Izz Faris duduk termenung ke luar jendela. Tangannya mengangkat secawan kopi yang masih panas untuk dihirup sedikit demi sedikit. Sebelah tangannya lagi memegang sekeping gambar perkahwinan milik Adi Ashraf bersama Mawar Adriana.
Bahunya terasa diusap oleh seseorang membuatkan dia menoleh ke belakang. Dia tersenyum manis apabila melihat ibunya yang berada di belakangnya.
"Eh, ibu. Duduklah. Bila ibu balik? Izz tak perasan." ujar Izz Faris mempelawa Puan Maria untuk mengambil tempat disebelahnya. Wanita tua itu mengangguk perlahan.
"Mana nak perasan kalau dari tadi duduk termenung." balas Puan Maria kepada anak lelakinya. Izz Faris tersengih. Tangannya naik mengusap belakang kepalanya yang tidak gatal.
"Izz fikir apa?" tegur Puan Maria lagi cuba memulakan perbualan antara mereka. Hairan dengan anaknya yang suka sangat termenung sejak dari tadi.
"Izz tak ada fikir apa, ibu. Izz saja termenung ingat dekat Adi. Dah kahwin dah dia tu hah." balas Izz Faris bersahaja. Dia menunjukkan gambar perkahwinan rakan baiknya itu kepada Puan Maria.
Gambar tersebut bertukar tangan. Puan Maria mengulum senyuman melihat gambar Adi Ashraf yang sudah berbahagia bersama isteri tercinta. Pandangannya dialihkan kepada anaknya pula. Terbayang wajah Izz Faris yang berada dalam keadaan sebegitu.
"Izz bila lagi?" ucap Puan Maria bersama senyuman lebar. Kata-kata Puan Maria membuatkan Izz Faris tertawa kecil. Kepalanya digelengkan. Bahunya diangkat tanda tak tahu.
"Entahlah ibu. Lambat lagi rasanya." ucap Izz Faris selamba. Puan Maria menampar lembut lengan lelaki itu membuatkan Izz Faris tertawa lagi. Geram hati kecilnya melihat anaknya yang suka bermain-main itu.
Pandangannya dialihkan semula kepada gambar perkahwinan milik Adi Ashraf. Wajah Ariana Atilia yang sedang tersenyum manis membuatkan dia teringatkan seseorang.
"Izz, muka isteri Adi macam-"
"Ria kan?"
Izz Faris segera menyambung kata-kata ibunya. Puan Maria mengangguk. Sebuah keluhan kecil dilepaskan daripada lelaki itu. Membuatkan Puan Maria semakin tertanya-tanya. Sudah lama dia tak berjumpa dengan gadis yang bernama Ria itu.
"Izz pun rasa macam tu ibu. Tapi ibu pun tahu kan yang Ria mesti dah kahwin dengan Naufal sekarang. Takkanlah dia orang yang sama kan? Ariana Atilia, tu nama isteri Adi. Izz dah pernah jumpa dia. Lain sangat dia dengan Ria ibu." jelas Izz Faris panjang lebar. Riak mukanya yang kecewa cuba disembunyikan daripada pandangan wanita itu.
Puan Maria mengambil tangan anak lelakinya. Lalu, diusap lembut membuatkan Izz Faris menjadi tenang. Sebuah senyuman dilemparkan kepada anak lelakinya.
"Izz rindu Ria kan sebenarnya?" soal Puan Maria sudah tahu apa yang terbuku di dalam hati lelaki itu. Izz Faris membalas senyuman ibunya dengan lemah.
"Izz dah cuba call Naufal dengan Ria. Tapi dia orang tak angkat. Ibu, Izz rindu bukan dekat Ria je. Naufal pun Izz rindu." luah Izz Faris berterus-terang. Dia sendiri tahu tiada apa yang boleh dirahsiakan daripada pengetahuan wanita itu.
"Ibu tahu. Jangan risau sangat ya. Nanti jumpa jugaklah nanti. Sabar sikit." pesan Puan Maria sambil menggosok bahu anaknya. Izz Faris mengangguk tanda faham. Dia mengukir senyuman.
??????
Kelihatan Ariana Atilia sedang sibuk memasak di dapur. Tangannya cekap memotong bawang merah yang perlu dimasukkan ke dalam masakan. Ikan yang masih belum disiang di dalam singki dikerling sekilas.
Dalam dia sedang sibuk menyediakan bahan untuk ditumis, kejadian tempoh hari terlintas di fikiran. Terhenti serta-merta tindakannya pada ketika itu. Rasa takut perlahan-lahan mula menerpa di dalam dirinya. Risau jika perkara sebegitu terjadi sekali lagi.
Dia mengeleng kepala cuba membuang perasan itu jauh-jauh. Fikirannya beralih pula kepada kata-kata Adi Ashraf. Dia tersenyum sendirian. Masih teringat lagi bagaimana suaminya merawat dan melindungi dia membuatkan dia terasa selamat di sisi lelaki itu.
Tak tahu bagaimana untuk dia ungkapkan perasaan yang dirasakan setiap kali kata-kata manis yang dilemparkan oleh Adi Ashraf kepada dirinya.
Kadang-kadang dia terfikir jika lelaki itu benar-benar memaksudkan kata-kata tersebut. Susah untuk dia mengetahui isi hati Adi Ashraf yang selalu menyembunyikan perasaan dari dirinya.
Seolah-olah lelaki itu cuba meletakkan jarak antara mereka. Tetapi itu tak akan menghalang dirinya dari terus bersama Adi Ashraf. Walaupun pada akhirnya, dia tahu dia sendiri yang akan terluka.
Mungkin kebahagiaan yang dirasakan sekarang ini hanya sementara. Namun dia bersyukur kerana sekurangnya Adi Ashraf tidak membenci terhadap dirinya buat sementara ini.
"Kau masak apa?" tegur Adi Ashraf tiba-tiba membuatkan Ariana Atilia terkejut. Terhenti terus lamunannya sebentar tadi. Dia menoleh ke arah Adi Ashraf.
"Masak asam pedas. Favourite kau kan?" balas Ariana Atilia ringkas. Dia kembali menyambung kerjanya yang tertangguh tadi. Adi Ashraf terdiam apabila mendengar jawapan isterinya.
Hidangan itu membuatkan dia teringat kepada Mawar Adriana. Namun sebaik melihat semula wajah isterinya, perlahan-lahan Mawar Adriana hilang dari fikiran. Membuatkan dia keliru dengan perasaannya sendiri. Akhirnya, dia menghiraukan sahaja perasaan tersebut.
"Kau reti ke masak?" tanya Adi Ashraf cuba mengalihkan perhatian dirinya daripada terus memikirkan perasaan tersebut.
"Mestilah reti. Aku reti eh bab memasak ni." balas Ariana Atilia bercekak pinggang. Adi Ashraf mengangkat kening.
"Masaklah cepat. Aku nak tengok. Mana tahu kau bungkus dekat kedai lepas tu bagi aku makan kan?" tuduh Adi Ashraf sesuka hati. Ariana Atilia membuat riak muka tanda tak percaya. Sampai ke situ suami dia fikir?
"Fine. Bukak mata kau besar-besar. Takut kau tak nampak pulak aku yang masak." bidas Ariana Atilia. Rambutnya diikat sanggul. Apron dipakai. Lengan bajunya yang panjang itu disinsingkan hingga ke siku. Dia mula memasak dengan tekun. Sempat dikenyitkan matanya kepada Adi Ashraf.
Lelaki itu hanya menjulingkan mata ke atas. Tanda tidak terkesan dengan tindakan isterinya. Tangannya disilangkan ke dada. Matanya ralit memerhatikan Ariana Atilia yang sedang memasak dengan penuh fokus.
Dia sendiri tak dapat menafikan kecantikan yang dimiliki oleh Ariana Atilia. Gadis itu boleh dikatakan merupakan pakej sempurna untuk dimiliki oleh mana-mana lelaki di luar sana. Bijak, bekerjaya dan cantik.
Dia boleh dianggap seperti lelaki yang paling bertuah kerana mempunyai Ariana Atilia sebagai isteri. Dia juga yakin bahawa isterinya pasti berjaya mencuri hati para jejaka hanya dengan sekali pandangan.
Adi Ashraf meraup rambutnya ke belakang. Dia menghela nafas panjang. Kehadiran gadis itu di dalam hidupnya yang pada mulanya yang bukan siapa-siapa telah bertukar menjadi sebagai isterinya yang sah membuatkan dia rasa bercampur-baur.
Hairan juga dia dibuatnya apabila gadis sesempurna Ariana Atilia sanggup mengahwini dirinya yang langsung tiada harapan dalam mana-mana hubungan yang serius seperti perkahwinan ini.
Mungkin Ariana Atilia kelihatan sempurna di mata orang lain. Tetapi kepada dirinya, gadis itu hanya dilihat sebagai seorang gadis misteri yang hadir di dalam hidupnya yang kosong. Yang kini merupakan isteri kepada dirinya.
Namun satu perkara tentang Ariana Atilia yang membuatkan dia sukar untuk dia menaruh perasaan atau rasa terpikat dengan kecantikan yang dimiliki oleh isterinya. Perkara yang mana-mana perempuan tidak dapat membuatkan Adi Ashraf jatuh hati semula.
Kerana mereka bukan Mawar Adriana.
??????
"Ha jemputlah makan Encik Suami." ucap Ariana Atilia dengan nada menyindir Adi Ashraf. Dia menghulurkan sepinggan nasi putih kepada suaminya.
Adi Ashraf mengecilkan mata ke arah isterinya apabila menyedari nada yang digunakan oleh gadis itu. Huluran isterinya disambut. Ariana Atilia tersengih menunjukkan sebaris giginya yang putih bersih.
"Sedap tak?" soal Ariana Atilia teruja. Tak sabar ingin tahu pendapat lelaki itu terhadap masakannya. Punya penat dia bertungkus lumus menyediakan hidangan tersebut untuk lelaki itu makan. Kalau tak sedap, memang dia menangis tak berlagu.
"Sabar. Aku baru ambik nasi. Lauk pun aku tak ambik lagi. Apatah lagi rasa." balas Adi Ashraf sambil mengambil sesudu kuah asam pedas yang dimasak oleh isterinya. Ariana Atilia menarik muka. Hish.
Adi Ashraf tersenyum herot melihat riak muka isterinya yang masam mencuka itu. Tangannya mengambil sesudu lagi kuah lauk tersebut lalu disuap ke dalam mulutnya. Dia terkedu.
"Sedap tak? Ash, kau kenapa ni? Ash." tegur Ariana Atilia berkali-kali. Pelik apabila tiada reaksi yang ditunjukkan oleh suaminya. Tak sedap ke?
Adi Ashraf menundukkan muka. Matanya dipejam rapat. Dia cuba menenangkan dirinya yang mula beremosi. Air tangan milik Ariana Atilia langsung tak ubah seperti air tangan milik kekasih hatinya dulu.
"Ash, kau...okay tak ni?" soal Ariana Atilia risau. Adi Ashraf berdehem cuba menutup perasaannya sebentar tadi. Dia cuba beriak biasa.
"Mana kau belajar masak asam pedas ni, Riana?" soal Adi Ashraf kembali. Soalan isterinya sebentar tadi dibiarkan begitu saja. Gadis itu terdiam sejenak.
"Urmmm, aku ikut resepi yang ada dalam internet." balas Ariana Atilia cepat-cepat. Anak matanya dilarikan dari pandangan suaminya. Dia mula berpura-pura sibuk menjamu selera agar tidak ditanya dengan lebih lanjut.
Adi Ashraf mengerutkan dahi. Kurang berpuas hati dengan jawapan isterinya. Tetapi apabila melihat isterinya yang sedang sibuk menjamu selera, dia mendiamkan diri sahaja.
"Sedap." ucap Adi Ashraf cuba menarik perhatian isterinya. Matanya mengerling ke arah gadis itu. Anak mata mereka bertembung.
"Betul ni? Sedap?" balas Ariana Atilia penuh teruja. Adi Ashraf mengangguk tanda setuju. Ariana Atilia makin melebarkan senyuman.
"Dah jangan nak kembang sangat. Makan cepat." tegur Adi Ashraf selamba. Ariana Atilia menjeling tajam ke arah suaminya. Bagilah dia masa untuk bangga kejap tak boleh ke? Huh.
Dalam diam, Adi Ashraf menahan perasaan sebak di dada. Kini memorinya terhadap Mawar Adriana semakin kuat. Dia makin risau sekiranya dia tak dapat lagi menyembunyikan perasaannya daripada isterinya itu.
??????
Sebaik mereka berdua selesai menjamu selera, Adi Ashraf segera mengatur langkah ke dalam bilik. Lelaki itu hanya diam sahaja sepanjang bersama dengan isterinya.
Perubahan sikap Adi Ashraf disedari oleh Ariana Atilia. Menandakan ada sesuatu yang menganggu suaminya. Dia tak mahu memaksa Adi Ashraf untuk berterus terang. Dia sendiri tahu dia tidak mempunyai kepercayaan lelaki itu sepenuhnya.
"Ermmm, nak pergi ke tak nak eh?" gumam Ariana Atilia sambil berjalan ke hulur ke hilir. Berkira-kira sama ada mahu bersemuka dengan lelaki itu. Dia perlu mendapatkan kepercayaan Adi Ashraf sekiranya mahukan perkahwinan mereka membuahkan hasil.
"Kau boleh, Riana." sorak hati kecilnya. Langkahnya diatur ke bilik sebelah. Pintu bilik milik Adi Ashraf ditatap lama. Tangannya sudah semakin hampir pada tombol pintu. Namun, ditarik semula.
"Tapi kalau dia-"
Belum sempat kata-katanya dihabiskan, pintu bilik tersebut terbuka menyerlahkan Adi Ashraf yang mengerutkan dahi melihat dirinya yang berada di situ.
"Kau kenapa? Nak masuk?" soal Adi Ashraf lalu membuka pintu biliknya dengan lebih luas. Dia baru saja mahu pergi ke dapur untuk melegakan tekaknya yang terasa kering namun bertembung pula dengan isterinya.
Ariana Atilia mengeleng kepala dengan laju. Adi Ashraf makin mengerutkan dahi. Dipandang isterinya atas bawah. Risau sakit di mana-mana.
"Dah tu? Kau sakit ke? Biar aku tengok." balas Adi Ashraf lagi. Ariana Atilia mengeleng kepala buat sekian kalinya. Adi Ashraf semakin tertanya-tanya.
"Aku okay. Kau nak apa-apa ke?" ujar Ariana Atilia membuatkan Adi Ashraf mengangkat kening. Rasa ingin tahu mula menjalar. Namun dia malas ambil pusing.
"Aku nak air." jawab Adi Ashraf selamba. Alang-alang isteri dia tengah baik ni. Ariana Atilia mengangguk lalu melangkah ke dapur. Adi Ashraf kembali semula ke dalam bilik.
Punggungnya dilabuhkan dihujung katil. Tak lama kemudian, Ariana Atilia kembali bersama segelas air yang diminta olehnya sebentar tadi.
Gelas itu disuakan kepada Adi Ashraf.
"Thanks." ucap Adi Ashraf kepada isterinya. Ariana Atilia hanya membalas dengan senyuman. Dia masih tercegat berdiri disitu memerhatikan Adi Ashraf meneguk air.
"Duduklah. Yang kau berdiri dah kenapa?" kata Adi Ashraf lalu mempelawa isterinya untuk mengambil tempat disebelahnya. Ariana Atilia akur dengan kata-kata suaminya itu. Dia mula memanggil nama suaminya.
"Ash..."
"Hmmm..."
Ariana Atilia menoleh ke arah suaminya. Adi Ashraf menayang muka yang bermaksud 'apa'. Dia menunggu tutur bicara isterinya yang seterusnya.
"Ash, aku tahu kau tak okay sekarang ni. Tapi aku tak nak paksa kau bagitahu aku sebab apa. Aku cuma nak kau tahu yang kalau kau perlukan sesiapa. Aku ada. Lagipun aku kan isteri kau." jelas Ariana Atilia perlahan. Dia menunggu balasan daripada suaminya.
Namun Adi Ashraf diam tidak membalas. Ariana Atilia sedar dengan keadaan mereka berdua yang tegang itu mula tak selesa. Benarlah apa yang difikirnya bahawa dia masih tak mempunyai kepercayaan lelaki itu lagi.
Dia segera bingkas berdiri. Namun ditahan oleh Adi Ashraf. Ariana Atilia menoleh semula ke arah suaminya. Adi Ashraf menundukkan wajahnya namun bibirnya mengucapkan sesuatu membuatkan Ariana Atilia tersenyum simpul.
"Thanks sudi ada untuk aku."
Hello my lovely readers!
Special thanks sebab sudi baca story ni!
Enjoy reading!
Don't forget to vomment!
-ftnfzyyy-
Share this novel