Jam sudah menunjukkan hampir sebelas pagi. Aku baru sedar dari tidur sebenarnya. Lena sungguh. Sedap pula bergulung dalam selimut. Tak pernah aku bangun selewat ni. Kalau kat kampung ni, macam radio la mulut mak membebel.
Badan terasa lesu. Dari atas katil, aku tarik tuala yang tersangkut di ampaian kayu menggunakan kaki. Punya la malas nak bangun. Kemudian aku tutup seluruh kepala dengan tuala tadi. Letih sangat. Kalau melayan mata, mau jugak tidur lagi satu round.
Aku bangun lalu berjalan ke pintu dan membukanya. Langkahku terhenti bila melihat ada lelaki tidur di sofa. ARIF??!!
Bahagian atas tubuhnya berbogel terhidang di depan mataku. Baju yang dipakai semalam tersangkut di kerusi meja makan. Hanya seluar jeans Levis warna hitam tersarung di tubuh Arif. Terus hatiku berdebar.
Jadi, betul la aku dah jadi isteri Arif. Bukan mimpi!
Aku meraba jari manis, terasa ada sesuatu melingkarinya. Aku genggam tangan dan kuangkat ke atas. Cincin perak berbatu nilam. Tubuhku melorot ke lantai lalu aku tersandar di pintu bilik merenung Arif sambil memikirkan bagaimana untuk aku tempuhi hari hari yang mendatang.
Mengimbas kembali kejadian yang kurasakan seolah mimpi, aku tak tahu apa perasaan yang patutnya aku rasa.
Gembira? Ya sebab Nuha tak langkah aku. Tiada istilah langkah bendul dalam kamus hidupku. Yeayyy.. selamat aku dari jadi andartu dan buah mulut orang kampung.
Sedih? Ada juga. Perkahwinan aku tak seperti orang lain. Ada ahli keluarga dan sanak saudara meraikan. Aku, hanya ada angah yang hadir sebagai wali. Tu pun datang terus jadi hero tamil. Belasah orang tanpa usul periksa.
Malu? Semestinya dari saat tingkap kereta dibuka hingga aku disatukan dengan Arif kerana berkhalwat. Macam mana aku nak cerita pada anak anak nanti.
Takut? Ya, aku belum bersedia untuk menjadi isteri. Bagaimana aku nak menjelaskan pada mak dan ahli keluarga lain akan situasi yang aku lalui. Aku pasti pandangan yang tak enak akan wujud di mata mereka.
Rasa selamat? Ya, dengan Arif memang aku rasa selamat. Dia tak pernah buat yang bukan bukan. Dia hormat aku.
Bangga sebab ada suami? Mesti la, tak semua orang dapat peluang mendirikan rumahtangga. Kalau boleh nak tayang pada semua orang walaupun rupa Arif tak la hensem mana. Namun bila mengingat kembali perbualan semalam, aku simpan dulu rasa teruja ini.
Mata aku memerhatikan wajah Arif dari jarak tujuh langkah. Kalaulah mak tengok Arif ni, mesti mak reject. Aku tau sangat taste mak. Dah la berjambang, walaupun nipis tetap ada kan? Dah la berambut panjang. Jika berikat, molek juga. Tapi bila dilepaskan, aku sendiri rimas. Ada iras iras mak lampir.
Tiba tiba perutku terasa pedih. Dari pejabat agama semalam, kami terus pulang. Masing masing keletihan walaupun tak mengantuk. Kami tak bersuara sepanjang perjalanan. Tak seperti selalu. Ya, kami masih terkejut dengan apa yang berlaku. Sekelip mata status berubah tanpa dirancang.
Semangkuk penuh berisi koko krunch dan susu, aku letakkan di atas meja. Cukuplah untuk lapik perut pagi ni. Di skrin telefon terlayar filem Thailand - Laddaland. Aku menikmati keenakan bijirin bersama susu sambil menonton.
"Minta sikit". Tersembur susu dari dalam mulut. Terkejut aku.
"Tak senonoh betul kau ni", bisik Arif menarik helaian tisu dari dalam kotak berlabell Premier lalu mengesat susu dan sisa bijirin yang bertaburan di atas meja dan telefon.
"Janganlah sergah macam tu lain kali!", bebelku sambil menampar nampar lengan Arif kemudian ke dapur mengambil kain basah.
"Aku mintak je kot. Tu pun nak terkejut". Aku menjeling pada Arif, ada je jawabnya. Meja sudah dibersihkan. Kain basah aku cuci dan gantung sebelum aku mendapati Arif sedang enak menghabiskan bijirin tadi.
"Minta tuala, aku nak mandi", ujar Arif sebaik aku duduk memerhati dia menghabiskan suapan terakhir. Dalam hati ni membara, aku ni tengah lapar yang kau habiskan kenapa.
"Takkan nak mandi kat sini? Mana ada baju boss", balasku. Takkan nak pakai baju aku lagi. Pakaian yang aku basuh semalam pun belum berangkat. Masih tersidai di ampaian. Baju yang aku pinjamkan pada dia dua hari lepas pun dia belum pulangkan.
"Habis tu kau nak aku mandi kat mana? Last aku mandi pagi semalam tau. Cuba kau bau ketiak aku ni, wangi lagi tak. Kalau wangi, takyah la aku mandi", katanya sambil mengangkat ketiak dan dihalakan padaku.
"Boss!!! Apa ni. Tak senonoh betul. Dah la ada bulu ketiak. Eiiii". Aku mengalih muka sambil menarik tangannya turun. Arif bangun dan datang rapat.
"Ada bulu ketiak la baru jantan. Bukan panjang pun. Semalam baru trim. Meh sini bau cepat, wangi ke idok". Ditariknya kepalaku supaya dekat dengan ketiak.
"Boss.. jangan la", kataku menolak dadanya
Arif ketawa besar, makin galak menarik aku. Eiii.. pakal la kau tu dah jadi laki aku. Kalau tak, memang aku sepak je. Sama perangai macam abang aku. Ehh.. lelaki memang macam ni ek?
"Ye la.. ye la. Jap saya ambil tuala". Cepat cepat aku masuk ke dalam bilik.
"Kau dah mandi belum?", tanya Arif mengambil tuala yang aku berikan. Aku menggeleng. Rancang tadi memang nak mandi lepas bermonolog tapi lapar pula.
"Jom mandi sekali". Ditariknya tangan aku.
"Woiii!! Apa ni?". Aku merentap tanganku dari pegangannya.
"Apa ni. Berani engkar perintah suami??", tegur Arif serius.
"Ala boss, sorry sorry. Tolong la jangan buat saya macam ni". Rayuku bila tersedar. Arif ketawa besar.
Gembira betul dia hari ni, asyik ketawa je. Aku yang stress.
"Ok. Hari ni aku lepaskan. Lain kali, no more".
Gulp! Matilanak.
Arif berjalan dari bilik mandi ke ruang tamu dengan hanya berbalut tuala dari paras pinggang ke lutut. Aku buat buat tak nampak dengan apa yang terhidang walaupun hormon dalam badan dah macam mercun pop pop yang dicampak secara pukal.
"Cepat mandi. Kita keluar lunch. Aku tau kau lapar".
"Tak nak la. Penat. Nak rehat kat rumah je", balasku longlai, mata tertancap pada skrin telefon bagi mengelakkan pandangan gatal ni menjilat tubuh Arif yang terdedah.
"Habis kita nak makan apa kat rumah? Peti ais korang takde stok makanan. Ke kau nak makan aku, aku makan kau??". Meremang bulu roma aku bila terlihat senyuman gatal muncul di bibir Arif, dah la intonasi suara tu menggoda.
"Jap.. saya mandi". Mengelupur aku bangkit dari terus melopong menonton Laddaland yang masih belum habis.
******
"Ehh.. kita patut parking kat sana la", tudingku ke kiri bila Arif memberi signal kanan, masuk ke kawasan pakir yang tertulis Residensi bukannya pelawat di kompleks membeli belah yang saban hari aku lalu di hadapannya. Arif membisu.
Setelah memakir kereta, Arif berkata "Jom. Aku nak tukar baju kejap".
"Ha???". Aku cuba memahami apa yang Arif sampaikan.
"Aku nak tukar baju. Jom la", tutur Arif satu persatu.
Aku mengecilkan mata, merenungnya. "Kena ikut ke?"
"Ehemmm... lupa siapa aku?", tanya Arif mengangkat kening.
"Ishhhh.. ya lahhh". Dan dia tersengih.
Aku mengekorinya dari belakang tapi dia menarik tanganku agar seiring jalan dengannya dan tanganku digenggam. Sekeping kad disentuh pada dinding lif dan seketika kemudian pintu lif terbuka. Turut naik bersama kami, beberapa lelaki berkulit hitam. Tubuh mereka besar dan tinggi. Aku merapatkan diri pada Arif, lalu Arif merangkul pinggangku. Alahaii... aku cuba menyembunyikan senyuman. Tak mahu Arif nampak pada pantulan dinding lif.
Tiba di tingkat 13, Arif melangkah keluar dari lif dengan menggenggam tanganku. Sebaik pintu lif tertutup, aku cuba melepaskan genggaman itu. Arif mengeluh.
Di unit paling hujung, Arif membuka pintu. Aku menurutinya. Unit yang ringkas tapi menarik. Sebaik masuk di sebelah kiri ada dapur kecil, boleh la untuk dua orang di situ. Terus ke depan, ruang tamu dengan sofa kecil. Terdapat juga ruang kerja Arif di situ. Aku dah faham mengapa Arif mahukan pejabat.
Di sebelah kanan, tangga menuju ke atas. Malah dari ruang tamu boleh nampak apa yang ada di atas. Aku nampak Arif menanggalkan pakaiannya. Almari dibuka dan dibiarkan. Terdengar bunyi air mengalir dari pili. Pasti Arif ada di tandas. Aku membuka tingkap di ruang tamu, membiarkan angin serta haba panas masuk.
"Tutup tingkap tu. Aku on kan air purifier". Aku berpusing ke belakang, Arif sedang menekan butang di badan mesin penapis udara. Puputan angin sejuk terasa di kulitku. Lantas aku tutup tingkap tadi.
"Boss, kenapa pakai camni? Kata nak pergi lunch", rungutku. Apa tidaknya, Arif hanya memakai short ketat dan singlet hitam.
"Kita makan kat rumah la", ujarnya. Terus aku memuncungkan bibir.
"Sapa nak masak? Saya dah kata saya penat. Saya tak nak masak". Kuhempas badan ke sofa. Kemudian baring di situ, terus melelapkan mata. Mogok la konon.
Aku dengar bunyi pintu peti sejuk dibuka tutup beberapa kali. Lantas aku buka sedikit mata untuk mengintai. Arif sedang membuka pintu kabinet dapurnya di para atas, mengambil sebalang kaca berisi spageti. Kemudian diambilnya periuk agak besar dan diisi air.
Aku menutup semula mata, menikmati bunyi yang dihasilkan oleh Arif. Mataku terbuka besar bila bunyi ketukan kuat.
"Tu berperang ke masak?", laungku dari ruang tamu. Arif tak menjawab. Sibuk di dapur, langsung tak, dihiraunya aku.
Aku duduk di kerusi tinggi dihadapan bar pemisah antara dapur dan laluan ke ruang tamu.
"Nak saya tolong?", tanyaku. Arif yang sedang mencincang bawang putih mengangkat mukanya.
"Tapi saya nak bagitau dulu, saya tak pandai masak", ujarku memberi amaran.
"Tak pandai boleh belajar. Tapi kalau malas tu, tak boleh nak buat apa. Tunggu mati je". Aduhhh.. kena setepek dari laki sendiri. Padan muka aku, angah dah nasihat semalam tapi buat tak faham.
"Boss nak saya buat apa?". Aku cuba memujuknya.
"Tengok air tu mengelegak ke belum. Garam aku dah masukkan", kata Arif. Aku pun berjalan ke hob dapur bertungku dua.
"Dah bubble".
"Bubble kecil ke besar?"
"Baru nak bubble kecil".
"Tunggu kejap lagi. Kalau bubble tu dah jadi besar, masukkan secekak spageti tu", arah Arif menuding pada balang kaca tadi.
"Ai ai sir", jawabku bersandar di kabinet menunggu air dalam periuk mengelegak sambil menjamu mata menjamah belakang tubuh Arif. Ermmmm.... aku tersenyum bila mengingat kembali perbualan teman serumah sewaktu di universiti dulu tentang tubuh lelaki. Waktu tu aku hanya menjadi pendengar setia.
"Tengok air tu bukan tengok bontot aku".
Goshhh!!! Dia perasan ke? Terasa panas tiba tiba.
"Dah bubble besar ni. Segenggam je kan?", ujarku untuk cover malu. Gila tak malu. Memang tadi aku dok tenung bahagian tu la.
"Haah. Kalau kau nak makan banyak, lebihkan la", kata Arif membasuh pisau yang digunakan. Sebekas bawang putih dicincang halus dan sebekas lagi berisi daun parsley turut dicincang ada di sisi sinki.
"Ehhh... saya pulak. Boss la makan banyak. Saya tengah diet ni", balasku. Dah la tadi kau makan sarapan aku, ni tuduh aku kuat makan pulak.
"Tak cukup karang, jangan nak ambil dari pinggan aku". Geram je aku dengan Arif ni. Kita tengok siapa yang tak cukup portion kejap lagi.
"Macam la boss masak sedap sangat", kataku sambil memasukkan spageti ke dalam periuk.
Arif sekadar menjeling. "Set kan masa dua belas minit. Aku tak suka keras", arahnya.
"Saya suka yang keras..".
"Apa dia?", soal Arif.
Opsss! Nafas aku terhenti. Apa benda yang aku cakap tadi??? Oh Nura, kau memang cari nahas.
Share this novel
haha.. ada juga yang tertelan sosej sat lagi ni karang sebelum telan spageti..
hahahaaa
makin best