Selesai sahaja Nediya memantau keadaan butik di samping bertemu dengan rakan baiknya itu, dia terus menelefon teksi untuk pergi ke rumah emaknya pula. Hampir dua minggu dia tidak melawat emaknya di kampung itu. Biasanya, dalam sebulan dia akan menziarahi ibunya dalam dua atau tiga kali. Nediya bersyukur dia mempunyai sebuah keluarga yang lengkap. Seandainya dia memilih untuk menikahi Khalif, sudah tentu sampai sekarang ramai yang akan terluka - emaknya dan juga Laila.
Sesampai sahaja di rumah emaknya, Nediya terus mengetuk pintu rumah sambil mendukung anaknya itu. Tidak lama selepas itu, Mak cik Khadijah membuka pintu rumahnya. Alangkah gembiranya dia dapat berjumpa dengan anak dan cucunya itu. Nediya bersalaman dengan emaknya itu. Mak cik Khadijah cuba mendukung baby Qiesha yang nyenyak tidur itu daripada Nediya.
"Mak apa khabar? Sihat?" Nediya memulakan bicara. Mak cik Khadijah menguncup kening baby Qiesha. Tidak lama selepas itu dia membalas. "Alhamdulillah. Mak sihat. Rindunya mak dekat anak dan cucu mak yang comel ni. Alang-alang Dhia dah datang ni, jom la kita makan tengah hari sekali. Tadi mak ada masak asam pedas ikan patin yang Dhia suka tu." ujar Mak cik Khadijah panjang lebar. Nediya mengukirkan senyuman.
"Wah, mak ni. Tahu-tahu je Dhia nak datang. Rindu tau masakan mak." Nediya berkata dalam nada yang manja. Mak cik Khadijah tersenyum. "Itulah. Rezeki kamu dapat rasa makanan kegemaraan kamu tu hari ni." Mereka berdua terus ke dapur setelah meletakkan baby Qiesha tidur di dalam bilik Dhia dulu.
Setelah kesemua lauk-pauk sudah pun selesai dihidangkan, Nediya cuba mengintai baby Qiesha dalam biliknya. Anaknya itu masih nyenyak tidur. Jadi dia terus ke dapur untuk menikmati masakan emaknya itu.
"Dhia, mak bersyukur sangat akhirnya Dhia dah pun berumah tangga. Mak senang melihat hidup Dhia yang sekarang ni." kata Mak cik Khadijah. Nediya tersenyum mendengar kata-kata emaknya itu dan kemudian dia membalas. "Alhamdulillah, mak. Dhia sangat bersyukur dapat suami yang baik macam Abang Faris tu. Dia jaga Dhia dan Qiesha dengan baik sekali, mak. Ni juga berkat doa mak dekat Dhia." kata Nediya.
"Lagi satu kan mak, Dhia bersyukur sangat sebab baru-baru ni Dhia ada jumpa dengan isteri Khalif. Rupanya Khalif dah pun balik dekat isteri dia. Dhia bersyukur rumah tangga diorang kembali baik." kata Nediya lagi. Mak cik Khadijah khusyuk mendengar. "Oh, Laila dah baik dengan suami dia?" soal Mak cik Khadijah.
Nediya terkejut. "Dari mana mak kenal Laila?" soal Nediya. Agak mengejutkan bahawa emaknya kenal akan isteri Khalif itu. Mak cik Khadijah bersuara perlahan. "Dulu dia pernah datang rumah ni nak jumpa Dhia. Dia nak pujuk Dhia supaya tidak menerima lamaran suaminya. Tapi masa tu Dhia takde kat rumah." jujur Mak cik Khadijah. Nediya berasa serba-salah.
"Kalau lah dulu Dhia tidak muncul dalam hubungan rumah tangga diorang, pasti sudah lama mereka hidup bahagia, kan mak?" Nediya berkata dalam nada menyesal. Mak cik Khadijah cepat-cepat berkata. "Ish jangan cakap macam tu,Dhia. Benda tu dah pun lepas. Yang penting, suami dia dah baik dengan dia dan Dhia pun dah ada jodoh Dhia sendiri." ujar Mak cik Khadijah. Nediya menganggukkan kepalanya itu. Kemudian, kedua mereka menikmati hidangan yang telah disediakan itu dengan penuh selera.
Share this novel