8 Ada Renjatan Elektrik

Family Series 57531

“Ya Allah, Mirul! Kau nak buat apa hah?! Kau turun sekarang, sekarang saya kata!!!”

Macam orang gila Deila terjerit-jerit di bawah jambatan, mendongak ke langit memandang Amirul yang sedang berdiri di pemegang jambatan yang hanya sebesar lengan seorang lelaki dewasa.

“Kau dah gila ke Mirul?!!!” Deila memekik lagi sekuat hati, sampai keluar urat besar di tengkuk.

“Saya sudah tiada matlamat hidup. Semuanya musnah! Untuk apa saya hidup lagi, Del? Lebih baik saya mati saja!”

“Kau dah kenapa, Mirul?! Semalam okay je tiba-tiba hari ni macam kerasukan hantu jembalang! Apa pun masalah, boleh bawa bincang Mirul. Jangan buat macam ni. Kau tak sayangkan keluarga kau ke? Tak fikir perasaan mereka kalau kau buat macam ni?! Tolonglah Mirul, turun sekarang dan kita boleh bincang bersama-sama masalah kau. Otak saya ni dahlah tengah berserabut. Kau jangan buat hal sekarang boleh tak?!”

Deila sempat kesat air mata. Ya, dia juga tengah tertekan! Tapi taklah sampai mahu bertindak drastik macam yang Amirul buat. Itu pendek akal namanya!

“Saya tak dapat terima, Del!”

“Tak dapat terima apa, Mirul? Kau dipaksa kahwin ke?!”

“Tak! Saya tak dapat terima yang kau nak kahwin dengan lelaki bandar tu! Kau tipu saya, Del! Kau kata itu saudara opah. Alih-alih lelaki itu datang mahu meminang kau!”

Ya Allah, itu ke sebab Amirul bertindak gila macam tu? Sempat lagi Deila terlopong.

“Itu kata opah, Mirul! Kau tahu kan opah tu perangai dia macam mana? Saya hampir gila nak hadap orang kampung sekarang, Mirul! Malu saya tau tak? Tak tahu dekat mana nak sorok dah mula lawa ni!” Berkaca mata saat Deila menuturkan kata-kata itu.

Nak mengamuk? Pada siapa? Orang kampung yang pastinya dah sebarkan berita palsu itu ke seluruh kampung termasuk kampung berdekatan? Bukan salah mereka. Takkan dedaun pokok bergoyang sekiranya angin tak bertiup. Habis tu, dia nak salahkan opah? Memang salah opah. Tapi, dia tak sanggup nak marah orang tua tu.

“Mirul… hidup saya dah musnah… huuu.. uhhh… huwaaa!”

Tangisan Deila pecah bila dia sudah tidak mampu mengawal rasa sebak yang menghurung jiwa. Dia kecewa, dia marah! Masalahnya, dia tak tahu nak lepaskan kepada siapa! Akhirnya, Deila hanya mampu menangis. Mungkin dia akan rasa lebih lega selepas itu. Deila duduk mencangkung sambil menutup wajah dengan kedua-dua tapak tangan.

Persetan dengan Amirul! Dia nak terjun ke nak buat apa ke Deila sudah tak kisah. Masalah dia sendiri pun hampir tak tertanggung. Dia perlu tenangkan diri sendiri dahulu.

“Del! Yang kau nangis apasal? Kau tak patut nangis! Kau buat saya nak menangis juga!” Terkejut Deila bila suara Amirul terasa begitu hampir hingga menusuk gegendang telinga. Pantas Deila melarikan tangan dari wajahnya. Tersembul wajah tampan Amirul dengan mata merah sembab di hadapan Deila.

“Kau tak patut nangis, Del!” Ulang Amirul lagi dengan suara meninggi. Deila pandang dengan mata berkaca. Bibir dikemam erat. Cuba tahan diri dari menangis bila lihat wajah Amirul terbiut-biut, seolah mahu menangis.

“Mirul… lepas ni saya pasti jadi bahan jenaka orang kampung! Mana saya nak letak muka, Mirul?!”

“Kau nak kahwin kan?”

“Tak, Mirul! Itu kata opah! Lelaki tu bukan datang nak pinang saya. Dia cuma mahu cari seseorang lepas tu dia blahlah!”

“Jadi… berita tu palsu?”

“Semua tu tak benar, Mirul!”

“Uwaaa…”

Hampir serentak Deila dan Amirul meraung. Duduk bertentangan dan dahi hampir berlaga. Amirul yang menangis kerana rasa lega bila dapat tahu yang berita itu tak benar dan Deila yang kecewa dengan tersebarnya berita palsu itu. Sama-sama menangis, melepaskan yang terbuku di hati.

“Kau nak ke mana?” Terkejut Amirul bila Deila tiba-tiba bingkas bangun dan berdiri setegak askar ketika menyanyikan lagu kebangsaan.

“Mirul, kau tolong jaga kedai sekejap. Saya nak cari opah dan perbetulkan semua khabar angin tu sebelum ianya merebak teruk!” Ujar Deila sambil mengesat hingga kering sisa air mata di pipi.

“Saya nak ikut!”

“Tak boleh. Kau pergi jaga kedai! Saya tinggalkan kedai dan suruh budak Isam tu jaga tadi.”

Akur, Amirul bingkas berdiri. Wajah yang masih basah diraup sebelum menoleh, memandang Deila.

“Kawal perasaan kau okay? Opah dah tua!” Sempat lagi Amirul titipkan pesan sebelum bergegas pergi.

Deila hanya angguk. Mereka berpisah kerana arah tuju yang berbeza. Deila segera mendapatkan kereta kancilnya yang dia parkir di bahu jalan. Satu persatu rumah orang kampung diterjah untuk mencari keberadaan opah.

“Oh, tadi pak cik ada berpapasan dengan opah kau. Mereka dalam perjalanan balik. Tadi mereka sedang berjalan dekat bendang.” Selepas mengucapkan terima kasih, Deila terus memandu pergi.

Oleh kerana laluan ke bendang hanya basikal dan motosikal boleh masuk, Deila memarkir kereta di bahu jalan lalu bergegas keluar. Setiap manusia yang dia jumpa pasti akan ditanya. Akhirnya, dari kejauhan dia melihat opah sedang bersenang lenang dipikul oleh Rhett di belakang. Terjegil mata Deila memandang. Opah ni kan! Deila berlari anak menghampiri dua manusia itu.

“Hoi!!!” Deila menjerit sekuat hati. Rhett yang sudah lencun dek peluh pantas menoleh. Kenal benar dia dengan pemilik suara bernada kasar itu.

“Opah… kenapa susahkan orang macam ni?” Rungut Deila sambil memandang opah dengan tatapan kurang senang. Opah tersengih lebar. Senang betul hari orang tua tu.

“Opah dah tak larat nak jalan jauh. Apa salahnya Rhett dukung opah? Rhett masih muda, tenaga dia masih kuat. Takde masalah setakat dukung opah yang cekeding ni. Kan, Rhett?”

“Eya, opah. Saya okay je.” Rhett jawab sambil menurunkan opah dari belakangnya. Wajah yang basah dipenuhi peluh dikesat laju.

Deila menghunus tatapan berapi ke wajah Rhett. Terasa ada aura merbahaya, Rhett undur setapak.

“Kau bersama opah sepanjang hari kan?” Huish! Meremang bulu tengkuk dengar suara dingin Deila. Rhett angguk. Risau mahu menjawab bila lihat wajah tegang minah kepoh itu. Rhett merenung wajah Deila sesaat. Rasa hairan terbit. Macam baru habis menangis. Kenapa?

“Kalau kau bersama opah, kenapa kau biarkan je opah mencarut depan orang kampung hah?!” Berdengung corong telinga bila Deila menjerit sampai terkucil suara.

“Kau cakap apa ni? Saya tak faham.”

“Kenapa kau biarkan opah cakap dekat orang kampung yang saya nak kahwin dengan kau hah?!!!” Dan terkucil lagi di penghujung jeritan. Rhett mengerut dahi. Sakit telinga cuba ditahan. Hanya opah yang menjauhkan diri sambil tutup dua-dua lubang telinga dengan jari telunjuk.

“Tak, bukan macam tu. Opah cuma kata…”

“Kau biarkan opah cakap yang bukan-bukan! Semua ini salah kau!!!” Terkejut gila Rhett bila Deila meluru ke arahnya sambil menghunus buku lima. Tak tunggu lama, Rhett lari lintang pukang menjauhi Deila.

“Kau nak ke mana?! Berhenti! Berhenti saya kata! Saya akan ajar kau cukup-cukup!!!”

Tak peduli dengan orang-orang kampung yang tengah sibuk di bendang kini sudah berdiri tegak dan ternganga memandang mereka berdua. Lepas ni pasti kecoh satu kampung. Deila dah tak kisah. Dia memang tengah hot sekarang. Sana sini orang mengata!

“Kau dah salah faham, Del! Opah tak kata kita nak kahwin!” Rhett cuba menerangkan sambil berlari. Laju pula minah kepoh tu mengejar di belakang. Dahlah dia letih mendukung opah tadi, ni kena kerah tenaga berlari pulak. Mampuslah dia!

“Salah faham kau kata? Orang kampung dah sibuk mengata! Mana saya nak letak muka hah?! Kau okaylah, lepas ni kau blah tak muncul-muncul di sini lagi. Tapi saya?! Seumur hidup saya dikutuk, kau faham tak?! Hidup saya dah musnah kerana kau!!! Arghhh!!!”

Deila melajukan larian. Sungguh-sungguh dia mahu kerjakan Rhett. Larian Rhett pula semakin lemah kerana dia benar-benar sudah letih. Dahlah semalaman dia membuat biskut jejari, hari ini dia kerah pula banyak tenaga.

“Mampus kau!!!” Tiba-tiba Deila sudah berada di belakang dan melompat ke arah Rhett. Terkedu Rhett memandang dengan wajah pasrah. Deila memaut tengkuk Rhett dari belakang. Rhett hilang keseimbangan tubuh lalu mereka jatuh tergolek hingga tubuh tenggelam di dalam lumpur bendang.

Rhett yang jatuh menindih tubuh Deila cuba bangun bila sedar kedudukan mereka. Tetapi Deila meronta sambil tangan kaki rancak menyerang seluruh tubuh Rhett. Berkerut-kerut wajah tampan dipenuhi lumpur itu menahan kesakitan. Lengan yang cuba ditopang di atas lumpur tergelincir. Rhett rebah semula dan wajahnya jatuh menghimpit wajah Deila.

Pergerakan Deila mendadak mati. Seluruh tubuh tiba-tiba mengejung. Hanya bebola mata bergerak menentang sepasang mata Rhett yang turut memandangnya dengan biji mata terbeliak. Dahi bertemu dahi, hidung bertemu hidung dan bibir…

“Cucu aku!” Terdengar jeritan panik opah.

“Semua selamat opah. Deorang tengah berdamai tu!” Satu suara menyampuk diselangi tawa mengekek.

Seperti terkena renjatan elektrik, Rhett dengan pantas menarik wajahnya menjauhi Deila.

“M… maaf!” Deila menjeling bila dengar Rhett meminta maaf. Laju lengan dinaikkan lalu Deila kesat kasar bibirnya. Rhett kemam bibir sambil melepaskan deheman kekok.

“Ya Allah, cucu opah, bakal cucu opah! Kamu berdua tak cedera ke?”

Opah!!! Rasa mahu saja Deila meraung dengar bicara opah. Bakal cucu opah? Jangan macam tu opah, Del malu!

Terkial-kial Deila cuba bangun. Lumpur becak dan licin itu menyukarkan pergerakan. Tiba-tiba Rhett menghulur tangan. Rhett sudah pun berjaya bangun. Perlahan, Deila menyambut huluran tangan Rhett. Dengan mudah, Rhett menarik Deila keluar dari bendang.

“Jadilah ni kan opah! Bila majlis tu?” Deila dengar dengan jelas suara orang kampung berbual dengan opah di tepi bendang.

“Tengoklah nanti. Kena tanya dua orang tu. Opah ni ikut je.” Jawapan opah buat Deila semakin rasa mahu menangis! Mengapa jawab macam tu opah oi?!

“Opah, kita balik. Kereta Del ada di hujung simpang tu je.” Deila meluru lalu menarik opah menjauhi orang-orang kampung.

“Opah… kenapa opah kata Del nak kahwin? Tak baik opah. Del dengan Rhett tak kenal sangat pun.” Deila cuba menegur ketika mereka dalam perjalanan balik ke rumah. Rhett yang duduk di sebelah Deila yang tengah memandu hanya mengerling. Opah di belakang buat tak dengar dan pura-pura menutup mata.

“Opah tahu kan yang Rhett bukan selamanya ada dengan kita? Selesai urusan, Rhett akan balik ke tempat asalnya. Mengapa opah kata macam tu dekat orang kampung? Macam mana dengan Del nanti? Pasti teruk Del kena kutuk nanti.” Deila gigit bibir bawah bila lihat opah langsung tak beri reaksi. Masih buat-buat tidur. Dia tahu opah dengar. Cuma tak nak mengaku yang opah dah buat silap.

“Lepas ni, Del akan jadi bahan lawak orang kampung. Itu yang opah nak kan? Del akan dikata anak dara tak laku, tergila-gila lelaki bandar yang tak sudi, berangan-angan nak kahwin dengan lelaki bandar… macam-macam! Dah tak ada orang yang nak masuk meminang Del, itu yang opah nak kan? Takpelah, biar Del jadi anak dara tua je sampai meninggal.” Deila mengesat air mata. Tak dia kisah pada lelaki di sebelah. Rhett apa tahu? Lelaki itu cuma singgah sebentar. Yang menanggung semuanya adalah dia!

