TERPEKIK-pekik Damia panggil suaminya dari luar. Memang tak dihiraukan sudah orang sekeliling sebaik sahaja dia turun dari Grab tu.
Kasut dicabut tanpa sempat dia susun. Terus dia boloskan diri masuk ke dalam rumah tanpa memberi salam. Nampak gaya berlari, macam baru kena kejar dengan hantu aje Damia ni.
"Ye, sayang. Kenapa ni? Tak malu ke terkerit-jerit macam tu." Syafiq yang sedang memotong sayur-sayuran terus hentikan tugasnya.
Damia tak hiraukan teguran suaminya. Dia terus duduk di atas kerusi menghadap suaminya. Termengah-mengah dia mencuri nafas. Berlari dari luar macam kena kejar, padahal tak ada apa pun.
"Abang, saya ada berita baik nak bagitahu." Damia tak mampu kawal senyumnya.
Syafiq terus memotong, "Sayang dapat kerja, kan?" tekanya.
Memang sahlah dapat kerja melihat akan reaksi isterinya tu. Pulang dari temu duga dalam keadaan ceria tak macam selalu, tipulah kalau Syafiq tak tahu. Jadi, itu sahaja berita baik yang masuk akal pun.
Damia angguk laju. Barisan gigi putihnya tak dapat disembunyikan.
Memang betul pun! Syukur, Ya Allah.
"Alhamdulillah ..." ucap Syafiq lalu dia raup wajahnya. Begitu juga isterinya. "Jadi sayang dapat kerja jadi apa kat tempat Zaid tu?" soalnya.
Damia mengulum senyum. "Jadi personal assistant dia. Dia lantik saya dalam lima bulan gantikan sorang akak ni. Akak tu cuti bersalin tiga bulan. Tapi sebab dia ikut suami dia duduk kat Australia, dia tambah cuti tanpa gaji dua bulan. Jadi, saya akan kerja dengan Zaffranlah sepanjang lima bulan tu. Tapi kalau prestasi saya memuaskan, dia akan suruh saya kerja sepenuh masa gantikan akak tu," beritahu Damia dengan rasa yang terujanya.
Baru je pisau yang dipegang mahu membelah timun, Syafiq tersentak. Wajah isterinya yang tak lekang dengan senyum itu dipandang lama.
"Jadi personal assistant?" tanya Syafiq seolah-olah tak percaya.
"Ye, jadi PA. Pembantu peribadi dia. Kenapa? Abang tak suka ke?"
Wajah Syafiq terus berubah muram. Seperti ada aura hitam yang merasuki tubuhnya. Padahal tadi dia turut kelihatan gembira dengan khabar yang diberitakan isterinya tu. Bila dia tahu aje jawatan kerja yang ditugaskan untuk isterinya, terus dia berubah 180 darjah.
"Abang tak suka saya jadi PA?" ulang Damia tatkala suaminya masih membisu.
Keluhan berat kedengaran. "Bukan tak suka tapi abang macam tak percaya pulak yang Zaid tu sanggup lantik sayang jadi PA dia. Abang ingat sayang dapat jadi staf biasa je. Jadi akauntan ke, auditor ke. Tu abang tak terkejutlah sangat. Ni ... jadi PA!"
Damia segera berpindah tempat untuk duduk bersebelahan suaminya. Lengan suaminya dipaut.
"Saya tahu abang tak berkenan dengan kerja saya tu. Saya pun mula-mula terkejut jugak. Kalau ikut qualification saya, memang saya tak layak pun kerja kat sana tapi Zaffran yang kasi saya peluang. Dia nampak kesungguhan saya nak bekerja. Saya pun, dah rezeki datang bergolek, takkan nak sia-siakan pulak," terang Damia panjang dan lebarnya demi mendapatkan persetujuan si suami yang mukanya sudah mengalahkan pelam muda.
Syafiq biarkan lengannya dipaut erat. Tak mahu meleraikan pautan isterinya yang tak putus merayu.
Lagipun isterinya tak salah pun kenapa dia mahu marah? Bukan ke dia sendiri yang suruh Damia pergi mencuba nasib kat syarikat Zaid itu tetapi kenapa dia macam tak boleh terima apabila Damia dapat kerja kat sana?
"Walaupun abang ni orang kampung, abang tahu PA tu buat apa. Kerja PA tu ikut je buntut bos setiap masa. Sayang tu dah kahwin. Suami sayang ada kat depan mata sayang ni," kata Syafiq jujur.
"Ala, abang. Dah memang Zaffran yang suruh saya jadi PA dia, takkan nak tolak? Dia sendiri yang kata, kalau dia nak pilih personal assistant, dia pilih yang dah kahwin. Macam akak yang tengah cuti bersalin tu. Abang janganlah risau."
Syafiq hela nafasnya. Sungguh, dia tak jangka semua ini berlaku.
"Nanti sayang kerja jadi PA tu, makin kuranglah masa kita nak bersama, kan? Dulu abang nak pergi meniaga, sayang yang hantar abang sampai ke depan pintu. Makan pun kena berteman. Lepas ni, masa sayang banyak dihabiskan dengan Zaid tu la, kan?" ucap Syafiq dengan penuh emosionalnya. Waktu inilah dia nak terkenang itu dan ini. Tapi tangan masih tak henti memotong sayur.
"Abang ... tak. Bukan macam tu. Saya buat kerja apa yang disuruh aje. Zaffran pun dah inform tadi yang masa kerja saya start dari pukul 8:00 sampai pukul 6:00 je. Lepas office hours, dia takkan ganggu. Lepas tu, kita dapatlah luangkan masa sama-sama. Kalau tak sempat hari kerja pun, Sabtu Ahad kan ada. Dua hari tu kita cuti."
Syafiq masih tumpukan perhatiannya pada kerjanya. Nampaknya, dia macam dah tak berminat dengar semua benda itu.
Damia genggam pergelangan Syafiq. Secara spontan Syafiq membeku. "Abang ... please. Hari tu abang yang suruh saya cuba nasib kat syarikat tu. Suruh cari kerja yang halal. Ni dah dapat kerja yang halal kat sana, abang pulak nak merajuk. Abang dah janji sentiasa nak support saya, kan?"
Pandangan Syafiq memanah ke dalam anak mata Damia. Kosong.
Syafiq masih marah ke? Pantas Damia leraikan genggamannya. Tiba-tiba rasa geram pulak dengan sikap suaminya itu. Dah kenapa suaminya tak mahu izinkan pulak?
Damia segera bangun dari duduknya. Langkah dibawa untuk masuk ke dalam bilik. Malas nak bertekak dengan suaminya.
Dia bawa berita gembira, tapi suaminya pula yang kelihatan kecewa sekarang ini. Salah ke nak jadi PA pun?
Langkah dibuka dengan iringan hentakan kaki. Sempat Damia merengus geram.
"Sayang ... sayang!" laung Syafiq apabila dia perasan yang isterinya dah beredar pergi. Masing-masing nak merajuk ni, memang susahlah keadaan kalau tiada siapa yang mahu beralah. Nak tak nak, dia sebagai suami, kenalah mengalah jua.
Syafiq bingkas bangun dan menghalang isterinya yang baru sahaja mahu membolos ke dalam bilik. Tangan isterinya ditarik lembut. Automatik langkah isterinya terhenti.
Damia silangkan tangan. Bibirnya pula dimuncungkan. Mukanya ditarik masam. Tapi muka masam pun, dengar juga cakap suaminya untuk berhenti. Tahulah dia yang suaminya tu nak memujuk.
"Sayang, okey, okey. Abang tak marah sayang pun kalau sayang kerja jadi PA Zaid," pujuk Syafiq. "Abang tak kisah pun sayang dapat gaji lagi besar dari abang. Abang tumpang gembira jugak."
"Tapi abang terlalu overthinking tadi. Zaid sanggup bagi sayang kerja PA tu sedangkan dia baru kenal sayang. Lepas tu, sayang pulak panggil Zaid dengan nama 'Zaffran' tu. Abang sebagai suami, tak sedap hati tau," sambung Syafiq lagi.
Ooo ... kes cemburulah ni! Patutlah tadi muka monyok aje bila Damia beritahu yang dia bakal jadi PA Si Zaid tu.
Damia segera menoleh menatap suaminya. Tangan suaminya digenggam. Terasa hangat, dan selesa. Seperti biasa.
"Abang, janganlah fikir yang bukan-bukan macam tu. Saya nampak Zaffran tu betul-betul nak tolong tau. Sebab dia pun tahu tentang kes kebakaran yang berlaku kat kita, sebab tu dia nak jugak bantu saya dapatkan kerja kat syarikat dia. Pasal saya panggil dia dengan 'Zaffran' pulak, yang tu saya tersilap sebut nama masa interview tadi. Tapi tak sangka pulak yang dia suruh saya panggil dia dengan 'Encik Zaffran' tu."
Syafiq masih diam. Penerangan Damia tadi bukannya meredakan cemburunya malah ia memburukkan rasa yang melanda. Dan rasa curiga kepada Zaid juga semakin menusuk-nusuk dalam.
"Abang jangan risau. Saya kan dah janji bila saya dapat kerja nanti, saya takkan lupa tanggungjawab saya sebagai seorang isteri. Saya juga takkan lupa yang suami saya hanya abang. Abang sorang je yang ada dalam hati saya sekarang ni. Sampai bila-bila." Ayat manis Damia lontarkan. Harap menjadilah untuk cairkan si suami yang diam membisu itu.
"Sayang janji yang sayang takkan tinggalkan abang? Lepas tu janji yang sayang takkan malu dengan abang?"
Damia ukir senyum. "Saya janji saya akan setia dengan abang. Saya takkan tinggalkan abang, saya takkan malu yang abang ni suami saya. Lagipun, buat apa nak malu? Abang handsome, baik, sweet. Bukan senang nak dapat suami macam abang," puji Damia.
Syafiq sudah tak mampu tahan tawanya. Aduh, kena banggalah sikit. Isteri sendiri puji tu. Lagipun, apa yang dikatakan Damia tu, benda betul, kan?
"Sayang janji?" Syafiq terus acungkan jari kelengkeng.
"Janji!" Jari kelengkeng milik Damia menyilang jari suaminya. Kini, kelengkeng mereka saling bertaut. "Abang pun janji dengan saya, yang abang akan setia jugak, tau."
"Ye, abang janji. Hanya sayang sorang je ada dalam hati abang."
Terus Syafiq tarik Damia masuk ke dalam pelukannya. Belakang isterinya ditepuk perlahan.
"Terima kasih abang sebab sentiasa ada dengan saya dan support saya sampai sekarang. Saya takkan lupakan pengorbanan abang," ujar Damia sambil pejamkan matanya kerana asyik dibuai dengan kehangatan pelukan suaminya.
"Abang sanggup buat apa saja untuk sayang asalkan sayang happy. Congrats sayang sebab dah dapat kerja."
"I love you, abang ..."
*****
Hari pertama sebagai salah seorang pekerja syarikat VeoBay Group, Hmm ... so far so good. Tak adalah letih sangat, tak adalah relaks sangat. Sedang-sedang saja. Tapi memandangkan ini kali pertama Damia lakukan kerja berkaitan pejabat, terkial-kial jugalah rasa.
Nak menghadap komputer, lepas tu uruskan planner untuk Zaid lagi. Nasib baiklah Kak Tania iaitu PA yang sedang bercuti itu ada sediakan planner ringkas untuk mudahkan kerja PA pengganti seperti Damia. Jadi segala perancangan sudah ada di situ, dan Damia hanya perlu mengemas kini apa yang patut sahaja mengikut jadual terkini Zaid.
Nasib baiklah ada rakan sekerja yang baik hati sudi membantu. Walaupun baru aje berkenalan tadi, mereka tak sombong. Merekalah yang sudi beri tunjuk ajar Damia tentang perkara asas yang perlu dibuat kat ofis ni dan tugas yang selalu dibuat sebagai seorang PA. Mereka yang dimaksudkan ialah Kak Zetty, Adham dan Kak Riana.
Katanya, mereka bertiga itulah antara 'orang kuat' dalam syarikat ini. Dapat gelaran itu bukan sebab apa, tapi hanya kerana mereka itu staf yang paling senior di VeoBay Group. Dikhabarkan, mereka sudah bekerja sejak arwah ayah Zaid mengelola syarikat ini 10 tahun lalu sebelum syarikat ini bertukar milik kepada Zaid.
Otot yang terasa kebas ditegangkan. Sekejap lagi kena ikut Zaid pula mahu jumpa klien di luar. Betullah apa yang suaminya cakap tiga hari lepas. Jadi PA ni, kena ikut sajalah buntut bos. Tapi ikut buntut pun atas dasar urusan kerja aje.
"Damia, tak nak makan ke?"
Damia yang sedang memicit-micit bahunya segera tersentak. Nasib baik tak terkeluar jantung.
Bila pulak Kak Zetty ada depan mata ni? Terlalu fokus sangat buat kerja ke sampaikan badan Kak Zetty yang berisi itu pun Damia tak perasan.
"Eh? Makan?" Kelihatan Damia terpinga-pinga. Dia pandang sekeliling, kelihatan semua rakan sekerja yang lain sudah pun bangun dari tempat duduk mereka. Nak pergi mana?
"Ye la. Makan lunch. Pukul 1:00 dah ni. Tahulah kamu baru first day kerja, tapi makan jangan lupa pulak," usik Kak Zetty. "Dah jom turun. Kita makan kat kafe. Yang lain dah tunggu kita kat bawah."
Oh! Waktu lunch rupanya. Macam manalah Damia boleh terlupa pasal makan ni padahal waktu makan adalah waktu yang penting baginya. Sibuk sangat buat kerja agaknya. Damia pun mampu tersengih.
Usai mengemas barang, tas tangan yang diletak di tepi meja disambar. Tas tangan baru tu, jadi tak boleh lupa dibawa sekali. Dah nama pun dibeli oleh suami tercinta sempena kejayaan dapat kerja. Walaupun suaminya kata dia hanya beli di kedai murah saja, tapi bagi Damia, tas tangan tu dah terlalu berharga. Kalau hilang, murung setahun.
Langkah dibawa membuntuti Kak Zetty di belakang. Staf yang lalu-lalang dan bertembung dengannya Damia lemparkan dengan senyum.
Kena tunjuk ramahlah depan rakan sekerja baru, nanti kena cop sombong pula. Dahlah jadi PA bos. Orang selalu kata, jadi PA bos ni selalu orang yang kekwat aje. Tapi Damia akan buktikan yang pemikiran seperti begitu adalah salah dan auta semata-mata!
Tak sampai lima minit berjalan, nampaklah kafeteria khas untuk para staf VeoBay Group di tingkat paling bawah. Damia dan Kak Zetty terus mendekati ke arah satu kumpulan meja apabila Suraya melambai tangan kepada mereka.
Suraya tu antara salah satu staf yang boleh Damia buat kawan. Nampak gila-gila sikit perangainya walaupun baru kenal. Boleh dahlah tu kalau nak sekepala dengan Damia. Cuma Suraya ini bukan dikategorikan sebagai 'orang kuat' VeoBay Group itu disebabkan dia baru aje bekerja di syarikat ini dua tahun yang lepas. Umur dia pun, tiga tahun lagi tua dari Damia.
Damia dan Kak Zetty terus melabuhkan punggung mereka di kerusi kosong. Selain Suraya, Kak Riana dan Adham juga berada dalam kumpulan itu.
Damia rasa macam jadi tetamu terhormat pulak apabila keikutsertaannya dialu-alukan oleh mereka yang lain. Syukurlah jika kehadirannya sebagai pekerja di sini disambut dengan baik. Baru satu hari kerja aje, dah jadi satu kumpulan dengan pekerja senior tu! Bukan calang-calang.
Tapi mungkin kesertaannya disambut kerana jawatan yang disandangnya ketika ini. Iyalah, dia kan PA. Jawatan tu dikira bukan senang nak dapat. Tapi Damia peduli apa, asalkan dapat kawan itu pun dah cukup.
Makanan dipesan mengikut selera masing-masing. Sambil-sambil menunggu, masa diisi dengan perbualan kosong. Dan semestinya, topik utama perbualan itu adalah tentang Damia.
"Macam mana kerja setakat ni, Damia? Okey tak?" tanya Kak Riana.
"Hmm ... bolehlah, kak. Mungkin baru first day kerja, tak rasa lagi penat tu." Damia menjawab.
"Biasalah. Tapi kerja PA ni sebenarnya penat tau. Nak kena ikut bos pergi meeting la, jumpak klien la. Lepas tu nak kena susun schedule dia lagi. Dulu, Kak Tania, memang tak adalah masa dia nak lunch sama-sama macam ni," sambung Kak Riana. Yang lain turut bersetuju.
Damia senyum dan angguk. Betul juga tu. Lepas dia dikonfirmasi mendapat kerja sebagai PA, dia terus mencari maklumat tentang tugas-tugas seorang pembantu peribadi di enjin Google. Boleh tahan juga tugas PA ni.
Sementara belum masuk ke fasa sibuk ni, baik dia gunakan awal-awal pekerjaan dengan luangkan masa bersama geng ini. Mana tahu, lepas ni tak ada masa nak lunch sama-sama seperti mana yang Kak Riana beritahu tadi?
"Bos layan kau okey tak? Tadi ada dia buli kau?" Adham pula bertanya. Satu-satunya kaum Adam yang turut serta dalam geng ini.
Kalau orang lain tengok, mesti mereka fikir Adham ini 'lembut' sikit orangnya tapi taklah seperti yang mereka fikirkan. Sikap kejantanan Adham tu masih ada cuma mungkin dia lebih 'ngam' berkawan dengan wanita.
"Tak adalah. Encik Zaffran layan saya okey je," kata Damia. Takkan nak kutuk Zaid pula. Takut ahli geng ni mata-mata Si Zaid, mati Damia nanti. Lagipun, memang Damia cakap benda betul pun. Zaid layan dirinya dengan baik, tiada buli-buli langsung.
"Baguslah. Sebab tu kami suka dia. Dia baik dan jarang kasi pekerja dia stres. Tapi kadang je dia bertegas sikit. Itu pun kalau kami buat salah," ujar Adham.
Wah! Ada ciri pemimpin yang baik bos aku ni. Tak gunakan pangkat untuk menyusahkan orang lain. Biasalah tu kalau bos marah sebab staf buat kerja tak betul. Damia sempat puji dalam hati.
Kening Suraya hampir bercantum. Dia pandang lama wajah Damia dengan perasaan pelik.
"Jap, kau panggil bos kita tu ... Encik Zaffran? Bukan Encik Zaid?" tanya Suraya.
Serentak suasana dalam kumpulan itu senyap. Mata masing-masing tertumpu kepada Damia sekarang ini.
Haih! Takkanlah jadi bahan gosip pulak. Kenalah beritahu perkara sebenar. Kalau tak, berita palsu boleh tersebar satu ofis gamaknya.
Damia tanpa basa-basi terus memberitahu perkara sebenar. Apa yang pernah dia beritahu suaminya tempoh hari, begitulah dia beritahu kepada geng ini. Puncanya, tersilap panggil nama waktu interview. Lagipun apa salahnya? Dah Zaffran tu pun nama dia, jadi panggil ajelah dengan nama itu.
Bukan meredakan keadaan malah mata masing-masing masih tertancap tepat pada Damia. Lagi-lagi mata Si Suraya itu. Mata dia tajam memandang, mesti nak mengusiklah itu.
"Amboi ... bos kasi kau panggil guna nama 'Zaffran' tu, kiranya kau special la dari kami ni, kan?"
Dah agak. Usikan Suraya dibalas dengan jelingan Damia. Lalu dia membalas, "Special apanya. Sebab dia tak nak saya malu waktu tu, sebab tu dia suruh aje saya guna nama 'Zaffran' sampai sekarang." Main sembur aje Damia membuat spekulasi. Rasanya betullah Zaid tu tak nak Damia rasa malu.
"Ye la tu." Masih tak nak kalah tu Suraya.
Nasib baiklah makanan tiba tepat pada masa. Kalau tak, sampai ke sudah hal ni tak habis bincang.
Masing-masing pun dah macam singa nampak rusa. Main terkam aje makanan masing-masing. Nampak lapar sangat tu.
Nafas lega dihembus. Tak faham betul dengan ahli-ahli geng kumpulan ni. Takkanlah baru sehari kerja dah kena gosip dengan bos? Tak! Lepas ni benda tu tak boleh berlaku lagi.
Aku ada suami, okey! Suami aku ada kat rumah tu. Baik-baik sikit kalau nak gosipkan pun. Muncullah 50 orang kaya lain macam Zaid Zaffran tu, aku tetap pilih suami aku tu la! Hati Damia menggerutu.
Tapi itulah, semua orang kat ofis ni tak tahu lagi yang Damia dah berkahwin. Sebab itulah dia termasuk dalam perangkap gosip buta-buta aje. Apa yang pasti, Damia kena juga beritahu hal yang sebenarnya nanti.
Dia orang yang lain ni pun, takkanlah tak perasan cincin yang elok tersarung di jari manis Damia tu? Cincin perak tu, bukannya kecil sangat pun. Elok-elok saja saiznya. Dia orang tu dah rabun ke?
Sengaja Damia tayang tangan kanannya, meja diketuk perlahan sambil-sambil menyedut air jus epal guna straw. Jari-jemari digoyang-goyang mahu tarik perhatian mereka yang lain. Haraplah dia orang nampak.
Kalau dia orang nampak ni, mesti banyak soalan yang bakal ditanya.
Kau dah kahwin ke?
Eh, kau dah tak available la jadinya?
Damia sudah tersenyum sendiri apabila terbayang reaksi mereka. Mesti dia orang akan bertanya persis soalan macam tu punya!
And ... yes! Niatnya tercapai apabila mata Suraya sudah membulat luas apabila gadis berambut keriting itu terpandang tangan kanan Damia yang runcing itu sedang mengacau minuman dengan menggunakan straw. Nampak jelas sangat Damia nak tayang cincin pun.
"Weh, tu cincin kau ke, Damia? Kau dah kahwin?" Naik seoktaf nada suara Suraya.
"Haah. Dah lebih dua bulan pun," jawab Damia seperti tahan malu. Dalam hati dia bersorak gembira kerana niatnya berjaya. Lepas ni, jangan nak jodoh-jodohkan aku dengan encik bos tu, ya!
Mendengar pengakuan itu, mereka yang lain saling berpandangan wajah masing-masing bersilih ganti. Tadi rancak makan sangat.
"Seriuslah, Damia? Akak ingat kamu tak kahwin lagi sebab umur kamu baru 23. Masa icebreaking session tadi pun, bukannya nak bagitahu pun yang kamu dah tak single." Kak Riana macam tak percaya.
Sesi perkenalan bersama staf syarikat VeoBay Group pagi tadi pun, Damia hanya maklumkan tentang maklumat diri yang perlu aje. Nama, umur, asal mana, dan jawatan kerja. Kalau status atau nama pasangan, rasanya memang tak perlu beritahu tu.
"Ala, kahwin ni tak kira umur. Zaman sekarang, muda dari Damia pun dah ada yang berumah tangga. Lagipun, Damia yang cun melecun ni takkanlah tak ada buah hati." Kak Zetty pula bersuara. Nampak dia macam tak terkejut sangat dengan pengakuan Damia itu malah dia yang menyebelahi Damia.
Damia hanya senyum simpul dipuji. Setuju dengan Kak Zetty! Matang betul fikiran Kak Zetty ni.
Memang padanlah dapat gelaran jadi ahli tertua dalam kumpulan ni. Umur pun dah masuk 40-an, kan? Damia tahan gelak.
"Suami kau mesti handsome, kan? Ye la, kau cantik. Nanti bila-bila, kenalkanlah suami kau tu kat kita orang. Mana tahu, sambil-sambil tu boleh korek rahsia tentang kau," gurau Suraya. Terkekek-kekek dia tertawa dengan kehambaran lawaknya sendiri. Kesian betul.
Damia dah tayang muka menyampah. Baru kenal tak sampai sehari dah melawak segitu, ya? Nasiblah Damia itu bukan serius orangnya. Kalau tidak, mahu kena ganyang Si Suraya tu.
"Daripada kau nak tengok suami Damia ni, baik kau cari suami kau sendiri. Tak malu sungguh. Tau tak dalam geng ni, kau sorang je yang single? Adham pun hujung tahun ni dah nak kahwin. Kau bila pulak, Su?" bidas Kak Zetty. Padan muka kau Suraya. Kena setepek.
Tawa dari mereka semua bersabung. Lihat Suraya mencebik, makin menjadi-jadilah gelak tawa mereka.
Dia orang kalau bergelak tu, dah tak tengok kiri kanan padahal kat kafeteria tu ada orang lain juga. Tapi nampaknya orang lain tu tak ambil peduli pun. Bagi mereka, ni perkara biasa mungkin?
"Suami kau tu kerja apa Damia? Lawyer? Pilot?" Soalan rawak Kak Riana membuatkan tawa terhenti. Senyuman lebar Damia juga sudah tak kelihatan.
Gawat! Ni soalan perangkap ke apa ni? Tanya pekerjaan suami orang pula. Kak Riana ni pun satu, elok-elok tengah bergelak, boleh dia tanya soalan begitu. Mentang-mentanglah suami Kak Riana tu doktor.
Damia diam sejenak. Kenapa nak malu? Dia dah berjanji kan yang dia takkan malu dengan suaminya. Lagipun, Kak Riana tanya pasal pekerjaan Syafiq je. Bukannya tanya pasal hal dalam kelambu atau apa yang sensitif pun. Damia lalu senyum kelat.
"Suami saya tu kerja peniaga biasa je. Jual-jual sate kat tepi jalan."
Angguk dan angguk. Tak tahulah reaksi itu menunjukkan mereka yang lain mahu menghina atau tidak. Apa yang jadi selepas itu, mereka hanya sambung makan.
Damia tegangkan rahang. Lepas beritahu suami aku tu penjual sate, terus berubah ye mood korang? Tahulah orang bandar, tapi ingat aku peduli? Damia mengutuk dalam hati.
Geram! Biarlah orang lain nak pandang sebelah mata pun tentang pekerjaan suaminya, tapi dia sebagai isteri, dia tak pernah rasa malu pun dengan itu. Lagipun jual sate, duit masyuk apa.
"Wow! Sate. Akak suka sate. Nanti bila-bila, bolehlah akak beli kat suami Damia tu. Boleh, kan?" Kak Zetty menceriakan suasana.
Damia senyum juga dengan tingkah Kak Zetty itu. Terima kasih Kak Zetty sebab tak judge pekerjaan Syafiq tu.
Dan yang lain pun, tiba-tiba kalut mencanang sate tu makanan favourite dia orang.
Bersambung...
Damia dah dapat kerja. Harap rumah tangga dia dengan Syafiq tak goyahlah sebab tu...
Share this novel