Bab 25

Short Story Series 55831

Keesokan paginya, Rina, Mak Sofi dan Ain berada di kolam renang untuk mengajar Qalifh yang masih kecil itu belajar berenang. Menurut Ain kanak-kanak seusia Qalifh sudah boleh untuk diajar berenang untuk menguatkan otot-otot bayi. Tidak perlu lama-lama cukup dua puluh minit kerana jika kanak-kanak yang masih kecil seperti Qalifh berlama-lamaan di dalam air akan menyebabkan penyakit hipotermia.

Rina melihat dari tepi Qalifh yang berenang menggunakan teknik ‘dog paddle’. Lehernya diletakkan pelampung dan dibiarkan kakinya menendang air. Qalifh yang tidak takut pada air itu ketawa suka ria sambil diawasi oleh Ain yang berada di dalam kolam renang juga. Rina berasa cemburu melihat Ain yang dapat merendamkan diri ke dalam kolam renang. Dulu dikampungnya, dia juga akan berenang-renang sendirian di air terjun tidak jauh dari rumahnya.

“Sudahlah dulu belajar berenangnya untuk hari ini. Besok kita bermain lagi ya.” Rina meminta Ain mengakhiri latihan berenang Qalifh dan meminta jururawat muda itu membawa anaknya naik ke permukaan.

“Baiklah.” Ain menjawab pendek dan menyerahkan Qalifh kepada Mak Sofi yang sudah menghulurkan tangan sementara dia mahu mengemas peralatan yang digunakan di dalam kolam renang itu.

Mak Sofi membaluti Qalifh dengan tuala putih bersaiz kecil dan ditiup kedua-dua telinga Qalifh sebelum anak kecil itu berlari ke arah Rina yang duduk tidak jauh daripada mereka. Qalifh langsung mendepakan tangan mahu duduk di atas ribaan Rina. Rina memeluk anaknya itu erat dan dicium dahi Qalifh dengan lemah lembut sebelum dibalas oleh anaknya itu. Dengan cermat dua tangan kecil itu menarik pipi Rina mendekati wajahnya dan dicium dahi Rina. Mak Sofi tersenyum melihat situasi yang indah itu.

“Mari masuk, kita bersihkan dia di dalam saja.” Mak Sofi berada di belakang Rina bersiap sedia mahu menolak majikannya itu masuk ke dalam rumah.

“Mak Sofi dengan Ain bawa Qalifh masuk dahulu. Rina masih mahu disini sebentar.” Rina menyerahkan Qalifh ke dukungan Mak Sofi. Rina masih mahu berada disitu untuk bermain dengan air sambil menghirup udara luar. Awan biru cerah berarak di atas kepalanya dan panas matahari membakar sedikit tubuhnya tetapi itu langsung tidak membuatkan dia mahu masuk ke dalam berteduh.

Mereka masuk ke dalam rumah beriringan diperhatikan oleh Rina. Sebaik saja mereka hilang dari pandangan Rina mula mendekatkan sedikit kerusi rodanya ke arah kolam renang. Dia mahu menyentuh air yang berada di dalam kolam itu. Kira-kira jaraknya hanya sejengkal dari kolam renang, Rina menunduk untuk menyentuh permukaan air. Disebabkan tidak dapat mencapai permukaan air tersebut Rina ke kehadapan sedikit demi sedikit dan semakin menunduk ke bawah. Akibat lantai yang licin, kerusi roda Rina mula bergerak-gerak perlahan kerana Rina yang asyik bergerak. Tiba-tiba belakang kerusi roda mula terjungkit ke atas, Rina yang panik itu cuba mahu menegakkan badan semula tetapi sudah terlambat.

Rina terjatuh ke dalam kolam bersama kerusi rodanya. Rina mula panik kerana dia tenggelam ke bawah akibat kakinya yang masih tidak dapat digerakkan. Dia menarik nafas yang dalam tetapi itu tidak lama apabila hidungnya mula dimasuki air sehingga membuatkan dia tidak boleh bernafas dengan baik. Mata Rina sudah hampir terpejam rapat tetapi tiba-tiba Rina merasakan tangan seseorang sedang menarik tangannya ke atas.

Dengan sekali tolakan ke atas, Rina kembali terapung ke permukaan air. Bagai ingin mencuri udara Rina bernafas dengan sangat kuat. Orang yang membantunya tadi tidak menunggu lama apabila sekali lagi dia angkat naik ke atas lantai. Terbatuk-batuk Rina dibuatnya. Dimuntahkan semua air yang masuk ke dalam perut. Rina menoleh apabila orang yang menyelamatkannya menepuk perlahan belakangnya berkali-kali agar air yang masuk segera keluar.

“Ada beza orang yang ditimpa masalah dan orang yang sengaja mencari masalah. Rina sudah gila ke? Kalau tak ada Aqil tadi Rina boleh mati lemas tahu tak?” Kedengaran suara Aqil memarahinya daripada belakang. Rina melihat wajah lelaki itu yang berkerut seribu kerana panik. Rambut basahnya hampr menutupi mata lelaki itu.

“Pandang apa?” Aqil bertanya geram apabila melihat Rina yang masih memandangnya tanpa berkata apa-apa.

“Ya Allah! Kenapa ni Aqil?” Terdengar suara Mak Sofi yang menjerit melihat keadaan Rina dan Aqil yang basah kuyup di tepi kolam renang. Dia terdengar suara Aqil yang sangat kuat daripada luar rumah sehingga dia keluar untuk melihat takut-takut terjadi apa-apa.

“Mak Sofi tanyalah dia ni. Sudah tahu masih tidak sihat sibuk mahu bermain dengan air sehingga jatuh ke dalam kolam renang.” Aqil masih bersuara dengan nada marahnya. Dia duduk disisi Rina melepaskan nafas lega kerana dapat menyelamatkan Rina yang hampir lemas di kolam renang.

Sejak daripada tadi dia menjadi pemerhati tidak jauh dari mereka saat mengajar Qalifh berenang. Keenggangan Rina untuk masuk ke dalam rumah semula membuatkan Aqil untuk tetap berada di tempatnya mahu memerhatikan apa yang Rina mahu lakukan apabila mendekatkan kerusi roda yang dinaiki wanita itu ke arah kolam renang. Aqil terus berlari dengan laju dan melompat ke dalam kolam renang apabila melihat Rina yang sudah tenggelam ke bawah akibat kerusi rodanya terjungkit dari arah belakang.

“Sudahlah tu, Aqil jangan memarahi Puan Rina. Semua salah Mak Sofi kerana membiakan Puan Rina sendirian di kolam.” Mak Sofi mengusap belakang Rina apabila melihat majikannya itu masih tercungap-cungap.

“Tak mengapa Mak Sofi. Rina memang patut kena marah kerana berdegil. Rina minta maaf kerana sudah menyusahkan semua orang. Rina tidak bermaksud untuk membuat Aqil dan Mak Sofi risau.” Rina mengakui kesalahannya. Dia rasa bersalah kerana telah membuatkan orang lain cemas dengan keadaannya.

“Kalau sudah tahu sakit buat cara sakit. Jangan nak mengada-ngada bermain dengan air kolam. Bahaya tahu tak? Nasib baik Aqil ada kalau Aqil tak ada macam mana?” Aqil memarahi Rina lagi. Dia masih marah dengan tindakan Rina yang tidak berfikir panjang. Sebenarnya rasa marahnya itu daripada rasa takut kehilangan. Cukup sekali dia rasa kehilangan sewaktu wanita itu koma dia tidak mahu lagi rasa kehilangan yang sama.

“Maafkan saya.” Rina terasa ingin menangis saat itu kerana berasa tindakannya yang hanya mahu bermain bertukar menjadi perkara yang buruk. Benar kata Aqil. Jika tidak ada lelaki itu pasti dia sudah mati lemas.

Aqil tidak menyahut permintaan maaf Rina itu sebaliknya dia terus mencempung wanita itu kerana kerusi roda Rina masih berada di dalam kolam renang dan sudah basah. Dia melakukan itu kerana darurat. Mak Sofi tidak mampu mengangkat Rina sendirian. Dia tidak bermaksud apa-apa jauh lagi mahu mengambil kesempatan.

Rina hanya diam tidak berkata apa-apa. Wajahnya berubah menjadi kemerahan kerana malu dengan keadaan itu. Untuk pertama kali di dalam hidupnya seorang lelaki mendukung dirinya sedemikian rupa. Rina dapat merasakan hatinya berdebar hebat saat itu kerana dia dapat melihat wajah Aqil dengan sangat jelas di depan matanya.

“Astaghfirullahalazim.” Rina beristighfar perlahan tetapi dapat didengari oleh Aqil. Aqil yang mendengar Rina mengucap segera mencampak Rina perlahan ke atas sofa yang empuk.

“Jangan nak fikir yang bukan-bukan.” Aqil berkata sinis. Dia pergi meninggalkan Rina dan Mak Sofi yang mengekori mereka daripada belakang sejak daripada tadi.

Rina memandang wajah Mak Sofi yang cuba menyembunyikan senyumannya. Rina melihat Aqil semula yang sudah kembali membawa tuala dan dililitkan ke tubuhnya yang basah kuyup. Lelaki itu tidak berkata apa-apa lagi dan berlalu memanjat anak tangga naik menuju ke biliknya.
Aqil masuk ke dalam biliknya dan langsung menuju ke bilik air untuk mengganti pakaiannya yang habis lencun. Aqil melihat ke arah pantulan cermin dan senyuman muncul di bibirnya. Dia masih ingat kejadian indah yang cuma sebentar itu. Dia tidak menyangka bahawa dia akan mencempung Rina. Indah dunianya ketika itu!

‘Aqil! Ingat dia kakak ipar kau!’ hatinya menjerit agar Aqil sedar daripada mimpi.

‘Astaghfirullahalazim, Ya Allah ampuni aku yang terbuai dengan hasutan syaitan.’ Sekali lagi hati Aqil mengingatkan. Aqil mengusap wajahnya sebelum membasahkan dirinya di bawah pancutan air pancur cuba menghilangkan bayangan kejadian tadi yang masih bermain di dalam kepalanya.

Sebaik saja membersihkan diri, Aqil turun ke bawah untuk menikmati makan tengah hari sebelum menuju ke masjid untuk solat berjemaah di sana. Ketika itu dia melihat semua orang sudah ada di meja makan kecuali Tan Sri Mansur kerana bapanya tidak jadi pulang ke rumah kerana ada mesyuarat dengan rakan perniagaannya. Aqil mengambil tempat duduk dihadapan Rina dan mencuri pandang ke arah wanita itu yang sudah menukar pakaiannya juga.

Qalifh yang melihat Aqil segera menghulurkan tangan mahu ke pangkuan lelaki itu. Aqil tersenyum dan berdiri mengambil Qalifh daripada pangkuan Rina dan duduk ditempatnya semula.
“Amboi Qalifh, kalau sudah nampak pakcik dia cepat saja hulurkan tangan.” Ain berkata sambil melihat Aqil yang melayan Qalifh dengan penuh kasih sayang.

Rina juga tersenyum mendengar kata-kata Ain itu. Benar, Aqil sangat menyayangi Qalifh dari apa yang dilihatnya. Adakah Haikal akan melakukan perkara yang sama kepada Qalifh jika lelaki itu mengetahui bahawa Qalifh adalah anaknya.

“Tan Sri tidak dapat ikut menghantar Puan Rina hari ini untuk menjalani terapi. Kalau Encik Aqil lapang, boleh tolong hantarkan kami?” Ain meminta tolong. Kalaulah Rina bersetuju dengan rancangan Tan Sri Mansur untuk mengupah pemandu peribadi untuk Rina ke hospital mereka tidak perlu bersusah payah mahu memanggil teksi.

“Hish, kamu ni. Aqil lagi mahu ke masjid. Naik saja teksi seperti biasa.” Mak Sofi mencubit peha Ain di bawah meja kerana dia tahu Ain tidak mahu menaiki teksi untuk ke hospital.

“Tak apa. Balik dari masjid nanti Aqil hantar Ain dengan Rina ke hospital.” Aqil menjawab tanpa memandang Rina.

Seperti yang dijanjikan selepas balik daripada masjid menunaikan solat zuhur berjemaah, Aqil menghantar Rina ke hospital untuk menjalani terapi. Dia mendukung Qalifh sementara Ain menolak Rina menuju ke tempat terapi. Aqil membawa Qalifh ke tempat khas yang disediakan untuk kanak-kanak bermain. Aqil mendudukkan Qalifh di dalam kolam yang berisi bola bewarna warni dan tersenyum apabila melihat Qalifh tersenyum.

"Berapa umur anak?" Tiba-tiba lelaki disebelah Aqil bertanya sambil memandang anak lelakinya bermain dengan Qalifh.

"Setahun. Anak abang?" Aqil bertanya.

"Oh, samalah. Sebaya anak kita saja Hakimi tu kecil sikit daripada usianya. Siapa nama anak?" Lelaki itu mula mesra dengan memberitahu nama anaknya.

"Muhammad Qalifh Althar. Nama saya Aqil. Nama abang?" Aqil bertanya untuk lebih mesra.

"Panggil Abang Man saja. Anak pertama Aqil dengan isteri ke?" Abang Man bertanya kerana daripada penampilan Aqil kelihatan lelaki itu masih begitu muda.

"Err...anak pertama." Aqil tidak bermaksud berbohong tetapi dia hanya membiarkan saja jika Abang Man menganggap Qalifh adalah anaknya.

"Patutlah sebab nampak muda sangat kamu ni sudah ada anak. Hakimi anak ketiga abang. Abang-abang dia demam jadi ibu mereka yang hantar berjumpa doktor sekarang. Macam-macam penyakit sekarang ni, kita kena hati-hati takut nanti merebak pula pada anak-anak kita." Abang Man menceritakan kebimbangannya terhadap wabak penyakit yang bermacam-macam disiarkan di berita sekarang.

"Betullah apa yang abang cakap itu kita kena lebih peka dan berhati-hati. Semua 'hero' ke anak abang?" Aqil bertanya apabila Abang Man mengatakan abang-abang Hakimi sedang dirawat ditemani ibu mereka.

"Ye, masih belum ada rezeki nak dapat anak perempuan. Kami kalau boleh nak ada empat orang anak. Abang harap kalau isteri abang mengandung lagi dapat anak perempuan pula." Abang Man ketawa malu dengan kata-katanya sendiri.

"Wah, banyak rezeki abang nanti bila mereka sudah besar." Aqil memuji Abang Man yang kelihatannya prihatin kepada anak-anaknya.

"Sebab abang dengan isteri masing-masing anak tunggal jadi kami mahu anak yang ramai biar meriah sikit rumah. Kamu dengan isteri ada merancang nak berapa anak?" Abang Man bertanya memandangkan Qalifh anak pertama mereka.

"Saya ikut yang Allah bagi saja, bang. Saya terima saja kalau Allah mahu berikan rezeki yang lebih." Aqil menjawab dengan ketawa kecil. Terasa lucu dia berkata seperti itu wahal dia masih belum berkahwin.

"Mana ibunya?" Abang Man bertanya apabila sejak daripada tadi dia tidak melihat sosok tubuh wanita disamping Aqil.

"Ibunya sedang buat terapi. Selepas melahirkan Qalifh ibunya koma selama setahun. Alhamdulillah sekarang sudah baik-baik saja cuma perlukan terapi untuk gerakkan kakinya semula." Aqil memberitahu tentang keadaan Rina yang sakit.

"MasyaAllah, semoga Allah mengampuni dosa-dosa ibu Qalifh demi perjuangannya. Disebabkan itulah kita kena hargai isteri kita Aqil. Abang bukan nak berlagak tahu tapi abang cuma mahu berkongsi nasihat yang abang dengar daripada ustaz di masjid rumah abang tempoh hari. Kata beliau mengapa kita harus menghargai isteri kita kerana ketika dia mula mengandung disitulah nyawanya dipertaruhkan. Selama sembilan bulan anak kita yang dikandungnya dibawa kemana saja dia pergi dengan penuh kesabaran. Sewaktu dia melahirkan kalau boleh temanlah isteri kita di dalam sana untuk melihat bagaimana seksanya dia membawa salah satu ummat Rasulullah s.a.w. ke dalam dunia. Hargailah mereka dan terimalah apa pun keadaan mereka selepas melahirkan kerana mereka sanggup melakukan ini semua demi kita." Abang Man memberitahu sedikit sebanyak apa yang diketahui oleh dirinya.

"Aamin, terima kasih Abang Man kerana mendoakan ibu Qalifh. Betul apa yang dikatakan Abang Man, Terima kasih atas nasihatnya, InsyaAllah saya akan sentiasa mengingatinya." Aqil tersenyum mendengar nasihat daripada bapa tiga orang anak itu.

"Sama-sama mengingatkan, Aqil." Abang Man menepuk bahu Aqil lembut. Dia dapat rasakan Aqil seorang lelaki yang baik yang setia kepada isterinya. Semoga Allah melimpahkan kebahagiaan buat mereka doa lelaki itu buat Aqil dan keluarganya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience