BAB 10

Romantic Comedy Completed 6484

HARI BERIKUTNYA…

Pagi ini sewaktu Wijdan dan Firhan keluar untuk bersarapan, mereka perasan ada sebuah kereta terparkir di rumah sewa Qatrunnada. Seingat mereka sebelum ini tidak ada kereta yang pernah diparkirkan di laman rumah sewa tersebut. Pulang dari bersarapan pagi pula mereka terus mula mencuci kereta. Wijdan dan Firhan masing-masing mengambil peluang cuti hari Ahad ini untuk mencuci kereta yang sudah kelihatan kotor. Wijdan pelik dengan sikap Firhan yang sejak semalam menjadi seorang yang pendiam. Sepatah yang ditanya, sepatah jugalah yang dijawab. Walaupun bukan sepanjang masa mereka bertelagah berkaitan Qatrunnada tetapi selalunya Firhan akan riuh berbual. Firhan juga langsung tidak menceritakan apa yang berlaku antara dia dan Qatrunnada semalam. Puas sudah Wijdan menyoal siasat Firhan tetapi tiada satu pun jawapan yang memuaskan hati keluar dari mulut Firhan.

Sedang asyik Wijdan dan Firhan mencuci kereta, tiba-tiba mereka terdengar bunyi pintu rumah sewa Qatrunnada dikuak dari dalam. Serentak dengan itu pandangan mata dihalakan ke arah pintu rumah tersebut. Kelihatan Qatrunnada keluar dari rumah dengan senyuman yang mekar menghiasi bibir. Wijdan turut tersenyum melihat Qatrunnada yang senyum selebar itu. Rasa-rasanya itulah pertama sekali dia melihat Qatrunnada tersenyum lebar walaupun senyuman itu bukanlah ditujukan buat dirinya. Tidak seperti sebelum ini, Firhan langsung tidak mengukir senyuman tatkala memandang Qatrunnada. Segera pandangan dia alih semula ke keretanya. Hanya Wijdan yang masih setia memerhatikan Qatrunnada.

“Na.. Na.. Nada…” walaupun tidak kuat Wijdan bersuara tetapi cukup untuk Firhan dengar suaranya itu. Firhan angkat muka dan memandang ke arah rumah sebelah dan terbeliak matanya tatkala terpandang seorang lelaki yang turut keluar dari rumah tersebut selepas Qatrunnada.

Nada buat apa dengan lelaki tu dalam rumah berdua aje? Abang kandung dia kut. Takkanlah Nada nak buat benda tak senonoh. Wijdan berbicara di dalam hati. Namun, lain pula yang terbit di dalam hati Firhan. Ya Allah, Nada! Terang benderang macam ni pun bawa masuk lelaki dalam rumah? Tak reti malu ke? Kalau dah tak malu sangat dengan manusia, malulah dengan Allah. Okay, literally mereka tengah keluar dari rumah tapi mestilah lelaki tu masuk dalam rumah tu malam tadi ke kan. Patutlah tiba-tiba ada kereta kat sebelah.

Menyedari yang jiran sebelah rumahnya itu sedang membasuh kereta, Qatrunnada menarik lengan lelaki yang berada di belakangnya sebentar tadi untuk menghampiri pagar hijau yang memisahkan rumah mereka. Melihat Qatrunnada dan lelaki asing itu berdiri berdekatan pagar, Wijdan serta Firhan segera membasuh tangan mereka dan bergerak menghampiri pagar yang sama.

“Assalaamu`alaikum.” Lelaki yang berdiri di sebelah Qatrunnada memberi salam.

“Wa`alaikumussalam.” Wijdan serta Firhan menjawab salam hampir serentak.

“Fir, Jay, Salam.” Ujar Qatrunnada. Wijdan dan Firhan bersalam dengan lelaki yang cukup asing pada mereka itu. Lelaki itu tersenyum lebar semasa bersalam dengan Wijdan dan Firhan.

“Saya Salam. Maaf hari ni baru saya dapat perkenalkan diri, sebenarnya saya suami Nada.” Ujar Salam menerangkan keadaan sebenar supaya jiran yang baru dikenalinya itu tidak salah faham.

Oh, nama dia Salam. Aku ingatkan Nada suruh salam dia tadi. Wait a second! Suami??? For serious? Bila Nada nikah ni? Aku tak tahu pun. Wijdan bermonolog sendiri.

Suami? Haha! Suamilah sangat. Baru semalam kau tahu kau mengandung tiba-tiba hari ni kau dah ada suami ya Nada? Usia kandungan kau tu dah sembilan minggu tahu tak? Jay bolehlah kau nak tipu sebab dia tak tahu perkara sebenar.

“Suami?” Wijdan bertanya untuk kepastian sekali lagi. Manalah tahu sebentar tadi telinganya mengalami masalah pendengaran untuk beberapa saat.

“Yup, suami. Kami nikah kecil-kecil aje dulu kemudian tunggu Nada habis belajar baru buat reception. Insya Allah lagi dua minggu reception kami. Jemputlah datang. Sayang, kad jemputan belum bagi lagikan? Sayang bawa?” Salam menjawab pertanyaan Wijdan dan setelah itu dia memandang Qatrunnada pula bertanya akan kad jemputan untuk majlis resepsi mereka.

