IZWAN bingkas bangun dari kerusi. Terus hilang seleranya untuk menjamu selera sebaik sahaja Intan Rashima menghampirinya. Dia terus mengatur langkah pergi ke arah kaunter, kemudian dia terus beredar.
Aryan terpinga-pinga melihat tingkah Izwan. "Wan! Kau nak pergi ke mana, wey?!" Dia turut bingkas bangun seraya mengejar sepupunya itu. Manakala Intan Rashima yang sedang duduk di kerusi bersebelahan dengan Izwan sebentar tadi berkerut dahinya melihat kedua-dua jejaka itu pergi meninggalkannya.
Punggungnya dihempaskan di atas tempat duduk pemandu. Pedal minyak ditekan kuat. Izwan mendengus geram. "Ke mana saja aku pergi, pasti ada aje perempuan tu!"
"Siapa?" Aryan yang duduk di sebelah bertanya.
"Perempuan tadi tu la!"
"Perempuan tadi tu ke?"
"Yelah... siapa lagi!" Serta-merta Izwan teringat kata-kata arwah Azwan berkenaan dengan Intan Rashima.
"Kenapa dengan dia?" soal Aryan lagi.
"Perempuan tu murah! Tak ada maruah! Muka tembok... tak malu mengalahkan pelacur!"
"Maksud kau?"
"Aku sekeh jugak kau ni karang! Kau faham ke atau buat-buat tak faham?" Kemarahan Izwan semakin menjadi-jadi bila berbicara pasal Intan Rashima.
Aryan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Beberapa saat lepas itu dia mengangguk tanda faham. "Oh, okey... okey baru aku faham."
"Apa yang kau faham?" Izwan bertanya.
"Err... Entah-entah kau lebih cenderung dengan laki..."
"Wey! Apa kau merepek ni?! Kau dah gila ke apa? Aku straight okey!"
Belum sempat Aryan menghabiskan kata-katanya, Izwan segera memintas seraya memberhentikan kereta di tepi jalan. "Kau keluar sekarang..."
"Eh, Wan... apa ni?" Berkerut dahi Aryan sambil bertanya. "Aku gurau ajelah!"
Tanpa basa-basi, Izwan menghalakan tangannya untuk membuka pintu di sebelah. Selepas itu dia melepaskan tali keledar Aryan. "Aku nak kau keluar dari kereta ni sekarang!"
"Wan, kau ni dah kenapa wey?!" Kecut perut Aryan. "Serius ni kau nak aku keluar?"
Izwan tidak menjawab pertanyaan Aryan itu. Belum sempat Aryan bertanya lagi dia terus menekan pedal minyak sekuat hati dan meninggalkan sepupunya di tepi jalan.
"Wan!!"
Aryan tampar dahi sendiri seraya menggeleng kepala. Dah kenapa pulak dengan sepupu aku tu? Hai... sampai hati dia tinggalkan aku berseorangan di tepi jalan ni...
Sedang Aryan mengatur langkah berjalan kaki untuk balik ke Coral Beach Resort, sebuah kereta menghampirinya. Dia mengerling ke arah tingkap kereta itu. Kecil besar matanya memerhati figura wanita yang sedang duduk di dalam perut kereta itu. "Hanna?!"
"Aryan? Awak buat apa dekat sini?" Hana Nadira bertanya.
"Err... panjang ceritanya. Tapi kalau ye pun takkan nak biarkan saya berjalan kaki."
"Oh ye! Masuklah." Pintu kereta dikuak dari dalam. Hana Nadira mempelawa Aryan untuk masuk ke dalam perut kereta.
"ADIK kembar arwah Abang Azwan? Maksud awak... Izwan? Dia pun ada di Pulau Pangkor ni jugak ke? Di mana dia?" Hanna Nadira bertanya sebaik sahaja Aryan bercerita.
"Yelah... Kalau bukan sebab dia, tak adanya saya nak menapak di pulau ni. Kacau hari cuti saya aje!" jawab Aryan pula.
"Apa tujuan dia datang ke sini?"
"Dia cari Puan Hana... balu kepada arwah saudara kembar dia, katanya."
Hana Nadira terus diam membungkam. Sekali lagi kata-kata arwah suaminya berkaitan dengan saudara kembarnya kembali berlegar di minda.
"Hanna... Andai ditakdirkan abang pergi, abang berharap sangat agar isteri dan anak abang berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan adik abang."
Tak... Hana tak nak... abang... Hana rindu abang! Hatinya menjerit memanggil nama arwah suaminya. Abang... Hana tak sanggup bersama dengan orang lain selain dari abang seorang... abang tolonglah balik! Hana perlukan abang!
******
Share this novel