Gantung 2 - Bab 44

Romance Completed 54093

MEGAT ARIFF merempuh pintu bilik pejabat Toh Puan Ulya. Dia merenung wajah wanita di hadapannya itu. Sampul berwarna putih yang berada di tangan, dicampak ke atas meja. Toh Puan Ulya mengerutkan dahinya. Namun, dia langsung tidak mengambil sampul itu. Wajah Toh Puan Ulya kelihatan tenang. Dia memandang Megat Ariff yang kelihatan sedang menahan amarahnya.
“Apa semua ni, Bonda? Tergamak Bonda rancang semua ini, untuk pisahkan Ariff dengan Hani?” Suara Megat Ariff keras menutur kata. Dia cuba menahan suaranya. Dia tidak mahu meninggi suara dengan Toh Puan Ulya. Tubuhnya menggigil menahan segala kemarahan.
“Ariff, perempuan tu tak layak bersama Ariff. Bonda lakukan semua ini demi kebaikan Ariff,” balas Toh Puan Ulya dengan tenang. Dia pasti, perkara ini sampai ke Megat Ariff angkara Puteri Uzma. Dia sudah bersedia untuk menghadapi anak lelakinya itu.
“Kebaikan Ariff? Bonda hancurkan rumah tangga Ariff, Bonda!” suara Megat Ariff mula naik satu tingkat. Namun, masih cuba dikawal. Dia tidak mahu derhaka, tetapi, Toh Puan Ulya seolah-olah mencabar kesabarannya.
“Bukan Bonda yang hancurkan rumah tangga Ariff. Ariff sendiri yang lakukan semua itu. Ariff sendiri yang menghalau perempuan itu dan Ariff sendiri yang menghancurkan hidup dia. Bukan Bonda,” tutur Toh Puan Ulya satu per satu. Megat Ariff terkedu. Matanya berkaca. Fikirannya kosong tidak mampu berfikir apa-apa. Benar kata Toh Puan Ulya. Dia sendiri yang menghancurkan hidup Tihani. Satu per satu perbuatannya berlegar di fikiran. Wajah Tihani yang merayu menangis memohon belas kasihan bermain di matanya. Dia terjelepok melutut di ruangan bilik itu. Toh Puan Ulya hanya merenung Megat Ariff yang mula menangis teresak-esak.
“Lupakan perempuan itu, Bonda percaya, dia tidak akan maafkan Ariff. Hiduplah bersama Puteri Laila. Puteri Laila selayaknya untuk anak lelaki Bonda ini,” pujuk Toh Puan Ulya sambil bangun daripada duduknya. Dia menghampiri Megat Ariff. Megat Ariff masih kaku melutut di situ. Tangisannya mula reda. Pandangan matanya kosong. Ketika bahunya disentuh Toh Puan Ulya, Megat Ariff memandang dingin ke arah wanita itu. Sungguh dia tidak sangka, segalanya dirancang oleh ibunya sendiri. Dan dia merealisasikan rancangan tersebut tanpa sedar.
“Apa salah Ariff pada Bonda? Ariff sayangkan Tihani. Tihani mengandungkan anak Ariff, Bonda. Cucu Bonda.” Perlahan Megat Ariff menutur kata. Namun, cukup didengari oleh wanita itu. Senyuman sinis diberikan kepada Megat Ariff.
“Bonda percaya perempuan itu tidak akan terima Ariff semula.” Keras kata-kata itu diucapkan. Megat Ariff hilang semangat. Matanya memandang karpet yang tidak bercorak itu. Kosong. Fikirannya kosong.
“Ariff, Bonda ibu Ariff. Bonda tahu apa yang terbaik untuk anak bonda,” pujuk Toh Puan Ulya lagi. Dia turut melutut sambil memegang kedua-dua belah bahu lelaki itu. Megat Ariff masih kaku di situ. Air mata mula kembali memenuhi kolam matanya.
“Ariff minta maaf kerana jadi anak derhaka. Tetapi, Ariff tidak boleh terima apa yang Bonda lakukan pada rumah tangga Ariff.” Megat Ariff bangun dan terus keluar dari ruangan itu. Toh Puan Ulya mendengus kasar. Geram kerana Puteri Uzma merosakkan segala-galanya. Tetapi, dia percaya Tihani pasti tidak akan menerima Megat Ariff semula setelah apa yang lelaki itu lakukan padanya. Dan Megat Ariff pula akan kembali kepadanya.
Wajah Tihani, tangisan wanita itu ketika dihalau berlegar-legar difikiran Megat Ariff. Dia tersedu-sedu menahan tangis.
“Maafkan abang, Hani. Abang terburu-buru! Abang kejam pada Hani,” tutur Megat Ariff dengan esakan yang kuat. Wajahnya diraup dengan kedua belah tapak tangan. Dia tidak tahu, dengan siapa dia harus luahkan. Kepada siapa dia harus adukan.
“Hani di mana? Abang rindu Hani.” Megat Ariff masih tersedu-sedu menangis di dalam keretanya. Kemudian, dia menghidupkan enjin keretanya menuju ke Jalan Tar di mana kali terakhir dia bertemu dengan Tihani beberapa bulan lalu.

Sebulan selepas itu.
PUAS Megat Ariff mencari keberadaan Tihani sejak sebulan yang lalu. Tetapi, jejak wanita itu langsung tidak dapat dikesan. Begitu juga Puteri Uzma, puas dia dan Megat Wazir mengupah orang untuk mencari Tihani. Namun, Tihani hilang entah ke mana. Megat Ariff termenung jauh. Makanan di hadapannya tidak disentuh langsung.
“Ariff are you okay? Lately ni I tengok you asyik termenung. If you want to share with me, Im here.” Tina cuba mengorek masalah Megat Ariff kerana lelaki itu terlalu ketara perubahannya. Wajah cengkung lelaki itu membuatkan Tina bimbang. Selalunya Megat Ariff rajin bersembang dan bercerita dengannya. Tetapi, perjumpaan beberapa kali sebelum ini, lelaki itu banyak mendiamkan diri.
“I nak tanya sikit. Semalam I pergi hospital nak melawat Tarif, tetapi nurse di situ beritahu I Tarif sudah discharge. You tahu rumah ibu bapa Tarif di mana?” soal Megat Ariff mengubah topik perbualan. Tina mengerutkan dahinya. Sejak bila lelaki itu ambil tahu tentang Tarif?
“Actually mak ayah I jaga buat sementara waktu ni. Kenapa?” soal Tina ingin tahu. Megat Ariff mengangkat keningnya. Perlahan dagunya digosok. Mudahlah kalau begitu.
“Oh, I ada belikan sesuatu untuk Tarif. Nanti you tolong berikan kepada dia,” jelas Megat Ariff. Tina sekali lagi mengerutkan dahinya. Dia tersenyum nipis. Misteri sungguh lelaki itu.
“You selalu melawat Tarif ke?” soal Tina sambil menjamah makanannya. Megat Ariff tersenyum tawar. Dia menolak pinggan nasi lemaknya yang masih penuh itu ketepi. Seleranya sudah hilang.
“Adalah beberapa kali. Cuma semalam I ada belikan hadiah untuk Tarif. I ingat, dia masih di wad,” jelas Megat Ariff tenang. Air jus oren di sedut perlahan. Kemudian, diletakkan semula ke atas meja. Pandangannya di tumpukan pada Tina yang masih menjamu selera itu.
“Nanti you serahkan hadiah tu pada I. I berikan pada Tarif,” balas Tina dengan senyuman manis. Dia tidak sangka Megat Ariff sukakan kanak-kanak. Sedikit sebanyak Tina mengetahui sisi lain lelaki itu. Tina selesa dengan Megat Ariff. Megat Ariff juga sangat baik dan murah hati. Adakalanya sukarelawan yang terlibat dengan projek gelandangan ini, diberi pelbagai hadiah dari syarikat lelaki itu.
“You kata minggu ni menu baru. Menu apa?” soal Megat Ariff sambil menyandar ke dada kerusi. Wanita itu direnung. Tina mula merasa debar di dada tatkala mata lelaki itu bertaut dengan matanya.
“Aaaa... Ikan keli sambal hijau, nasi putih dan sayur campur,” jelas Tina satu per satu. Megat Ariff terdiam apabila menu itu disebut. Dia termenung seketika.
Ikan keli sambal hijau. Tihani!
“Esok, lunch hour, tukang masak tu akan hantar sample menu pada you. So, nanti you rasalah. Memang sedap,” bersungguh-sungguh Tina meyakinkan kesedapan makanan tersebut kepada Megat Ariff.Namun, lelaki itu hanya menganggukkan kepalanya perlahan.
“So, tak perlulah I keluar lunch esok,” tutur Megat Ariff. Matanya masih merenung Tina. Tetapi, fikirannya menerewang entah ke mana.
“Yes. You pasti suka!” sekali lagi Tina meyakinkan Megat Ariff. Wajahnya di maniskan. Megat Ariff membalas senyuman Tina. Dan Tina, mula menyukai lelaki itu di dalam diam.
“Baik. Kalau tak sedap, you kena belanja I tengok wayang. I dah lama tak tengok wayang,” balas Megat Ariff bergurau. Dia melihat jam ditangannya. Tina menyembunyikan senyum.
“Boleh je. Bila? Malam ni? Tak payah tunggu makanan tu tak sedap. I boleh belanjalah. You ingat I tak ada duit ke?” usik Tina. Hatinya berbunga-bunga seolah-olah Megat Ariff mengajaknya berpacaran. Megat Ariff ketawa besar.
“I bergurau sahajalah,” balas Megat Ariff. Berubah riak wajah Tina. Namun, dia cuba menyembunyikan wajah kecewanya. Dia tidak mahu tertangkap menyimpan perasaan kepada lelaki itu.

TARIF sudah pun berada di bawah jagaan Tihani. Sepanjang dia menjaga anaknya itu segalanya dipermudahkan. Dia bersyukur kerana Tarif mudah untuk dijaga. Tihani kini duduk menumpang di rumah Tina. Atas cadangan wanita itu, Tihani menjual makanan tengah hari. Dia akan memasak dan Tina pula akan mengambil tempahan. Sekali sekala jika Tina tidak sempat untuk menghantar makanan tersebut, Tihani sendiri akan menghantarnya kepada pelanggan dan Tarif akan dihantar ke rumah Zainab untuk dijaga sebentar.
“Hani, esok you pergi ke satu pejabat ni, hantarkan sample makanan. Kalau boleh, you hantar sebelum tengah hari,” ujar Tina sambil mencatit sesuatu di dalam buku notanya. Tihani hanya mengangguk. Dia tidak kisah kerana Tina adalah majikannya. Tina akan membayar gaji Tihani setiap bulan. Jadi, segala arahan wanita itu, Tihani akur.
“Nanti I beri alamat pada you,” mata Tina masih tertumpu pada bukunya. Tiba-tiba dia berhenti mencatit. Wajah Tihani dipandang.
“Hani...” Tina memanggil Tihani yang sedang bermain dengan Tarif sejak tadi. Tihani menoleh ke arah Tina. Keningnya di angkat.
“Kenapa Tina?” soal Tihani. Dia bangun daripada duduknya, lantas menghampiri Tina yang duduk di atas kerusi itu. Tarif pula sedang asyik melihat mainan yang dibeli oleh Tina sewaktu dia pulang dari kerja siang tadi.
“You pernah tak suka seseorang?” soal Tina tiba-tiba. Wajahnya kelihatan berseri ketika soalan itu diutarakan kepada Tihani. Tihani hanya tersenyum.
“Jatuh cinta ye?” sengaja dia mengusik Tina. Wajah Tina merona merah. Dia tersipu malu diusik sebegitu oleh Tihani. Tihani ketawa kecil.
“I rasa I bertepuk sebelah tangan. Sebab dia langsung tak tunjuk yang dia suka pada I,” keluh Tina. Dia menghela nafas berat. Dia meletakkan pen di atas meja. Dia berpeluk tubuh.
“Dia tahu tak yang Tina suka pada dia?” soal Tihani sambil merenung wajah Tina. Perlahan Tina menggelengkan kepalanya. Tina cantik pada pandangan Tihani, pasti mudah untuk wanita itu mendapat pasangan.
“Awak luahkan. Kalau tak luahkan, macam mana dia nak tahu,” tambah Tihani lagi. Tina menggeleng sambil ketawa. Tidak mungkin dia yang harus memulakan.
Malu oii!
“Isshh.. Tak mahulah I. Malulah!” Tina terus bangun daripada duduknya dan mengemas meja yang berselerak itu. Segala buku nota di simpan semula ke dalam begnya. Tihani hanya memerhati tingkah laku Tina itu. Dia tersenyum.
“Kalau malu, melepasss,” usik Tihani.Tina masih menggelengkan kepalanya tanda tidak mahu berterus terang. Akhirnya mereka ketawa bersama.

MEGAT ARIFF duduk di beranda rumahnya sambil menikmati pemandangan malam. Sejak peristiwa itu, sudah sebulan Megat Ariff tidak pergi ke rumah Toh Puan Ulya. Dia merasa sangat terpukul dengan perbuatan ibunya itu. Tidak sangka bahawa Toh Puan Ulya bersekongkol dengan bekas suami Tihani untuk pisahkan mereka. Megat Ariff mula menyesali tindakan terburu-burunya. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Segalanya tidak dapat diundur kembali.
“Baby, I sudah beberapa hari di Malaysia ni, I rindukan belaian seorang lelaki. Marilah, baby. I want you.” Puteri Laila memegang bahu Megat Arif dan menggosoknya lembut. Megat Ariff hanya membiarkan perbuatan wanita itu. Puteri Laila agak teruja apabila Megat Ariff tidak menolak sentuhannya seperti selalu. Jika tidak, setiap kali dia menyentuh Megat Ariff, pasti lelaki itu akan menolaknya dengan kasar. Tetapi, malam ini tidak. Puteri Laila tersenyum sinis.
“Selagi you tak berhenti buat kerja terkutuk itu di Italy, selagi itu I tak kan sentuh you. Bertaubat Laila,” tutur Megat Ariff perlahan. Puteri Laila melepaskan pegangan tangannya. Dia mengeluarkan rokok dari poket seluar pendek yang dipakainya itu. Diletakkan sebatang rokok di bibir dan dipasangkan api. Disedut dalam rokok tersebut. Kemudian, dihembus ke udara. Asap berkepul-kepul keluar dari mulut wanita itu.
“Bertaubat? You ni kelakarlah. Sejak kahwin dengan I, you dah bertukar islamik. I like. But, I tak boleh ikut cakap you.” Dia melabuhkan punggungnya ke kerusi di sebelah Megat Ariff. Kakinya disilangkan. Sengaja dia menayangkan paha putih gebunya itu ke arah Megat Ariff.
Sambil mengharapkan sesuatu yang hangat malam nanti bersama lelaki itu. Suasana diberanda kondominium itu amat indah sekali.
“Baik. Ini last warning dari I. Kalau you masih ke Itali. Gugur talak I atas you. You dengar cakap I, kita kekal suami isteri. I akan layan you dengan baik. Jika tidak... Kita berpisah,” tutur Megat Ariff tenang. Dia sudah penat mahu melarang wanita itu. Cukuplah ini kali terakhir.
“You nak ceraikan I? Bonda pasti tidak akan biarkan perkara itu berlaku, Megat Ariff. You tahukan Bonda you boleh buat apa sahaja kepada perempuan yang you cintakan sangat tu?” Puteri Laila ketawa. Dia menggelengkan kepalanya sambil menoleh ke arah Megat Ariff. Berubah riak wajah Megat Ariff apabila mendengar tutur kata Puteri Laila.
“I tetap dengan keputusan I. Jika you masih pergi ke Italy dan buat kerja terkutuk itu, maka gugur talak satu ke atas you,” ulang Megat Ariff bertegas. Dia sudah tidak kisah. Wajah Puteri Laila tidak dipandang. Senyuman Puteri Laila mati. Dia tahu Megat Ariff tidak main-main. Tetapi, dia sudah terlajak perbuatan dan tidak boleh berundur lagi.
“I cant! Fausto will not let me go. Im her woman,” tutur Puteri Laila perlahan. Ada sedikit kesal dihujung suaranya.
“I dah terlalu jauh untuk you tarik I, Ariff. If you pegang I masa pertama kali kita berjumpa, pasti I tak kan pergi sejauh ini,” tambah Puteri Laila lagi. Dia sudah lama cintakan Megat Ariff. Tetapi, dia tahu, dia bukan wanita selayaknya untuk lelaki itu.
“Jangan salahkan I. You yang pilih jalan itu. You yang biarkan diri you terjebak. Hidup ini punya pilihan. Tapi, you memilih untuk menjadi Thalia bukan Puteri Laila,” tutur Megat Ariff perlahan. Matanya masih tertumpu pada langit yang dihiasi bintang dan bulan yang menyinari gelap malam itu.
“I juga tersalah langkah. I biarkan emosi I menghancurkan keluarga I sendiri,” tambah Megat Ariff lagi. Matanya berkaca. Dia menarik nafas dalam dan menghelanya perlahan.
“You dikuasai Bonda. I dikuasai Fausto. Tapi, sekurang-kurangnya you boleh melepaskan diri dari Bonda. Tapi, I....” kata-kata Puteri Laila terhenti di situ. kedengaran keluhan berat dilepaskan dari mulut wanita itu.
“How much do I have to pay, to free you from him?” soal Megat Ariff. Pandangannya di arahkan ke arah Puteri Laila yang turut merenung bulan. Kelihatan asap berkepul-kepul keluar dari mulutnya.
“No need, Megat Ariff. I selesa dengan kehidupan sekarang,” balas Puteri Laila tenang. Dia tidak mahu Megat Ariff mensia-siakan usaha untuk menebus dirinya dari Fausto. Sekurang-kurangnya Fausto masih memberi kebebasan kepada Puteri Laila untuk pulang ke Malaysia.
“I cuba untuk bantu you, Laila.” Megat Ariff memandang wajah wanita itu. Puteri Laila hanya tersenyum sinis.
“Lebih baik you selesaikan masalah you dahulu. Selepas ini, I mungkin tidak akan kembali ke Malaysia lagi. I akan terus menetap di Italy. So, you boleh uruskan penceraian kita,” tutur Puteri Laila sambil memandang Megat Ariff. Dia nekad akan kembali ke Italy.
Megat Ariff membuang pandangannya ke luar. Dia tidak tahu apa yang sedang dia lalui dalam kehidupannya kini. Dia menghancurkan Tihani dan kini Puteri Laila.

KEESOKAN harinya, Perlahan Tihani melangkah masuk ke dalam pejabat itu. Dia menuju ke arah penyambut tetamu yang sedang tekun menaip sesuatu di komputernya. Setelah diberi arah, Tihani masuk ke ruang yang lain. Kemudian, dia berjalan lagi sehingga dia berjumpa dengan pembantu peribadi yang disebut Tina iaitu Daphine.
“You hantar sample makanan ye?” soal Daphine tanpa menunggu Tihani membuka mulut. Dia sudah sedia maklum tentang kehadiran wanita itu. Tihani hanya menganggukkan kepalanya.
“Tu bilik boss. Dia ada di dalam,” arah Daphine. Tihani tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Tanpa menunggu lebih lama, Tihani terus melangkah menuju ke pintu yang dimaksudkan. Dia mengetuk perlahan daun pintu itu sehingga kedengaran suara di dalam bilik itu memberi kebenaran untuk dia masuk.
Sebaik sahaja daun pintu ditolak, Tihani kaku melihat lelaki di hadapannya itu. Kakinya tiba-tiba merasa lemah dan longlai. Megat Ariff turut terkejut.
Tihani!
“Hani…” Cepat-cepat Megat Ariff bangun daripada duduknya apabila melihat Tihani cuba keluar dari ruangan itu. Lengan Tihani diraih. Pinggang wanita itu dirangkul kemas. Tihani meronta-ronta minta dilepaskan. Makanan yang dibawa masih digengam erat.
“Lepas!” Tihani cuba meleraikan rangkulan di pinggangnya. Namun, gagal. Megat Ariff memeluk erat tubuh wanita itu. Tihani masih meronta-ronta minta dilepaskan. Air matanya yang sudah mula bertakung ditahan.
“Dinda, please... we need to talk, sweetheart,” pujuk Megat Ariff. Tihani tidak mahu mendengar apa pun kata-kata dari mulut lelaki itu. Dia tidak mahu hatinya terluka lagi. Cukuplah dia dihina sebelum ini.

Share this novel

Imam Arifin
2022-10-10 22:50:42 

Jufri Yadi
2022-09-10 12:15:10 

Jufri Yadi
2022-09-10 12:15:10 


NovelPlus Premium

The best ads free experience