“Belum bagi lagilah bang, kan abang baru bawa sekali malam tadi. Kejap, Nada ada bawa lebih dalam beg ni.” Qatrunnada menjawab pertanyaan si suami dan dia mencapai kad jemputan untuk majlis resepsi mereka yang berada di dalam beg yang disandangnya pada bahu kanan. Kad jemputan dikeluarkan dan diserahkan kepada Wijdan dan Firhan.

“Fir, Jay, jemput datang kenduri kami ya. Jemputlah sekali housemates korang.” Qatrunnada menjemput mereka berdua serta seluruh penghuni rumah sebelah itu untuk hadir.

Wijdan antara percaya dan tidak hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Firhan yang pada mulanya tidak percaya yang mereka berdua sudah berkahwin sedikit sebanyak mula mempercayainya.

“Datang ya. Dan doa-doakanlah rumahtangga kami berkekalan sampai syurga.” Kata Salam.

“Insya Allah.” Jawab Wijdan dan Firhan hampir serentak.

“Nak pergi mana ni?” tanya Wijdan.

“Nak keluar beli barang sikit. Lepas tu nak pergi menjemput kawan-kawan Nada yang sama-sama belajar dulu. Firhan, terima kasih tolong hantar isteri saya ke klinik semalam. Alangkah bahagianya kalau saya ada dekat situ waktu doktor beritahu berita gembira tu.” Salam berterima kasih kepada Firhan. Dia turut memegang tangan Qatrunnada sambil memandang si isteri dengan penuh kasih sayang. Qatrunnada sudah tersenyum malu.

“It’s okay Salam. Small matter aje tu. Eh kau orang nak keluar kan, nanti lambat pula.” Ujar Firhan. Yang sebenarnya dia sudah tidak sanggup untuk berhadapan dengan Salam dan Qatrunnada.

“Haah. Okey, kitorang gerak dulu ya. Assalaamu`alaikum.” Ujar Salam.

“Wa`alaikumussalam.” Jawab Wijdan dan Firhan serentak. Wijdan, Firhan dan Salam bersalaman lalu Salam dan Qatrunnada bergerak ke arah kereta.

Batrisyia yang baru keluar dari rumah kerana ingin menjemur pakaian ternampak Qatrunnada yang baru berhajat untuk membuka pintu kereta.

“Nada! Dah sihat?” dengan ceria Batrisyia menegur Qatrunnada. Qatrunnada yang baru perasan akan Batrisyia membatalkan niat untuk membuka pintu kereta.

“Abang, sini kejap, kenal dengan Kak Risya.” Qatrunnada memanggil Salam sewaktu dia berjalan menghampiri pagar yang memisahkan rumah mereka.

“Alhamdulillah, hari ni Nada rasa okey aje kak.” Jawab Qatrunnada. Ketika itu Salam baru sahaja sampai di sebelahnya.

“Oh, inilah cik abang Nada ya. Memanglah sihat dah ada cik abang kat sini. Salam kan. Bila sampai?” tanya Batrisyia kepada Salam dengan ramah.

“Malam tadi sampai. Risau Nada beritahu yang dia pengsan masa nak pergi klinik itu yang saya terus gerak. Alhamdulillah, nak dapat orang baru rupanya. Terima kasih banyak-banyak kak sebab tolong Nada masa dia pengsan semalam. Tak terbalas saya budi akak.” Ujar Salam panjang-lebar.

“Bukan apa sangat pun Salam. Jiran tetangga kenalah tolong-menolong. Lepas ni kau orang berdua terus menyewa kat sini ke pindah rumah?” tanya Batrisyia.

“Insya Allah terus menyewa kat sini Kak Risya. Abang Salam pun dah kena tukar ke HQ. tak jauh sangat rumah ni ke office.” Jawab Qatrunnada bersama senyuman yang ceria. Batrisyia yang melihatnya turut sama tersenyum.

“Baguslah tu. Tak payah nak duduk berjauhan dah. Ni Nada tengah pregnant lagilah perlukan Salam dekat dengan dia.” Ujar Batrisyia. Qatrunnada dan Salam sudah memandang satu sama lain dan tersenyum.

“Sorrylah akak melambatkan date kamu pula. Nanti jemputlah datang rumah ya Nada, Salam. Boleh kita berbual panjang.”

“Insya Allah.” Jawab Qatrunnada dan Salam serentak. Setelah memberi salam kepada Batrisyia, mereka berdua meneruskan niat asal untuk keluar.

Apabila sudah jauh kereta Salam meninggalkan kawasan rumah, Firhan berteriak dari jauh ke arah Batrisyia yang sedang menjemur pakaian.

“Kak Risya, dah lama ke akak tahu Nada dah kahwin?” tanya Firhan. Wijdan hanya diam menanti jawapan dari mulut Batrisyia.

“Lama dah. Dia nikah masa cuti sem sebelum buka sem baru. Bila buka sem baru dia dah final sem itu yang nak buat resepsi lepas Nada habis belajar. Kawan-kawan dia semua tahu cuma dekat kejiranan ni akak ajelah yang tahu. Kenapa?” tanya Batrisyia.

“Takde apa-apalah kak. Saja tanya. Padan kan mereka berdua tu?” Jawab Firhan.

“Haah. Padan sangat. Seronok akak tengok mereka berdua.” Jawab Batrisyia ikhlas. Firhan dan Wijdan hanya mampu untuk tersenyum tawar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience