BAB 3

Romance Completed 1239674

RESTORAN Hemisphere di Regalia Residences Kuala Lumpur dikunjungi. Faliq mengemaskan jaket yang tersarung di tubuh. Matanya merenung ke arah Patek Phillipe yang berada di pergelangan tangan kiri. Sebuah keluhan terhembus.

Sudah empat puluh minit dia duduk sendirian di meja tersebut. Jujur dia tidak suka menanti. Masa terasa terbazir begitu sahaja. Lima minit lagi andai wajah yang ditunggu tidak kunjung tiba dia akan berlalu pergi.

Namun, saat itu juga kelihatan susuk tubuh seorang gadis tinggi lampai berwajah jelita muncul di ruangan tersebut. Lenggok langkah penuh bergaya bersama senyuman manis yang terukir di bibir si gadis menghapuskan rasa bosan menunggu tadi.

Serentak itu Faliq bangun dari duduknya. Tubuh si gadis dihampiri sebelum pelukan dan ciuman di pipi dihadiahkan. Sempat matanya melirik ke arah gaun hitam singkat dan sendat yang tersarung di tubuh gadis itu. Mengiurkan pandangannya. Faliq menahan nafsu yang sedang bergelora.

"Sorry sayang I lambat sikit. You tahulah manager I tu ada aje hal last minute," ucap Tania memberi alasan lalu duduk di kerusi yang ditarik oleh kekasihnya.

Faliq kemudian kembali ke tempat duduknya. Wajah gadis jelita yang dirindui ini ditatap sedalamnya. Mendengar suara merdu Tania sudah cukup menghilangkan semua kegusaran yang melanda hidupnya baru-baru ini.

"It's okay, baby. I faham. Yang penting you selamat sampai ke sini. I miss you so much!"

Jemari Tania dicapai lalu dibawa ke bibirnya. Sebuah kucupan penuh rasa cinta diberikan. Tania tersenyum dengan bicara Faliq yang selalu membuai perasaannya.

"I miss you too, sayang. Sebulan sekali baru dapat jumpa you sekarang ni," ucap Tania lalu memuncungkan bibir mungilnya. Merajuk.

Faliq memahami luahan kekasihnya. Dia akui dirinya amat sibuk dengan pelbagai urusan berkaitan kerja. Sejak mengambil alih pengurusan utama syarikat keluarga sejak setahun lalu, dia memang tidak pernah duduk diam. Ada sahaja aturcara dan mesyuarat penting yang perlu dihadiri. Sehinggakan untuk meluangkan masa bersama kekasih hati juga tidak sempat.

"I'm really sorry. I janji lepas settle projek di Cyberjaya tu, kita pergi holiday okey. You choose a destination."

Lantas senyuman di bibir Tania terukir.

"I nak pergi Dubai. And then Paris. After that Milan. Boleh ke sayang?" soal Tania dalam nada manja menggoda.

"Sure, baby. Anything for you. Oh by the way, I have something for you."

Faliq mengambil sebuah kotak baldu yang berada di atas meja lalu dihulurkan kepada Tania. Kotak berjenama terkenal itu diambil sebelum dibuka. Seutas rantai bersama hiasan permata yang terukir indah menyapa pandangan Tania. Pantas tangannya menekup ke mulut. Terharu.

"Oh my God. Sayang, it's so beautiful!" ujar Tania dengan perasaan penuh teruja. "Pakaikan untuk I, sayang. Please."

Faliq tersenyum gembira dengan reaksi gadis itu. Dia lantas bangun menghampiri belakang Tania. Rantai di dalam kotak diambil lalu dibawa ke leher kekasihnya. Selesai sahaja rantai itu terhias indah di leher, Tania menghadiahkan ciuman ke pipi Faliq.

Ini bukan kali pertama Tania menerima hadiah yang mahal dan berjenama. Sepanjang bergelar kekasih kepada lelaki ini hampir enam bulan lalu, Faliq tidak lokek untuk berbelanja memberikan kemewahan kepadanya. Tania rasa hidupnya cukup sempurna dan bahagia. Tiada lelaki lain pernah memberi layanan seistimewa ini untuknya.

Mereka kemudian sama-sama menikmati suasana makan malam yang romantis sambil berbicara tentang berbagai perkara. Faliq lebih banyak berdiam diri saat Tania bercerita. Sebenarnya dia malas nak mendengar celoteh kekasihnya itu yang gemar membebel tentang banyak hal. Dia cuma mengangguk dan berpura-pura menyampuk sekali-sekala.

"So, sayang. You buat apa dua minggu di London?" soal Tania di tengah perbualan mereka. Teringat lelaki itu ada memaklumkan tentang perkara tersebut tempoh hari.

'I kahwin di London.' Hah! Mampus kalau dia jawab macam tu. Mahu mengamuk kekasihnya nanti.

"Well, I ada business discussion dengan partner di sana," ujar Faliq memberi alasan.

"Oh, you nak buka branch dekat sana ke?"

"Maybe. Kalau ada rezeki," Faliq menjawab ringkas.

"Next time kalau you ke London lagi boleh I ikut? I takkan ganggu business meeting you. I cuma nak jalan-jalan sambil shopping kat sana. Boleh ye, sayang?"

Ragu-ragu Faliq ingin memberikan jawapan. Dia sendiri tidak pasti bilakah masa akan berkunjung ke kota itu lagi. Mungkin tidak dalam tempoh satu tahun ini. Untuk mengelak kedua ibu bapanya menghidu rahsia yang tersimpan.

"Tak ada apa pun di London. Tempat shopping pun biasa-biasa aje. Best lagi dekat KLCC," spontan dia membalas.

"Alah, you ni. Tak kelaslah shopping kat KLCC aje. You lelaki mana tahu tempat shopping yang best. Hurm takpe, I ada kawan dari London. Nanti I minta dia bawa I ke sana."

"Really? Kawan you yang mana satu?"

"Well, housemate baru I. Kawan baik Zara. Dia pernah tinggal di London. Dia tumpang kejap duduk dengan kitorang."

"Ohh..." Faliq sekadar mengangguk tanpa berminat ingin tahu.

"Sayang, can I ask you something?" soal Tania.

"Yes, baby. What is it?"

"Last time you pernah sebut tentang bab kahwin. Well, bila you nak bawa I jumpa dengan your parents? You know, I teringin nak kenal dengan mereka," ujar Tania tanpa berselindung.

Erk! Faliq tersentak seketika. Soalan Tania di luar jangkaan. Mustahil dia dapat membawa Tania bertemu dengan kedua orang tuanya. Nak perkenalkan gadis itu sebagai apa? Bakal isteri nombor dua? Memang taklah.

"Erm one day okay? Selepas selesai semua urusan bisnes, I akan bawa you jumpa diorang."

"Really? Bila?" soal Tania tidak sabar-sabar.

"Next year."

"Next year? Lama lagilah, sayang," ujar Tania dengan wajah mencerut.

"Tak lama, kejap aje. Sabar ye. I janji akan jadikan you yang teristimewa dalam hidup I nanti," balas Faliq lalu memaut dagu runcing Tania. Sebelah lagi tangan meramas jemari gadis itu di atas meja.

Tania tersenyum dengan kata-kata Faliq. Melihat wajah tampan lelaki itu sudah cukup membuatkan perasaan Tania gembira. Tidak mengapa. Tania akan bersabar. Suatu hari nanti dia pasti memiliki Faliq sepenuhnya.

Selesai menikmati makan malam penuh romantis di Regalia Residences, Faliq menghantar kekasihnya pulang ke kondominium di pinggir bandaraya. Di tempat duduk belakang kenderaan mewah tersebut, Tania melentokkan kepala ke bahu Faliq. Jemarinya diusap lembut ke dada kekar lelaki itu.

Faliq menghidu wangian dari rambut Tania yang berada cukup dekat berhampiran wajahnya. Sentuhan Tania membuatkan perasaannya bergetar. Faliq memejam mata cuba menahan gelora nafsu.

"Why, sayang? Tergoda dengan I ke?" soal Tania bersama suara tawa nakal.

Faliq membuka mata kembali memandang ke wajah itu. Seraya dia tersenyum sambil menggeleng. Tipulah kalau kata nafsunya tidak terusik dengan godaan Tania. Tetapi, dia cuba menghindarkan semua itu seketika. Tidak mahu terjebak.

Masih teringat memori lalu saat berhubungan dengan seorang gadis yang merupakan anak kepada seorang VVIP terkenal. Dia hampir-hampir terjatuh ke dalam perangkap permainan politik musuh perniagaannya. Mujurlah dia segera tersedar dan kesilapan tersebut dapat dibetulkan. Sejak itu Faliq lebih berhati-hati apabila bersama mana-mana wanita. Tidak mudah memberikan kepercayaan.

Dan bagi Faliq, Tania memang jelita dan menggoda. Namun, gadis itu sekadar menjadi pendamping sampingan semata-mata. Tania ibarat 'trofi' yang dia boleh bawa dan tayang kepada umum untuk mendapatkan perhatian. Selain daripada itu, belum terlintas di fikiran untuk menjadikan Tania sebagai teman hidup. Mungkin suatu hari nanti. Selepas dia berpisah secara rasmi dengan Erin.

Saat kenderaan mewah yang membawa mereka berhenti di hadapan lobi sebuah kondominium, Faliq meleraikan pelukan Tania dari tubuhnya.

"Kita jumpa lagi lain kali ye," ucap Faliq bersama senyuman.

Tania akur sambil mengeluh perlahan. Disangkakan Faliq akan membawa dia pulang ke kediamannya. Dapatlah dia tengok tempat tinggal lelaki itu yang selama ini menjadi rahsia. Namun, jangkaan itu meleset sama sekali.

Faliq amat tertutup dengan ruang kehidupan privasinya. Tania tidak pernah tahu hal peribadi lelaki itu selama ini. Beberapa bulan mereka berhubungan, sikap Faliq masih sama. Hingga menimbulkan sedikit tanda tanya di benaknya. Apakah lelaki ini normal? Sayang betul kalau tak normal. Rupa dah tampan, kaya-raya dan berstatus tinggi. Harap-harap tanggapan negatifnya itu tidak benar.

"Okey, sayang. Good night. See you when I see you," ucap Tania dalam nada seakan memerli kesibukan kekasihnya.

Faliq sekadar tersenyum. Tidak ambil kisah dengan kata-kata Tania.

"Good night, baby. Sleep tight and sweet dream," balas Faliq seraya menghadiahkan kucupan 'selamat malam' buat gadis itu.

Setelah itu, Tania melangkah keluar dari kenderaan mewah tersebut sebelum berlalu ke ruang lobi kondominium. Kenderaan yang membawa Faliq kemudian bergerak perlahan-lahan meninggalkan kawasan kediaman itu menuju ke lokasi seterusnya.

Share this novel

anaann1203
2024-11-05 13:58:03 

.....


NovelPlus Premium

The best ads free experience