Melihat kebisuan opah, Deila mengunci mulut. Sia-sia mahu berbincang dengan opah. Biarlah dia tanggung je semuanya.

Selepas makan malam, Deila tidak terus masuk ke dalam bilik opah. Dia masih kecewa dengan sikap opah. Malah, mereka berdua langsung tak berbual semasa makan malam tadi. Hanya Rhett yang menghidupkan suasana. Deila hilang mood. Risau kalau dia buka mulut, dia akan termarah opah dengan tak sengaja. Jadi lebih baik dia diam sahaja.

Deila duduk di pangkin depan rumah tempat opah dan nenek Jiah selalu lepak minum kopi. Suasana malam itu tenang. Angin sepoi-sepoi bahasa sekali sekala menerpa kulit. Deila mendongak memandang bulan yang sedang bersinar terang. Alangkah indahnya ciptaan Yang Maha Esa.

“Hai, boleh join? Saya bawakan air kopi!” Laju kepala Deila terpusing. Rhett berdiri tidak jauh dari tempat dia duduk sambil memegang dua cawan yang mengeluarkan asap tipis.

“Kau reti buat kopi?” Tanya Deila dengan kening hampir bersambung.

“Ada 3 in 1 dalam balang. Saya cuma tuang air panas je.” Balas Rhett lalu melabuh punggung di sebelah Deila. Secawan air dihulur ke arah Deila.

“So… kau okay tak?” Deila kembali memaku pandangan ke seraut wajah tampan Rhett. Tetiba jadi baik dah kenapa?

“Perkara ni takkan buat saya mati cepat.” Rhett ketawa pendek mendengar jawapan sarkastik Deila.

“Kau nampak kecewa tadi bila kau cakap tentang pandangan orang kampung terhadap kau lepas saya pergi.”

“Betullah tu, penduduk di kampung ni memang macam tu. Unless kau betul-betul nak kahwin dengan saya!”

Air kopi yang baru mahu dihirup tersembur keluar dari mulut Rhett.

“Uhuks! Aduh, panas!” Cawan terlepas dari tangan lalu bergolek jatuh di tanah. Rhet bingkas berdiri dan terlompat-lompat menahan rasa pedih disimbah air kopi. Deila memandang sambil menggeleng.

“Clumsy betul kau ni kan? Tunggu sekejap.” Deila berlalu dan masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian, Deila muncul membawa tuala kecil dan sebotol ubat. Punggung kembali dilabuhkan dia atas pangkin. Rhett hanya memandang sambil mengibas-ngibas bajunya yang sudah basah di bahagian depan.

“Duduklah, nah ambil tuala ni dan keringkan badan kau tu. Ni ubat. Sapu pada bahagian kulit yang terkena air panas tadi.” Rhett akur dan kembali duduk di sebelah Deila.

Melihat Rhett terkulat-kulat mahu menyapu ubat, Deila menggeleng lagi.

“Rasanya lebih baik kau buka baju kau tu dulu. Lagi pun dah basah tu, nanti kau sakit. Lepas tu baru senang kau nak sapu ubat tu.” Rhett patuh dan melakukan seperti yang Deila suruh. Masih terkial-kial mahu sapu ubat. Nampak sungguh lelaki itu tak pernah buat perkara itu sebelum ini.

“Nak saya tolong ke?” Pelawa Deila bila lihat Rhett mengalami kesukaran. Laju Rhett mengangguk lalu dia hulur botol ubat kepada Deila.

Deila merapat ke tubuh Rhett supaya lebih mudah dia lihat bahagian tubuh Rhett yang melecur. Rhett menarik nafas dalam-dalam lalu mendongak, memandang ke atas. Berdentam-dentum dada saat jemari Deila mengelus lembut kulit di bahagian dada dan perutnya. Asal lain macam perasaan dia saat itu? Air ludah ditelan berdas-das.

“Dah siap. Masih sakit tak?” Tak semena-mena, Deila mendongak untuk memandang Rhett. Dengan wajah berjarak hanya beberapa inci, Rhett terus tergamam. Saat pandangan mereka bertaut, terasa ada arus elektrik merenjat seluruh tubuh hingga buat keduanya terkejung beberapa saat.

Bebola mata Rhett jatuh merenung dua ulas bibir merah merekah Deila.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience