Jalan raya ku lihat lengang. Hanya sesekali kereta berselisih dengan kereta aku. Sambil itu aku memanjangkan leher melihat ke arah kiri dan kanan. Cuba mengesan mana-mana hotel yang berjaya mencuit hati aku untuk menginap di situ sepanjang percutian ini. Sempat aku kerling jam di dashboard. Jam menunjukkan 12.13 minit malam.
Tatkala aku mengalihkan pandangan ke arah hadapan, tidak semena-mena satu susuk tubuh perempuan kecil lengkap berpakaian baju tidur sedang berdiri di hadapan kereta aku. Aku terkejut. Serta merta kaki menekan brek. Tayar berdecit berusaha memberhentikan kenderaan namun gagal lantaran jarak terlalu dekat. Tubuh kanak-kanak perempuan itu dilanggar dan aku dapat rasakan tayar kereta menggelek tubuhnya. Kereta berhenti mendadak dan aku tergamam seketika. Segala-galanya berlaku terlalu pantas. Aku menelan liur lambat-lambat.
Peluh dingin terasa membasahi tubuh. Aku dapat rasakan seluruh tubuh aku menggeletar ketakutan. Bagaimana kalau budak tu mati? Mungkin tubuhnya telah bersepai dan berlumuran darah di bawah kereta aku. Aku membuka pintu kereta perlahan-lahan. Aku tertoleh-toleh melihat sekiranya ada mana-mana mata yang melihat. Mujur tiada siapa di kawasan sunyi tersebut.
Serta merta aku check di bahagian hadapan kereta. Tiada kerosakan yang dialami. Aku tunduk dan meniarap di atas jalan raya. Tiada jasad yang berada di bawah kereta. Lantas aku berdiri dan memeriksa seluruh kawasan kereta aku. Anehnya tiada sekujur tubuh pun yang dijumpai. Hatta walau setitis darah aku tak dapat kesan.
Kalau ikut logik akal memang parah keadaan budak tadi. Tapi peliknya bila jasadnya tidak ditemui. Aku berusaha mencari seluruh kawasan berdekatan tetapi tetap tidak dijumpai. Hampir setengah jam aku mencari tubuh kanak-kanak itu. Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Lantas aku masuk semula ke dalam perut kereta. Aku berusaha menenangkan diri sendiri. Aku tarik nafas dan hembus berulang kali sehingga aku rasa stabil.
Aku tampar pipi berulang kali. Cuba menyedarkan diri yang mungkin sedang berhalusinasi lantaran keletihan menguasai tubuh badan. Aku mengepal stereng dan nafas ditarik dalam-dalam lalu dihembus kuat. Aku cuba melupakan kejadian sebentar tadi. Enjin kereta dihidupkan semula. Aircond sengaja aku pasang kuat-kuat. Berusaha mendinginkan tubuh yang terasa hangat. Lebih tepat kehangatan jiwa yang sedang merusuh.
Aku kerling jam di dash board.
12.13 MINIT MALAM!
Aku tergamam sekali lagi. Setahu aku sebelum kemalangan tadi jam menunjukkan waktu yang sama. Aku dapat rasakan agak lama masa aku ambil mencari tubuh kanak-kanak itu. Aku lihat pula jam di tangan. Waktunya bersepadanan dengan waktu di dashboard. Liur di telan kasar dan keras. Enggan mengusutkan fikiran aku memandu kenderaan dengan emosi dan jiwa yang tidak selari.
Aku memandu perlahan dan lebih berhati-hati kali ini. Aku tak mahu pisang berbuah dua kali. Walaupun aku tak tahu kemalangan tadi ilusi mahupun realiti tetapi aku tetap berwaspada. Pada anggapan mungkin keletihan yang melampau membuatkan minda tertipu. Aku menguatkan volum radio. Kali ini lagu A Thousand Years menjadi pilihan deejay yang bertugas. Walaupun bernada agak sentimental tetapi aku layan juga untuk mengubat kerusuhan jiwa.
Baru sahaja lagu ingin sampai di bahagian korus, siaran radio tidak semena-mena berdesir. Siaran terganggu. Ia berlangsung selama beberapa saat sebelum memainkan lagu semula. Lagu Hotel California berkumandang. Aku menekan butang memilih siaran Hot Fm. Lagu Christina Perry berkumandang semula. Namun tidak lama kemudian siaran bertukar lagi. Lagu Hotel California sekali lagi kedengaran di speaker.
“Apa masalah pulak radio aku ni.”rungut aku sendirian.
Aku menekan-nekan punat cuba menukar tune. Namun keanehan melanda diri aku sebab hampir seluruh siaran radio memasangkan lagu Hotel California. Aku merengus kecil lantas membiarkan lagu itu bermain.
“May God have mercy on your soul!!”
Share this novel