BAB 7

Romance Completed 3555

“Rudy jangan bimbang pasal Aish tu. Tak ke mana rajuknya tu. Tahulah macam mana makcik nak buat nanti. Percayalah cakap makcik. Rudy buatlah kerjanya dulu.”

“Baiklah makcik. Terima kasih sekali lagi.”

Carl Rudyanshah meninggalkan Mak Zaitun di ruang tamu. Dalam hatinya tetap tertinggal seberkas ingatan buat tunangannya, Aishah Amalina. Dia benar-benar tidak menyangka, sehelai tudung yang dihadiahkan kepada Aishah Amalina semasa keluar makan tengahari tadi menjadi punca salah faham itu. Langkah kakinya terhenti sebentar. Wajahnya kembali berpaling menghadap ke arah Mak Ara. Sehelai selendang berwarna ungu dikeluarkan dari kocek seluarnya lalu dihulurkan kepada wanita itu.

DERINGAN telefon bimbit Aishah Amalina berbunyi lagi. Sudah hampir sepuluh kali telefon itu berbunyi namun tidak diangkatnya. Dia terus melayan saluran demi saluran televisyen berbayar. Alat kawalan jauh ditekan beberapa kali. Saluran televisyen bertukar bersilih ganti. Seketika deringan telefon bimbitnya berhenti.

“Ermm… baru aman telinga aku! Memekak aje!”

Mak Zaitun yang melintas hampir dengan ruang tamu itu sempat menegurnya.

“Kenapa tak diangkat telefon tu?”

“Malas! Biar padan dengan muka dia!”

“Hissy… tak habis-habis lagi ke rajuknya? Sudah-sudahlah tu Aish. Tak baik buat macam tu. Kesian mak tengok Rudy tu.”

“Yang mak nak sebelahkan dia buat apa? Mak pun sama macam abang Rudy!”

“Aish … jangan samakan mak dengan Rudy tau? Mak tetap mak dan Rudy tetap Rudy! Kau aje yang tak pandai nak bezakan antara batu dengan permata! Cukuplah buat kerja yang tak ada hasilnya tu!”

Aishah Amalina meradang apabila ibunya tetap menyebelahkan Kharuldin Fiqrie dalam hal itu. Dicampakkan alat kawalan jauh di sofa berhampiran. Kalau dicampakkan ke lantai sudah pasti alat kawalan jauh itu hancur berderai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience