Bab 13
“Baliklah!” rayu Mak Upeh.
“Kau kena balik. Kau diturunkan oleh dewata, sebagai cucu Mak Upeh. Baliklah. Sebab kau adalah lelaki dari Gunung Ais.”
“Gunung Ais!” seru Leo perlahan terjaga dari mimpi yang menggangu tidurnya.
“Kenapa mata kau merah, Leo?” tanya Amalina kehairanan.
Leo tidak menjawab. Dia kesal mengapa dia harus jadi seorang yang lemah, menangisi nasib. Selama ini dia amat kuat dan tidak pernah peduli pada masa lalu. Mengapa sekarang dia merasakan masa lalu itu begitu penting untuk diingat?
Sepanjang malam dia tidak tidur setelah diganggu bermimpi.
“Aku tak boleh tidur!” jawab Leo perlahan.
“Nenek pernah bawa aku berjumpa dukun. Katanya aku sakit… Tapi aku tak pernah rasa sakit. Aku rasa tubuhku sihat walaupun aku tidak dapat tidur nyenyak pada waktu malam. Hanya dua tiga jam sahaja aku tertidur. Tapi tidur yang berkualiti lebih baik daripada tidur yang asyik diganggu mimpi sepanjang malam.”
Amalina memandang tepat ke wajah Leo. Kata-kata Leo amat mengejutkan Amalina, sekaligus membuat dia benar-benar teruja. Leo bukan lelaki bodoh seperti yang dia sangka. Telahannya ternyata menyimpang jauh. Dan dia semakin yakin bahawa Leo bukan lahir dalam golongan keluarga asli yang tinggal jauh di tengah-tengah hutan itu. Siapakah Leo yang sebenarnya? Siapa?
“Hari ni kau bawa aku ke tempat gajah.”
Amalina mengubah haluan perbualan.
Wajah Leo kelam kabut di saat dia mendengar kata-kata Amalina.
“Kau terlalu berani,” kata Leo sambil menggelengkan kepalanya.
“Tiada apa yang aku takutkan selain daripada Tuhan.”
“Tapi kau jarang sembahyang,” jawab Leo sengit.
“Kau juga macam tu, walaupun kau pernah mengakui kau orang Islam.”
Leo menggigit bibirnya dengan kuat. Dia hilang kata-kata mendengar sindiran Amalina itu.
“Itu antara aku dan Tuhan.” Leo menjawab setengah mencabar.
“Tahu pun. Begitu juga dengan aku,” balas Amalina tidak mahu kalah.
“Kau nak bawa aku ke tempat gajah ataupun tak?”
“Kau betul-betul nak pergi tengok gajah liar?” tanya Leo inginkan kepastian.
“Ya… Kau rasa, sebab apa aku bayar kau seratus ringgit sehari?”
“Kau nak mati cepat?” tanya Leo seolah-olah mahu menakutkan Amalina.
“Jika sekumpulan gajah melanggar kita, hanya dalam masa beberapa minit saja nyawa akan melayang. Sekumpulan gajah selalunya terdiri daripada 100 ekor.”
“Huh! Tentu menarik dapat merakam aksi sekumpulan gajah yang sedang bergerak pantas.”
Amalina begitu teruja sekali. Langsung tidak menunjukkan rasa takut.
“Susah,” jawab Leo sepatah sambil menggelengkan kepalanya.
“Dulu kau kata, segalanya senang dan mudah. Sekarang mengapa kau kata, susah pula? Kau macam takut aje.”
“Memang takut. Aku takut apa-apa terjadi pada kau! Aku tak kisah pada diri aku sendiri. Aku pernah sekali ‘mati’…”
“Apa maksud kau?” tanya Amalina ingin tahu.
“Lupakan saja,” jawab Leo, sambil memandang jauh ke wajah langit pagi yang cerah.
“Okey, kita pergi ke tempat gajah sekarang!”
Leo memandang jauh. Dari situ dia cuba mencari arah Gunung Ais. Matanya mengecil memandang ke arah hulu Sungai Berakit. Entah mengapa dalam bayangannya itu, dia dapat melihat rupa gunung tersebut yang dikelilingi hutan menghijau. Kemuncaknya kelihatan membiru, seakan-akan bersatu dengan warna langit. Dan kabut mengelilingi puncaknya yang tinggi.
Mereka bertolak awal pagi. Matahari baru muncul dari celah dedaun. Semakin lama semakin tinggi. Tubuh Amalina mulai melekit bermandi peluh. Dia mengajak Leo berehat sejenak sambil meneguk minuman. Leo membantu Amalina memikul kamera video.
...bersambung
Bab akan datang:
Adakah Leo sudah menyukai Amalina? Leo permah ‘mati’? Apakah maksud Leo berkata begitu?
Share this novel