyna dan Ray terdiam melihat situasi itu.

            “Jomlah, nanti tak ada tempat duduk pulak.”  Kata Sam kepada Ray dan Sallyna. Mereka berdua seperti berat hati untuk meninggalkan kami berdua di situ. Tetapi untuk menutup rahsia yang terkunci rapat dari pengetahuan Sam, akhirnya mereka berdua berjalan membututi langkah Sam menuju ke Stardust Lounge di Deck 5.

            Apabila mereka bertiga sudah hilang dari pandangan mata, aku bangun berdiri. Niat di hati ingin masuk ke dalam kabin dan tidur. Aku malas mahu memikirkan apa-apa lagi. Tetapi langkah aku dihalang oleh Harry. Sempat dia menarik tangan aku.

            “Duduk kat sini aje. Aku nak cakap sikit.” Pinta Harry.

            Aku akur dan kembali duduk di kerusi. Harry memandang wajah aku yang sedikit lesu. Lama.

            “Cakaplah apa yang awak nak cakap...” Ujarku yang tidak selesa ditenung seperti itu.

            “Kau menyesal ke datang sini?”

            Aku menggeleng. “Saya okey aje.”

            “Jangan risau tentang Sallyna. Aku boleh handle pasal dia. Kau jangan fikir apa-apa lagi...”

            “Saya cakap saya okey, kan. Saya nak masuk bilik berehat.” Aku terus bangun melangkah pergi tanpa menoleh lagi. Aku benar-benar letih!

            “Aya, please!” Harry menarik sekali lagi tangan aku ketika aku sedang membuka pintu bilik. Tidak aku menyangka dia mengekori aku sampai ke sini.

            Dengan lemah aku cuba menarik tangan aku dari pegangannya.

            “Saya letih ni...” Suaraku separuh merayu.

            “Please look at me!” Harry menarik muka aku pula supaya bertentangan dengannya.

            “Kita balik, kalau kau tak dapat tahan kat sini. Sampai Krabi esok kita ambil kapal lain balik ke Penang. Okey?”

            Aku menurunkan tangannya yang memegang ke dua belah pipi aku. “Jangan risau. Saya okey,” aku cuba tersenyum.

            “Aku tahu kau tak okey. Aku tak pernah tengok kau selemah ini.” Harry kembali memegang muka aku.

            Kenapa dengan Harry kali ini. Kenapa sikapnya begitu prihatin dengan aku? Dia risau aku terjun laut bunuh dirikah? Aku masih ada iman walaupun senipis kulit bawang!

            “Awak tak boleh layan saya macam ni. Kalau Cik Sallyna ternampak, ia akan mengguriskan hatinya...” Aku berkata jujur sahaja.

            Harry menggeleng perlahan. “Suatu masa, Sallyna akan faham akan perasaan aku. Aya... aku tak mencintai Sallyna.” Harry menekan suaranya walaupun perlahan seolah berbisik di telingaku.

            Menyedari seorang penumpang yang baru keluar dari bilik sebelah melihat kami berdua di situ, aku pantas menolak tubuh Harry dengan perlahan. Jarak kami tadi terlalu dekat.

            “Kau dengar tak, Aya? Aku cakap aku tak mencintai Sallyna.” Harry tidak pedulikan penumpang berbangsa Arab itu yang sudah berlalu pergi. Dia masih menumpukan sepenuh perhatian kepada aku.

            Aku tersenyum hambar. “Awak selesaikanlah dengan Cik Sallyna dengan baik-baik. Saya tak nak menjadi orang ke tiga. Saya tak nak jadi penyebab Cik Sallyna kecewa. Tapi, buat masa ini, awak janganlah mengecewakan hatinya. Kita sedang berada di atas kapal. Jika berlaku sesuatu, saya risau awak akan rasa bersalah seumur hidup termasuklah saya...”

            “Aya...” Harry hanya mampu menyebut nama aku tanpa mampu berkata-kata lagi.

            “Saya masuk dulu. Esok kita akan sampai Krabi kan? Jadi saya berehat supaya banyak tenaga untuk esok.” Aku tersenyum kepada Harry yang termagu di depanku dengan wajah yang keruh.

            Malam itu menangis sepuas-puasnya sehingga aku tidak sedar bila aku memejamkan mata. Yang pasti hatiku hancur seperti ditumbuk dengan halu. Aku terlalu mencintai Harry, tetapi aku perlu melepaskannya. Oh Tuhan...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience