Malam itu, selepas Tok Mat berbuka puasa bersama isterinya, Mak Mah dan anaknya, Rusyidah, Tok Mat terus memanggil anaknya. Dia ingin tahu apa yang berlaku pada anaknya.
“Rusyidah, sini kejap.” panggil Tok Mat.
“Ya, ayah.” sambut Rusyidah yang baru sahaja selesai membasuh pinggan terus pergi ke ruang tamu. Tok Mat sedang duduk berehat sambil membaca surat khabar. Rusyidah kemudiannya duduk di atas kerusi betul-betul berhadapan dengan Tok Mat.
“Apa sebenarnya dah jadi dengan kamu ni, Rusyidah? Benda macam ni tak baik sorok dari ayah. Asyik pentingkan Razi je… Tahulah si Razi tu bakal suami kamu.” Tok Mat menegur Rusyidah. Rusyidah terkesima seketika. Dia terkejut dengan kata-kata yang keluar dari mulut Tok Mat. Rusyidah tidak tahu apa yang terjadi sehingga ayahnya bertanya demikian.
“Apa ayah ni? Mana ada saya sorok apa-apa dari ayah. Ayah ni… Janganlah tuduh yang bukan-bukan.”
“Ayah bukan apa nak, ayah risaukan kesihatan kau je, nak. Ayah tak nak fasal benda ni kita satu keluarga bermasam muka.” Jelas Tok Mat perlahan. Rusyidah hanya memandang wajah ayahnya.
“Ayah dah salah faham ni. Tak ada apa-apalah ayah. Ayah ni risau sangat ni.” Kata Rusyidah yang cuba untuk menenangkan kegelisahan Tok Mat. Tok Mat kemudiannya bingkas bangun daripada kerusinya dan terus masuk ke dalam bilik tanpa berkata sepatah apa pun.
Apa kena dengan ayah aku ni? Monolog Rusyidah bersendirian. Dia tidak tahu apa yang berlaku pada ayahnya. Tetapi Rusyidah tahu ayahnya itu sedang menahan marah.
Pagi-pagi lagi Wak Bon sudah pergi ke kedai untuk membeli barang. Tiba-tiba dia terserempak dengan Pakcik Johari. Pakcik Johari menegur Wak Bon. Yalah, sejak bulan puasa ini, jarang sekali Pakcik Johari melihat Wak Bon berjalan-jalan di sekitar kampung. Alasannya adalah penat. Sangat tidak logik.
Share this novel