Sepanjang tiga hari berada di pusat pemindahan banjir yang baru itu, Ammar semakin dapat menyesuaikan dirinya dengan tugas dan tanggungjawab yang digalasnya di situ. Selama tempoh itu juga, dia mendapat perkhabaran ada seorang mangsa banjir dari pusat pemindahan yang lain telah meninggal dunia akibat wabak leptospirosis. Jangkitan bakteria yang disebabkan oleh pendedahan kencing tikus di kawasan banjir. Selepas satu, satu lagi ujian yang ALLAH turunkan.
Ammar bermuhasabah diri, melazimi lidahnya dengan surah Hud ayat 44 saban detik dan ketika. Wahai bumi telanlah airMu dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanMu. Doa Ammar serendah-rendah hati yang mungkin. Beberapa jam lagi, merangkaklah siang bertemu dengan malamnya semula. Ammar yang baru saja mengagih-agihkan roti dan biskut kepada mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan itu, mencari ruang untuk menyendiri barang sejenak. Cuaca di luar tidak banyak bezanya dengan hari-hari sebelum. Mendung dan basah. Hujan masih turun lagi.
“Tidak ubah seperti pemandangan di Venice kan?”
Ammar sedikit tersentak apabila ada suara yang mengganggu privasinya. Kerut pada kening serta-merta hilang bentuknya apabila mendapati tampang Mawar yang sedang tersenyum manis, berdiri di sebelah.
“Venice? Ha...ha...ha... Tidak lengkap tanpa gondola. Awak pernah ke sana?”
Mawar menganggukkan kepala. Ammar menayang muka tidak percaya. Asalnya, soalannya itu tadi sekadar satu canda.
“Saya pelajar seni lukis di sebuah universiti di Florence, Itali. Baru habis belajar dua minggu lepas selepas 4 tahun di sana dan sekarang, saya terperangkap dalam banjir yang entah bila akan surutnya,” Mawar ketawa halus dengan ucapnya sendiri. Lucu pula dirasakannya.
“Satu introduction yang menarik!”
“Kenapa, awak tak percaya?”
“Bukan...”
“Habis tu, awak pandang rendah pada gadis kampung macam saya ni?”
“Pun bukan. Bahkan saya berdecak kagum. Dan untuk pengetahuan awak, I’m a fine art student too,”
“Oh really? Jadi, datang awak ke sini sebab mahu menjadi sukarelawan atau mencari inspirasi?”
“He...he...he... tidak. Saya bukan Hieronymus Bosch yang hendak merakam peristiwa banjir zaman Nabi Nuh dalam lukisan. Saya ke sini sebab ALLAH gerakkan hati saya,” Ammar jujur dalam setiap patah kata yang diucapkannya.
“Alhamdulilah. Awak, orang Kuala Lumpur?”
Kali ini, giliran Ammar pula menganggukkan kepala.
“Kira awak tak bernasib baiklah...”
“Kenapa pulak?”
“Yelah, orang Pantai Timur macam saya ni, saban tahun ALLAH uji kami dengan banjir. Hujan tu kan rahmat ALLAH yang paling indah biarpun datangnya dalam bentuk petaka,” Mawar menjongketkan kening kirinya. Manis ulahnya.
“Macam pernah dengar aje ayat tu...kat manalah agaknya tu ye?”
“He...he...he... maaf saya curi-curi dengar perbualan awak tempoh hari,”
“Oh, pasang telinga ye?”
Ammar sengaja menjegilkan matanya. Mawar ketawa senang.
“Hmm... cuma boleh saya tahu, kenapa awak cakap orang Pantai Timur ni bernasib baik, bertuah dan beruntung? Sedangkan ramai di luar sana anggap banjir ni menyusahkan, merosakkan dan melelahkan,”
“Sebab saya jatuh cinta dengan apa yang ALLAH ceritakan dalam surah Hud.
Di zaman Nabi Nuh, ALLAH menurunkan hujan sampai terjadinya bencana banjir besar sebagai salah satu peringatan kepada umat-umat terdahulu.
As time goes by... peristiwa yang patut dijadikan iktibar dan pedoman merentasi zaman ni, lama-kelamaan hilang macam tu aje. Al-Quran dipandang sepi, maka apa yang tinggal lagi?”
“Maka sebab tu awak kata orang Pantai Timur ni bertuah?”
“Kalau awak faham maksud saya, memang itulah jawapannya. Tiap-tiap tahun, negeri-negeri di Pantai Timur akan mengalami banjir dan ada kalanya sampai melibatkan kematian. Bukankah itu satu isyarat langsung dari TUHAN, bukan saja kepada orang-orang di Pantai Timur bahkan satu Malaysia supaya lebih dekat kepadaNYA. Dekat yang macam mana? Mudah aje. Amal makruf nahi mungkar,”
“Good point! Awak patut jadi ustazah. Ustazah Mawar,”
“I’ll take that as a compliment. Dakwah itu hakmilik setiap insan, Ammar...”
Mawar tersenyum dan berlalu sejurus itu. Ridzwan yang memerhati ulah pasangan itu, datang merapati. Sempat dia berdehem, menggiat semata.
“Lama kau bersembang dengan budak perempuan tu? Ada apa-apa ke?”
“Kami bersembang kosong ajelah,”
“Boleh percaya ke? Aku tak pernah nampak muka kau berseri-seri macam ni,”
“Berkat wuduk...”
“Ah, sudahlah kau!”
“Ha...ha...ha...”
Share this novel