BAB 2

Drama Completed 460

MALAM ni Aina akad nikah. Esoknya kenduri. Aku baru merancang, lusa tu
aku nak fly terus ke Jerman. Kat sana ada satu kenangan. Kenangan
aku dengan seseorang lelaki yang minat dia sama dengan aku. Terjumpa
kerana Ayie dan isteri dia. Tapi, setakat berjumpa, senyum dan terus
ikut haluan masing-masing. Itu kisah lalu tapi tak tahu kenapa rasa
nak ulang kembali waktu tu. Nak sediakan soalan banyak-banyak untuk aku
soal dia. Tapi itulah... masa berlalu tak kembali lagi.
“Baiki tudung senget tu...” Teguran mama membawa aku kembali ke realiti.
Kipas pulak terus pada aku dan mama. Habislah terbang selendang. Masa
ni barulah telinga aku tersapa dengan ucapan akad dan qabul antara papa
dan suami Aina. Rasa sebu lah pulak bila dah sah. Aina menitiskan
airmata. Touching terlebihla dia. Sebab tu aku kata, perkahwinan ni
akan mengubah orang. Aina pun salah seorang yang berubah tapi aku tak
nak. Aku suka diri aku sekarang. Apa masalahnya?
“Alhamdulillah...” Mama peluk Aina dan mengucapkan syukur.
Masing-masing pun mengalirkan airmata. Apalah...
“Tahniah wei... gilalah kau!” Tersasul pulak kata-kata macam tu
tengah-tengah orang ramai ni.
Mama dah jeling. Papa dah redupkan pandangan. Aku pulak tunduk
buat-buat peluk Aina dengan muka... err terharu. Kononnya. Tinggal nak
titiskan airmata je lagi tapi tak mampu.
“Wei... malu ah nangis...” Aku tolak bahu Aina dan memang dia menangis.
Waktu ni suami dia datang. Encik Saaif ni dah lama jugak aku kenal
melalui gambar dan emel-emel dia. Tapi, baru kali ni kot berpeluang
pandang dia dekat-dekat. Okeylah nak dipadankan dengan Aina.
Aina duduk di depan aku dan mama. Bila Isa hulur tangan, dia pegang
tangan suami dia. Wow... the most romantic part tonight bila Isa
sarungkan cincin emas putih bermata satu tu pada jari manis Aina.
Jangan kata sebentuk cincin, rantai leher, gelang dan juga rantai kaki
dia bagi pada Aina ni. Habib pulak tu.
Aku geleng kagum. Kalau aku kahwin nanti, cukuplah bagi Canon DSLR
keluaran terbaru siap dengan lense dia je. Yang boleh zoom sampai
100 kali tu. Aku akan menangis terharu nanti.
“Alhamdulillah... semua dah selesai.” Papa bersuara.
Dia senyum bahagia dan bangga. Sorang lagi anak dia selamat diserahkan
pada orang untuk dipertanggungjawabkan. Papa pandang aku.
“Sorang lagi anak saya dah selamat. Sebelum kita makan, ada satu lagi
majlis kecil-kecil. Sebagai memenuhi permintaan pihak lelaki...”
Aku baru nak angkat kamera menghala papa Aina dan Isa yang indah duduk
bersama. Tapi tak sama rendah sebab Aina ni pendeknya nak dibandingkan
dengan Isa . Apa pulak kejutan papa ni.
Mama jeling aku dan senyum. Tangan mama mendarat pada peha aku yang
sedari tadi melutut, mencari posisi terbaik sebagai jurukamera percuma
pada Aina.
“Silalah, bang...”
Berkerut dahi aku. Hadiran yang berapa kerat je ni dah bercakap-cakap
sesama sendiri. Eh, papa ni janganlah dia buat gimik. Tengok, orang
dah berbisik dah.
“Papa ni kenapa pulak, ma?”
Mama senyum. “Kejora tunggu jelah...”
Nak tak nak aku tunggu jelah. Aina kembali mengesot dekat dengan aku.
Isa mengesot ke tepi tangga. Dekat dengan keluarga dia. Tiba-tiba,
seorang lelaki yang aku kira tua sikit daripada papa masuk ke ruang
tengah. Diikut oleh seorang perempuan yang ayu dan lembut, turut sama
duduk di tengah.
“Ini niat kami...” Yang perempuan tu hulurkan sesuatu pada papa. Tepak
sirih? Buat apa?
Perempuan tu senyum pada kami semua. Pada aku kot? Aku pandang mama.
Perempuan tu bangkit dan menapak perlahan pada kami. Aina dah sengih
jahat. Mama hanya senyum menyambut tetamu. Aku masih pegang kamera aku
kemas. Jatuh nanti, sia-sia je.
“Boleh dah ke?”
Mama angguk bila wanita tu bertanya. Aina tarik kamera daripada tangan
aku dan dia hulurkan pada Isa .
“Abang tangkap gambar eh?”
Isa angguk dan terus mengambil posisi. Aduh... tengok pada cara Isa
pegang kamera aku tu, rasa nak koyak jiwa. Jangan pegang macam tu lah.
Nanti gambar tak cantik.
“Kejora ...” Teguran mama buat aku memandang wanita yang dah tepat ada di
depan aku.
“Kita sambung dengan pertunangan anak kedua kami pulak... Laisa Kejora ...”
Tangan aku terkulai ke sisi bila papa bersuara. Aku pandang mama dengan
wajah berkerut. Tapi mama buat tak tahu.
“Hulur tangan tu...” suruh mama.
Terketar-ketar tangan aku naik mendarat pada peha. Masa ni flash kamera
tu buat aku rasa nak pitam je. Apa ni? Mama? Tapi, mama buat tak tahu
je. Dia bantu aku angkat tangan dan disuakan pada wanita ni. Wanita ni
bakal mertua aku ke? Sungguh? Tak tipu ke?
Selamat. Memang selamat cincin tu mendarat pada jari manis aku.
Cincin emas belah rotan diukir dengan emas putih di atasnya. Cantik
tapi aku tak minat cincin ni. Kalau ya nak tunang pun, cuba tanya aku
dulu, aku nak pakai apa?
Mama...
“Alhamdulillah... dah selesai. Tarikh semua nanti kita bincang
kemudianlah dengan pengantin lelakinya...” Lelaki yang papa panggil
‘abang’ tu bersuara.
Wanita ni tarik aku ke dalam pelukannya.
“Ini Datin Hamsiah. Bakal ibu mertua Kejora tau... ibu tunang Kejora , Zaza .”
Jatuh rahang aku dengar nama ‘tunang’ aku tu. ‘Zaza ?”
Datin tu menjatuhkan kepala. “Nama manja masa kecik-kecik dulu.
Sekarang tak panggil Zaza dah. Dia marah...” Ramah pulak Datin ni
bercerita.
“Err... yalah, Datin...” Kelu lidah aku. Tak tahulah nak kata apa
lagi. Nak meraung sekarang, tak sesuai.
Nak lari sekarang, tinggal Aina telefon aku mama dengan papa masuk wad
jelah. Nak tolak pinangan ni, jahat sangat ke aku nak kepakkan airmuka
kedua-dua buah keluarga. Nak-nak dia keluarga datin-datuk. Kami pun
bukan calang-calang. Haru.
“Panggil ibu je...”
Demam lagi. Tak dan apa-apa nak aku panggil ibu dah. Jatuh lagi kepala
aku mengiyakan.
“Tahniah...” Aina menyampuk.
Aku rasa nak menangis sungguh dah masa ni. Rasa berat dah tubir mata.
Sampailah hati mama. Kalau cakap pun, aku tak bantah... err ye ke tak
bantah. Ya, aku akan bantah tapi setidak-tidaknya cakaplah sepatah.
Padanlah baju aku pun kemain cantik. Selendang senget sikit pun dia
sibuk nak betulkan.
“Siapa Zaza ni?” Aku bergumam sendiri.
“Dia tak ada, Kejora . Tak balik lagi. Nanti dia balik Malaysia, ibu
suruh dia jumpa Kejora , ya?” Dengar pulak ibu Zaza ni apa yang aku
gumamkan.
Aku pandang dia dengan mata yang dah basah. Langsung tak ada senyuman
biarpun aku tahu, Isa sedang tangkap gambar kami.
Aku pandang mama... airmata aku jatuh bila mama senyum.
Mama...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience