Ana

Horror & Thriller Series 22056

Ana menggenggam cawan di tangannya dengan wajah pucat. Jika wajahnya ditoreh pisau, aku yakin darah tidak akan keluar daripada kulitnya.

"Maha dah mati. Aku akhirnya bebas." Ana merenung air kopi di dalam cawannya. Wajahnya seakan tidak percaya dan pada masa yang sama dia ketakutan. "Tiada siapa akan lindungi aku sekarang." Ana menelan liur.

"Kau akan selamat Ana, takkan ada apa apa akan jadi pada kau. Kau patut bersyukur yang kau dah bebas." Aku memeluk tubuh.

"Pengikut pengikut Maha akan balas dendam. Aku tak nak terlibat." Ana menggeleng kepalanya berkali kali. Air mata memenuhi kelopak mata.

"Kau akan selamat. Jangan risau." Aku mengulang lagi. Cuba meyakinkannya walaupun aku sendiri tidak rasa yakin tentang perkara itu.

"Mereka akan cari aku, dan aku juga perlu berlawan dengan pengikut pengikut Himawari. Aku tak mahu. Aku tak mahu berlawan dengan sesiapa pun, lagi lagi dengan kau. Aku tak mahu." Ana meletakkan kopi di atas meja dengan tangannya yang terketar-ketar lalu menggeleng kepala selaju mulutnya berkata kata.

"Ana, jangan risau. Kita akan okay." Aku menelan liur.

"Tak Una. Kita akan mati. Tak kira siapa pun yang menang, pihak Himawari atau pihak Maha, kita yang akan mati, Una! Kita akan mati." Ana menangis dengan sangat kuat.

Aku terdiam.

Aku menghampiri gadis lebih muda itu untuk menenangkannya dan saat itu dia menyambut tanganku dan visi dari fikirannya melulu masuk ke dalam mindaku.

Seorang gadis sedang duduk di atas buaian. Menolak dirinya sendiri laju laju dia atas buaian itu. Gadis itu ialah Ana. Cuma lebih muda.

Hari sudah menginjak senja kala itu namun angin yang laju membelai wajahnya membuatkan dia lupa. Lupa yang nenek selalu menyuruh dia pulang sebelum senja dahulu. Taman permainan itu keras, arwah nenek mengingatkan.

Ana yang masih kecil, yang hatinya hanya punya sangka baik dan kegembiraan tidak endah akan kata kata arwah neneknya itu.

Saat itu, tiba tiba buaian yang sedang terbuai dengan laju terhenti dan tubuh Ana jatuh ke tanah berumput di bawah.

Dia menoleh dan kelihatan seorang gadis berbaju putih. Matanya merah.

"Jomlah main dengan aku." Kata gadis sebayanya. Ana menelan liur. Gadis ini..tidak kelihatan seperti manusia yang lain.

Kakinya tidak memijak tanah dan matanya merah menyala. "Ana nak balik dah ni. Nanti ibu Ana marah." Ana memberitahu lantas bangun dan menyapu kotoran di belakangnya lalu berlari pulang ke rumah.

Dia menoleh ke belakang dan gadis pelik itu masih di situ. Merenungnya tanpa bergerak gerak. Ana berlari pulang ketakutan.

Ana ke sekolah keesokkan harinya. Dia duduk di mejanya dan tiada siap menegur. Ana seorang yang pemalu. Dia tiada rakan. Tiada siapa mahu berkawan dengannya.

Kadang kadang dia rasa sunyi tetapi dia tidak kisah. Dia sudah biasa sendirian. Bila waktu rehat datang, dia akan bermain seorang diri di pokok besar belakang sekolah.

Itu lebih menyeronokkan berbanding berkawan dengan mereka yang tidak memahaminya.

Matapelajaran matematik bermula selepas rehat dan seperti biasa Ana pasti akan tertidur ketika cikgu mengajar. Matematik ialah matapelajaran paling bosan dalam dunia, pada pendapatnya.

"Ana, pergi tandas. Basuh muka awak tu. Gred awak ni sangat rendah tau, saya tak nak awak ketinggalan lagi." Cikgu itu menepuk belakangnya.

Ana mencebik lalu bangun dari kerusi dan menuju ke tandas seorang diri. Dia pergi ke kubikel paling hujung. Dia mahu duduk di dalam tandas sehingga waktu matematik berakhir.

Tinggal 10 minit lagi.

Ana duduk di atas tandas duduk itu dan melihat kiri kanan. Dia lebih rela tidak berbuat apa apa daripada harus menjawab soalan matematik gurunya lagi. Tidak pasal pasal dia kena berdiri di atas kerusi lagi.

Dia membuka sepit rambut dan membelek belek objek kecik merah jambu itu dan pada waktu itu, sepit itu jatuh ke lantai.

Ana mencebik sebelum dia tunduk untuk mengambil sepit itu dan matanya tertancap ke tandas sebelah dari ruang bawah dinding kubikel. Kaki yang tidak menjejak tanah itu. Gadis semalam.

Ana terpaku tidak mampu bergerak. Gadis itu, gadis menyeramkan itu. Ikut dia sampai ke sekolah?

Ana berdiri perlahan lahan dan duduk semula dia atas tandas duduk itu senyap senyap. Menekup mulutnya dengan tangan supaya makhluk itu tidak dengar bunyi bernafas.

Ana mengigil, berharap akan ada yang datang mencarinya di tandas ini dan dia tersedar yang dia tiada kawan lansung. Tiada siapa akan mencari dia di sini.

Air mata memenuhi kelopak mata dan dia memeluk lutut dalam ketakutan. Wajahnya disembunyikan di balik pehanya.

Saat itu dia merasakan tubuhnya menjadi sejuk yang amat sangat. Dia mengangkat wajah dan dia terjerit sedikit.Di depannya terlihat rambut yang panjang masuk melalui bawah pintu.

Dia bangun berdiri di atas tandas duduk itu, tidak tahu mana lagi dia harus lari. Tangan masih ditekup ke mulut.

Rambut di atas lantai itu perlahan lahan seakan ditarik keluar dari situ. Ana tidak mampu bergerak. Dia siap sedia mahu lari daripada kubikel itu namun matanya tertancap ke sebelah kirinya.

Gadis itu sedang menjenguk dari kubikel sebelah. Yang kelihatan hanya matanya yang merah.

Ana menjerit sekuat hatinya dan melompat turun dari tandas itu dan berlari keluar. Apabila dia sampai, kelasnya sudah kosong. Dia tercungap cungap mencari buku untuk mata pelajaran seterusnya.

Bunyi ketukan kedengaran di cermin tingkap dan dia menoleh ke arah itu. Gadis itu sedang tersenyum ke arahnya. "Kesian kau kan? Kawan kawan pun tak ada. Mereka tinggalkan kau." Gadis itu tersenyum sampai ke telinga.

Ana terduduk di atas kerusinya lantas meletakkan kepala diatas meja dan menutup kedua dua belah telinganya. Masa berlalu sehinggalah kawan kawannya balik ke kelas. Hanya pada waktu itu dia berani untuk mengangkat kepalanya. Gadis itu ghaib.

Petang itu dia balik ke rumah seperti biasa, tiada siapa yang tahu apa jadi kepadanya tadi. Bukan kawan kawannya, bukan cikgunya, bukan ibu bapanya.

Hanya dia dan gadis itu sahaja tahu.

Keesokan harinya Ana demam panas. Ibu dan ayahnya terpaksa bekerja meninggalkan budak perempuan itu seorang diri di rumah. Ana terfikir yang ibu dan ayah mungkin tidak sayangkan dia tapi ustazah di sekolah selalu cakap ibu bapa akan tetap sayangkan anak mereka walau apa pun terjadi.

Ana rasa apa yang ustazah selalu katakan itu tidak benar tetapi dia diamkan sahaja.

Ana memeluk tubuhnya yang kesejukan di bawah selimut itu. Air dan ubat telah disediakan di atas meja dia sebelah katilnya tetapi Ana tidak suka makan ubat.

Ana hanya akan makan ubat kalau ibu dan ayah suapkan untuk dia. Jauh dalam sudut hati dia tahu ibu dan ayah terlalu sibuk untuk melayan karenahnya.

Tangannya meraba raba atas meja kerana dia tidak mahu keluar dari balutan selimut hangat di atas badannya. Saat itu tangannya terkena ubat di atas meja itu dan ia jatuh ke lantai.

Ana menjenguk ke bawah perlahan lahan.

Dan saat itu, dia nampak tangan panjang keluar dari bawah katil dan mengambil ubat tersebut. Matanya terbeliak. Liurnya ditelan.

Ada orang lain dalam biliknya. Ada orang lain di sini.

Ana bersandar ke dinding ketakutan. Telefon di sebelah bantal diambil dan dia mencari nombor telefon ibu dan ayahnya.

Masa berlalu dan yang kedengaran hanyalah khidmat pesanan suara. Ana ketakutan dan air matanya meluncur laju.

Saat itu sesuatu keluar dari bawah katilnya.

Gadis dari taman permainan semalam menjenguknya dari hujung katil. Yang kelihatan hanyalah matanya yang merah dan senyumannya yang sampai ke telinga.

Ana ingin menjerit namun tidak mampu. Ibarat mulutnya dikunci rapi."Kau nak ni?" Gadis dengan tangan panjang itu meletakkan ubat dia atas katil Ana.

"Taknak!" Ana menggeleng laju laju. Air mata membasahi pipinya yang merah. Jantungnya berdegup laju. Berdoa yang ibu dan ayah akan pulang lebih awal untuk selamatkan dia.

Makhluk tadi tidak bergerak dari hujung katil. Mata masih merenungnya tanpa bergerak. Ana menutup matanya rapat rapat dalam ketakutan.

Kadang kadang dia membuka matanya untuk memeriksa kalau kalau dia sudah pergi namun hampa. Gadis itu masih belum bergerak daripada situ.

Setelah dua jam, Ana mula rasa kepenatan tambahan pula dia sedang tidak sihat. Matanya mula layu dan dia terasa mengantuk.

Saat itu makhluk tadi merangkak naik ke atas katil dan duduk di atas perut Ana. Ana terjaga dan matanya terbeliak. Dia ingin menjerit namun tidak mampu.

Gadis itu tersenyum menunjukkan gigi taringnya.

Ana sesak nafas dan air mata mengalir semula. "Kesian kau kan? Ibu dan ayah kau tak kisah pasal kau pun." Dia membisik ke dalam telinga Ana.

Semakin kuat Ana menangis. "Kau pun tak ada kawan kawan. Kau sombong. Aku nak tengok sampai bila kau boleh sombong." Makhluk itu berbisik dengan kasar.

"Kalau aku bunuh kau pun.. Tiada siapa akan kisah. Kalau kau bunuh diri pun, tiada siapa kisah." Gadis itu berbisik lagi dan ketawa sekuat hatinya dia telinga Ana. Jantung Ana seakan berhenti berdegup.

Apa yang makhluk ini beritahu kepadanya benar benar betul. Mungkin kerana itu Ana sudah tidak endah akan dia lagi.

Ana menangis dan menangis sehingga dia tertidur. Ibu dan ayah sampai pukul 8 malam itu dan mereka merasa lega melihat anak perempuan mereka sedang tidur nyenyak di atas katilnya tanpa mereka tahu kata kata gadis itu akan menghantui fikirannya sehingga dia menginjak dewasa.

Aku tersentak dan merenung ke dalam mata Ana yang sedang menangis. Simpati mula merasuki jiwa dan aku sedar kenapa dia mahu bunuh diri sebelum dia bertemu Maha.

Fikiran aku tersentak apabila Ana membuka mulutnya semula.

"Kau tahu kenapa aku suruh kau berhati hati dengan Khalil?" Ana merenung tepat ke mata aku. Aku menggeleng.

"Sebab dia pengikut Maha paling setia. Dia akan buat apa saja untuk Maha. Bunuh kau pun dia akan buat."

Aku terdiam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience